Thursday, January 29, 2015

KEAJAIBAN CINTA BAB 15

Bab 15

Qaseh menapak perlahan. Dia memerhati sekeliling. Dadanya mula berada debaran. Apakah tandanya ini? Kenapa dia berasa sangat berdebar-debar? Orang kampung yang ada di situ turut memerhatikan dirinya dengan pandangan yang jelik.

“ Assalamualaikum…” Qaseh memberi salam. Harris yang sedang berbual dengan tok imam terus mengalihkan pandangannya. Terkejut dia seketika apabila melihat wajah yang sudah hampir 3 tahun dia tidak bersua.

“Kakak!”Harris tanpa meminta izin dari tok imam terus meluru kepada Qaseh. Tubuh itu ditarik ke dalam pelukannya. Air matanya mula menitis.

Qaseh yang tercengang dengan perlakuan Harris turut membalas pelukannya itu. Terubat rindunya selama ini terhadap adik kesayangannya itu. Harriss satu-satunya adik yang menyokong dia di saat Qaseh dibuang keluarga suatu ketika dahulu. Harris yang banyak memberi kata-kata semangat buatnya. Sesungguhnya dia memanjat rasa syukur apabila dapat bertemu juga dengan Harris.

“Harris apa khabar?”tanya Qaseh apabila Harris meleraikan pelukan. Kedua-dua belah tangannya memegang pipi Harris. Air mata yang mengalir itu disapu. Mungkin Harris terlalu gembira dengan kepulangannya.

“Kakak…Kenapa kakak lambat balik?”Haris bertanya. Air matanya masih lagi merembes keluar tanpa henti. Qaseh berasa tidak sedap hati. Tak pernah-pernah Harris menangis sebelum ini. Adiknya kuat dan tidak mudah menitiskan air mata.

“Kan kakak dah balik ni. Dah-dah. Tak mau menangislah.. Tak handsomedah tau adik kakak ni.” Qaseh mengelap air Harris dengan ibu jarinya.

“Kakak, abah dah tak ada…”

Bagaikan ada batu yang menghempas di atas kepala Qaseh ketika ini. DIa menggelengkan kepalanya beberapa kali sebelum badannya jatuh rebah di atas tanah. Harris lantas cuba memangku kakaknya.

“Harris, hang jangan nak bohong kakak. Hang main-mainkan?” Qaseh tidak percaya. Dia yakin abahnya masih hidup. Harris hanya bermain dengan kata-katanya.

Harris memeluk erat tubuh Qaseh. Dia tahu yang kakaknya tidak akan percaya. Hajat abahnya untuk menemui Qaseh untuk kali terakhirnya tidak kesampaian. Harris rasa kecewa dengan dirinya sendiri. Dia tidak memenuhi janjinya untuk membawa Qaseh balik ke kampung.

“Abah dah tak ada, kakak. Abah dah meninggal dunia semalam. Kakak kena terima kenyataan ni.” Harris menyakinkan Qaseh bahawa dia tidak main-main.

Qaseh menggeleng kepalanya. Dia mencengkam tanah melepaskan rasa penyesalan yang teramat. Tujuan dia pulang hari ini adalah untuk memohon ampun daripada abahnya tetapi itu semua hanyalah mimpi. Abahnya sudah kembali ke rahmatullah tanpa dia sempat untuk memohon maaf. Sepanjang hayatnya, dia akan hidup dalam keadaan yang penuh dosa terhadap abahnya. Dia adalah anak derhaka.

“Aku tak percaya! Aku tak percaya!” Qaseh menjerit bagaikan orang gila. Dia menolak tubuh Harris sehingga Harris terdorong ke belakang lalu berlari masuk ke dalam rumah. 

Sekujur tubuh yang berbalut kain putih sedang berbaring kaku. Qaseh bertambah lemah. Air matanya makin laju. Ternyata Harris tidak berbohong. Tubuh itu didekati perlahan. Kain putih yang menutup wajah abahnya dibuka.

“Abah, bangun abah! Bangun abah! Kakak balik nak minta maaf. Kakak banyak dosa dengan abah. Abah tolonglah buka mata abah ni.” Qaseh meraung di atas dada arwah abahnya. Tubuh kaku itu digoyang mengejutkan abahnya dari tidur yang panjang.

Harris meluru masuk. Dia menghalang Qaseh untuk berbuat demikian. Kasihan arwah abahnya apabila digoyang kasar seperti itu.

“Kakak! Jangan buat macam ni. Kalau kakak meraung macam ni pun, abah dah tak boleh hidup balik. Dah tak guna kakak.”

“Kakak tak sempat nak minta maaf dengan abah. Kakak berdosa, Harris. Kakak anak yang berdosa. Hang faham tak?”rintih Qaseh sambil menangis di atas dada bidang Harris.

“Abah dah maafkan kakak. Kita doakan abah supaya tenang di sana ya.” Harris memujuk.

Qaseh menangis teresak-esak. Orang kampung mula berbisik sesama sendiri. Mungkin mengatakan sesuatu tentang sejarah hidup Qaseh dan kehadiran Qaseh pada hari ini. Qaseh tidak peduli semua itu. Apa yang ada dikotak fikirannya adalah dia anak derhaka! Qaseh menangis lagi…

                                                ******************                                               

“Kenapa dengan dia?” Qayyim bertanya sendiri. Dia nampak Qaseh terjelepuk di atas tanah tadi sambil menangis. Pada awalnya tadi, hatinya diundang rasa cemburu apabila melihat seorang lelaki muda memeluk tubuh Qaseh. Tetapi selepas diamati dari jauh, itu mungkin adik lelakinya. Qayyim tidak mahu membuat tuduhan melulu. Cuma dia pelik apabila melihat Qaseh tiba-tiba seperti orang kurang siuman. Meraung dan berlari masuk ke dalam rumah.

“Pak Dollah, boleh tolong tengokkan apa yang berlaku kat dalamsana?”pinta Qayyim. Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam hatinya. Ditambah lagi apabila melihat Qaseh menangis seperti tadi. Kalau diikutkan hatinya tadi mahu saja dia masuk tanpa izin ke dalam rumah Qaseh tetapi dia takut disalah anggap pula nanti.

“ Boleh, Ayim. Sekejap Pak Dollah tengokkan.” Pak Dollah membuka pintu kereta dan menuruti sahaja arahan daripada Qayyim itu.

“Harap dia tak apa-apa.”

Mata Qayyim tetap pada pintu rumah itu. Menanti Pak Dollah tanpa sabar membawa berita apakah yang sedang berlaku ketika ini. Tidak dinafikan, dia sangat bimbangkan keadaan Qaseh. Tidak duduk diam dia di dalam kereta selagi belum mengetahui tentang keadaan Qaseh.

**************

Qaseh duduk termenung di birai beranda rumahnya. Jenazah abahnya sudah selamat dikebumikan tengah hari tadi. Arwah abahnya dikebumikan bersebelahan  kubur arwah maknya. Kini mereka yatim piatu. Tiada lagi insan yang dipanggil abah dan mak di dunia ini. Qaseh menangis lagi. Dia tidak redha dengan apa yang berlaku. Dirinya begitu hina ketika ini apabila tidak sempat mendapat salam kemaafan daripada abahnya setelah segala dosa yang telah dia lakukan.

Qayyim memandang Qaseh dari dalam rumah. Dia simpati dengan Qaseh ketika ini. Gadis itu kehilangan abahnya tanpa sempat berjumpa. Qayyim turut diundang rasa bersalah. Kalaulah dia tidak menghalang Qaseh untuk balik dari awal, mungkin Qaseh sempat untuk berjumpa dan memohon kemaafan daripada abahnya.

“Kakak, sudahlah. Kakak menangis air mata darah sekalipun, abah tak akan kembali. Jangan risau. Kakak tak salah pun dengan abah. Abah dah maafkan kakak.” Harris memujuk. Risau melihat keadaan Qaseh yang masih lagi menangisi kepergian arwah abahnya.

“Hang memang anak tak berguna tau!”hambur Zurin tiba-tiba.

Harris terkejut. Dia menjengilkan matanya kepada Zurin agar kakaknya keduanya itu tidak terus menyalahkan Qaseh tetapi langsung tidak diendahkan.

“Betul tu, kak Rin. Dia ni memang suka memalukan keluarga.”sampuk Zuria adik kepada Zurin.

“Jangan nak salahkan kakak. Dia tak salah.” Harris mempertahankan Qaseh. Qaseh sama saja seperti tadi. Langsung tidak peduli dengan apa yang dilemparkan oleh Zurin dan Zuria.

“Tak salah hang cakap? Kalau tak sebab dia abah tak matilah!”Zurin membalas.

Harris lantas bangun berdiri. Tangannya laju hinggap di pipi Zurin. Dia memang sudah lama tidak puas hati dengan Zurin dan Zuria. Dulu masing-masing langsung tidak pernah ambil tahu tapi sekarang nak bising. Harris sudah tidak fikirkan lagi tentang pangkat. Kakaknya harus diajar.

“Ini peringatan untuk hang. Hang ingat hang bagus sangat? Dulu masa abah sakit ada hang tanya? Tak adakan? Yang hang tau duit, duit, duit. Sekarang bila abah dah meninggal, hang nak salahkan kakak pula? Apa jenis manusia hang ni?!”

Qaseh yang terkejut turut bangun. Belakang Harris diurut cuba untuk menenangkan adiknya yang sudah mula baran.

“Hang jangan nak tunjuk hero kat sini. Aku ni kakak hang.” Zurin masih memegang pipinya yang pedih akibat ditampar oleh Harris tadi.

“Hanya kakak Qaseh sahaja kakak yang aku ada. Walaupun dia ada sejarah dia sendiri tapi dia tak biadap macam hang berdua. Aku benci orang macam hang.” Harris melepaskan segala amarahnya. Sudah lama dia bertahan kerana tidak mahu abahnya susah hati tetapi hari ini dia sudah tidak mampu lagi. Biarlah dia dianggap kurang ajar pun. Dia tidak kisah lagi.

“Sudahlah Harris. Abah baru saja meninggal. Tak akan kita nak bergaduh adik-beradik pula.” Qaseh masuk campur. Cuma meleraikan ketegangan yang berlaku.

“ Semua sebab hang! Aku benci hang!” Zuria terus menarik tangan kakaknya Zurin keluar dari rumah.

Harris terduduk. Wajahnya ditundukkan. Dia menangis semahu-mahunya. Dia sedih dengan apa yang berlaku. Abah baru sahaja meninggal tetapi mereka terpaksa bergaduh seperti ini. Ya ALLAH, ampunkan aku…

******************
“Ayim, kau baliklah dulu. Aku minta maaf sebab tak dapat nak beri layanan sebagai tetamu untuk kau.”Qaseh bersuara perlahan. Dia melabuhkan punggungnya di beranda setelah tetamu yang datang beransur pulang. Mereka baru sahaja selesai mengadakan majlis bacaan yassin dan tahlil buat kedua-dua arwah ibu bapa mereka. Hari pun sudah menginjak ke tengah malam.

Qayyim yang turut berbaju melayu milik Harris menjeling sekilas wajah gadis di hadapannya ini. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan Qaseh ketika ini. Apa yang dilihat tadi, benar-benar menjelaskan situasi sebenar. Hubungan Qaseh dan dua orang adik perempuannya tidak baik malah mereka sangat membenci Qaseh. Ketika majlis tahlil dan bacaan yassin tadi juga dia mendengar kata-kata perlian daripada orang kampung tentang kisah silam Qaseh.

“Tak apa. Aku okay.” Qayyim menjawab.

“Inilah keluarga aku. Aku bukan anak yang baik. Aku balik nak minta maaf tapi aku tak sempat. Aku ni pendosa. Selamanya aku adalah seorang pendosa dan anak derhaka.”

“Tapi Harris cakap arwah abah kau dah maafkan kau. Tak perlulah kau risau lagi.”

Qaseh tergelak dibuat-buat. Itu kata Harris. Mungkin adiknya hanya berbohong untuk menenangkan dirinya. Sekalipun arwah abahnya memaafkan dirinya, itu langsung tidak memberi kesan buat Qaseh. Dia tetap sama iaitu anak derhaka.

“Cuba kau letak diri kau kat tempat aku. Agak-agak apa yang kau rasa?” Qaseh menjawab dalam bentuk pertanyaan. Dia mahu Qayyim faham perasaannya ketika ini. Tidak mudah untuk dia menerima apa yang terjadi.

“Aku rasa sedih tapi aku tak rasa aku akan menangis dan merintih macam kau. Macam orang tak siuman aje aku tengok.”balas Qayyim.

Qaseh berasa sakit hati. Dalam keadaan aku begini, dia masih lagi mahu cari gaduh dengan aku. Apakah lelaki ini tidak mempunyai perasaan atau dia memang dilahirkan menjadi manusia yang langsung tak ada belas kasihan? Qaseh sebal.

“Kau memang lelaki yang tak ada hati dan perasaan.” Qaseh berkata lemah. Air matanya mula jatuh. Kotak fikirannya tidak lepas dari terus dibayangi wajah abahnya. Semoga arwah tenang di sana.

Qayyim mengigit bibir. Dia tak sangka pula kata-katanya itu akan membuatkan Qaseh sensitif. Laser sungguh mulut kau, Ayim!

“Cubalah kuat sikit. Kalau kau asyik menangis, merintih macam ni abah kau tak akan boleh datang balik. Cuba kau pergi masuk bacakan yassin untuk diorang. Ada juga faedahnya.” Qayyim cuba untuk membetulkan silapnya.

“Kau nak balik ke malam ni?” tanya Qaseh.

Qayyim lantas menggeleng. Dia tidak akan pulang jika Qaseh tidak pulang bersama dengannya.

“Kau tidur dengan Harris boleh?”

Qayyim mengangguk pula. Hanya menggunakan isyarat tanpa membuka mulut menjawab pertanyaan Qaseh.

“Pak Dollah dah balikkan?” soal Qaseh lagi bagi menyakinkan dirinya.

Qayyim mengangguk laju.

“Kenapa dengan kau?”

“Kenapa?” Qayyim menyoal kembali. Tidak faham.

“Tak ada apalah. Ingatkan tak ada suara dah tadi. Angguk geleng aje dari tadi. Aku masuk tidur dulu.” Qaseh mengangkat punggung lalu membuka langkah masuk ke dalam rumah.

“Minah!”panggilan Qayyim menghentikan langkah Qaseh. Qaseh pantas menoleh. Keningnya diangkat tanda apa yang lelaki itu mahu.

“Siapa yang nak dodoikan aku?” Qayyim bertanya serius.

Qaseh membulatkan matanya. Dia lantas mencekak pinggang sambil matanya memerhati sekeliling. Takut kalau ada telinga yang mendengar apa pula yang difikirkan nanti. Yang lelaki ni pun satu hal, tiba-tiba mengada sangat ni kenapa? Sengaja nak bagi aku naik darahlah ni.

“Suruh Harris dodoikan kau, sengal!” Qaseh menjawab geram. Bibirnya diketap rapat. Dia ingin segera meninggalkan Qayyim di situ tetapi lelaki itu memanggilnya sekali lagi.

“Ada apa lagi?”

“Kesedihan kau tu tak akan mampu buat abah kau hidup kembali. Sekalipun kau meraung, menangis dan menolak takdir, satu hari kau tetap kena terima. Inilah dinamakan permainan hidup. Ada kalanya kita sedih dan adakalanya kita gembira. Walaupun apapun yang terjadi, kita tetap kena teruskan hidup. Apa yang berlaku tu pasti ada benda yang tersembunyi di sebaliknya.Cuba untuk bangkit dan mulakan hidup yang baru.”

Qaseh terkedu. Betul ke Ayim ni? Macam tak percaya. Tidak sangka lelaki ini pandai bernasihat. Qaseh senang mendengar kata-kata itu. Ini baru pertama kali Qayyim bercakap seperti itu. Tidak pernah Qaseh mendengar ucapan yang lembut dan penuh bermakna itu keluar dari mulut Qayyim sebelum ini. Lega hatinya…

“Kau kena bangkit juga walaupun terpaksa. Kalau kau sedih memanjang, hidup aku tak aman.”

Qaseh bertambah bahagia. Aku penting ke dalam hidup dia? Betul ke apa yang aku dengar ni? Tak sangka pula dia ambil berat tentang aku….

“Terima kasih sebab ambil berat tentang aku.”balas Qaseh menunduk malu.

“ Tak ada maknanya nak ambil berat pasal kau. Hidup aku tak aman kalau aku tak dapat nak sakitkan hati kau. Jadi aku nak kau jadi macam minah yang aku kenal sebelum ni. Minah yang kerek, senget, sengal dan mulut berpuaka. Sekarang pergi masuk tidur. Mata aku mengantuk tengok muka kau.”

Qaseh mencekak pinggang. Dia menghentak kakinya geram. Berlalu membuka langkah menuju ke biliknya. Ingatkan betul-betul caring padahal hampeh.

Qayyim tersenyum. Dia berharap agar kesedihan Qaseh berkurang dan dapat menerima semua takdir yang berlaku. Dia faham apa yang dialami oleh Qaseh kerana suatu ketika dulu dia juga begitu. Dia akan cuba membantu Qaseh sebagaimana Qaseh membantunya di saat dia terjatuh dulu.

BERSAMBUNG


No comments: