Thursday, January 29, 2015

KEAJAIBAN CINTA BAB 9

Bab 9

“Qaseh, macam mana boleh terjadi semua ini?” Datin Kursiah yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam wad yang menempatkan Qayyim terus mengajukan soalan. Beg tangannya diletakkan di atas meja sebelum wajah anaknya dipandang.

“Maafkan saya, Datin. Saya…”

“Tak ada apalah mama. Sikit saja ni.” Qayyim menyampuk sebelum sempat Qaseh menghabiskan bicaranya.

Qaseh memandang Qayyim. Qayyim membuat isyarat mata. Dia faham apa yang cuba dimaksudkan oleh Qayyim itu. Tandanya dia tidak mahu Qaseh berterus-terang.

“Sikit macam ni? Mama nak tahu kisahnya. Kenapa yang boleh jadi macam ni sekali, Ayim? Qaseh?”

“ Tadi Ayim ajak Minah bersiar-siar kat luar rumah tu. Tak sangka pula lelaki tu mabuk. Dia terus tumbuk muka Ayim. Mamakan tahu Ayim ni kalau jatuh sikit pun dah pengsan. Mama jangan risau, okey?” Qayyim tersenyum.

Datin Kursiah berkerut dahi. Dia yakin yang itu bukan cerita sebenar. Qayyim sedang membohongi dirinya. Tak akanlah lebam sebegini teruk hanya ditumbuk sekali oleh lelaki mabuk itu? Lebam yang dialami oleh Qayyim ini nampak seperti ditumbuk berkali-kali. Datin Kursiah tidak percaya.

“Mama, betul. Ayim tak tipu mama.” Qayyim yang faham riak wajah ibunya itu terus menyakinkan  Datin Kursiah. Tidak perlulah mamanya dapat tahu kisah sebenar. Dia risau jika Qaseh diberhentikan kerja. Sia-sia sajalah usaha dia semalam kalau Qaseh dipecat.

“Betul ni, Qaseh?” Datin Kursiah terarah kepada Qaseh pula.

Laju Qaseh mengangguk. Hatinya berdebar-debar. Wajahnya ditundukkan. Tidak berani untuk menatap wajah Datin Kursiah yang masih lagi tidak puas hati dengan jawapan yang diberitahu oleh Qayyim sebentar tadi.

“Kalau mama dapat lelaki yang tumbuk Ayim tu, tahulah mama ajar. Balik nanti mama nak buat laporan polis. Biar dia kena meringkuk dalam penjara.” Datin Kursiah berkata geram. Bibirnya diketap.

“Eh, tak payahlah mama. Lagipun Ayim tak dapat nak bayang pun wajah dia macam mana. Kalau buat laporan polis pun kita tak ada bukti. Ini akan menyukarkan kes untuk disiasat. Tak payah, okey? Ayim sihat dah. Sikit saja ni.”

“Kamu tu Ayim baik sangat. Kalau perkara ini berulang lagi, macam mana?”

Qayyim mencapai tangan mamanya lalu dicium dengan penuh kasih sayang. Dia faham perasaan Datin Kursiah ketika itu. Ibu mana yang tidak risau jika terjadi sesuatu kat anak-anaknya.

“Insya ALLAH semua ini tak akan berulang lagi. Sekarang ni, mama pergi balik dulu. Mama tu sudahlah ada darah tinggi. Tak cukup tidur nanti naik pula darah mama tu.”

“Siapa yang nak jaga Ayim?”soal Datin Kursiah.

“Tu… “Mulut Qayyim muncung ke arah Qaseh yang hanya tercegat tidak berkutik sedikit pun. “Minahkan ada. Dia akan jaga Ayim nanti. Mama tak perlu risau.”

“Kalau begitu, mama balik dululah. Esok mama datang melawat Ayim lagi.”

“Tak apa mama. Pagi esok Ayim dah boleh keluar. Lagipun Ayim ditahan ni sebab nak tambahkan air dalam badan saja. Jadi esok mama tak perlu susah-susah datang. Suruh Pak Mail datang ambil Ayim dan Minah. Kita jumpa di rumah nanti.”Sekali lagi Qayyim menghalang rancangan mamanya.

“Okey. Mama balik dulu. Qaseh, jaga Ayim baik-baik.” Pesan Datin Kursiah sebelum melangkah keluar dari wad yang menempatkan Qayyim.

Selepas Datin Kursiah hilang dari pandangan mata, Qayyim kembali membaringkan badannya di atas katil. Nafasnya dihela lega memandangkan dapat melarikan diri daripada terus menghadapi pertanyaan yang bertubi-tubi yang dilontarkan oleh mamanya itu. Sejurus kemudian, mata Qayyim tertancap pada Qaseh yang masih lagi tercegat. Dia ni tak lenguh ke duduk macam tu dari tadi?

“Hoi!”sergah Qayyim.

“Mak hang jatuh longkang.” latah Qaseh membuatkan Qayyim ketawa berdekeh-dekeh. Qaseh menutup mulutnya rapat. Kepalanya digaru. Macam mana boleh terlatah pula ni? Tak pernah pun sebelum ni melatah.

“Kau latah rupanya. Tapi kenapa kau latah, kau cakap utara? Kau orang utara ke?”

Qaseh mengangguk.

“Utara kat negeri mana?”

“Kedah.”

Sepi seketika. Tiada lagi pertanyaan daripada lelaki itu.

“Sengal…”seru Qaseh lembut.

“Ya, minah. Ada apa?”  Qayyim bertanya senada. Suaranya mendatar.

Qaseh menarik kerusi yang tersorong ke bawah katil itu lalu punggungnya dilabuhkan di sebelah Qayyim. Dia cuba menyusun kata agar segalanya berjalan dengan lancar. Kelu pula lidahnya untuk berbicara.

“Aku nak minta maaf sebab aku, kau terpaksa terima semua ini. Aku minta maaf.”

“Kau ingat aku buat semua ni percuma? Kau harus bayar ganti rugi kerana telah rosakkan muka aku yang kacak ni.” Qayyim tersenyum sinis. Lebam di mukanya dipegang. Masih lagi bengkak. Boleh tahan juga penumbuk lelaki itu. Agak-agaklah nak tumbuk pun. Ini tidak sampai aku masuk hospital. Tak boleh jadi ni.

Qaseh terkejut. Ingatkan ikhlas sangat nak menolong. Rupanya ada udang di sebalik mee goreng. Baik tak payah tolong kalau mengharapkan balasan. Dulu kat kampung aku ada belajar silatlah. Setakat lelaki gemuk tadi tu sebelah tangan saja aku tolak. Qaseh bermonolog di dalam hati.

“Aku ingatkan ikhlas sangat tolong aku tadi.” Qaseh menjawab. Bibirnya dicebik.

“Kalau tak kerana kau lari rumah tak akan terjadi semua ini. Semua ini gara-gara kau.”

“Dah kau hina maruah diri aku. Buat apa aku tunggu kat situ lagi.” balas Qaseh.  Dia juga dipersalahkan. Qaseh tak minta pun Qayyim berlagak hero datang selamatkan dirinya. Tahulah dia selesaikan lelaki gemuk itu semalam.

“Kau emo sangat tu kenapa? Aku melawak saja pun.”

Qaseh menarik muka.

“Melawak kau kata macam tu? Memang tak ada perasaan betullah kau ni. Sengal!” Dia ni ada perasaan ke tidak? Dia kutuk pekerjaan aku, dia hina diri aku boleh pula dia kata dia sedang membuat lawak? Memang lelaki sengal ni tak ada perasaan.

Qayyim tersenyum nipis. Dia geli hati melihat wajah Qaseh yang tidak puas hati itu. Qayyim tahu dia salah tapi minta maaf bukan caranya. Lagi-lagi dengan perempuan yang ada di hadapannya ini. Dia tetap berkeras menunjukkan egonya yang setinggi Gunung Kinabalu itu.

“Tangan kau sakit ke tak tu?”soal Qayyim tiba-tiba. Matanya dikerling sekilas untuk melihat keadaan pergelangan tangan Qaseh yang sedikit merah akibat digenggam kuat oleh lelaki itu semalam.

“Biarlah kalau sakit pun. Tak ada kena mengena dengan kau.” Sinis Qaseh membalas.

“Pastilah ada kena mengena dengan aku. Kalau tangan kau sakit, nanti siapa yang nak letak ubat kat luka aku ni. Kaukan penjaga aku.” Qayyim mengusik. Bibirnya mengukirkan senyuman nipis. Matanya melirik memandang wajah Qaseh yang sudah masam mencuka itu.

“Aku dah berhenti kerja tadi. Aku bukan lagi penjaga kau. Kau pandai-pandailah jaga diri kau sendiri.” Qaseh bangkit dari duduknya. Beg pakaian yang turut dibawa sama dicapai. Dia perlu pergi dari situ. Tidak mahu lagi bersama dengan lelaki sengal ini lagi. Dia rimas.

“Minah! Kau pergi, kau akan susah.” Qayyim memberi amaran.

Serta-merta langkah Qaseh terhenti. Dia mengigit bibir. Badannya terus dikalihkan memandang Qayyim yang sedang duduk di atas katil sambil merenung tajam kepadanya.

“ Aku tak takut dengan ugutan kau. Kau ingat kau kaya, kau boleh buat apa sahaja? Kau silap. Aku bukan seorang yang tunduk saja apabila disuruh.”

“Kau kena ingat adik-adik kau sekarang sedang diperhatikan. Aku boleh saja telefon anak buah aku suruh bertindak jahat kat adik-adik  di kampung. Aku tak kisah. Pergilah kalau kau nak pergi. Aku izinkan. Tapi jangan salahkan aku kalau terjadi sesuatu kat adik-adik kau. Pergilah.” Qayyim melambaikan tangannya tanda dia menyuruh Qaseh beredar dari situ. Kepala katilnya yang diangkat sedikit diturunkan semula. Dia pasti Qaseh tidak akan berani mengambil risiko ini. Sengaja dia mengentarkan Qaseh supaya gadis ini terus bekerja dengannya.

“Mana aci main ugut-ugut.” balas Qaseh pendek. Berang dengan ugutan daripada Qayyim tu. Qaseh berbelah bagi sekarang ini. Sama ada nak berhenti kerja seterusnya memperjudikan nasib adik-adiknya atau terus bekerja dengan lelaki sengal ini. Qaseh serabut ketika ini.

“ Aci tak aci terpulanglah kat kau.”Qayyim tersengih.

“Geramnya aku kat kau ni. Aku tumbuk juga muka kau nanti.” Qaseh mendengus. Dia meletakkan semula beg pakaiannya di atas sofa lalu membuka langkah menuju ke katil Qayyim. Lengan Qayyim menjadi mangsa Qaseh melepaskan geramnya.

“Sakitlah, minah.” Berkerut seribu muka Qayyim menahan kesakitan. Berbisa sungguh cubitan minah puaka ni.

Qaseh hanya diam. Dia sudah malas untuk membalas. Langkahnya dibuka lalu berjalan menuju ke sofa. Majalah yang ada di situ dicapai sebelum dibaca. Dia perasankan yang Qayyim sedang melihat tingkah lakunya. Lantak kaulah, sengal. Aku benci lelaki yang suka mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

“Minah, kau marah aku ke?”

Sepi.

“Minah puaka, kau nak dengar satu cerita tak?” Qayyim cuba memancing perhatian Qaseh namun tetap hampa. Qaseh langsung tidak menghiraukannya.

“Aku dulu ada tunang. Aku sayang sangat kat dia tapi dia dah tinggalkan aku. Dia bekas pelayan kelab malam juga. Macam kau. Aku terima dia dengan rela. Aku tak kisah pun latarbelakang dia tapi dia tetap tinggalkan aku. Alasannya keluarga dia sudah tidak mahu bermenantukan aku kerana aku lumpuh. Sekali lagi aku lemah semangat. Sudahlah terjaga dari koma aku lumpuh ditambah pula Sofea dah tinggalkan aku. Kau boleh bayangkan keadaan aku ketika itu?”

Qaseh memasang telinga. Buku yang kononnya dibaca tadi ditutup lalu diletakkan semula di tempatnya. Matanya mencerun memandang Qayyim di atas katil.

“Tapi kau tak boleh samakan aku dengan dia. Aku bukan jenis yang lupa diri macam tu.” Qaseh akhirnya membuka mulut membalas kata Qayyim.

Qayyim tersenyum.

“Aku tahu kau bukan seperti tu. Kan aku dah kata yang aku berlawak saja. Kau tu yang suka panjangkan cerita.” Qayyim masih lagi tidak mengakui kesilapan diri. Tetap dengan keras kepalanya.

“Lawak kau kasar. Aku sentap tahu tak!”

“Macam tu pun nak sentap. Lembik betullah kau ni.” Qayyim tersenyum senget.

Qaseh membulatkan matanya. Lelaki ni memang keras kepala, ego dan sangat menyakitkan hati. Aku nak dengar ucapan maaf kaulah, sengal. Susah sangat ke nak mengaku kalau dah salah? Minta maaf dan aku pun maafkan, selesai masalah. Nasib kaulah, Qaseh dapat majikan macam lelaki ni.

“ Malas nak layan kau. Baik aku layan majalah Ujang ni lagi best daripada layan kau, sengal.” Qaseh lantas mengambil semula majalah yang dibaca tadi dan meneruskan bacaan.

Qayyim ketawa berdekeh-dekeh. Kepalanya digelengkan. Lucu melihat muka Qaseh yang kelat akibat geram dengan dirinya itu. Terserlah lagi kecantikan yang dimiliki oleh Qaseh. Kehadiran Qaseh sedikit sebanyak dapat  mengubati sedikit luka yang bernanah di hatinya. Ada juga orang dia boleh mengusik dan bergurau senda. Lupa habis masalah yang dialami olehnya.

***************

“Rahim, yang kau tumbuk aku kuat sangat tu kenapa? Aku suruh berlakon tumbuk aku saja. Bukannya buat aku sampai pengsan.” Marah Qayyim apabila panggilannya dijawab.

 Dia sudah dibenarkan pulang tengah hari tadi. Tiba-tiba dia teringatkan lelaki yang menumbuknya semalam. Terus dia membuat panggilan kerana ketika itu Qaseh tidak bersama dengannya. Jadi mudahlah untuk dia membuat panggilan rahsia itu.

“Kau pengsan ke buat-buat pengsan, bos?” Rahim menduga sambil ketawa kecil.

“Faham sendirilah tapi memang sakit kot kau tumbuk aku. Tak handsome dahlah.”

Rahim ketawa kuat dari corong telefon.

“Maaf, bos. Aku tak sengaja. Teruk sangat ke lebam bos tu?”

“Nasib baik tak mati. Kalau mati memang mama aku tak akan lepaskan kau sebab buat anak dia seperti itu.”

 “Awek cun tu bos. Tak nak cuba masuk line ke?”

“Cun memang cun tapi garang mengalahkan harimau betina mengamuk tau. Muka tu tak pernahnya nak senyum.”kutuk Qayyim. Dia terbayangkan wajah Qaseh yang selalu masam apabila bersama dengannya.

“Perlukan strategi bos. Perempuan ni mula-mula memang garang. Jual mahal padahal bila dah tertangkap cinta pasti terlentok habis.”

“Pandailah kau tu. Terima kasih sebab tolong aku semalam. Tak pasal-pasal aku check inhospital pula.”

“Maaf kalau terlebih tumbuk sikit. Emosi aku tak stabil semalam. Aku minum semalam. Kau telefon tak sampai hati pula nak menolak. Aku setuju tapi betul. Memang aku separuh sedar semasa tumbuk kau tu.”

Bunyi derapan kaki semakin menghampiri bilik Qayyim. Dia pasti itu Qaseh yang datang menghantar makan tengah hari buatnya.

“Okeylah. Harimau betina dah datang. Nanti apa-apa hal aku telefon kau.” Terus panggilan dimatikan tanpa menanti balasan daripada Rahim. Risau kalau Qaseh dapat tahu semua itu hanya rancangan semata-mata. Pasti mengamuk Minah puaka tu nanti.

Tuk! Tuk. Qaseh mengetuk dari luar.

“Masuk!” jerit Qayyim. Dia membetulkan duduknya. Selimut yang menutupi bahagian kakinya diangkat sehingga ke pinggang. Bantal yang digunakan untuk disandar di kepala katil diperkemaskan.

Qaseh melangkah masuk dengan menatang dulang yang terhidang sepinggan nasi bersama dengan dua jenis lauk-pauk kegemaran Qayyim. Nasib baik Qaseh pandai memasak. Kalau tidak jenuh Qaseh nak belajar pula. Sudahlah lelaki itu mengada-ngada nak dia yang masak sendiri. Alasannya kerana dia penjaga kepada Qayyim sepenuhnya. Jadi apa jua keperluan tuan muda tu perlu dilakukan sendiri oleh Qaseh tanpa bantuan sesiapa. Qaseh terpaksa akur.

“ Terima kasih, Minah puaka.”ucap Qayyim sambil tersenyum nipis.

“Kau makanlah dulu. Aku nak pergi tolong Kak Yati bersihkan dapur sekejap. Nanti aku datang balik.” Qaseh meminta diri dan terus membuka langkah menuju ke pintu.

“Biarkan Kak Yati kemaskan sendiri. Kau duduk sini. Suap aku makan.”arah Qayyim tegas.

Qaseh menghentikan langkahnya. Badannya lantas menoleh memandang Qayyim.

“Kau sakit muka bukannya tangan. Suaplah sendiri. Manja macam budak-budak.”ujar Qaseh sinis. Tak sampai hati dia nak meninggalkan Kak Yati berkeseorangan mengemas dapur yang telah diselerakkan olehnya tadi.

“Tak nak. Aku nak kau suapkan juga. Kalau tidak aku tak mahu makan.” Qayyim mengugut. Sengaja dia mengada-ngada lebih. Dia suka sangat melihat muka Qaseh yang masam saja tu bila disuruh buat itu ini. Proteslah tandanya tu.

“Suka hati kaulah. Mengada-ngada.” Qaseh tidak menghiraukan arahan daripada Qayyim. Dia terus melangkah keluar dari bilik menuju ke dapur meninggalkan Qayyim bersendirian.

Bibir Qaseh mengukirkan senyuman sinis. Kau ingat aku akan ikut semua arahan kau, sengal? Kau silap wahai Zill Qayyim. Kerja jadi buruh kasar pun tak sepenat kerja dengan lelaki ni. Semua perlu dilakukan. Nasib baiklah Qayyim tidak menyuruh Qaseh memandikan dirinya. Kalau itu terjadi memang Qaseh akan lari terus dari rumah banglo yang didiaminya ini. Orang seperti Qayyim ni bukannya boleh diberi muka sangat. Nanti makin melampaulah jawabnya.

Qayyim menepuk tilamnya kuat. Geram pula apabila arahannya tidak dituruti. Baru sahaja dia berfikir mahu mengenakan gadis itu tetapi gagal pula apabila Qaseh menolak untuk menyuapnya makan.  Dulang yang diletakkan di meja sisi diambil lalu makanan yang terhidang dijamah dengan perasaan sebal dan tidak puas hati.

****************

“Tolong! Tolong!” jeritan Qayyim itu mengejutkan Qaseh yang sedang mencuci pinggan di dapur. Dia lekas-lekas membersihkan tangannya lalu berlari anak menuju ke bilik Qayyim. Dadanya sudah berdebar-debar. Risau jika terjadi apa-apa kat lelaki itu.

“Kau kenapa ni?”tanya Qaseh cemas apabila melihat Qayyim sedang menekan-nekan perutnya. Qayyim kini sudah terduduk di lantai. Mungkin dia turun dengan sendirinya atau dia terjatuh katil. Qaseh bertambah resah.

“Sakitnya perut aku. Kau letak apa dalam makanan aku ni tadi, hah? Nak bunuh aku ke apa!”hambur Qayyim kuat. Wajahnya berkerut seribu menahan kesakitan.

“Aku masak ikut resepi yang Kak Yati bagilah. Kau sakit sangat ke?”tanya Qaseh lagi.

Mukanya kelihatan begitu cemas.

 “Aduh sakitnya. Kau ni sengaja nak kenakan akukan? Dasar minah senget.”

Qaseh mengigit bibirnya. Dia cuba mengingati apa yang dimasukkan ke dalam makanan Qayyim tadi. Rasanya tak ada yang lain daripada lain. Semua ikut resepi yang diberikan oleh Kak Yati. Qaseh mendapat pujian lagi daripada Kak Yati yang memuji masakannya sedap dan cukup semuanya. Tapi kenapa bila Qayyim makan dia sakit perut? Biar betul si sengal ni.

“Tunggu aku ambilkan ubat.” Qaseh terus bangkit. Laci yang menempatkan ubat-ubatan Qayyim dibuka. Panadol dan minyak urut yang ada di dalam laci itu diambil sebelum kembali kepada Qayyim semula. 

“Nah.”

 “Tolong urutkan perut aku boleh?” Qayyim tersenyum nakal. Matanya dikenyitkan.

Terjengil mata Qaseh mendengar permintaan Qayyim tu. Matanya dikecilkan sedikit dan dahinya berkerut. Pinggangnya dicekak.

“Kau nikan saja nak kenakan aku. Kenapalah aku boleh percaya dengan helah kau ni?” Qaseh lantas bangun. Mulutnya melepaskan keluhan berat. Sakit jiwanya apabila terus-terusan dimain-mainkan oleh Qayyim.

“Padan muka. Siapa suruh kau bantah arahan aku? Tapi jujur aku cakap kau masak tu tak sedap. Yang ni memang aku tak tipu.” Qayyim mengangkat tangannya seperti sedang bersumpah.

“Jadi mudahlah kerja aku lepas ni. Tak perlulah aku susah payah memasak untuk kau lagi kan?” Qaseh tersengih dibuat-buat. Sebal sungguh dengan Qayyim ni. Nak saja dia tekupkan muka Qayyim ke katil sampai arwah. Aman sikit dunia  tanpa lelaki macam Qayyim ni.

“Eh, mana boleh. Kau kena masak juga. Aku mengadu kat mama nanti.” Gertak Qayyim mencantas kenyataan Qaseh.

Qaseh mencebik.

“Dasar anak manja. Sikit-sikit mengadu. Lelaki poyo kau ni.”

Qaseh terus berjalan keluar dari bilik Qayyim semula. Makin dilayan makin serabut jiwa Qaseh nanti. Kerja yang tertangguh pun banyak lagi yang perlu disiapkan daripada membuang masa melayan Qayyim yang entah apa-apa ni.

“Kau nak pergi mana tu?” jerit Qayyim kuat.

“Aku nak pergi siapkan kerja aku yang tertangguh.”

“Siapa yang nak urutkan perut aku ni?”usik Qayyim lagi.

“Kau suruhlah mama kau urut. Aku tak kuasa nak mengurut.”balas Qaseh.

Qayyim ketawa berdekeh-dekeh. Kehadiran gadis ini memberi seribu kebahagiaan buat Qayyim. Qayyim tidak akan mudah melepaskan Qaseh begitu sahaja. 


BERSAMBUNG

No comments: