Thursday, January 29, 2015

KEAJAIBAN CINTA BAB 12

Bab 12

Qaseh sudah penat. Dari tadi dia asyik mencuba baju itu baju ini. Namun ada saja komen daripada Qayyim. Nampak macam orang tualah, macam makcik-makciklah, macam penari kelab malamlah. Macam-macam. 

“Aku letih, sengal!” rungut Qaseh. Perutnya pun sudah berbunyi. Sudah hampir sejam mereka berada di butik pakaian ini. Sehelai baju pun tidak terbeli lagi.

“Kau cuba yang ini pula.”Qayyim menyerahkan blouse kepada Qaseh untuk dicuba. Blouse itu disambut seraya Qaseh melangkah lemah menuju ke bilik persalinan. Qayyim tersenyum sendiri. Sukanya dia membuli gadis genik itu. Padahal gadis itu pakai apapun cantik cuma Qayyim suka mengambil kesempatan untuk mengenakan Qaseh.

“ Excuse me. I minta jalan sikit.”suara wanita menegur Qayyim. Qayyim yang menyedari silapnya terus menolak kerusi rodanya sedikit bagi memberi laluan kepada wanita yang menegurnya tadi.

“ Eh, you ke Ayim. You buat apa kat sini?”

Qayyim mengangkat muka. Terkedu dia seketika apabila melihat wajah wanita yang pernah dia cintai dulu dan sekarang dia masih lagi menyintai Sofea. Gadis itu cinta pertamanya. Tidak mudah untuk dia melupakan begitu sahaja.

Honey, dah selesai belum?” seorang lelaki yang berjambang, usianya dalam lingkungan 40-an menghampiri Sofea.

Qayyim tetiba diserang rasa sakit hati. Mungkin ini teman lelaki baru Sofea.

“Siapa ni?” Qayyim menyoal ingin tahu.

“Erkk…” Sofea seolah-olah berat untuk mengenal lelaki yang memanggilnya ‘honey’ itu.

“I Fakir. Bakal suami Sofea and you?”tanpa menunggu Sofea menjawab, Fakir terlebih dahulu mengenalkan diri.

Qayyim tersentak. Tidak sangka dirinya ditolak dan Sofea lebih memilih lelaki tua ini untuk dijadikan teman hidup. Qayyim berasa jengkel. Sofea terlalu mengejar kesempurnaan. Dia tidak kisah sesiapapun asalkan dia dapat cari yang sempurna itu.

“ Tahniah. Dah nak kahwin rupanya. Jangan lupa jemput I, Sofea.” Qayyim bermanis muka. Segaris senyuman direka bagi mengaburkan rasa kegusaran di jiwa.

“ Ayim! Yang ni macam mana?” Qaseh keluar dari bilik persalinan menuju kepada Qayyim untuk bertanyakan pendapat daripada lelaki itu.

“Cantik sangat sayang. Yang ni memang sesuai untuk sayang.” Qayyim terus memuji.

Mulut Qaseh ternganga. Lelaki ni dah kenapa? Kenapa bersayang-sayang ni? Dah buang tabiat ke apa? Qaseh memandang Qayyim inginkan penjelasan. Lelaki itu hanya mengenyitkan mata kanannya. Apa maksudnya tu?

“ Siapa ni, Ayim?” Sofea bertanya.

Qaseh mengalihkan pandangannya kepada Sofea dan Fakir. Siapa pula perempuan cantik dan lelaki tua ini? Mungkin perempuan ini kawan Qayyim dan lelaki tua ini adalah bapa kepada perempuan ni. Qaseh membuat andaian sendiri.

“ Lupa pula nak kenalkan. Ini Minah, bakal isteri Ayim. Nanti Ayim hantar kat jemputan ya.”

Apa kes kenalkan aku sebagai minah dan siapa pula yang nak kahwin dengan dia? Qaseh bermonolog sendiri. Masih tidak memahami situasi yang sebenarnya.

“Yeke? Tak sangka dia taste you.” Sofea menyindir.

Qaseh panas hati. Agak-agaklah perempuan ni. Kang aku bagi penampar percuma saja kat pipi tu.

“Bila hati dah terpikat, apapun tak kisah dah.”jawab Qayyim tenang. Dia menjeling sekilas untuk melihat riak wajah Qaseh. Qaseh sedang merenung tajam kepada Sofea. Haish, macam nak cari gaduh nampak gayanya tu?

“ Tak ada ke perempuan yang lebih bergaya dan cantik untuk dibuat isteri ke Ayim? I tahu you terdesak sebab I tinggalkan you tapi tak akanlah begini teruktaste you. I simpati dengan you, Ayim.” Sofea berterusan membuatkan Qaseh dan Qayyim sakit hati. Dia cemburu apabila Qayyim cepat sangat mendapat gantinya. Dia ingatkan lelaki cacat seperti Qayyim ini tiada siapa yang nak tapi telahan dia salah.

“ Jadi inilah bekas tunang abang? Cantik tapi sayang. Biadap orangnya.” Qaseh membalas sambil bibirnya menuturkan senyuman palsu.

Sofea terkejut. Begitu juga dengan Qayyim. Beraninya perempuan ni.

“ Jaga sikit mulut you.” Sofea memberi amaran.

“ Maafkan saya kerana lantang berbicara. Tapi tolonglah hormat orang sikit. Kalau awak dah tak nakkan Ayim, tak perlulah hina dia seperti itu. Awak dah ada kehidupan awak dan Ayim akan teruskan kehidupan baru dia. Buat apa lagi nak memperlekehkan siapa pilihan hati dia? Apa tujuan awak yang sebenarnya?” Qaseh terus menghamburkan ketidakpuasan hatinya. Sakit hatinya mendengar butir bicara Sofea tadi. Tapi yang lebih menyakitkan hatinya adalah dia merendah-rendahkan Qayyim.

“ Jangan nak tunjuk lagak kat sini. Sedar diri sikit aku ni adalah perempuan pertama yang ada dalam hati dia. Aku yakin dia masih cintakan aku.”Sofea tidak mengalah.

“Tapi dia pilih saya untuk dijadikan isteri dia. Awak boleh balik cari lelaki lain. Pakcik, jaga anak pakcik ni baik-baik. Jangan lupa ajar dia cara nak menghormati orang.”balas Qaseh.

Membulat mata Sofea apabila Qaseh menggelarkan Fakir sebegitu. Qayyim sudah menahan tawanya. Ini baru kena buku dengan ruasnya. Boleh tahan juga si Minah ni.

“Maafkan saya. Saya ni bakal suami dia.” Fakir membetulkan sangkaan Qaseh.
Qaseh terkesima. Dia nak tersenyum tetapi ditahan. Ingatkan anak dengan bapa tadi. Kan dah tersilap.

“Kau nikan….”

“Sudahlah, honey. Jom kita pergi. Tak perlu layan orang seperti ini.”Fakir terus menarik tangan Sofea supaya beredar dari situ. Risau juga nanti kalau terjadi sebarang pergaduhan.

***********
“Terima kasih.”ucap Qayyim ketika mereka keluar dari butik pakaian setelah hampir 2 jam berkampung di situ.

“Oh, sama-sama. Kecil punya hal. Perempuan macam tu memang ke ajar macam tu.” Qaseh berceloteh panjang.

“Tolong jangan nak perasan sangat boleh tak? Aku berterima kasih sebab kau bayarkan baju ni untuk aku.” Qayyim menekan perkataan bayar itu bagi Qaseh mengerti maksudnya.

Qaseh membulatkan matanya. Dia perli aku? Sengal punya lelaki.

“Yalah. Terima kasih sebab sudi belikan baju untuk aku. Tapi aku tak ikhlas tau berterima kasih ni.” Qaseh membalas lemah.

“Aku tak suka kau buat Sofea macam tu.”

Qaseh memandang Qayyim sambil dahinya berkerut.

“ Kau telah memalukan dia. Dia ada hati dan perasaan juga. Kau memang tak patut buat dia macam tu.”

“Aku tolong kau pun kena marah balik?”

“Tu bukan tolong. Itu namanya ambil kesempatan. Satu lagi, kau jangan nak berangan nak jadi isteri aku. Walaupun Sofea buat aku macam mana sekalipun, dia tetap ada di dalam hati aku. Bukan kau, bukan orang lain.”tegas Qayyim menambahkan rasa sebal di hati Qaseh.

“Aku sedar diri dan untuk pengetahuan kau, aku tak pernah terlintas dalam fikiran aku ni nak terima lelaki macam kau jadi suami aku. Aku nak berhenti kerja.”hambur Qaseh menonong berjalan meninggalkan Qayyim di belakang.

Qayyim mengigit bibirnya. Dia cuba memperlajukan lagi kelajuan kerusi rodanya. Cuba untuk mengejar Qaseh.

**************

 Sofea menghempaskan badannya kasar ke kusyen kereta. Wajahnya masam. Dadanya berombak menahan marah. Sakit hati dengan perempuan yang menghinanya tadi. Maruahnya seperti dipijak-pijak.

“Sudahlah honey. Jangan dilayan orang seperti tu.” Fakir cuba menenangkan hati kekasihnya itu.

“ Dia dah hina I.”Sofea membalas marah.

“Anggap saja dia tu tak betul. Kalau you layan, you pun sama tak betul macam dia.” Fakir memberi cadangan. Tali pinggang ditarik. Enjin kereta dihidupkan.

Sofea menampar lengan Fakir kuat. Bertambah rasa sakit hatinya apabila mendengar ungkapan Fakir tadi.

“You ni sengaja nak mempertahankan perempuan tukan?”tuduh Sofea. Dia mencari salah Fakir pula. Sofea , Sofea.

“Sayang, I dah cakap tak payah layan. Jadi tak payahlah. You dah ada I kan atau you memang masih menaruh harapan kat si cacat tu dan cemburu bila dengar dia dah nak kahwin?” Sebal juga hatinya apabila Sofea kelihatan beria-ria marah. Terbit rasa cemburu di sudut hatinya.

“ I akan balas dendam.”

“Jangan!”halang Fakir.

“Kenapa?”

“Biarkan dia ya. Kita teruskan hidup seperti biasa.” Fakir memujuk.

“Nope! I akan tebus balik maruah I.”

Fakir hanya menggeleng. Dasar keras kepala!

*************

Qaseh menoleh ke belakang. Lelaki sengal itu dari tadi mengekori dirinya. Tak letih ke dia? Aku dah cukup letih mencuba untuk  melarikan diri daripada dia tapi tidak juga berhasil. Apa lagi lelaki ni nak sebenarnya?

“Kau pergi baliklah. Aku dah malas nak kerja dengan lelaki ego macam kau ni.”ujar Qaseh lemah. Dia melabuhkan punggungnya di perhentian bas bagi merehatkan dirinya yang sudah kepenatan.

“Kau tahu tak ada kes tau dua hari lepas kat bus stop ni.” Qayyim membuka cerita. Dia cuba mengurut tangannya yang sudah lenguh memusingkan kerusi rodanya itu. Itulah degil sangat nak pakai kerusi roda biasa. Mamanya ada mencadangkan supaya menggunakan kerusi roda automatic namun Qayyim menolak dengan alasan kalau menggunakan kerusi roda automatic tidak perlulah dia mengupah Qaseh untuk menjadi pembantunya.

“Kes apa?” Qaseh berminat ingin tahu. Wajah lelaki itu dipandang sebelum dia memeluk tubuh.

“Seorang perempuan mati akibat dirompak dan dirogol beramai-ramai. Aku tak pastilah cerita ni betul ke tidak tapi aku baca dalam internet. Tragis jugalah aku baca.” Qayyim bercerita.  Wajahnya sangat serius. Matanya memerhati sekeliling. Petang sudah mula menginjak ke malam. Jalan raya juga sedikit lenggang. Hanya tinggal beberapa buah kereta sahaja yang melalui jalan itu. Sememangnya jalan ini agak sunyi pada sebelah malam. Banyak juga kes jenayah yang dilaporkan berlaku di sini.

Qaseh mengetap bibir. Dia bangun dari duduknya lalu berjalan mendekati Qayyim.

“Kau jangan nak takutkan aku. Aku tak dengar apa-apa pun.” Qaseh mencantas kenyataan Qayyim tadi.

“Tak percaya sudah. Aku harap kau cepat-cepat mengucap. Aku chou dulu. Terima kasih sebab sudi menyusahkan aku selama ni. Pasti aku akan rindu kat kau.”ujar Qayyim memusingkan kerusi rodanya berkira-kira mahu meninggalkan Qaseh berkeseorangan di situ.

“Ayim!”jerit Qaseh. Namun langsung tidak diendahkan oleh Qayyim. Lelaki itu semakin menjauh. Qaseh memandang sekeliling. Tiba-tiba bulu romanya menegak. Dadanya sudah berdebar-debar.

“Ayim! Tunggu aku!” jerit Qaseh berlari anak mendapatkan Qayyim.

“Kenapa ikut aku ni?”soal Qayyim berpura-pura tidak mengerti. Geli hati dia melihat wajah Qaseh yang sudah pucat menahan ketakutan. Tahu pun takut. Padan muka. Nak lari dari aku sangatkan? Rasakan. Detik Qayyim di dalam hati.

“Aku terlupa yang baju-baju aku masih ada kat rumah kau.”jawab Qaseh. Suaranya bergetar. Menahan rasa takut. Egonya masih menggunung agar tidak mudah diperkotak katikkan oleh Qayyim. Mesti lelaki itu sedang mengertawakan dirinya. Lantaklah!

“Cakap sajalah kau takut.” Qayyim mencebik.

Qaseh hanya membisu. Tak puas hati lelaki ni kalau sehari tak kenakan dirinya. Apapun selepas dia berkemas nanti, dia akan pergi dari hidup Qayyim. Dia sudah tidak sanggup lagi nak terus biarkan dirinya dipermainkan oleh Qayyim. Dia letih!

“Dah tu tak reti nak tolak aku ke? Aku dah letihlah…”Qayyim bersuara.
         
             "
Akukan dah berhenti kerja.”Qaseh berkeras. 


“Okey. Jadi tak payahlah ikut aku balik rumah. Kaukan dah berhenti kerja.”

Qaseh mengigit bibir. Macam mana ni? Perlu ke dia memperhambakan dirinya untuk kali terakhir buat lelaki ini? Qaseh memaksa dirinya untuk membantu menolak kerusi roda Qayyim. Dia harap itu kali terakhir dia berkhidmat untuk lelaki itu.

Qayyim tersenyum bangga. Sayang juga dia kat aku. Detik hati kecil Qayyim. Bahagia.

BERSAMBUNG


No comments: