Bab 2
Datin Kursiah melangkah menghampiri
sebatang tubuh yang setia menunggunya di dalam restoran seperti yang
dijanjikan. Kerusi yang disorongkan ke bawah meja ditarik lalu melabuhkan
punggungnya di hadapan Sofea yang agak terkejut dengan kehadirannya. Pucat muka
Sofea ketika itu.
“Apa khabar, Sofea?” tanya Datin
Kursiah. Cermin mata hitamnya dibuka lalu diletakkan di atas meja. Rambutnya
disisir kemas sambil matanya merenung tajam wajah Sofea yang sedang menunduk
memandang ke lantai.
“Baik, mama.” jawab Sofea yang masih
lagi membahasakan Datin Kursiah dengan panggilan mama. Panggilan sepanjang dia
menjadi tunang kepada Qayyim.
“Jangan panggil aku mama. Panas
telinga aku.”ujar Datin Kursiah kasar.
Sofea hanya menunduk. Dia tahu Datin
Kursiah sedang marah kepadanya. Dia sudah masak dengan perangai Datin Kursiah
yang akan lakukan apa sahaja demi Qayyim. Dia pernah diberi amaran oleh Datin
Kursiah supaya tidak pernah mengecewakan anak bujangnya itu. Tak tahulah apa
nasib dia hari ini.
“Semasa anak aku sihat, kau
terhegeh-hegeh kat dia tapi bila anak aku jadi macam itu senang-senang aje kau
tinggalkan diakan? Kau memang perempuan yang tak kenang budi kau tahu tak!”
hambur Datin Kursiah melepaskan geram yang terbuku di dalam hatinya.
“Bukan begitu maksud saya. Saya cuma
buat apa yang terbaik untuk saya.”
“Terbaik untuk kau? Maksud kau, kau
tinggalkan Ayim apabila keadaan dia seperti itu adalah yang terbaik untuk kau?
Macam tu?”
Sofea mengangguk. Dia tidak rela
untuk bersama dengan lelaki yang dianggap hanyalah tidak ubah seperti mayat
hidup itu.
Datin Kursiah ketawa dibuat-buat.
Dia menepuk tangannya beberapa kali tanda dia memerli Sofea.
“Tak akanlah saya nak hidup dengan
lelaki yang tidak boleh berbuat apa-apa itu. Pasti reputasi saya sebagai model
akan jatuh. Saya lebih fikirkan tentang masa depan saya, Datin. Maafkan saya.”
“Kau ingat lagi apa yang
pernah aku pesan kepada kau dulu?” Sofea mengangguk. Dia tidak akan pernah
lupa.
“Terpulangkan kepada Datin apa yang
Datin nak buat kat saya. Yang pasti saya tak akan kembali kepada Ayim lagi.
Banyak lagi lelaki lain yang sihat dan tidak cacat seperti Ayim tu kat luar
sana.” pedas kata yang keluar dari mulut Sofea menampar gegendang telinga Datin
Kursiah.
Pang! Satu tamparan kuat mengena di pipi kanan Sofea sejurus kemudian dia mengucapkan kata-kata yang menyakitkan itu tadi. Nafas Datin Kursiah sudah turun naik. Orang sekeliling yang memerhati tidak dihiraukan. Panas telinganya apabila mendengar Sofea mengutuk Qayyim. Perempuan ini memang perlu diberi pengajaran
“Aku pun tak ingin kau berdamping dengan anak
aku. Ayim tak perlukan orang yang tak tahu menghargai dirinya. Kau hanya
mengambil kesempatan atas kebaikan Ayim kepada kau. Apabila kau dengan Ayim kau
senang dapat job. Kau ingat aku tak tahu semua itu, hah?”suara
Datin Kursiah sedikit meninggi.
“Kalau Datin tahu kenapa perlu berjumpa dengan
saya lagi? Saya pun tak perlukan orang seperti Ayim. Tak ada untungnya lagi
kepada saya.” balas Sofea sinis. Dia memang sengaja menyakitkan hati Datin
Kursiah. Biar Datin Kursiah tahu bahawa dia bukan wanita yang lemah. Baru buku
bertemu ruas.
“ Kau jangan hina Ayim. Kau kena ingat tanpa
dia kau bukan sesiapa sekarang ini. Mungkin sekarang kau masih lagi menjadi pelayan
kat kelab-kelab malam kalau Ayim tak kutip kau. Kau memang tak tahu bersyukur.”
Membulat mata Sofea mendengar kata-kata
daripada Datin Kursiah itu. Dahinya berkerut.
“Kau mesti terkejutkan mana aku dapat tahu
semua ini? Kau jangan salahkan Ayim sebab dia tak pernah cerita apa-apa pun kat
aku. Dia simpan rahsia kau baik-baik. Ruginya kau sebab menolak seorang lelaki
yang begitu setia kepada kau. Kau memang bodoh.” Datin Kursiah berketawa sinis
selepas melihat riak wajah Sofea yang kelihatan kelat itu.
“Kalau kau tak nak gambar-gambar kau tersebar
di muka hadapan suratkhabar, aku nak kau pergi berjumpa dengan Ayim esok. Kalau
tidak kau akan menyesal. Bukan setakat gambar-gambar kau semasa jadi pelayan
kelab dulu sahaja tersebar tapi mungkin kau akan kehilangan kerja kau sekarang.
Kau ingat tu.” ugut Datin Kursiah. Baru dia tahu siapa Datin Kursiah yang
sebenar. Nak sangat berlawan dengannyakan? Rasakan akibatnya.
“Errr…”
“Ingat tau. Aku tunggu kehadiran kau esok di
hospital.” Datin Kursiah bangkit daripada duduknya dan berkira-kira mahu
berlalu dari situ.
“Tapi buat apa saya perlu berjumpa dengan
Ayim?”soal Sofea tidak faham kenapa dia harus lagi bertemu dengan lelaki lumpuh
itu.
“Jangan risau. Aku tak akan suruh kau kembali
kepada Ayim. Aku cuma mahu kau berjumpa dengan Ayim dan beritahu alasan kau
terpaksa tinggalkan dia. Aku balik dulu. Aku tak suka membuang masa
bercakap dengan perempuan seperti kau. Ingat apa yang aku kata tadi. Jangan
pernah lari dari semua ini jika tak mahu malu.” pesan Datin Kursiah sekali lagi
sebelum melangkah meninggalkan Sofea yang masih lagi terpinga-pinga. Dia
mempunyai agenda selepas ini.
Sofea mengigit bibir. Dia tidak sangka Datin
Kursiah akan mengambil tindakan sejauh ini. Apa alasan yang perlu dia berikan
kepada Qayyim nanti?
***************
Sofea menolak pintu bilik yang menempatkan
Qayyim perlahan-lahan. Dadanya sudah berombak kencang. Risau dengan apa yang
bakal terjadi sebentar lagi. Selepas diugut semalam, Sofea tidak senang duduk.
Dia tahu yang Datin Kursiah sangat berpengaruh orangnya. Dalam sekelip mata dia
boleh kehilangan kerja dan dalam sekelip mata juga dia akan kehilangan
segala-galanya. Datin Kursiah orangnya nekad. Apa sahaja dia akan lakukan demi
kebahagiaan Qayyim dan anak-anaknya yang lain.
Datin Kursiah mengukirkan senyuman melihat
kehadiran Sofea. Wajah Qayyim dipandang sekilas sebelum bangun dari duduknya.
“Ayim, tengok siapa yang datang ni.” ujar
Datin Sofea beria-ria.
Qayyim tiada respon. Dia masih lagi dalam
dunianya. Selepas tersedar dari tidur pagi tadi, Qayyim menjadi murung. Dia
sudah tidak lagi mengamuk tetapi dia lebih suka termenung. Hari ini Datin
Kursiah langsung tidak mendengar suara Qayyim. Risau Datin Kursiah melihat
keadaan anaknya.
“Ayim…” seru Sofea selepas melihat isyarat
mata Datin Kursiah yang mahukan dia menjalankan tugasnya.
Qayyim mengalihkan pandangannya ke arah suara
yang bergema. Lantas wajahnya mengukirkan senyuman.
“Sayang…” panggil Qayyim. Dia cuba untuk
bangun tetapi dengan pantasnya Sofea menghalang. “Sofea pergi mana sayang?
Kenapa baru sekarang sayang datang melawat Ayim?”
Sofea mengukirkan senyuman lebar walaupun
hatinya begitu rimas dengan semua ini.
“I ada kerja, Ayim. I datang hari ini pun
sekejap sahaja.”ujar Sofea.
“Kerja apa yang sibuk sangat tu? Tak boleh
ke you luangkan masa untuk I buat seketika? I rindukan you. Please,
sayang…” rayu Qayyim kepada Sofea.
‘Mengada-ngada sangatlah orang cacat ni.
Kau ingat aku nak sangat ke datang sini? Kalau tak hanya kerana mama kau ugut
aku jangan harap aku datang. Tak sedar diri cacat.’ Gerutu Sofea di dalam
hatinya.
“I datang sini ada sebab Ayim dan I harap you
dapat terima semuanya dengan tenang.”
Qayyim berkerut dahinya. Dia menanti apa yang
ingin diperkatakan oleh Sofea. Hatinya sudah tidak tenang.
“Maksud you?” tanya Qayyim.
“Sebelum itu, I ingin minta maaf kepada you. I
sayangkan you. You adalah satu-satunya lelaki yang
sanggup menerima I apa adanya tapi dalam keadaan begini I terpaksa melakukan
satu keputusan yang akan mengecewakan hati you, Ayim. You bukan
untuk I.You berhak mendapat yang lebih baik lagi daripada I. I
harap you akan faham.” Sofea meredupkan pandangan matanya
kepada Qayyim.
“You bukan untuk I? Apa
maksud you ni, Sofea?” desak Qayyim yang sudah dapat berasa
sesuatu yang buruk akan berlaku. Qayyim mencari tangan Sofea lalu digenggam
erat.
Datin Kursiah yang duduk di sofa sambil
membaca majalah hanya memasang telinga. Kadang-kadang matanya menjeling melihat
agenda yang sedang berlaku di hadapannya ketika ini.
“Keluarga I memaksa I untuk membatalkan
pertunangan kita, Ayim. Mereka ada calon yang lebih sesuai untuk saya. Saya
harap awak faham.”
Qayyim jelas terkejut mendengar luahan Sofea
itu. Dia menarik kasar tangannya lalu wajah Sofea direnung tajam.
“Adakah semuanya disebabkan aku sudah cacat
keluarga kau nak putuskan pertunangan ini?” Suara Qayyim dingin. Dia kecewa
mendengar semua ini. Pastinya semua ini berlaku kerana dia lumpuh. Qayyim sudah
dapat mengagak dari awal lagi.
Sofea menggeleng. Wajahnya turut memain
peranan dengan mengadakan riaksedih dengan apa yang berlaku.
“Bukan sebab itu. Tapi…”
“Tapi sebab apa lagi? Sebab kau memang malu
apabila ada tunang macam akukan? Cacat dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Itu yang sebenarnyakan?” belum sempat Sofea membalas Qayyim terlebih dahulu
membidas cakapnya.
“ I bukan seperti itu, Ayim. Keluarga I
yang menyuruh putuskan pertunangan ini. Sebagai anak, I terpaksa ikut. I minta
maaf.” Tangan Qayyim dicari tetapi cepat-cepat ditarik.
“Kau memang tak tahu diuntung, Sofea. Inilah
perangai kau yang sebenar. Sanggup kau lukakan hati anak aku, Sofea. Kau
nikan….”Datin Kursiah menyampuk bagi menambahkan api kemarahan Qayyim. Dia
sengaja ingin membuatkan Qayyim membenci Sofea. Qayyim harus melupakan Sofea.
“Sudahlah. Pergilah kau dengan hidup kau. Aku
benci perempuan macam kau. Aku benci perempuan. Semua perempuan adalah sama
saja. Tak pernah nak hargai perasaan lelaki. Berambus kau dari sini! Berambus!”
jerit Qayyim sekuat hati. Hatinya kini sudah hancur. Orang yang paling dia
sayang, orang yang paling dia sanjung sanggup melakukan semua ini kepadanya.
Sungguh dia tidak sangka. Dia fikirkan Sofea tidak sama seperti perempuan lain
tetapi dia salah. Sofea sama saja dengan perempuan yang ada kat luar sana.
Senang didekati bila susah dijauhi.
Sofea lantas mengangkat punggungnya. Dia
memandang Datin Kursiah. Datin Kursiah menyuruhnya dia pergi dari situ.
Kerjanya sudah selesai. Sekarang ini Sofea kembali tenang dan senang hati. Dia
sudah tidak lagi terikat dengan lelaki lumpuh ini. Sofea tersenyum dalam
hatinya.
“Sofea!”panggil Datin Kursiah belum sempat
gadis itu melangkah keluar dari bilik. Dia berjalan mendekati Sofea.“Kau jangan
ingat kau dah lepas. Aku tahu apa yang kau dah buat kat anak aku.” bisik Datin
Kursiah di telinga Sofea perlahan. “Pergi kau dari sini. Kau tak layak untuk
anak aku.” Datin Kursiah lantas menolak badan Sofea supaya segera keluar dari
situ.
Sebaik sahaja Sofea hilang dari bilik itu
terus Datin Kursiah mendekati Qayyim yang sedang berteleku di atas katil. Hiba
melihat keadaan anaknya.
“Ayim, sabar Ayim. Tak guna Ayim menangis
untuk perempuan yang seperti itu. Ayim boleh mendapatkan perempuan yang lebih
baik lagi daripada Sofea tu. Sofea tu tak layak langsung untuk Ayim. Sabar
Ayim.” pujuk Datin Kursiah sambil mengurut belakang badan Qayyim cuba untuk
menenangkannya.
“Siapa lagi yang nak kat Ayim ni, mama? Tak
akan ada perempuan yang nak lelaki yang cacat macam Ayim ni.” rintih Qayyim.
Fikirannya asyik memikirkan tentang masa depannya. Masa depan yang dianggap
telah hancur.
“Pasti ada Ayim. Mama yakin.”
Qayyim menangis semahu-mahunya sambil
menarik-narik rambutnya.
“Ayim, jangan macam ni. Mana Ayim yang mama
kenal dulu? Mana Ayim yang sentiasa tabah dan kuat hadapi semua yang berlaku?
Mama nak anak mama yang dulu.”
Qayyim masih lagi dalam tangisannya. Dia bukan
lelaki yang kuat lagi sekarang. Baginya dia adalah selemah-lemah manusia
sekarang. Dia tidak tahu bagaimana dia nak meneruskan hidup pada masa hadapan.
Qayyim betul-betul buntu sekarang.
“Ayim, kita boleh buat Sofea menderita sepertimana
yang dia lakukan kepada Ayim sekarang ini. Mama tak akan biarkan Sofea hidup
senang sedangkan Ayim menderita. Ini tidak adil untuk Ayim. Kita perlu
lakukan sesuatu untuk memberi pengajaran kepada Sofea.”
Qayyim memandang wajah mamanya. Dia cuba
mencari maksud daripada kata Datin Kursiah tadi.
“Kenapa pandang mama seperti itu?”
“Maksud mama?” soal Qayyim.
Datin Kursiah tersenyum. Dia pasti anaknya
akan mendengar katanya dan turut serta dalam rancangannya untuk membalas dendam
kepada Sofea. Datin Kursiah tersangat yakin.
“Nanti mama beritahu Ayim. Sekarang ini mama
nak Ayim bertenang. Biarkan Sofea tu pergi. Dia tak layak untuk Ayim. Okey?”
Datin Kursiah menyuakan air minuman kepada Qayyim. Air itu disambut lalu
diteguk sedikit.
Qayyim mengangguk. Dia tidak perlu fikirkan
perempuan yang tak pernah memikirkan dirinya. Demi kepentingan diri sendiri,
dia didekati. Apabila sudah dapat apa yang diimpikan dirinya ditinggalkan
keseorangan. Memang dasar perempuan tak mengenang budi!
**************
Setelah hampir sebulan menjadi penghuni tetap
hospital, Qayyim telah dibenarkan pulang memandangkan keadaan kesihatan dirinya
yang sudah semakin pulih. Mengikut kata doktor Qayyim masih belum dibenarkan
pulang tetapi apabila Qayyim tetap berkeras, doktor terus membenarkan. Mereka
risau jika fikiran Qayyim akan kembali terganggu.
“Ayim, esok kamu mula bekerja ya? Kerja kat
pejabat bertimbun belum disiapkan.” ujar Datuk Qairi ketika mereka sedang
menikmati sarapan.
“Apa ni, abang? Ayim baru sahaja sembuh disuruh
ke pejabat pula. Tak prihatin langsung dengan keadaan anak.” marah Datin
Kursiah dengan arahan yang diberikan oleh Datuk Qairi itu.
“Ayim dah sihatkan. Lagipun dah lama sangat
dia bercuti. Tiba masanya untuk dia kembali ke pejabat. Duduk di rumah pun
bukannya boleh buat apa-apa. Baik pergi pejabat.”
“Abang nikan. Ayim tak sihat sepenuhnya lagi.
Tolonglah faham.” Sekali lagi Datin Kursiah membantah rancangan suaminya itu.
Qayyim hanya memasang telinga. Roti yang telah
disapu dengan mentega disuap ke mulut. Dia tidak berminat untuk menyampuk
perbualan itu. Papanya memang seorang yang hanya mementingkan diri sendiri. Dia
tidak kisahkan langsung tentang orang lain. Semua perlu ikut kehendak dia.
Pendapat orang lain selalunya ditolak tepi.
“Tak faham apa lagi? Kalau hanya duduk tak
buat apa-apa duit boleh masuk ke? Sudahlah kos hospital mahal lepas ini kos
rawatan untuk kaki dia pula kena bayar. Ingat semua itu free ke?
Duit tak akan boleh datang kat kita dengan duduk goyang kaki saja.” hambur
Datuk Qairi tegas. Tetap juga mahu Qayyim ke pejabat walaupun keadaan
kesihatannya yang masih tidak mengizinkan.
“Tapi sekurang-kurangnya bagilah Ayim berehat
secukupnya dulu. Dia masih lagi lemah, abang.” rayu Datin Kursiah. Dia tidak
rela membiarkan anaknya bekerja ketika ini. Qayyim masih lagi memerlukan rehat
bagi menstabilkan keadaan dirinya.
“Ayim nak bersendirian. Papa, kalau papa rasa
sepanjang Ayim bercuti ini syarikat boleh muflis, Ayim akan lepaskan jawatan
Ayim. Untuk Ayim bekerja sekarang, memang Ayim tidak boleh. Maafkan Ayim.” Ujar
Qayyim. Kerusi rodanya dipusing untuk meninggalkan meja makan itu. Dia sudah
tidak mahu fikirkan apa-apa lagi.
“Dasar anak tak kenang budi. Ayim!” bentak
Datuk Qairi kuat berang dengan perlian daripada anaknya itu. Nafasnya sudah
turun naik. Tangannya mula mengempal penumbuk.
Qayyim tidak mempedulikan jeritan papanya itu.
Orang gaji rumahnya diarah untuk terus menolak kerusi rodanya ke bilik. Fikirannya
yang kusut tidak mahu ditambah lagi.
“ Abang! Cuba kawal sikit diri tu. Ayim tengah
sakit. Janganlah ditambahkan rasa sakitnya lagi.”
“Budak cacat tu hanya menyusahkan aku saja.
Simpan pun tiada guna.” Datuk Qairi terus bangkit dari duduknya. Briefcase dicapai
lalu melangkah ke pintu. Geram dengan tindakan Qayyim itu.
Datin Kursiah hanya menggelengkan kepalanya.
Hatinya turut berasa sakit mendengar perkataan yang terkeluar dari mulut
suaminya itu.
Air mata Qayyim mengalir lagi. Kata-kata papanya
menampar gegendang telinganya. Hatinya sakit. Tapi
apakan daya. Itulah kenyataannya. Qayyim
redha.
BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment