Thursday, January 29, 2015

KEAJAIBAN CINTA BAB 14


“Abah rindu kakak hang.”ujar Rasyid pada Harris. Anak lelaki tunggal dalam keluarga yang merupakan pelindung kepada keluarga.

Harris mengurut belakang abahnya. Dia cuba untuk menenangkan Rasyid. Dia faham perasaan Rasyid yang sangat merindui kakaknya yang sudah hampir 2 tahun tidak balik ke kampung. Ini semua berlaku kerana Rasyid menghalau kakaknya kerana tidak tahan mendengar hinaan orang kampung terhadap keluarga mereka. Tapi sampai sekarang, kakaknya tidak juga pulang-pulang. Mungkin masih merajuk dengan Rasyid.

“Ris dah cuba telefon kakak tapi kakak dah tak guna nombor telefon tu, abah,”ujar Harris.

“Dia masih marahkan abah?”Rasyid bertanya. Jauh di sudut hatinya dia sangat menyesal dengan perbuatannya menghalau anak perempuan sulungnya itu. Dia cuma ingin orang  kampung berhenti menghina keluarga mereka. Itu saja. Tapi tak sangka sampai anaknya merajuk terus tidak pulang ke kampung.

“Tak adalah, abah. Buktinya tiap-tiap bulan dia tak pernah tak kirim duit untuk kita. Banyak pulak tu. Ris yakin kakak akan balik. Mungkin dia sibuk dengan kerja dia kot.” Harris mengukirkan senyuman nipis. Sebak melihat keadaan ayahnya yang memang sangat merindui kakak yang sememangnya anak kesayangan abahnya dulu.

“Abah nak ke Kuala Lumpur.”

“Nak buat apa, abah?”

“Abah nak pi cari kakak hang. Abah nak bawak dia balik kampung.”

“Abah, percayalah cakap Ris. Kakak akan balik. Kalau abah pergi KL pun, kat mana abah nak pi cari? KL tu besar abah. Kita tak tau kakak dok kat mana.Abah pulak tak lega elok lagi. Macam mana nak naik bas pi sana?” Harris cubamemujuk Rasyid. Dia yakin yang kakaknya akan balik. Tersangat yakin.

Rasyid menghela nafas perlahan-lahan. Betul juga kata Harris tu.Kuala Lumpur bukan bandar kecil. Kalau dia pergi pun belum tentu dia akan dapat bertemu dengan anak gadisnya itu. Tapi sampai bila dia harus menunggu sebegini? Dia risau jika dia menutup mata belum sempat dia melihat wajah anak gadisnya itu buat kali yang terakhir.

“Abah takut tak sempat nak minta maaf kat dia. Abah nak sebelum abah mati, abah nak tengok muka kakak hang tu. Abah tau dia marah kat abah. Sebab tu dia tak balik-balik.” Rasyid berkata lemah. Terbayang-bayang wajah anaknya di fikiran. Rindunya tidak dapat dibendung lagi. Tersangat sarat.

Harris diundang rasa sebak. Dia pilu mendengar setiap perkataan abahnya tadi. Kesihatan abahnya memang tidak mengizinkan sejak belakangan ini. Sekejap sihat, sekejap sakit. Dan yang paling merisaukan Harris adalah batuk abahnya semakin hari semakin teruk. Kadang-kadang sampai batuk berdarah. Dia berdoa agar abahnya dipanjangkan umur. Kat mana lagi dia nak bergantung kalau abahnya pergi?

 Nak mengharapkan dua orang lagi kakaknya?Memang langsung tidak boleh diharap. Sedangkan semasa abah sedang sakit, mereka langsung tidak bertanya khabar berita. Buat tak endah sahaja. Semuanya diuruskan oleh Harris. Yang mereka tahu tiap-tiap hari minta duit daripada Rasyid walaupun orang tua itu sedang sakit. Langsung tidak dipedulikan mereka.

“Abah, Ris janji Ris akan bawak kakak balik. Cuma Ris nak abah janji abah kuat dan bertahan. Abah nak tengok kakak kan? Abah kena sihatlah.” Pujuk Harris sambil mengukirkan senyuman. Air mata yang terkeluar dari tubir disapu supaya abahnya tidak tahu betapa dia sedih melihat keadaan Rasyid sekarang.

Kakak, mana kakak pergi ni? Abah rindukan kakak sangat ni. Rintih hati kecil Harris. Berharap kakaknya akan pulang sebelum terlambat.

****************

Qaseh membawa beg pakaiannya keluar dari bilik. Sebelum melangkah, dia memeriksa barang kalau-kalau ada yang tertinggal. Hari ini adalah hari terakhir dia tinggal di sini. Selepas ini dia akan memulakan hidup barunya di kampung. Walaupun dia tahu yang abah masih marahkan dirinya tapi kali ini dia tekad. Qaseh tidak kisah walaupun dihalau oleh abahnya nanti. Yang penting dia dapat lari dari dunia yang penuh dengan seksaan ini.

“ Besarnya beg kau. Macam nak pergi tak balik-balik saja gayanya.”tegur Qayyim ketika dia melangkah ke ruang tamu. Lelaki itu sedang membaca majalah bola. Minat bola rupanya lelaki ni.

Qaseh tersengih. Dia cuba berlagak biasa. Lepas ni kau tak boleh nak buli aku lagi, sengal. Selamat tinggal…

“Dah lama tak balik kampung banyak benda yang aku kena bawa balik. Biasalah untuk adik-adik kat kampung.” Qaseh menjawab mesra. Senyuman langsung tidak lekang dari bibir.

“ Ke kau nak lari dari aku ni…”duga Qayyim sambil matanya melirik kepada Qaseh.

Qaseh menggeleng laju. Jangan kau tahu rancangan aku sudah. Qaseh berkata dalam hati.

“ Tak adalah. Aku tahu kalau aku lari dari kau, aku akan hadapi kesusahan yang sangat besar. Jangan risau. Lepas seminggu aku balik sini berkhidmat untuk kau kembali.” Qaseh seolah-olah sedang berjanji.

Qayyim menutup majalah lalu diletakkan di atas meja.

“Pak Dollah hantar kau balik kampung,”ujar Qayyim serius. Wajah wanita itu dipandang penuh minat. Hari ini Qaseh memakai blouse merah lalu dipadankan dengan seluar legging hitam. Rambutnya diikat satu. Nampak sangat menarik di pandangan mata Qayyim.

Qaseh mengangguk terus mengangkat kaki ke pintu. Qayyim turut berbuat demikian. Selepas beg Qaseh dimasukkan ke dalam bonet belakang, Qaseh masuk ke dalam perut kereta. Dia memilih untuk duduk di hadapan seperti selalu.

“Minah, kau duduk belakang.”arah Qayyim.

“Kenapa?”

“Aku nak duduk depan.”jawab Qayyim senada. Dia berwajah biasa.

Qaseh berkerut dahi. Tidak faham.
“Cepatlah. Nanti lewat pula sampai kampung kau.”

Qaseh terus turun dari kereta lalu dia melakukan seperti yang diarahkan oleh Qayyim tadi.

“Kau ikut jugak ke?” Qaseh bertanya apabila Qayyim turut masuk ke dalam kereta BMW 5 series milik Qayyim.

“Kenapa? Kau ingat aku tak tahu kau nak lari dari aku sebenarnya?” Qayyim mengangkat kening. Bibirnya terukir senyuman sinis. “ Pak Dolah, cepat bergerak. Kang terlewat sampai pula.”

Qaseh mengigit bibir. Gagal lagi rancangannya kali ini. Baru dia fikir dia mahu lari terus daripada kehidupan lelaki ini namun itu semua hanya angan-angan yang tidak pasti. Qaseh tertunduk sedih. Bilalah dia boleh terlepas dari semua ini, Qaseh tiada jawapan.

****************

 Qayyim terjaga dari lenanya. Dia menenyehkan matanya supaya penglihatannya lebih jelas. Dia memandang belakang. Qaseh juga sudah terlena. Wajah itu dipandang seketika. Simpati tetapi dengan cara ini saja yang membolehkan Qaseh tetap ada untuk dia. Dia dah terbiasa ada Qaseh dan tak mungkin semudah ABC dia akan lepaskan Qaseh. Perempuan itu harus tetap ada untuknya sampai bila-bila.

“ Lama lagi ke nak sampai Pak Dollah?”tanya Qayyim.

“Lagi setengah jam, Tuan Ayim. Dah nak sampai pun.” Pak Dollah memberitahu. Dia tetap focus pada pemanduannya.

Qayyim menggangguk. Radio dikuatkan sedikit suaranya. Lagu Hanya Aku yang didendangkan oleh kumpulan Hyper Act sedang dimainkan di corong radio. Qayyim turut sama-sama menyanyi mengikut rentak lagu itu. Bosan! Tiada apa yang boleh dilakukan. Sakit pinggangnya apabila hampir 4 jam dia duduk di dalam kereta.

“Kita dah kat mana ni?”tetiba suara Qaseh kedengaran.

Dah bangun pun minah ni. Qayyim menoleh sekilas. Tersenyum dia melihat keadaan Qaseh ketika itu. Rambut tidak bersikat, ada sedikit kesan air liur basi di pipi dan matanya masih redup. Nampak sangat manja dan begitu menarik perhatian Qayyim.

“Dah sesat mana tak tahu. Kaulah punya pasal.”Qayyim mula mencari kunci untuk bergaduh.

“Kenapa aku pula?”Qaseh bertanya. Suaranya masih mendayu-dayu. Suara orang baru bangun tidur.

“Tidur aje kerja kau. Bukannya nak tunjuk jalan pun.”balas Qayyim.

“Aku pun tak ingat jalan balik. Dah lama aku tak balik kampung.”jawab Qaseh jujur. Masih mamai.

“Ulu juga kampung kau yea?”

“Hmmm..” Qaseh tidak menjawab. Dia memandang ke luar tingkap. Tidak lama lagi mereka akan sampai di kampungnya. Perasaanya mula bercampur baur. Takut, sedih, gementar dan semuanya bercampur aduk.

“Kat kampung kau ada siapa lagi?”

“Ada orang kampunglah. Ada siapa lagi…”

 Qayyim tersenyum. Sedar akan kesilapan dalam bertanyakan soalan tadi.

“Mana tahu kampung kau ada singa ke nanti. Sebab kau pun garang macam singa. Kot-kot kau ni ada baka dari singa sikit.” Qayyim berkata selamba.

Terus tercelik mata Qaseh. Sepantas kilat dia menarik telinga Qayyim dari belakang. Sekuat yang mungkin!

“Hoi! Sakitlah! Gila ke apa kau ni main tarik-tarik telinga?” Qayyim cubauntuk melepaskan tangan Qaseh dari terus menarik telinganya namun tidak dilepaskan oleh Qaseh. Malah dikemaskan lagi tarikan dia tu.

“Suka hati mak tiri kau saja aku dari keturunan singa. Mulut kau tu macam longkang tahu tak? Berbisa ya amat!” Qaseh berkata geram. Perlahan-lahan dia melepaskan telinga Qayyim. Baru puas hatinya sekarang.

“Gila!”

“Sakit ke abang? Maaflah aku buat kau macam tu. Kesian kaukan sebab tak ada mama kau nak minta tolong. Kaukan anak manja mama.” Qaseh mengejek.

Qayyim menggosok telinganya yang sudah merah akibat ditarik oleh Qaseh tadi. Wajahnya masam. Geram sangat! Ditambah lagi apabila Qaseh memerli dirinya. Jaga kau nanti, minah. Aku balas balik apa yang kau dah buat kat aku.

Qaseh melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Mereka sudah sampai. Dia kemudian memandang melalui cermin hadapan kereta.  Rasa pelik tiba-tiba menerjah di dalam diri.


Orang kampung sedang berkumpul ramai di rumahnya. Suasana nampak sangat suram. Kelihatan dari jauh  Harris, adik lelakinya sedang bersembang sesuatu dengan tok imam. Ya dia masih kenal dengan tok imam kampung itu. Walaupun hampir 3 tahun dia pergi tapi masa itu langsung tidak membuatkan dia lupa tentang kampung halamannya.


Qaseh diserbu seribu persoalan. Apa yang sedang berlaku ni? Qaseh berdoa agar tiada apa-apa yang buruk. Mungkin abahnya mengadakan kenduri arwah untuk arwah ibunya atau mungkin Harris mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Qaseh cuba untuk menyedapkan hatinya. 


BERSAMBUNG

No comments: