Bab
16
Azan Subuh berkumandang mengejutkan Qaseh dari
lena yang panjang. Dia bangun lalu menenyehkan matanya. Telefon bimbit di atas
meja diambil untuk melihat waktu.
“Abah, Qaseh minta maaf.”ujar Qaseh perlahan.
Air matanya jatuh lagi. Saat dia membuka mata, fikirannya terus terfikirkan
tentang abahnya. Rasa dosa yang teramat terhadap abahnya tidak mampu dipadam
begitu sahaja walaupun Harris berulang kali menyakinkan dia bahawa Rasyid sudah
memaafkan dirinya. Qaseh terus dibayangi dosa lalu yang dilakukan olehnya
sehingga abahnya bertindak menghalaunya ketika dahulu. Qaseh teresak-esak.
“Kakak!”kedengaran suara Harris dari luar yang
mengetuk pintunya. Qaseh mengelap air matanya. Dia bangun lalu membukakan
pintu.
“Solat?” Harris bertanya.
Qaseh menunduk. Sudah lama dia meninggalkan
perkara yang menjadi kewajipan sebagai seorang Islam. Sejak dia menjadi pelayan
kelab malam sekalipun dahi ini tidak pernah mencecah sejadah sehinggalah hari
ini. Banyaknya dosa yang telah dia lakukan. Sedangkan dulu, abah dan
maknya sudah cukup memberikan mereka semua didikan agama namun itu langsung
tidak pernah dipraktikan di dalam kehidupan mereka. Malah mereka menjadi
seorang manusia yang banyak melakukan kemungkaran diatas muka bumi ini.
“Solat ya…”Harris yang faham tindak tanduk
kakaknya mula memujuk. Dia tahu Qaseh sudah berubah
“Tapi ALLAH masih terima ke solat kakak ni,
Harris?”
Harris mengukirkan senyuman nipis. Bahu Qaseh
dipegang.
“Itu antara kakak dengan ALLAH.
Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Kakak patut
bersyukur tau yang ALLAH masih lagi beri peluang untuk kakak bertaubat.
Kakak percayalah cakap Harris, bila kakak solat pasti kakak akan menemui satu
ketenangan yang luar biasa. Terima atau tidak itu hak ALLAH. Kita sebagai
hamba kena terus berusaha untuk mendekatkan diri kita dengan DIA.”
“Tapi kakak malu dengan ALLAH. Kakak malu
sangat.”
“Kakak, seluas-luas pintu adalah pintu taubat.
Tiada manusia yang tak lakukan kesilapan. Semua orang ada kisah silam.
Kembalilah pada ALLAH, kakak. DIA rindukan kakak sebab tu dia berikan ujian
kepada kakak. Cepat bersiap yea. Harris tunggu kakak.” Harris mengukirkan
senyuman lalu melangkah pergi meninggalkan Qaseh yang masih lagi diselubungi
rasa berdosa dan bersalah.
Malunya dia pada ALLAH.
****************
Qaseh menyediakan sarapan pagi itu sambil
ditemani oleh Harris. Harris memang seorang yang ringan tulang. Dulu
ketika abah masih ada, dialah yang menyediakan segala keperluan mereka. Sebelum
dia pergi kelas, Harris akan menyediakan sarapan dan pada waktu tengah hari
pula sama ada dia akan masak atau membeli makanan di luar. Kepergian abahnya
sangat memberi impak yang besar buat Harris. Kini tiada lagi teman dia untuk
bercerita.
“Kakak….”seru Harris lembut sambil mengelap
pinggan. Qaseh yang sedang menggoreng bihun menoleh memandan adik lelakinya.
“Kakak balik teruskan ni?”soal Harris. Wajah
Qaseh dipandang sayu..
Qaseh mengukirkan senyuman. Dia memang
berhasrat untuk terus tinggal di kampung sahaja. Dia sebagai kakak sulung harus
mengambil alih tugas yang dipikul oleh abahnya dulu dalam menjaga adik-adik
serta rumah peninggalan arwah.
“Ya, Harris. Memang kakak balik terus.”jawapan
Qaseh membuatkan Harris tersenyum lebar. Lega mendengar kata putus
daripada Qaseh itu.
“Biar Harris kerja. Kakak duduk rumah saja
tau.” Harris beria-ria. Gembira.
“Eh, mana boleh macam tu. Hang tu masih
belajar. Jangan nak gatal nak bekerja pulak. Itu Harris tak payah risau. Kakak
akan cari kerja nanti.”Qaseh menghalang. Dia nak Harris menumpukan perhatian
terhadap pelajaran. Lagipun sudah menjadi tanggungjawab dia untuk menyara
kehidupan adik-adiknya.
“Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi. Jangan degil dengan
kakak.”pangkas Qaseh sebelum sempat Harris meneruskan bicaranya bagi memujuk
Qaseh membenarkan dia untuk bekerja.
Harris menarik muncung. Qaseh mengerling
sekilas melihat wajah Harris yang sudah masam mencuka. Tersenyum dia. Harris
memang adik yang manja dan mendengar kata. Sikapnya itu membuatkan dia
disayangi oleh arwah abah.Abah… rindunya kat abah. Hati Qaseh mula diundang
pilu.
“Kakak, abang Ayim tu baiklah.”Harris memuji
lelaki yang diperkenalkan oleh Qaseh sebagai majikannya. Semalam mereka berbual
panjang. Dia sangat kagum dengan semangat yang ada pada Qayyim. Dia bangkit
setelah hampir jatuh tersungkur.
“Abang Ayim?” Qaseh tergelak kecil. Pelik
bebenar bunyinya tu. Rasa loya tekak apabila mendengar panggilan yang dipanggil
oleh Harris.
“Awat gelak?”Harris kehairanan.
“Hang tak payah nak poyo sangat panggil dia
abang Ayim. Geli tekak kakak mendengarnya.” Qaseh tergelak lagi.
“Ehem! Seronok mengutuk aku nampak.”
Qayyim yang entah bila berada di situ terus menyampuk.
Harris dan Qaseh menoleh memandang Qayyim.
Lelaki itu nampak begitu serius.
“Abang Ayim. Jemput makan.”
Harris cuba bermesra. Dia bangun dari duduknya lalu menolak kerusi
roda Qayyim menghampiri meja makan. Air kopi dituangkan buat Qayyim.
Qaseh meneruskan kerjanya. Api ditutup
lalu bihun dicedukkan ke dalam mangkuk untuk dihidangkan. Selepas semuanya
selesai, Qaseh menarik kerusi untuk duduk bersebelahan dengan Harris. Harris
sudah pun mencedukkan bihun goreng ke dalam pinggan Qaseh dan juga Qayyim. Tinggal
untuk dijamah sahaja. Qaseh memandang Qayyim sekilas.
“Allah, aku lupa!” Qaseh menepuk dahinya.
“Lupa apa?” Harris bertanya.
Qaseh bangun dari duduknya. “ Lupa buatkan
milo untuk abang Ayim hang ni. Dia tak minum kopi. Takut kulit gelap.”
Qaseh menghilang ke dapur menjalankan tugasnya.
“Alhamdulillah, Harris tengok kakak dah mula
boleh terima kenyataan.” Harris bersuara perubahan yang
dia nampak di wajah Qaseh. Gadis itu tidak lagi terus menyalahkan diri
serta membangkitkan segala apa yang telah dia lakukan dulu.
“Jangan risau. Abang akan jaga dia dengan
baik.”
Harris menoleh memandang Qayyim di sebelah.
“Tapi kakak dah nak terus tinggal di kampung.
Dia cakap nak cari kerja di sini.”
Qayyim tersentak. Jadi betullah tujuan sebenar
minah nak balik ke kampung adalah nak melarikan diri daripada aku. Nasib baik
aku sedar awal. Tapi macam mana nak paksa dia balik? Kalau aku paksa sekarang
mahu mulut dia yang berpuaka tu tuduh aku tak prihatin dengan keadaan dia.
Macam mana ni?
“Abang beri dia ruang untuk menikmati
ketenangan. Nanti abang akan datang jemput dia balik. Abang nak
Harris juga ikut sama nanti.” Qayyim mengukirkan senyuman yang penuh dengan isi
yang tersirat.
‘Kau hadir selepas Sofea. Tak mudah untuk aku
lepaskan kau begitu sahaja, Minah.’
*******************
“Qasha, kejap lagi I ada appointment dengan
doktor. Pukul 2.00 petang. Kandungan I dah masuk 7 bulan. Tak sangka cepat
sangat.” Syarina mengingatkan Aqasha lagi walaupun sudah beberapa kali
diingatkan. Tangan mengurut perutnya.
“ Hmm..” hanya itu yang respon daripada
Aqasha. Dia masih lagi melekat pada Note 2. Entah apa yang lelaki itu sedang
lakukan.
“You ni asyik dengan telefon aje pun dari
tadi. Ada masalah ke?”
Aqasha menggeleng. Tidak berminat untuk
berkongsi dengan sesiapa.
“You jangan nak bohong I. I
tahu you ada masalah.”Syarina tidak berputus asa.
“Tak ada kena mengenalah dengan you.”balas
Aqasha.
“Tak nak kongsi dengan I ke, Qasha? Selalunya
kalau you ada masalah tak pernah you berahsia
apa-apa dari I. Apa yang buat you nampak macambadmood sangat
ni?”
“I nak kekasih I balik.”jawab Aqasha pendek.
“Dia pergi mana? I ingat selama ni you tak ada
kekasih. Tak pernah pula you ceritakan semua ni kat I.”
Aqasha mengeluh hampa. Nombor telefon
Qaseh cuba dihubungi beberapa kali namun tiada dalam perkhidmatan.
Dia mungkin berada di luar kawasan ataupun sudah menukar nombor baru, Aqasha
tak pasti. Tapi apa yang pasti, nombor itulah yang diberikan oleh setiausaha
Qayyim ketika dia datang ke syarikat Qayyim. Sahabat baiknya juga tiada di
pejabat. Dikhabarkan sudah dua hari Qayyim tidak masuk kerja. Dimanakah mereka
sekarang?
“I tak tahulah apa salah I sampai
dia tinggalkan I. I jujur sangat sayangkan dia.”
“Tak perlulah nak kecewa macam ni sekali.
Kalau dia dah tak nak buat apa diharapkan lagi. You tak perlulah terhegeh-hegeh
meraih cinta macam tu sekali. I kan ada.” Syarina memberi pendapatnya. Sungguh,
lelaki di hadapannya ini berkedudukan. Ramai lagi perempuan lain yang
berebut-rebut nak jadi teman buat Aqasha. Termasuklah dirinya.
“You tak faham.”bentak Aqasha. Dia langsung
tidak setuju dengan cara Syarina.
“Siapa dia?” soal Syarina.
“Qaseh Zulaikha. Kenapa?” Aqasha menjongketkan
kening kirinya.
“Kerja apa?”
Aqasha diam. Tak perlu Syarina tahu pekerjaan
Qaseh. Dia tidak mahu kekasihnya itu dipandang rendah.
“Dah!
Jom gerak. Nanti jalan sesak, lambat pulak sampai hospital.” Aqasha
mengalih topic. Nanti kalau dilayan berderet pula soalan yang perlu dia
jawab.
****************
Qaseh duduk sambil kakinya direndamkan ke
dalam air sungai belakang rumah yang sangat sejuk. Menikmati angin petang yang
sepoi-sepoi mendamaikan jiwanya. Tempat inilah tempat dia membesar dulu. Tempat
dia bermain dan tempat mereka sekeluarga berkumpul. Dia sangat merindui suasana
dulu yang kini hanyalah tinggal satu memori yang sukar untuk dilupakan. Bersama
mak, abah serta adik-adik.
“Abah, mak…maafkan kakak kerana tak dapat
menjadi anak yang baik untuk mak dan abah. Kakak gagal…” Air mata Qaseh mula
terbit lagi. Setiap ketika, fikirannya asyik teringatkan arwah kedua-dua
ibubapanya. Dosanya begitu banyak. Tidak mudah untuk dia lupakan begitu sahaja.
“Hidup ni tak selalunya indah. Setiap kisah
kita di dunia ni pasti ada pasangannya. Tak selalunya kita akan gembira tanpa
kesedihan dan tak selamanya kita sedih tanpa kegembiraan. Itu baru dinamakan
kehidupan. Macam kitalah. Di mana ada minah di situ ada sengal.”satu suara
mengejutkan Qaseh. Kepalanya pantas menoleh. Sedikit kagum dengan kata-kata
yang dilontarkan.
“Kisah silam aku dulu buruk. Sampai aku
sendiri malu dengan diri sendiri.”luah Qaseh.
“Kau bukan tak pakai baju nak
malu-malu.”Qayyim berseloroh walaupun wajahnya serius. Dia tidak suka melihat
Qaseh terus dilanda kesedihan seperti ini. Hati dia turut merasakan yang
sama. Aku rindu nak tengok kau senyum.
“Kau ni bukan nak membantu. Benci betullah aku
dengan kau ni.” Qaseh merengus geram. Tak prihatin langsung dengan keadaan aku.
Bukannya nak pujuk ke apa. Dok buat lawak bodoh pula.
“Kau sayang akukan? Aku tahu.”
Qaseh menjeling. Mulutnya muncung ke hadapan.
Protes konon. Tolonglah nak sayang lelaki macam kau. KLCC runtuh terbina balik
pun belum tentu aku akan sayang kau!
“Muncung ikan keli cantik lagi daripada
muncung kau tu.”Qayyim mengusik lagi. Sengaja nak buat gadis itu lupakan
tentang kesedihan dia untuk seketika.
“Eeee… sakit jiwa! Kau ni tak reti-reti nak
balik rumah kau ke? Aku muaklah tengok muka kau.”balas Qaseh. Geram!
“Aku tak akan balik selagi kau tak ikut aku
balik.”Qayyim memberi kata putus. Baru kau tahu. Kau ingat senang aku nak pergi
macam tu saja? Memang taklah!
Mata Qaseh membulat mendengar perkataan yang
seolah berbaur ugutan itu dari mulut Qayyim. Ini tak boleh jadi. Aku kena halau
dia balik juga. Tak boleh! Tak boleh!
“Aku nak berhenti kerja. Kau pergilah balik.
Tak elok kita duduk satu rumah. Kita bukan muhrim dan nanti apa pula kata orang
kampung. Dahlah sejarah aku buruk. Tak akan kau nak tambahkan lagi.”
“Kisah apa aku. Suka hatilah orang kampung nak
cakap apapun. Mulut orang mana boleh tutup.”balas Qayyim menambahkan rasa sakit
dan sebal di hati Qaseh. Qayyim geli hati. Hilang juga rindu aku nak tengok
muka kau yang tak puas hati ni.
Qaseh mengocak kakinya di dalam air kuat
sehingga terpercik terkena Qayyim. Padan muka kau. Aku memang geram tahap gaban
dah dengan kau. Kalau aku mati nanti memang aku jadi hantu aku cekik kau setiap
malam. Biar kau tahu apa yang aku rasa sekarang ni. Masa tu baru kau tahu erti
penyesalan yang sebenar.
“Ayim, cuba kau jadi manusia yang memahami
perasaan orang lain. Jangan asyik fikir diri kau sahaja. Aku baru saja
kehilangan abah aku. Jadi aku perlu ambil tugas untuk jaga adik-adik aku. Tak
cukup kukuh ke alasan aku untuk kau faham?”suara Qaseh mendatar. Tak guna pun
kalau dia terus berkeras kerana lelaki ini tidak akan pernah faham. Lelaki di
sebelahnya ini adalah seorang lelaki yang hanya pentingkan diri sendiri.
“Aku tak faham dan tak nak faham. Kau tu yang
kena faham aku. Jom masuk. Dah nak maghrib.”ajak Qayyim tegas. Gayanya tetap
seorang bos yang memberi arahan kepada pekerja bawahannya.
“Biarlah. Kau siapa nak arah-arah aku. Suka
hatilah.”Qaseh berdegil. Dia rasa macam nak menangis dan menjerit untuk
melepaskan segala kekusutan yang ada tetapi cuba ditahan. Dia juga ada egonya.
Tidak akan sesekali menangis depan lelaki ini.
“Sebelah kau ada siapa tu?”Qayyim bertanya.
Qaseh berkerut dahinya. Dia memerhati sebelah
kanannya. Tak ada sesiapa. Apa pula lelaki ini mengarut?
“Ada apa?”
“Adalah. Perempuan rambut panjang. Tapi aku
tak nampak muka.”
Qaseh mula berasa seram. Bulu romanya mula
berdiri tegak. Dia pantas bangun lalu menyarung selipar jepunnya melangkah laju
masuk ke dalam rumah.
Qayyim tergelak. Penakut juga kau, minah. Ada
bahanlah kalau lepas ni kau degil!
*****************
Tuk!Tuk!Tuk!
Pintu diketuk dari luar. Qaseh yang baru
sahaja habis solat bergegas menuju ke pintu untuk melihat siapa yang datang
malam-malam begini. Sebaik sahaja pintu dibuka, terjengul wajah orang kampung
yang nampak begitu suram.
“Assalamualaikum..”ucap Fuad, tok imam
kampung.
“Waalaikumussalam. Ada apa imam?” Qaseh
bertanya lembut.
“Ada apa hang cakap? Tak cukup hang jual tubuh
hang kat bandar, kat sini pun hang nak buat jugak?”hambur seorang lelaki yang
berusia dalam lingkungan 50-an.
Qaseh terpempan. Apa maksudnya ini? Kenapa aku
dituduh sebegini? Aku dah tak buat benda tu semua.
“Yus, sabar. Kita tak boleh terus tuduh.” Fuad
cuba menenangkan keadaan. “Kami dapat aduan yang kamu bersekedudukan dengan
seorang lelaki di dalam rumah ini.”
Qaseh menggeleng kepalanya laju. Tak mungkin.
Dia hanya berkeseorangan ketika ini di dalam rumah. Qayyim telah mengikut
Harris pergi ke surau untuk menunaikan solat maghrib. Mereka mungkin salah
rumah.
“Saya berkeseorangan sahaja sekarang ni, imam.
Tak ada sesiapa.”ujar Qaseh tenang walaupun dadanya sudah berdengup kencang.
“Minah!”
Qaseh bagaikan ada halintar yang menyambar
tubuhnya ketika dia mendengar suara itu. Dia menoleh.. Lututnya longlai lalu
jatuh rebah. Air matanya mula basah membasuh pipinya. Bala apakah kali
ini?
No comments:
Post a Comment