Bab 7
Qaseh menyeluk tas tangannya. Telefon bimbit jenis Xperia dibawa
keluar. Mesej yang dihantar oleh Qayyim semalam dibelek. Dia cuma ingin
memastikan alamat rumah banglo di hadapannya ini sama seperti alamat yang
diberikan oleh lelaki sengal itu. Dia tidak salah lagi. Betul alamat yang
diberikan oleh Qayyim semalam.
“Patutlah dia kutuk rumah aku. Gila besar rumah dia.”puji Qaseh
sendiri apabila terpesona seketika melihat rumah banglo tiga tingkat yang
tersergam indah di hadapannya ini. Dari luar sudah terpesona apatah lagi di
dalam. Mungkin dia akan pengsan sepanjang hari. Qaseh tersenyum sendiri.
Loceng ditekan. Qaseh menanti dengan penuh sabar. Kelihatan
seorang wanita sedang terkocoh-kocoh datang untuk membuka pagar.
“Mau cari siapa?”tanya wanita itu dalam bahasa Indonesia.
Mungkin pembantu rumah ini.
“Saya Qaseh Zulaikha. Hari ini saya akan mula bertugas sebagai
penjaga kepada encik….” Qaseh menggaru kepalanya. Macam mana boleh lupa pula
nama lelaki sengal tu? Aduh. Macam mana ni?
“ Oh, Tuan Zill Qayyim? Jemput masuk duluan. Saya ada dikhabarin bahawa
Cik Qaseh akan mula berkerja hari ini. Nama saya Yati. Panggil aja Kak Yati.
Pembantu rumah ini.” Yati memperkenalkan diri tanpa disuruh.
Qaseh menganggukkan kepala sambil bibir mulusnya mengukirkan
senyuman. Dia cuba menahan rasa gentar di hatinya yang semakin menjadi-jadi.
Tidak pernah dia berasa berdebar-debar seperti ini.
“ Dah sampai pun.” Datin Kursiah terus menegur sebaik sahaja
Qaseh melangkah masuk ke dalam rumah itu. Qaseh tercengang seketika. Matanya
asyik melirik setiap sudut rumah lelaki sengal ini. Cantiknya...
“Qaseh, jemput duduk. Saya nak beritahu tugas kamu.”arah Datin
Kursiah selepas menyedari Qaseh masih lagi seperti terkena kejutan budaya.
Agaknya dia tak pernah masuk rumah banglo kot. Datin Kursiah membuat andaian
sendiri.
Qaseh kembali tersedar. Dia termalu sendiri.
“Baiklah. Terima kasih kerana sudi menerima untuk menjadi
penjaga kepada Ayim. Mulai hari ini awak akan menjadi salah seorang pekerja di
dalam rumah ini. Bilik kamu berkongsi dengan Yati. Nanti Yati akan tunjukkan
bilik kamu.”
“Saya kena tinggal di sini ke, Datin?” Qaseh mengutarakan soalan
pertamanya.
“Saya nak Ayim diperhatikan 24 jam. Jadi faham maksud saya?”
Soalan Qaseh dikembalikan dengan soalan.
Qaseh mengangguk. 24 jam? Gilalah. Tak akanlah tidur pun nak
kena perhatikan juga? Boleh gila aku kalau begini.
“Jadi saya kena pindah duduk sini ke?” Qaseh menggarukan
kepalanya. Dia bertanya cuma inginkan kepastian walaupun dia sudah mengerti
maksud Datin Kursiah tadi.
“Iyalah. Tak akan itu pun tak faham kot.”
Qaseh mengangguk lagi. Sekarang dia benar-benar faham. Selepas
ini terpaksalah dia meninggalkan Zizie berkeseorangan tinggal di rumah. Itu
semua telah dibincangkan sebelum ini. Mungkin Zizie akan mencari teman serumah
baru bagi menemaninya.
“Siapa ni?” Datuk Qairi menyoal ketika dia sedang menuruni
tangga. Kolar bajunya dibutangkan. Tali leher berwarna hijau lumut itu
dikemaskan. Dari atas tadi dia dapat melihat seorang perempuan yang tidak dikenali
sedang diberi arahan oleh isterinya. Mungkin ini pekerja baru yang dikhabarkan
oleh Datin Kursiah semalam.
“ Qaseh Zulaikha. Pekerja baru selaku penjaga Ayim.”jawab Datin
Kursiah lembut.
Datuk Qairi menjeling sekilas melihat wajah Qaseh sebelum meneruskan langkah menuju ke meja makan untuk bersarapan.
Qaseh hanya menayangkan senyuman nipis. Dia cuba mengingati
sesuatu apabila terpandangkan wajah Datuk Qairi. Dia seperti pernah bertemu
dengan majikannya ini tetapi di mana?
“Qaseh, sekarang saya nak kamu pergi dapur ambil sarapan yang
disediakan oleh Yati dan bawa ke bilik Ayim.” arah Datin Kursiah segera. “
Yati, tunjukkan apa tugasnya.”
“Baik datin. Qaseh, mari yuk ikut Kak Yati.”
Qaseh hanya menurut tanpa bantahan. Dia menyusun langkah
membontoti Kak Yati. Ketika di dalam perjalanan, dia cuba menjeling untuk
melihat wajah Datuk Qairi tetapi tidak berjaya kerana suratkhabar telah
menghalang pandangannya.
“Itu bilik Ayim. Ini sarapannya. Sebelum masuk harus ketuk pintu
dulu ya.” pesan Yati kepada Qaseh.
“Baiklah.” Qaseh lantas menatang dulang yang telah siap
disediakan oleh Yati. Di atas dulang ini terdapat dua keping roti bakar dan
secawan minuman coklat. Seronoknya jadi orang kaya. Sarapan disediakan siap
dibawa ke bilik lagi. Bilalah aku boleh merasa semua ini? Kalau dapat kahwin
dengan orang kaya pun okey juga. Qaseh tersengih. Sempat lagi dia berangan.
Tuk! Tuk! Tuk!
Qaseh mengetuk pintu seperti yang diarahkan. Sepi. Tiada
jawapan. Sekali lagi Qaseh mengetuk. Tetapi tetap juga sama. Qaseh memulas
perlahan tombol pintu bilik lelaki itu. Kepalanya dijengulkan sedikit untuk
melihat bilik Qayyim.Namun langsung tidak nampak kelibat Qayyim. Qaseh
mengambil keputusan untuk terus melangkah masuk tanpa keizinan.
“Sengal….” seru Qaseh. Dulang diletakkan di atas meja. Matanya
memerhati keadaan bilik Qayyim yang berselerak itu. Barang-barang yang
bertaburan di atas lantai diambil lalu diletakkan di tempat asal. Rimas dia
melihat keadaan bilik Qayyim ketika ini. Apalah lelaki ini buat? Sudah seperti
taufan Katrina melanda keadaannya.
“Aduh!” Qaseh mengaduh kesakitan. Dia terus jatuh terduduk di
atas katil. Ada cecair merah yang keluar dari kakinya. “Kaca! Bahayanya bilik
sengal ni. Siap ada kaca lagi. Aduh, sakitnya.” Qaseh berleter. Dia cuba untuk
mengeluarkan serpihan kaca yang telah menikam tapak kakinya.
“Haaaaaa!”jerit satu suara.
Qaseh tercari-cari suara yang menjerit itu. Sepantas kilat
matanya dipejam rapat. Tidak sanggup untuk menyaksikan pertunjukkan yang tidak
disengajakan ini.
“Kenapa kau tak ketuk pintu dulu? Aku cukup pantang bila ada
orang yang main sedap kaki saja masuk bilik aku tak ketuk dulu. Kau ingat ni
bilik kau ke, hah?” marah Qayyim yang terkejut. Buka saja pintu bilik air,
terpandangkan seorang wanita sedang duduk di birai katilnya. Mahu tak menjerit.
“Aku dah ketuk tapi kau tak dengar. Jadi jangan salahkan aku.”
jawab Qaseh. Matanya masih lagi tertutup rapat.
“Selagi tak dengar arahan daripada aku, jangan nak
pandai-pandai. Hari pertama sudah buat hal. Sakit jiwa aku kalau selalu
begini.”
“Aku pun sakit jiwa dengan kau. Cepatlah pakai baju tu. Jangan
nak tunjuk body kau yang macam ikan kering kena jemur tu kat
aku.”gesa Qaseh.
Qayyim membulat matanya. Berani dia kata aku macam ikan kering.
Puakanya mulut perempuan ni. Pakaian yang sudah tersedia di atas katil dicapai
lalu disarungkan ke badan.
“Kau tu minah puaka, minah kepo dan minah senget. Kau tutup mata
ni sebab nak suruh aku cium ke? Aku on saja.” Qayyim mendapat
idea untuk mengenakan Qaseh. Biar padan muka si puaka ni.
Qaseh lantas membuka mata. Dia menarik nafas lega apabila Qayyim
lengkap berpakaian. Dia berasa takut apabila diugut seperti itu. Buatnya lelaki
ini terkena angin monsun barat daya dia buat sungguh naya saja Qaseh nanti.
“Kau jangan nak mengarut. Ni sarapan kau.”
“Aku nak tanya kau satu soalan. Aku ni siapa?”
“Kau lelaki sengal yang sawan. Kenapa?” Qaseh terpinga-pinga
ketika bertanya. Tiba-tiba sahaja tanya
soalan sedemikian. Tak akanlah diri sendiri pun tak kenal.
“Kau tu siapa?”soal Qayyim lagi tidak menghiraukan pertanyaan
Qaseh yang dipulangkan padanya.
“Aku seorang gadis yang terperangkap untuk bekerja dengan lelaki
sengal macam kau. Aku keluar dulu.”
“Tunggu dulu. Kau tak boleh buat apa-apa tanpa arahan daripada
aku. Kau sekarang dah jadi pekerja aku, aku ni majikan kau. Jadi kau harus
menghormati aku. Buat apa yang aku suruh saja, yang aku tak suruh jangan buat.
Faham?” Qayyim berwajah serius.
“Suka hati akulah. Kalau tak selesa, aku boleh saja berhenti
notis 24 jam.” Qaseh masih lagi berkeras. Tidak mudah untuk dia mengikut sahaja
arahan lelaki ini. Dia tidak suka hidupnya dikongkong. Rimas.
“Kau ingat aku senang nak lepaskan macam tu saja. Kalau nak
susah cubalah lari.”
Qaseh mengetap bibir. Geram. Mentang-mentanglah dia kaya dia
ingat dia boleh buat apa saja. Ini Qaseh Zulaikhalah , sengal! Tak pernah takut
dengan ugutan.
“Sekarang ni aku nak kau panggil aku Tuan Zill Qayyim. Tukar
perkataan aku tu kepada saya dan ikut semua arahan aku. Sekarang ni aku nak kau
kemas bilik aku ni. Rimas aku tengok.” Qayyim memberi arahan pertamanya tegas.
Qaseh lantas bangun melakukan kerjanya seperti yang diarahkan.
Malas nak bertekak dengan lelaki itu. Terhenjut-henjut Qaseh ketika berjalan.
Denyutan di kakinya semakin sakit. Mana taknya, dalam kesan tikaman kaca itu
menusuk ke kakinya.
“Kenapa dengan kaki kau?” soal Qayyim selepas melihat keadaan
Qaseh yang menjongketkan sedikit tapak kakinya. Ada kesan darah yang mengalir.
“ Kena kaca.”jawab Qaseh ringkas.
“Meh sini nak tengok. Inilah akibatnya kalau masuk bilik aku
tanpa kebenaran.”
“Tak apa. Sikit saja. Sekarang semuanya dah berkemas. Tuan Zill
Qayyim nak suruh saya buat apa lagi?” Loya tekak Qaseh ketika menggelarkan
dirinya ‘saya’. Semua ini sebab terpaksa sahaja. Kalau tidak jangan harap.
“Suap aku sarapan. Tangan aku sakit.”
Qaseh membulat matanya. Makan pun kena suap? Mengada-ngadanya!
“Apa lagi tercegat kat situ? Cepatlah suapkan aku makanan tu.
Aku potong gaji kau nanti.”
“Tak boleh nak makan sendiri ke? Macam budak-budak.”dengus Qaseh
perlahan tetapi masih boleh lagi didengari oleh Qayyim.
“Buat kerja tu kena ikhlas. Jangan nak berleter.”tegur Qayyim.
Qaseh mengeluh kasar. Roti yang disapu jem perisa strawberri itu
diambil lalu disuakan kepada Qayyim. Lelaki itu lantas membuka mulut untuk
menerima suapan daripada Qaseh itu.
“Tangan kau…eh, Tuan Zill kena apa?” Qaseh tersasul.
“Aku tumbuk cermin.”jujur sungguh jawapan yang diberikan oleh
Qayyim.
“Tak ada kerja sangat ke yang tumbuk cermin tu? Padan muka
tangan sakit.”
Qaseh tergelak kecil. Cerdik sangatlah otak tu bila cermin pun
ditumbuk.
“Gelak? Kang muka kau aku tumbuk pula kot.”
Terus mati senyuman yang terukir di bibir Qaseh. Orang melawak
sikit pun tak boleh. Sengal sungguh lelaki ni.
“Mulai sangat ini kau kena ikut semua arahan aku. Setiap pagi
aku nak kau sediakan sarapan untuk aku dan bawa ke bilik seperti yang kau
lakukan sekarang. Kau yang masak bukannya Kak Yati. Nanti tanya Kak Yati apa
menu aku. Lepas itu, ke mana sahaja aku nak pergi kau kena ikut. Lepas itu….”
“Masuk tandas pun kena ikut juga?” Qaseh mencelah sebelum Qayyim
menghabiskan bicaranya.
“Aku tak suka bila aku bercakap ada orang menyampuk. Dengar dulu
sampai aku habis.”
“Baiklah, Tuan Zill Qayyim sengal.” Qaseh berkata geram. Itu tak
suka ini tak suka. Apa yang dia suka tak tahulah.
“Setiap hari kau kena sediakan pakaian aku, makan minum aku dan
ikut aku ke mana sahaja. Arahan aku mesti kau patuhi. Kalau tidak, gaji kau
akan dipotong. Nanti kau beri nombor akaun adik-adik kau. Aku nak tunaikan
janji aku.”
“Tuan Zill ni susah saja upahkan saya untuk jaga tuan. Kan bagus
kalau Tuan Zill kahwin. Dari hujung rambut sampai hujung kaki isteri tuan tu
boleh tolong sediakan. Tak perlu nak bawa keluar duit nak bayar gaji. Kan
senang…”
“Aku ni lumpuh, cacat. Tak ada perempuan pun nak kat aku. Aku ni
akan menyusahkan mereka saja.”
“Tak adanya cacat cuma tak boleh berjalan saja. Tuan Zill yang
merendah diri sangat.” Qaseh menyangkal kenyataan Qayyim. Qayyim bercakap
seperti dia sedang menyalahkan takdir dan tidak yakin dengan janji ALLAH yang
menciptakan setiap makhluk di dunia ini secara berpasang-pasangan.
“Aku nak kau jadi isteri aku, kau mahu ke?”
Gulp! Qaseh tercengang seketika. Dia ni serius ke main-main?
“Mesti kau tak mahukan. Sekarang ini pun dah banyak merungut.
Kalau jadi isteri aku nanti tak tahulah macam mana.”sambung Qayyim sinis. Dia
tersenyum mengejek.
“Tak boleh sembuh ke kaki tuan tu?” Qaseh mengubah topik.
Kalau berterusan cakap tentang kahwin silap-silap Qaseh terkena serangan
jantung nanti.
“Tak tahu. Malas nak ambil tahu. Minah, aku nak ingatkan
kau jangan cuba nak goda aku. Faham?” Qaseh berkerut dahi seribu.
“Tengok kau pun aku tak seleralah, sengal.” Qaseh membalas
geram. Panggilannya kembali kepada asal. Suka hati saja tuduh aku nak goda dia.
Qaseh lantas berpeluk tubuh.
“Kalau macam tu tak apa. Aku cuma ingatkan saja.”
“Hai Ayim, buat apa dalam ni lama sangat tu? Pagi inikan Ayim
ada terapi. Dah lewat ni.” Datin Kursiah menegur dari arah pintu bilik Qayyim
yang tidak ditutup. Rancak dia mendengar perbualan Qayyim dan Qaseh tadi.
Macam-macam hal.
“Baiklah mama. Ayim terlupa. Ini semua kerana kaulah, Minah.”
Qayyim menuduh lalu telefon bimbitnya dicapai. Kolar baju kemeja yang dipakai
dibetulkan terlebih dahulu sebelum memusingkan kerusi rodanya menuju ke pintu.
“Qaseh, kamu ikut Ayim. Ayim pergi dengan Qaseh, okey? Mama ada
hal persatuan. Bolehkan?”
Qaseh mengangguk laju. Dia berdiri tercegat langsung tidak
berkutik menanti arahan seterusnya daripada Datin Kursiah.
“Boleh mama. Lagipun buat apa gajikan dia kalau tak buat kerja.
Mama tak perlu risau. Sekarangkan Ayim dah ada penjaga sendiri.”
“Baiklah kalau begitu. Qaseh, jaga Ayim elok-elok tau. Mama
pergi dulu.”
Qayyim bersalaman dengan Datin Kursiah sebelum wanita itu mencium dahi anaknya. Terserlah kasih sayang antara mereka.
“Yang kau tercegat kat situ lagi tu kenapa? Cepatlah tolak
kerusi roda aku ni. Aku dah terlambat tahu tak? Mulut saja berpuaka tapi bila
buat kerja macam kura-kura.”
Qaseh mendengus. Kakinya laju melangkah menghampiri Qayyim yang
tidak jauh daripadanya. Dia tidak membalas. Kalau membalas nanti dia juga yang
sakit hati. Lebih baik diam.
*************
Sudah hampir dua jam Qaseh menunggu Qayyim menjalankan
rawatan. Matanya sesekali ditenyehkan akibat daripada diserang rasa mengantuk
yang amat sangat. Hampir sahaja dia terjelepuk jatuh ke lantai tadi kerana
tertidur. Nasib baik dia cepat tersedar.
“Cik Qaseh, saya pakar terapi Encik Qayyim. Boleh saya berjumpa
dengan cik sebentar?” Suara itu menyentak Qaseh yang sedang mamai. Matanya yang
redup dibuka luas. Kononnya nak menghilangkan rasa mengantuk yang
melanda.
Qaseh mengangguk. Dia terus mengangkat punggung tanpa banyak
soal.
“Jemput duduk.” pelawa doktor muda itu. “Tujuan saya memanggil
Cik Qaseh ni sebab nak beritahu tentang kesihatan Encik Qayyim. Selalunya Datin
Kursiah yang menemani Encik Qayyim. Jadi saya nak beritahu yang kaki Encik
Qayyim semakin menampakkan hasil yang positif. Ada sedikit respon apabila
setiap kali dirangsang. Tetapi itu tidak menjanjikan apa-apa. Kalau boleh saya
nak minta tolong Cik Qaseh untuk membantu saya dan pihak hospital bersama-sama
memulihkan kaki dia.” Terang doktor pakar itu panjang lebar.
Qaseh berkerut dahi. Dia mengecilkan matanya sedikit untuk
memahami apa yang cuba dimaksudkan oleh doktor itu.
“Janganlah buat muka macam tu. Tak cantik.” seloroh doktor yang
dikenali sebagai Akimi itu sambil tergelak kecil.
Qaseh tersengih. Merah mukanya apabila ditegur sebegitu.
“Saya tak faham maksud doktor. Maaflah, saya ni agak slow nak
faham semua ni. Saya belajar tak tinggi. Setakat SPM sahaja. Itu pun tak semua
yang lulus.” Qaseh berkata jujur. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Doktor Akimi ketawa berdekeh-dekeh. Lucu sangat penjaga baru
pesakitnya ini. Kalau begini caranya pasti Qayyim akan cepat sembuh. Tak kering
gusi dibuatnya.
“Ada-ada sajalah Cik Qaseh ni. Maksud saya begini, saya nak Cik
Qaseh tolong saya menjalankan terapi untuk Encik Qayyim. Cik Qaseh bantu dia
untuk berdiri semula. Cik Qaseh cabar dia ke atau luahkan kata-kata sinis yang
membuatkan dia rasa tercabar. Secara tak langsung ini akan membantu semangatnya
untuk kembali pulih. Tak pun Cik Qaseh bantu untuk berdiri.”
“Kalau dia tak nak? Dia tu keras kepala. Semua kata dia saja
orang nak kena dengar , kata orang lain dia tolak tepi. Sakit hati tau bila
berhadapan dengan lelaki sengal macam tu.”adu Qaseh. Risau jika dianggap
menyibuk hal lelaki itu pula nanti.
“Usaha dulu sebelum mengalah.”ujar Doktor Akimi pendek tetapi
maksudnya begitu mendalam. Tidak boleh terus mengaku kalah tanpa ada usaha yang
jitu.
“Tengoklah macam mana nanti. Tapi saya tak janji.”
“Tak apa. Kalau perlukan bantuan boleh terus hubungi saya. Saya
kasihan melihat Encik Qayyim tu. Dia tu perlukan seseorang yang macam Cik Qaseh
untuk menjadi tempat dia mengadu dan cerita masalah. Cik Qaseh perlu menjadi
sahabat yang baik untuknya. Dia tidaklah sekerek yang Cik Qaseh sangkakan.”
Doktor Akimi tersenyum senget. Senyuman penuh bermakna.
“Baiklah. Insya ALLAH saya akan cuba.” Qaseh bersetuju. Kalau
Qayyim sembuh nanti tak perlulah dia bekerja dengan lelaki itu lagi. Bagus juga
cadangan doktor ini. Qaseh tersenyum dalam hati.
“Encik Qayyim dah selesai terapi tu. Bolehlah balik sambung
tidur.”
Qaseh membulatkan matanya. Doktor ni nampak ke dia tidur tadi?
Qaseh tertanya-tanya.
“Hah?” Mulut Qaseh sedikit terbuka.
“Tadi saya tengok Cik Qaseh tersengguk-sengguk kat kerusi tu.
Jadi saya sarankan agar Cik Qaseh balik tidur. Nanti nak jaga orang sakit, Cik
Qaseh pula yang sakit.” Doktor Akimi mengusik.
Qaseh tersengih sehingga menampakkan garisan giginya yang
tersusun cantik. Rasa macam darah menyiarap di mukanya. Malunya tidak dapat
dibendung lagi. Nak saja dia cepat berlalu pergi dari situ.
“Saya minta diri dulu. Terima kasih.” Qaseh terus menikus keluar
dari bilik Doktor Akimi. Cuping telinga Qaseh dapat menangkap suara tawa Doktor
Akimi yang lucu dengan kelakuannya.
“Dah selesai ke?”tanya Qaseh terus mengambil alih tugas
jururawat dengan menolak kerusi roda Qayyim.
“Dah. Jom balik. Aku dah letih.” Qayyim merungut. Macam-macam
yang perlu dia lakukan terapi. Kalau tidak kerana desakan mamanya yang ingin
dia menjalani terapi memang awal-awal lagi dia tarik diri. Qayyim tahu dia
tidak akan boleh berjalan lagi. Buat rugi masa sahaja lakukan semua ini.
“Saya nak ke tandas sekejap. Boleh tunggu kejap tak?”
“Sekaranglah kau nak ke tandas pun. Pergilah tapi jangan lama-lama sangat. Kalau tidak aku tinggal.”
“Sekaranglah kau nak ke tandas pun. Pergilah tapi jangan lama-lama sangat. Kalau tidak aku tinggal.”
Qaseh terus berlari anak menuju ke bilik air hospital berkenaan.
Masa ini jugalah dia nak melepaskan hajat pun. Selepas beberapa minit,
Qaseh sudah selesai semuanya. Ketika sedang dalam perjalanan menuju
kepada Qayyim semula, mata Qaseh terpandangkan seseorang.
Dia cuba mengamati sebatang tubuh yang tinggi lampai.
Pandangannya kurang jelas tetapi dia masih dapat mengenali pemilik tubuh itu.
Hati Qaseh tiba-tiba diundang rasa sebak. Dia tidak sangka semua ini akan
berlaku.
Air mata Qaseh terus meluru keluar. Tidak dapat ditahan lagi.
Qasha sanggup menipu dirinya. Patutlah begitu mudah dia meninggalkan
Qaseh. Ini semua ada penyebabnya. Qaseh benci Aqasha.
BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment