"Insyaallah dari segi bahasa bermaksud "jika dikehendaki dan dengan izin Allah sesuatu akan berlaku".
Insyaallah merupakan satu harapan dan doa sekaligus. Amat baik sebagai tanda pengharapan dan doa hamba yang lemah kepada Zat Allah swt. yang Maha Berkuasa. Secara kasar, ianya ibarat seperti sudah berjanji dengan janji yang sudah pasti ditepati mengikut logik akal manusia TETAPI harus diingat, ianya harus disertai dengan redha menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah swt. dan menerima takdir Illahi tanpa perasaan keluh kesah serta pasrah terhadap kehendak Allah swt. bahawa hanya DIA yang mengatur segala urusan.
Insyaallah diucapkan ketika kita berniat hendak melakukan sesuatu pekerjaan atau sesuatu perkara yang kita sendiri belum tentu akan masa keadaannya, baik sekarang mahupun yang akan datang. Pada kebiasaannya lafaz Insyaallah diucap apabila kita berbuat janji dengan orang lain ataupun di kala kita berjanji dengan diri kita sendiri.
Sebagai seorang Islam, kita amat digalakkan melafaz kalimah Insyaallah sebagai satu tanda dan peringatan bahawasanya segala urusan dan kuasa Allah swt. itu mengatasi segalanya kerana Allah swt. jualah yang Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.
Tidak seorang pun di antara kita yang mengetahui apa yang akan terjadi detik setelah ini. Oleh kerana itu, tidak akan pernah ada janji yang diikat 100% antara manusia, kecuali dengan menambahkan kalimah Insyaallah.
Insyaallah bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah swt. semata-mata apabila kita berasa malas dan berputus asa dengan kegagalan menunaikan janji kita yang telah kita lafazkan tetapi BELUM diusahakan. Sebagai orang Islam, kita mestilah berusaha menyempurnakan tuntutan lafaz Insyaallah yang kita telah kita ucapkan. Kalau kita gagal sekali pun setelah berusaha sedaya upaya, ianya tidak jatuh sebagai dosa orang MUNAFIQ dan masih boleh dimaafkan kerana lafaz kalimah Insyaallah itu ibarat pendinding dan peringatan bahawa Kuasa Allah swt. Mengatasi Segalanya yang bererti juga segala urusan di muka bumi ditentukan oleh Allah swt.
Berkenaan dengan lafaz Insyaallah, Allah swt. telah berfirman di dalam Surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24
[23] Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti"
[24] Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini"
Sayangnya, ada di antara kita mempergunakan kalimah ini secara keliru dan songsang sehingga anggapan telah dibuat bahawa kalimah Insyaallah ini diucapkan sebagai kelonggaran untuk TIDAK menepati janji dan TAKUT menerima amanah. Ideologi dan orientasi dangkal ini berkembang dan menjiwai sebahagian umat Islam sehingga adakalanya apabila kita sebut sahaja "INSYAALLAH", orang yang mendengarnya terus sahaja memandang serong dan negatif kepada kita (antagonistic). "Ini tak nak buat la ni", Pemalas la ni", "Woi, betul-betul la ni"....., itulah antara bait respon-reaksi yang kita dengar sesudah kita melafaz Insyaallah. Masyaallah!
Jadi sebagai hambaNYA, kita dipertanggungjawabkan untuk memperbetulkan apa yang silap. Jangan asyik mengikut telunjuk yang serong sahaja, khuatir nanti telunjuk menjolok mata! Mulai hari ini, perbetulkan maksud Insyaallah. Jangan lagi dipergunakan kalimah tersebut dengan maksud dan niat yang tidak tepat.
Ingat! "INSYAALLAH" bukan bermaksud berniat untuk tidak menepati janji dan tidak menunaikan amanah tetapi lebih kepada satu bentuk MoU (Memorandum of Understanding) kita dengan manusia secara langsung dan terhadap Allah swt. secara tidak langsung.
Sabda Rasullullah saw. sangat jelas, yang bermaksud:
Tanda orang munafiq itu ada tiga walaupun ianya berpuasa dan solat serta mengaku dirinya Islam, iaitu jika berbicara dia berdusta, jika berjanji ia menyalahi dan jika diberi amanah (dipercayai) ia khianati
[Hadis riwayat Imam Abul Husain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim bin Kausyaz al-Qusyairi an-Naisaburi atau lebih terkemuka dikenali sebagai Imam Muslim]
Orang munafiq tidak memperdulikan kepayahan dan kesengsaraan orang lain. Orang munafiq lebih mementingkan diri mereka sendiri (egocentrism) dan yang sepuak dengannya.
Kita jangan pedulikan dengan janji dan sumpah orang munafiq. Jelas dan terang surnpah mereka hanya sekadar permainan belaka. Bersesuaian dengan firman Allah swt. di dalam Surah Al-Munaafiquun ayat dua dan tiga
[2] Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan
[3] (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah)
Antara kita sebagai seorang Muslim tulen diharuskan untuk bersikap tegas terhadap orang-orang munafiq ini. Ketegasan ini tidak perlu diragukan lagi sebab adalah perintah dari Allah swt. sendiri. Tidak layak bagi Muslim lain mendoakan, bahkan mensolatkan, bersikap lembut dan bertolak-ansur dengan orang munafiq. Selagi seorang itu munafiqun, adalah merupakan pantangan abadi yang kekal bagi seorang Muslim untuk menerimanya sebagai sahabat apatah lagi sebagai pemimpin.
No comments:
Post a Comment