Thursday, January 29, 2015

KEAJAIBAN CINTA BAB 4

Bab 4

Kereta Qayyim berhenti di hadapan pintu pagar rumah Qaseh. Kelihatan Zizie sedang menunggunya di atas buaian. Mungkin sahabatnya itu risau kerana pulang lewat. Pintu kereta dibuka dan Qaseh terus melangkah keluar dari kereta BMW 5 series itu.

“Ini rumah kau ke?” tanya Qayyim dengan soalan yang kurang bijak dari dalam keretanya.

Qaseh mengangguk. Kalau bukan rumahnya tak akanlah dia nak turun kat sini.

“Kecilnya.” Qayyim mengutuk.

Qaseh menjengilkan matanya lalu pinggangnya dicekak. Sedapnya mulut dia berkata rumah aku kecil. Mentang-mentanglah anak orang kaya, boleh pula dia mengutuk rumah aku. Dengus hati kecil Qaseh.

“Siapa ni, Qas?” Zizie yang datang dari belakang terus menyoal. Dia tersenyum kepada Qayyim dan lelaki itu membalas.

“Kawan awak ni bakal menjadi peneman saya.” Qayyim menjawab terlebih dahulu belum sempat Qaseh menjawab.

Zizie berkerut dahinya. Dia memeluk bahu Qaseh yang sedang berpeluk tubuh itu.

“Maksud awak?” tanya Zizie sambil menjongketkan kening kanannya.

“Aku nak berhenti kerja dan jadi orang gaji lelaki sengal ni.” Qaseh menyampuk. Dia membalas geram. Zizie ni banyak soalan pula.

Zizie menggaru kepalanya pula. Dia memandang sahabatnya di sebelah. Masih lagi samar-samar dalam situasi sebenar.

“Nanti aku cerita kat kau. Encik Sengal, sekarang ni kau dah tengok rumah aku dahkan? Jadi sekarang bolehlah Encik Sengal balik. Nanti bila saya bersedia saya beritahu wahai Encik Sengal!” Qaseh melangkah masuk meninggalkan Zizie dan Qayyim yang tersenyum menyeget itu.

“Kawan awak tu memang macam tu ke?” soal Qayyim kepada Zizie yang masih lagi tercegat di situ.

Zizie mengangguk sambil tersengih seperti kerang busuk. Dia terus memandang muka Qayyim. Kacak. Tapi yang menjadi kemusykilannya adalah tentang yang diberitahu oleh Qaseh tadi. Dia tidak sabar untuk mengetahui cerita sebenar.

“Baiklah. Saya balik dulu. Nanti pesan kat kawan awak yang bernama Minah Kepo tu jangan cuba nak melarikan diri kalau tak nak susah. Okey? Bye.” pesan lelaki itu sebelum cermin tingkap keretanya dinaikkan. Deruman kereta Qayyim mula meninggalkan kawasan rumah Qaseh.

“Minah Kepo? Gelaran baru Qas ke?” Zizie masih lagi dalam pelik dengan semua ini. Dia lantas menutup pagar rumahnya lalu berlari anak menuju ke dalam rumah. Dia pun nak juga jadi minah kepo.

“Dah balik dah lelaki sengal tu?” soal Qaseh sebaik sahaja Zizie melangkah masuk ke dalam rumah.

Zizie tidak menjawab. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Qaseh. Wajah Qaseh dipandang. Namun Qaseh tidak mengendahkan pandangan itu. Mata Qaseh terus melekat pada skrin televisyen yang sedang menayangkan cerita animasi Boboiboy itu.

“Qas!” panggil Zizie sedikit meninggi suaranya.

Qaseh mengangkat kening. Dia terus menatap skrin televisyen. Hatinya sudah tersenyum melihat Zizie yang sedikit berang dengannya apabila tidak diendahkan.

“Qaseh Zulaikha!”sekali lagi Zizie memanggil Qaseh. Kali ini dengan nama penuh pula.

Qaseh tetap sama. Tidak langsung menghiraukan panggilan Zizie.

“Qas sayang, cepatlah cerita kat aku. Kau saja nak mengelaklah tu.” Zizie merengek lalu tubuh Qas digoyang. Kepala Zizie diletakkan di atas bahu sahabatnya itu.

“Cerita apa pula ni?” tanya Qaseh buat-buat tidak faham dengan soalan yang dilontarkan oleh Zizie.

“Qas, kau jangan buat-buat tak tahu pula. Kalau kau tak nak cerita aku tak nak teman kau tidur dah.”ugut Zizie. Sengaja Zizie membuat ugutan seperti itu kerana Qaseh seorang yang sangat penakut. Bunyi anjing menyalak pun menangis tersedu-sedu akibat terlalu takut. Sebab itulah Qaseh dan Zizie mereka tidur sekali. Satu katil dan satu bilik.

Qaseh menarik hidung Zizie. Geramnya dengan Zizie ni. Sikit-sikit ugut.

“Mulalah tu main ugut-ugut.”

Of course.”jawab Zizie cepat.

Qaseh mengalihkan badannya mengadap Zizie. Dia perlukan pendapat daripada Zizie. Zizie boleh menolongnya untuk membuat keputusan.

“Aku dipaksa dan aku terpaksa untuk menjadi orang gaji lelaki sengal tu.”

Zizie berkerut dahinya.

“Kenapa?”

Qaseh mengambil alat kawalan jauh lalu memperlahankan sedikit suara televisyennya itu supaya tidak menganggu perbualan mereka berdua.

“Lelaki sengal tadi tu dia nak bunuh diri.”

“Hah?” Zizie terkejut. Dia beristifar. Muka kacak tapi nak bunuh diri? Pasti kes putus cinta ni.

“Lepas itu aku nak pergi tolong dia. Dia marah aku balik. Dia kata aku minah kepo kerana sibuk pergi selamatkan dia. Dia nak saman aku.” Qaseh masih lagi tenang menceritakan detik pertemuan mereka tadi.
Zizie menggaru kepalanya. Mukanya berkerut seribu. Qaseh tergelak kecil melihat wajah sahabat baiknya itu.

“Janganlah buat muka macam tu. Hodoh.” usik Qaseh menggosok muka Zizie supaya kembali kepada wajah biasa. Geli hati dia melihat muka sahabatnya yang berkerut tidak faham dengan apa yang diberitahu olehnya tadi.

“Kerana kau nak selamatkan dia, dia saman kau? Kenapa pula macam tu? Kerja gila ni.”

Qaseh ketawa kecil. Kepalanya dianggukkan. Mestilah kerja gila. Tiba-tiba sahaja nak menyaman dia tanpa sebab yang kukuh.

“Dia kata aku memfitnah dia dengan membuat tuduhan yang dia nak bunuh diri. Aku bantah tapi dia tu sengal. Selalu saja ada jawapan daripada dia. Geram betul aku.” Qaseh berkata geram. Terbayang-bayang di kotak fikirannya pertemuan petang tadi. Kalau lihat pada muka memang kacak dan nampak sangat sempurna tapi bila tahu sikapnya. Nauzubillah. Sangat menyakitkan hati.

“Lepas itu? Macam mana pula kau boleh setuju jadi orang gaji dia?” Zizie ternyata sangat tidak sabar untuk mengetahui seluruh cerita daripada Qaseh itu. Dia memang penyibuk sikit. Lebih kurang sibuknya seperti Qaseh. Memang sesuai mereka menjadi sahabat baik.

“Sengal tu tak boleh berjalan. Dia lumpuh.”

“Ha? Lumpuh?” Zizie menyampuk lagi.

Qaseh mengetap bibir. Dia menekup mulut Zizie dengan tangannya.

“Kalau kau asyik menyampuk macam mana aku nak cerita. Kau ni sama juga macam si sengal tu.” marah Qaseh.

Zizie meronta-ronta minta Qaseh melepaskan tekupan di mulutnya tapi Qaseh menggeleng. Kalau Zizie terus menyampuk dia akan mengambil keputusan untuk tidak bercerita lagi. Dia tak suka bila dia bercakap ada orang lain yang bercakap juga. Tak pasal nanti angin monsun dia menyerang.

“Aku janji.” Zizie mengangkat tangannya berjanji tidak akan menyampuk lagi percakapan Qaseh.
Qaseh tersenyum dan barulah dilepaskan tekupan itu. Dia membetulkan duduknya semula. Suaranya berdehem beberapa kali untuk memastikan dia lancar untuk bercerita.

“Dia perlukan teman katanya. Sejak dia lumpuh ni semua orang tak mahu kawan dengan dia hanya sebab dia lumpuh. Sebab tu dia nak aku jadi kawan dia atau lebih tepat penjaga dia. Dia tawarkan untuk tanggung semua perbelanjaan aku dan adik-adik aku.” Qaseh menarik nafas dalam sebelum dihembuskan perlahan-lahan.

“Baguslah. Jadi kau terima?”

Qaseh mencubit paha kiri Zizie. Zizie telah melanggar janjinya.

“Tak mahu ceritalah macam ni.”ugut Qaseh lalu berpeluk tubuh. Kakinya yang sedang bersila di atas sofa diturunkan dan pandangan matanya dihalakan ke skrin televisyen semula. Geram sungguh dengan Zizie.

“Okey, maafkan aku. Aku janji tak menyampuk dah lepas ini.” Zizie menarik badan Qaseh supaya memandangnya semula. Wajahnya sedih cuba memohon simpati daripada Qaseh.

“Kau tahukan orang yang suka mungkir janji adalah orang munafik. Kau nak ke jadi munafik? Biarlah aku cerita sampai habis dulu. Barulah kau tanya apa yang nak ditanya.”

“Ala sayang, maafkan aku okey? Aku silap.”

“Okey. Last warning tau.”

Zizie mengangguk. Bibirnya mengukirkan senyuman manja selepas Qaseh sudi menerima maafnya.

“Aku terima sebab aku terfikirkan kata-kata kau tadi. Sampai bilakan aku akan terus hidup dengan kerja aku sekarang. Tambahan pula adik-adik aku tengah belajar. Mesti tak berkat apa yang mereka pelajari selama ini kerana mendapat sumber duit yang kurang berkat juga. Aku minta dia berikan aku masa untuk aku fikirkan semua ini. Sekarang ni kau nak tanya apa? Tanyalah. Kaunter pertanyaan telah dibuka.” Qaseh memberi keizinan kepada Zizie selepas semuanya habis bercerita.

“Kasihankan… Muka handsome tapi lumpuh.” keluh Zizie.

“Muka handsome tapi mulut laser gila. Ada dia panggil aku Minah Kepo. Macamlah tak ada nama lain.”

Zizie ketawa kecil. Baru dia teringat yang tadi lelaki itu ada suruh dia berpesan kepada Qaseh sesuatu.

“Patutlah dia suruh aku pesan kat kau jangan lari kalau tak nak menyesal. Nama dia apa, Qas?”

Qaseh menjongketkan kedua-dua belah bahunya. Ya tak ya juga. Mereka bertengkar sampai tak sempat tanya nama masing-masing. Qaseh tersenyum dalam hatinya. Bagaimanalah dia nak menjaga lagi cerewet tadi tu? Pasti sakit jiwakan. Kepalanya digelengkan beberapa kali.

“Tak tahu? Dia tahu nama kau tak?”

“Tak tahu juga.”jawab Qaseh ringkas.

“Patutlah kau panggil dia lelaki sengal dan dia panggil kau minah kepo. Memang sesuai sangatlah.”

“Pendapat kau macam mana? Patut tak aku terima?” Qaseh cuba meminta pendapat Zizie.

Zizie lantas mengangguk. Jauh dari dasar hati sememangnya dia tidak gemar dengan pekerjaan Qaseh sekarang. Sudahlah terpaksa korbankan waktu tidur malam ditambah pula terpaksa melayan karenah manusia yang secara tidak langsung mendapat dosa besar. Zizie ingin menolong Qaseh tetapi Zizie juga dibantu oleh orang lain. Kalau  tidak sudah lama Zizie mengheret Qaseh keluar dari semua itu. Dia sayangkan Qaseh seperti keluarganya sendiri.

“ Jadi kau setujulah ni?” Qaseh menyoal selepas hanya mendapat jawapan daripada anggukan kecil Zizie.

“ Aku tersangat setuju. Aku rasa sudah tiba masanya kau keluar dari semua ini. Kau perlu mulakan hidup 
yang baru.”

Qaseh tersenyum. Dia menarik badan Zizie lalu dipeluk erat. Sahabatnya inilah satu-satunya tempat dia mengadu nasib. Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan Zizie yang sangat baik hati ini. Sudah banyak pertolongan yang dihulurkan oleh Zizie kepadanya tetapi sampai sekarang dia masih belum mampu untuk membalasnya. Tapi Qaseh berazam suatu hari nanti dia akan cuba membalasnya juga. Pasti!

“Kaulah sahabat aku dunia akhirat, Zie. Aku sayang kau.” ucap Qaseh dengan nada suara yang perlahan.

“Maaf, aku bukan lesbian nak bersayang-sayang.” Zizie berseloroh. Dia melepaskan pelukan daripada Qaseh itu.

Kepala Zizie diketuk oleh Qaseh. Zizie mula menarik muka dan kepalanya digosok bagi menghilangkan rasa sakit.

“Bongoklah kau ni. Aku nak naik atas dulu. Nak mandi dan bersiap pergi kerja.”ujar Qaseh lalu mengangkat punggungnya dari sofa.

“Qasha macam mana, Qas? Dia benarkan ke kau kerja kat situ?” soalan daripada Zizie itu menghentikan langkah Qaseh. Baru dia teringat kepada buah hatinya itu.

“Tak apalah. Nanti aku pujuk dia. Mesti dia faham kot.”

“Harap-harap begitulah. Jangan lupa beritahu pula. Kang dia mengamuk baru kau tahu.”

“Okey.”

Zizie tersenyum. Dia bersyukur kerana dia yakin dan pasti ada sinar baru untuk Qaseh selepas ini. Mungkin ada hikmah apa yang bakal terjadi kerana Allah itu Maha Adil.

****************

Qayyim mengambil angin di balkoni rumahnya. Angin yang sepoi-sepoi bahasa dan bintang yang berkelip-kelip di angkasa membuatkan hatinya tenang. Leteran daripada papanya tadi dibiarkan berlalu dibawa angin. Dia tidak mahu terlalu memikirkan kata-kata kesat yang sering keluar dari mulut Datuk Qairi itu. Nanti makin sakit jiwanya.

Tiba-tiba fikirannya  terbayangkan gadis yang tidak sengaja ditemui petang tadi. Dia tersenyum sendiri apabila teringatkan muka marah dan tidak puas hati gadis yang digelar minah kepo olehnya itu. Sungguh lucu mukanya. Qayyim tergelak kecil.

“Anak mama ni tersenyum seorang diri ni ada apa-apa ke?”

 Datin Kursiah yang datang dari arah belakang terus menyapa anaknya. Pelik apabila dia melangkah masuk tadi dia mendengar suara ketawa anaknya itu kerana selama dia lumpuh ini belum pernah Datin Kursiah melihat anaknya tersenyum. Rasanya ada sesuatu yang membuatkan hati anaknya ini gembira.

Qayyim tersentak lalu senyumannya mati. Kepalanya digelengkan laju. Matanya terus dihalakan ke langit sambil mengira bintang yang bertaburan indah di atas sana.

“Ayim, mama dah jumpa pembantu untuk Ayim.” ujar Datin Kursiah lembut. Kerusi meja yang diletakkan di atas balkoni itu ditarik sebelum melabuhkan punggungnya.

“Tak perlu, mama. Ayim dah jumpa orangnya.” Qayyim menolak lembut.

“Yeke? Siapa dia? Lelaki ke perempuan? Ayim jumpa kat mana?” soal Datin Kursiah bertubi-tubi yang sedikit terkejut dengan kenyataan anaknya itu.

“Perempuan. Ayim jumpa di taman tadi dan dia bersetuju untuk jadi penjaga Ayim.”

“Ayim kenal dia ke?”

Qayyim menggeleng. Tangannya bermain dengan bucu kain yang menyelimuti dari pinggangnya hingga ke kaki.

“Ayim tak boleh sebarangan memilih orang macam tu saja. Entah-entah dia jahat ke mana Ayim tahu. Mama tak setuju.” tegas kata Datin Kursiah.

Muka mamanya dipandang dengan pandangan yang redup. Tangan Datin Kursiah dicapai lalu dicium.

“Mama, Ayim yakin dia baik mama. Sebenarnya dia tak nak pun jadi penjaga Ayim tapi Ayim paksa dia juga. Ayim rasa dia yang layak untuk jadi kawan Ayim nanti. Pleasemama. Tolong setuju.” Qayyim merayu. Dia rasa inilah keputusan yang betul dan baik untuknya.

“Macam mana boleh kenal dengan dia?”

“Ayim menjerit tadi. Dia ingat Ayim nak bunuh diri. Dia pergi tolong. Hati Ayim yakin sangat dia baik. Kalau mama tak percaya kita berikan dia tempoh percubaan untuk dia dulu. Kalau dia tak boleh jaga Ayim, Ayim rela mama carikan orang lain. Mama sayang Ayimkan?”sekali lagi Qayyim cuba memujuk mamanya.

Datin Kursiah mengeluh panjang. Sukar dia untuk membuat keputusan. Dia mahukan yang terbaik untuk anaknya. Dia tak mahu ada orang lain yang menyakiti hati Qayyim lagi. Cukuplah Sofea dan suaminya sahaja. Qayyim perlukan seorang penjaga dan juga kawan yang boleh memulihkan semangatnya yang telah hilang sejak dia disahkan lumpuh. Datin Kursiah nak mencari yang ikhlas menjaga anaknya. Bukannya hanya memandang pada bayaran yang ditawarkan.

“Bolehlah mama.” desak Qayyim setelah melihat Datin Kursiah hanya mendiamkan diri tanpa memberi jawapan.

“Tapi yang mama carikan ni adalah jururawat. Dia juga boleh jadi pakar terapi untuk kaki Ayim nanti.” pujuk Datin Kursiah.

“Tak nak. Kalau mama tak setuju, Ayim tak nak terima sesiapapun. Biarkan Ayim keseorangan seperti ini.” Qayyim cuba mengugut mamanya dengan harapan permintaannya akan dipersetujui oleh Datin Kurisah.

“Baiklah tapi mama akan test dia dahulu. Boleh?” Datin Kursiah memberi kata putus.
Qayyim mengangkat muka. Bibirnya merekah mengukirkan senyuman kegembiraan. Tubuh mamanya dipeluk erat. Mamanya memang seorang yang sangat memahami.

“Terima kasih mama. Ayim setuju. Mama buatlah test tapi jangan sampai dia lari pula.” pesan Qayyim kepada mamanya masih lagi tersenyum.

Datin Kursiah mengangguk. Lega hatinya melihat senyuman yang terukir di bibir anaknya yang selama ini hanya muram sahaja. Datin Kursiah dapat rasakan yang gadis itu sangat istimewa. Kalau tidak tak akanlah anaknya beria-ria menyuruhnya bersetuju. Dia faham sangat dengan Qayyim tu. Jiwanya keras seperti papanya juga. Tidak mudah mempercayai orang lain.

Gadis itu harus disiasat terlebih dahulu. Dia tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju. Mungkin gadis itu hanya mengambil kesempatan atas Qayyim sepertimana Sofea lakukan sebelum ini. Datin Kursiah akan menyiasat.

***********

Telefon bimbit Qaseh berdering. Qaseh yang sedang bersolek lantas mencapai lalu skrin telefon bimbitnya dipandang. Qaseh mengigit bibir. Pasti lelaki itu marah kerana sejak dari siang tadi lagi panggilannya tidak berjawab.

“Hello…” ucap Qaseh berhati-hati.

“Baru nak jawab call? Tadi pergi mana?”soal Aqasha. Suaranya sudah meninggi.

“I teman Zizie pergi bersenam. Telefon I tertinggal kat rumah.” Qaseh berbohong. Padahal sengaja dia tidak menjawab panggilan daripada lelaki itu kerana tidak mahu mengganggu perbualan dia dengan Zizie tadi.

“Dah tu tak boleh nak telefon balik ke?”

“I minta maaf, okey? I silap.”

“I risau tahu tak? Kenapalah you ni suka sangat buat I susah hati?”

“ Maaflah. Nanti malam kita jumpa ya. I nak beritahu you something.” Qaseh meredakan rasa marah Aqasha.

“Beritahu apa?”

“Tak boleh berbincang dalam telefon. Malam nanti you datang tempat kerja I tak?

“Nanti I datang. You jangan nak melebih-lebih pula nanti. Jangan nak melayan sangat pelanggan you tu. 
Pegang pun jangan lebih-lebih pula.”

“Okey. Malam nanti kita jumpa. I nak bergerak pergi kerja dah ni.”gesa Qaseh. Cemburu tak habis-habis.

“Ingat tu. Take care.”

“Baik!”

Qaseh terus mematikan panggilan. Dia segera mencapai beg tangannya lalu melangkah keluar dari bilik. Dia sudah lewat untuk pergi kerja. 



bersambung......

No comments: