Thursday, May 20, 2010
Lelaki Pendiam
Hanya Lelaki - Pengakuan Duda
Sikap pendiam suami buat isteri tertekan
Dahlan (bukan nama sebenar) dilahirkan di dalam keluarga yang sederhana. Memiliki tiga adik beradik dengan jarak umur yang jauh dari kedua abangnya membuatkan hubungannya tidak mesra. Kedua ibu bapa Dahlan juga agak sibuk dengan kerjaya sehingga dia sedikit terabai. Sudahlah hubungan adik beradik renggang, kasih sayang dari orang tua pula kurang kedua faktor ini membuatkan menjadi seorang yang pendiam dan sukar didekati.
Walaupun kurang mendapat perhatian daripada keluarga, Dahlan tidak pernah sekalipun menimbulkan masalah di sekolah. Malah, tidak juga ketika dia belajar di universiti. Keputusan akademiknya tidak mengecewakan. Keadaan itu membuatkan ibu bapanya menganggap anaknya ini tidak bermasalah dan bijak menguruskan diri. Itu mungkin satu kesenangan bagi kedua ibu bapanya, namun masalah buat Dahlan.
Sikapnya itu membuatkan dia tidak mempunyai ramai kawan apatah lagi rakan wanita. Bukan kerana tidak mahu menjalinkan perhubungan tetapi sikapnya yang pendiam dan lebih banyak menyendiri membuatkan ramai yang menganggap Dahlan sombong dan tidak tahu bergaul. Bagi Dahlan sendiri, walau pun ia ada kebenarannya tapi dia bukanlah sombong seperti yang diperkatakan. Cuma dia tidak tahu bagaimana untuk menjalin persahabatan dengan orang lain. Walau pun begitu sikapnya namun tetap ada gadis yang menaruh hati terhadap Dahlan. Selepas tamat belajar dan bekerja, Sofea rakan sepejabat Dahlan tertarik dengan sikap pendiamnya. Semakin lama dia memerhatikan pemuda itu, semakin dirasakan Dahlan adalah jodoh buatnya.
Tahu Dahlan tidak akan memulakan langkah pertama, Sofea memberanikan diri menghulurkan salam perkenalan dengan lelaki yang berjaya menawan hatinya. Dahlan bingung. Seumur hidupnya tidak pernah ada seorang wanita yang berani meluahkan rasa hati mengenali dirinya dengan lebih rapat. Sikapnya yang seolah-olah berada dalam dunia sendiri membuatkan ramai yang lebih senang meminggirkannya. Akibat terbiasa, Dahlan sendiri tidak kisah pandangan orang lain terhadapnya. Akan tetapi, kali ini berbeza sekali dirasakan. Sukar untuk dimengerti perasaan yang dirasainya.
Biarpun dilayan dingin oleh Dahlan, Sofea tetap tidak berputus asa. Ada saja cara yang dicuba untuk memikat hati Dahlan, tetapi tidaklah sampai merendahkan maruah diri. Dahlan sendiri senang dengan kehadiran Sofea, dan dia tahu gadis itu ikhlas terhadapnya. Cuma dia sendiri tidak pasti tentang perasaan dirinya terhadap satu-satunya gadis yang sudi mendekatinya.
Terbuka hati berkahwin
Bagaimanapun setelah berfikir panjang dan melihat kedua-dua abangnya sudah berumah tangga dia merasakan sudah masanya juga untuk dia mencari peneman hidupnya. Tiada gadis lain dalam fikirannya selain Sofea. Seumur hidupnya, tiada wanita lain sudi mendekatinya melainkan Sofea. Suatu hari, entah dari mana datangnya keberanian dalam dirinya, Dahlan melamar Sofea. Sofea menerima lamaran Dahlan dengan penuh rasa syukur. Kedua-dua belah keluarga juga merestui hubungan pasangan ini hingga mereka akhirnya bersatu di jenjang pelamin.
Di awal perkahwinan keduanya nampak bahagia dan harmoni, tetapi hanya Tuhan yang tahu apa yang dihadapi oleh Sofea. Mulanya, dia tidak kisah dengan Dahlan yang lebih banyak mendiamkan diri tetapi hari demi hari dia tertekan dengan sikap Dahlan. Biarpun tahu suaminya sudah dilahirkan dengan sikap sebegitu namun Sofea sendiri tidak menjangka betapa Dahlan begitu jauh berada dalam dunianya sendiri. Pernah Sofea cuba mengajak Dahlan berbincang dari hati ke hati tetapi dia sukar membuka mulut menyatakan masalahnya. Dahlan pula berasa tertekan dan kecewa setiap kali melihat wajah murung Sofea.
Dia cuba berkomunikasi tetapi dia sendiri sukar untuk memulakannya. Jika Sofea memulakan, tanpa disedari hanya sepatah dua jawapan yang keluar dari mulutnya. Kadang-kala dia menjawabnya tanpa memandang pun ke arah isterinya. Sikap Dahlan akhirnya menyebabkan rumah tangganya semakin dingin. Jika satu ketika dulu, Sofea isterinya selalu juga cuba untuk berbual dengannya tapi kini tiada lagi, Sofea juga sudah jadi seperti dirinya pendiam dan murung. Dia tahu semua itu berpunca dari dirinya yang tidak pandai melayan isteri. Menyedari kesilapannya Dahlan berusaha untuk menambat kembali hati Sofea tapi tidak berjaya hingga dia akhirnya kehabisan cara.
Satu ketika Dahlan sendiri jadi tertekan. Tertekan bukan kerana bertegang leher dengan isterinya, tapi kerana memikirkan bagaimana dia mahu berkomunikasi dengan Sofea. Walaupun isterinya tidak pernah mengeluh atau memarahinya tapi dari raut wajah dapat dilihat kekecewaan isterinya. Dia tahu Sofea adalah isteri yang baik dan perasaannya tidak sepatutnya didera sebegitu. Satu hari setelah berfikir semasaknya, Dahlan tidak mahu lagi wajah manis Sofea dirundung duka, justeru dia melepaskan Sofea dengan harapan isterinya itu akan bebas dari kehidupan penuh duka bersamanya. Tindakan Dahlan menyebabkan Sofea, menangis semahu-mahunya. Sehingga kini, Sofea tidak tahu sebab sebenar dia diceraikan kerana Dahlan enggan berterus-terang.
Tapi sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmahnya, sejak perpisahan itu Dahlan sedikit demi sedikit berubah. Berbicara dengan Sofea dirasakan tidak sesukar dulu. Pernah jua dia terfikir untuk kembali kepada Sofea setelah melihat bekas isterinya masih tiada pengganti tetapi dia masih belum punya keberanian untuk meluahkan hasratnya. Sehingga kini ia masih tersimpan kemas dalam hatinya dan Dahlan tidak putus berdoa agar diberi kekuatan untuk meluahkan rasa hati hidup semula bersama Sofea.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
erm ak de kenal ngan llki pndiam,n ak tertarik ngan dia..pendiam+pemalu..ak suka dia sbb cr dia cool je..plbgai usaha da ak try tackle..tp,ak still x tau pe jawpannyer samade dia suka ak or x,sbb dia pndiam,byk rahsia.aduyai.,kdg2 nk giveup pn ade,tp,ak still menaruh harapan kat dia.
Post a Comment