Kata orang mencintai tak semestinya memiliki. Memiliki juga tak semestinya dicintai. Tapi kalau cinta itu ikhlas dan suci berbekalkan restu Yang Maha Mencintai, kita akan memiliki apa yang kita cintai dan kita akan dicintai oleh yang memiliki. Jadi seharusnya kita ikhlas dalam mencintai jua memiliki.
“Aku terima nikahnya Alia Areena binti Ahmad Abdan dengan mas kahwinnya RM100 tunai”
Dengan hanya sekali lafaz sahaja aku kini bergelar isteri kepada Adam Harris bin Luqman Hakeem. Menitis mutiara jernih dari tubir mataku. Terharu tatkala dahi dikucup suami tercinta dalam majlis membatalkan air sembahyang.
Majlis persandingan berlangsung dengan sangat meriah. Semua sahabat ayah dan ibu hadir menyaksikan persandingan puteri bongsu mereka. Walaupun letih yang teramat sangat,tapi ku dapat lihat betapa gembiranya ibu dan ayah apabila aku dijodohkan dengan lelaki yang baik budi pekerti dari kalangan keluarga yang baik keturunannya. Gembira benar mereka kerana yakin kebahagiaan aku pasti terlakar nanti.
Malam itu, aku dan Adam Harris, solat Isya’ bersama-sama buat pertama kalinya sebagai suami isteri. Kalau dulu kami selalu juga solat bersama, tapi hanya sebagai abang dan adik angkat.
Aku menjadi anak angkat umi dan abi, gelaran buat kedua orang tua abang Adam Harris semasa aku melanjutkan pelajaran di Johor Bahru 2 tahun lepas. Lantaran terlalu lama bersama dan terlalu sayang pada aku, umi dan abi mengambil keputusan menjadikan aku menantu kepada anak kedua mereka,putera tunggal keluaraga Tan Sri Luqman Hakeem.
********************
Aku perasan yang abang Adam leka memerhati aku menyisir rambut. Rambut ikal dan lebat melepasi bahu. Terasa janggal pula bila kali pertama tak betudung depan abang Adam. Belum pernah aku membiarkan lelaki yang bukan muhrimku melihat rambutku.
“Pertama kali lihat rambut Alia. Cantik sangat. Inilah untungnya suami yang memiliki isteri bertudung.” Bicara abang Adam sambil menutup malu kerana perasan perbuatannya ditangkap.Aku juga hanya tersenyum. Menutup janggal.
“Abang Adam tidurlah atas katil tu, biar Alia tidur atas sofa.” Sambil mengeluarkan selimut dari dalam almari.
“Takpelah, Alia tidur atas katil, biar abang yang tidur atas sofa.”
Terkesima aku mendengar abang Adam membahasakan dirinya ‘abang’. Sebelum ini kami berbahasa menggunakan ‘abang Adam’. Sekali lagi kejanggalan menerjah diri.
“Tempat yang terbaik hanyalah untuk suami, sekarang abang Adam suami Alia, jadi abang Adam tidur atas katil, biar Alia tidur atas sofa.” Balasku. Belum selesa hendak memanggilnya ‘abang’.
“Tapi Alia..”
“Dahlah abang Adam,baik kita tidur. Nanti kalau ibu atau yang lain dengar, lain pula jadinya. Biar Alia padamkan lampu, abang Adam tidurlah ya. Assalamualaikum.”
“Waalaiakumusalam Alia..” balas abang Adam perlahan.
********************
Sebelum keluarga umi hendak masuk meminang, aku pernah berbincang dengan abang Adam Harris tentang apa yang direncanakan. Aku tak nak kami tersalah langkah, tak nak kami menyesal dikemudian hari.
“Alia setuju dengan apa yang umi rancangkan??” Tanya abang Adam Harris perlahan.
“Entah..” jawabku ringkas
Kami senyap tanpa bicara. Hilang kata-kata. Terasa lain benar petang ini.
“Keluarga umi dah terlalu baik pada Alia, begitu juga abang Adam sendiri. Alia tak nak lukakan hati siapa pun, itu sebab Alia ajak abang Adam bebincang. Alia tahu abang Adam dah ada pilihan hati, Kak Zulia kan??” Tanyaku sambil tersenyum.
“Zulia??” Tanya abang Adam kehairanan.
“Alia dah tahu masa kali pertama abang Adam bawa kak Zulia jumpa Alia. Walaupun abang Adam dan kak Zulia tak bagitahu Alia, Alia boleh baca dari raut wajah abang Adam dan kak Zulia” jelasku.
Sekali lagi kami senyap tanpa bicara.
“Alia juga tahu yang abang Adam bukan seorang anak yang suka membantah kata-kata umi dan abi, jadi kalau abang Adam tak setuju, biar Alia saja yang beritahu umi dan abi.Biar Alia beritahu yang Alia dah ada pilihan hati.”
“Tapi..” balas abang Adam dalam nada serba salah.
“Tak apa, Alia tak kisah. Apa yang penting kita tak tersalah membuat keputusan hidup.”
Balasku sambil tersenyum. Agar dapat menghilangkan rasa bersalah yang bersarang di hati abang Adam mungkin. Juga menenangkan hati sendiri. Penipu.
“Tapi umi pasti sangat-sangat kecewa dengan keputusan Alia. Abang Adam pula akan rasa bersalah seumur hidup. Abang Adam tak mahu jadi anak yang menyebabkan air mata umi mengalir, dan membiarkan Alia menanggung semuanyab seorang diri.” Balas abang Adam.
“Bukan abang Adam yang menyebabkan umi kecewa tapi Alia. Abang Adam tak perlu rasa bersalah. Alia tak kisah pun.” Balasku memujuk abang Adam.
“Dan kecewa umi pasti tak lama. Bila abang bawa kak Zulia jumpa umi nanti, pasti umi akan terima. Dan waktu tu,umi pasti dah tak ingat pada Alia lagi. Alia yakin kerana Kak Zulia baik peribadinya. Umi akan terima. Percayalah pada Alia.” Sambungku lagi.
“Tak Alia. Abang Adam tetap akan rasa bersalah dengan umi dan Alia. Abang Adam terima Alia sebagai pilihan umi.” Sambil memandang tepat ke arah ku.
“Apa?? Abang Adam jangan main-main” Balasku terperanjat. Pelik.
“Kita akan teruskan impian umi dan abi. Kita akan bernikah dan berkahwin seperti pasangan lain. Tapi hanya pada nama.” Henti abang Adam disitu.
“Maksud abang??” Aku semakin pelik dan hairan dengan bicara abang Adam.
“Kita berkahwin seperti biasa, dan abang akan lepaskan Alia selepas beberapa bulan kita kahwin. Kita cari alasan yang paling sesuai tanpa melukakan mana-mana pihak. Tidak umi, tidak abi,tidak abang Adam juga tidak Alia.”
“Apa?” hampir luruh jantungku mendengar bicara abang Adam.
“Alia tak perlu risau. Abang Adam tidak akan menyentuh Alia. Abang Adam akan lepaskan Alia sepertimana abang Adam mengambil Alia. Abang Adam janji.” Jelas abang Adam lagi. Penjelasan yang cukup menghancurkan hatiku.
“Selepas tu?” Tak sabar rasanya ingin mendengar butir perancangan abang Adam seterusnya.
“Selepas tu??” Tanya abang Adam semula. Lama juga abang Adam senyap sebelum dia meneruskan bicara seterusnya yang semamngnya tak pernah terlintas difikiranku.
“Selepas tu Alia boleh bersama dengan Izhar. Abang tahu yang Alia sukakan Izhar. Izhar pun sebenarnya sukakan Alia, dia ada bagitahu abang Adam yang dia nak jadikan Alia teman istimewa dia.Tapi dia belum berkesempatan untuk meluahkan kepada Alia.” Lancar bicara abang Adam.
Doktor Ikham Izhar. Sahabat baik abang Adam. Pernah merawat aku ketika kemalangan setahun lepas. Kami memang rapat, tak sangka pula keakraban kami disalah erti. Bukan sahaja oleh abang Adam tetapi juga Izhar.
“Izhar??” tanyaku.
“Ya, Izhar. Abang Adam akan terangkan segala rancangan kita pada dia. Hanya kita bertiga sahaja yang tahu.” Balas abang Adam.
“Jadi maksud abang Adam kita hanya berpura-pura sebagai suami isteri?” tanyaku mendapatkan kepastian.
“Ya..Tapi abang Adam tak paksa Alia untuk turut berlakon dalam drama yang mengarut ni. Abang Adam cuma menyatakan pendapat abang Adam sahaja. Abang Adam tak mahu ada hati yang terluka dengan keputusan kita nanti terutama umi dan abi. Kalau Alia rasa akan terbeban, kita lupakan sahaja.” Jawab abang Adam tenang tapi sayu.
“Alia setuju.Alia juga tak mahu kecewakan umi dan abi.” Entah kenapa begitu mudah aku bersetuju. Sedangkan aku tahu dalam hal ini akan ada hati yang terluka. Aku.
********************
Malam pertama bergelar isteri aku tidur betemankan air mata. Aku tak salahkan sesiapa. Aku yang setuju dengan keputusan ini. Tiada sesiapa yang memaksa.
Hampir 4 bulan melayari bahtera rumahtangga. Kami tinggal bersama umi dan abi. Tiada cacat cela dalam hubungan kami pada pandangan umum. Aku menjadi isteri yang paling solehah dan Adam Harris menjadi suami yang paling mithali. Kami sembahyang berjemaah, ke pejabat bersama, makan pakainya aku sediakan tanpa terbiar walau seinci pun. Dan dia memberiku nafkah zahir yang cukup sempurna. Walaupun aku memiliki pendapatan sendiri, tapi perbelanjaanku tetap ditanggung. Kami dikatakan pasangan yang paling sempurna. Ber ‘abang’ ‘sayang’ dalam bicara. Tapi itu semua hanya di luar kamar tidur. Kami kembali menjadi ‘Alia’ dan ‘abang Adam’ sekembali ke kamar tidur. Aku di sofa dan dia di katil. Plastik.
“Alia rasa dah sampai masa kita hentikan semua lakonan ini.” Bicaraku pada abang Adam selesai solat Terawih. Pertama kali aku bakal berpuasa Ramadhan sebagai seorang isteri.
“Maksud Alia?” Tanya abang Adam bagaikan tak mengerti.
“Alia tak mahu sambut Aidilfitri dengan semua ni. Kalau boleh biar kita akhiri semua ini sebelum Aidlfitri tiba “ Jawabku sambil mengawal perasaan yang bergelodak.
“Tapi macamana kita nak biarkan semua ini berlalu tanpa ada yang kecewa. Abang belum merancang. ” balas abang Adam.
Abang Adam benar. Kami terlalu sibuk ‘berlakon’ sehingga lupa memikirkan rancangan perpisahan terbaik tanpa melukakan hati mana-mana pihak. Sibuk sehingga kadang-kadang aku rasakan aku bukan lagi ‘berlakon’. Sibuk.
“Umi dan abi dah mula bertanya bila mereka boleh mendapat cucu daripada kita. Alia dah tak tahu nak jawab apa lagi.Alia rasa bersalah dan berdosa sangat pada umi dan abi.” Tak dapat kubendung lagi air mata dari mengalir.
Abang Adam datang menghampiriku dan mengelap air mata ku.
“Abang janji kita akan selesaikan semua ini secepat mungkin. Maafkan abang.” Pinta abang Adam sambil mengucup tanganku. Terharu.
“Tak, abang tak salah. Alia yang setuju dengan semua ini. Tiada siapa yang harus minta maaf dalam hal ini.” Balasku tanda bersalah. Bersalah membuatkan suami tercinta momohon ampun padaku sedangkan semua ini kehendak kami berdua. Kehendak aku sendiri.
********************
“Alhamdulillah. Selesai sudah ibadat Ramadhan hari pertama. Ujian Ramadhan hari pertama adalah ujian terbesar sepanjang Ramadhan.” Bicara abi dalam perjalanan pulang dari solat Terawih.
“Adirra katanya akan pulang raya ni. Adilla pun akan beraya disini. Tahun lepas dah beraya di rumah Ikram.” Cerita umi gembira.
Adilla Harissa. Puteri sulung pasangan Tan Sri Luqman Hakeem dan Puan Sri Hanum. Sudah berkahwin dengan Ahmad Ikram dan memiliki 2 orang cahaya mata. Hanis dan Haris. Kini menetap di Kuala Lumpur.
Adirra Harrisa. Masih belajar di Seol, Korea. Jurusan seni bina tahun terakhir.
“Wah!! Meriahlah rumah umi tahun ni.” Abang Adam turut gembira.
Aku hanya mampu tersenyum. Tak mampu untuk melibatkan diri. Fikiranku jauh melayang memikirkan apa yang sepatutnya aku lakukan. “Ya Allah, bantulah hambaMu ini”.
Malam itu sebelum bangun menyediakan juadah untuk bersahur aku sempat menunaikan solat hajat. Memohon petunjuk dan jalan daripada Yang Maha Merencana.
“Ya Allah, ku pohon padaMu agar Kau beriku petunjukMu.Bantulah aku dalam menyelesaikan semua ini. Sesungguhnya Ya Allah, seandainya dia tercipta sebagai teman hidupku, Kau perpanjangkanlah jodoh kami..seandainya dia bukan untukku, Kau berilah kami jalan terbaik dalam menempuhi kehidupan ini. Sesungguhnya, hanya padaMu aku bermohon Ya Allah, Tuhan yang Maha Agung, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Amin Ya Rabbul A’lamin.”
********************
Aku menunggu abang Adam pulang dari solat terawih dengan penuh debaran. Malam ini aku tidak ikut sama kerana masalah wanita. Aku yakin abang Adam pasti setuju dengan rancangan aku nanti.
“Cepat balik terawih hari ni? ” Tanya aku sebaik sahaja abang Adam melangkah masuk ke dalam bilik.
“Cepat? Tak adalah. Macam biasa. Alia tak ikut itu yang Alia rasa cepat.” Seloroh abang Adam.Sebaik sahaja abang Adam melabuhkan punggung di atas sofa, aku terus menghampirinya.“Sebenarnya Alia dah ada rancangan.” Bicara ku tanpa membuang masa.
“Rancangan? Rancangan apa pula ni? ” Tanya abang Adam pelik.
“Macam ni, pagi tadi Alia dapat tawaran kenaikan pangkat. Dengan syarat Alia perlu mengambil kursus di Jepun.”
Pagi tadi aku ditawarkan kenaikan pangkat. Tetapi dengan syarat aku harus mengambil kursus di Jepun selama 6 bulan. Mungkin ini petunjuk daripada Yang Maha Bijaksana untuk aku menyelesaikan semua ini.
“Jepun!!” jerit abang Adam.
“Perlahanlah suara tu, nanti umi dengan abi di luar tu dengar.” Sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.
“Ya, Jepun. Alia ingat kita bagitahu umi dan abi yang Alia tak boleh beri abang zuriat. Alia izinkan abang kahwin satu lagi. Alia akan cadangkan kak Zulia sebagai menantu umi. Bila semuanya selesai Alia akan terus ke Jepun.Kalau boleh kita selesaikan semua ini dalam bulan Ramadhan ni juga. Sebab Alia diminta ke Jepun pada raya ke 7.” Cadangku pada abang Adam. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancurnya hatiku bila memikirkan semua ini. Tapi inilah yang harus aku bayar atas segala perbuatanku.
“Apa!!! Alia nak bagitahu umi yang Alia tak mampu mengandung?? Alia dah gila ke?? Abang tak setuju. Banyak lagi cara lain. Bukan ini caranya. Dan Alia akan pergi ke Jepun tinggalakan kami semua?? Itu lagi abang tak setuju!!!” Marah abang Adam. Belum pernah aku lihat abang Adam marah begitu sekali.
“Abang Adam dengar Alia. Hanya ini sahaja jalan yang kita ada. Hanya ini sahaja peluang yang kita ada. Alia tak sanggup nak teruskan lakonan ini lagi. Dan Alia tak mahu jadi penghalang cinta abang Adam. Kak Zulia terlalu baik orangnya, Alia tak mahu abang Adam kehilangan dia.Tolonglah setuju dengan Alia untuk kali ini sahaja. Alia tak pernah minta apa-apa dengan abang Adam, hanya ini yang pertama dan terakhir. Kita hentikan semua ini.” Rayuku pada abang Adam. Tak mampu lagi untukku tahan air mata dari mengalir.
Abang Adam bangun meninggalkan aku sendirian. Tiada keputusan yang dicapai. Tapi aku nekad. Walaupun tanpa abang Adam, aku tetap akan meneruskan semua rancangan ini.
********************
Sambil membantu umi mencantas pokok bonsai kesayangannya, aku memulakan bicara tetang apa yang sudah aku rancangkan.
“Umi, Alia nak mintak ampun dengan umi dari hujung rambut sampai hujung kaki.Maafkan segala salah dan dosa Alia selama Alia bersama keluarga umi.” Bicaraku tersekat.
“Kenapa tiba-tiba Alia minta maaf pulak ni??” tanya umi hairan dengan sikapku.
“Tiada apa yang perlu umi maafkan. Alia anak yang sangat baik. Tiada salah satu pun yang Alia pernah lakukan.Kenapa ni sayang??” tanya umi lagi sambil mengusap belakangku.
“Maafkan Alia umi, Sebenarnya,Alia tak mampu berikan abang Adam zuriat. Alia tak mampu berikan umi dan abi cucu. Maafkan Alia.” Bicaraku dalam ketar.Hanya Allah yang tahu betapa berdosanya aku terhadap insan yang ku panggil umi. Yang tiada bezanya dengan ibuku sendiri.
“Ampunkan Alia kerana menipu umi. Ampunkan aku Ya Allah.”
“Astargfirullahhalazim!!Apa yang Alia cakapkan ni?? Umi tak faham lah.” Tanya umi tak percaya.
“Alia tahu. Umi pasti tak percaya. Tapi itulah hakikatnya. Alia tak mampu. Alia tak boleh. Maafkan Alia umi.” Jelasku dalam esak tangis. Bukan tangisan lakonan, tapi tangisan kerana menipu seorang insane bergelar ibu. “Berdosa aku Ya Allah.”
Tak sayang. Tak. Sekarang ni banyak teknologi canggih. Kita usaha ya. Umi yakin anak yang baik macam Alia akan dikurniakan cahaya mata yang baik juga. Kita usaha ya sayang. Umi yakin, pasti akan ada cara. Kalau tak boleh cara moden kita cuba cara kampung ya.Allah itu Maha Kuasa sayang.” Pujuk umi. Aku tahu umi kecewa sangat-sangat. Terlalau kecewa. Tapi umi bijak mengawal perasaan dan dikuatkan dirinya demi aku. Itulah umi.
“Tak umi. Alia dengan abang Adam dah cuba macam-macam cara. Baik moden mahupun cara kampung. Pelbagai usaha dah kami ikhtiarkarkan.” Bohongku pada umi.
“Kami dah buat keputusan. Alia izinkan abang Adam kahwin lain.” Beritahuku pada umi.
“Apa!! Apa yang Alia mengarut ni?? ” Marah umi.
“Alia tak mengarut umi. Kami dah setuju. Alia juga dah ada calon yang paling sesuai menggantikan tempat Alia disisi abang Adam dan juga untuk keluarga ini.” Jelasku pada umi. “Ya Allah, hanya Kau yang Maha Mengetahui.”
“Tak!! Umi tak setuju. Kalau betul Alia tak boleh beri zuriat pada Adam. Kita ambil anak angkat. Umi tak mahu orang lain sebagai menantu umi selain Alia. Umi tak setuju!!” Tegas umi.
“Umi, Alia nak abang Adam ada zuriat dia sendiri. Anak dia sendiri. Keturunan dia sendiri. Darah daging dia sendiri.” Jelasku dalam tangis yang tak dapat dibendung lagi.
“Umi jangan bimbang. Alia janji, isteri abang adam nanti lebih baik daripada Alia. Dia akan jadi isteri yang paling solehah,menantu yang paling hebat dan juga ibu yang paling sempurna kepada anak-anak abang Adam. Percayalah pada Alia umi. Alia pohon pada umi. Percaya Alia untuk sekali ini sahaja umi.” Rayuku. Aku yakin umi akan setuju. Aku kenal umi.
“Alia, jangan buat umi macam ini sayang. Alia tahu kan umi sayang Alia lebih daripada umi sayang Adam. Kenapa mesti macam ini sayang??” Tangis umi, kali ini umi tidak lagi dapat mengawal perasaanya. Tapi aku yakin ini adalah yang terbaik. Terbaik buat insan yang aku cintai.
*******************
“Berbuka puasa tadi umi lain macam sahaja. Solat Terawih pun umi tak ikut. Alia tahu tak kenapa?” tanya abang Adam sebaik sahaja masuk ke dalam bilik pulang solat Terawih.
“Alia dah bagitahu umi.” Jawabku pendek.
“Bagitahu umi?? Maksud Alia??” Tanya abang Adam dengan nada terperanjat. Kami belum capai kata sepakat, tapi aku dah memulakan rancangan. Siapapun di tempat abang Adam akan terperanjat.
“Alia dah bagitahu umi yang Alia tak boleh mengandung. Alia juga dah ceritakan pada umi tentang kak Zulia sebagai pengganti Alia. Dalam masa terdekat ni boleh lah kita pergi meminang kak Zulia. Kalau boleh raya pertama abang dengan kak Zulia dah boleh disatukan.” Bicaraku lancar tanpa memandang abang Adam. Takut aku kehilangan kekuatan.
“Apa yang Alia mengarut ni??!! Kita belum pun setuju dengan rancangan tu.” Marah abang Adam.
“Nampaknya Alia tak sabar nak tinggalkan abang ya. Bersungguh-sungguh benar Alia ingin dilepaskan.Baiklah, kalau itu keputusan Alia. Hujung minggu ni kita pergi pinang Zulia. Alia suka kan?? Puas hati Alia sekarang??”
Belum sempat aku jelaskan abang Adam terus keluar. Dihempasnya pintu bilik. Belum pernah aku lihat abang Adam seberang itu. Aku meraung sekuatnya dibibir katil.
Bukan ini yang aku mahu Ya Allah. Kalau boleh aku tak mahu dilepaskan walau sesaat pun. Kalau aku berdaya aku akan merayu supaya dakaplah aku seeratnya. Paut bahuku serapat mungkin. Jangan biarakan aku walau senafas sekalipun. Tapi aku terlalu lemah untuk itu. Terlalu lemah. Aku tak berdaya.”
********************
Deringan jam loceng benar-benar membuat duniaku berpusing. Kepalaku terlalu sakit bagai dihempas batu yang sangat berat. Tapi aku harus kuatkan diri. Keperluan suami tercinta harus aku siapkan. Abang Adam hanya akan bersahur jika aku yang masak. Bukan umi mahupun Mak Jah,tukang masak keluarga Tan Sri Luqman Hakeem sejak belasan tahun yang lalu.
Aku berjalan ke bilik mandi sambil berpaut pada dinding, berat sungguh rasa kepalaku. Keluar dari bilik mandi aku mencari abang Adam, tapi tiada. Kemana pula hilangnya?? Peristiwa malam tadi menerjah kotak fikiranku. Aku terus tertidur di birai katil kerana teruk menangis. Dan abang Adam keluar ke mana??
Segera ku ke bilik bacaan. Biasanya kalau ada masalah, abang Adam akan ke bilik bacaan. Dia sukakan buku.
Telahan ku benar. Dia tidur di sofa panjang di dalam bilik bacaan.“Maafkan Alia.” Manik jernih mula menitis kebumi. Ku tinggalkan abang Adam terus lena sementara aku turun hendak menyiapkan juadah bersahur.
********************
“Alia dah sedar.” Suara umi bagaikan bergema.
“Alia dah sedar sayang.. Syukur Alhamdulillah.” Bicara umi sambil mengucup dahiku.
Kepalaku ligat memikirkan apa yang terjadi. Kenapa semua orang ada di sini?? Ibu dan ayah dari Perlis pun ada. Kenapa aku boleh berada di atas katil hospital?? Kenapa kepalaku berbalut?? Apa yang sebenarnya semua ini?? Adakah aku sekadar bermimpi?? Dan mana abang Adam??
“Alia sayang, Alia jatuh pengsan masa turun tangga sahur kelmarin. Kepala Alia berbalut pula sebab Alia terhantuk pada anak tangga. Dua hari Alia tak sedarkan diri. Itu sebab kami telefon ibu dan ayah Alia.” Jelas abi bagaikan mengerti persoalan yang bermain di mindaku.
Tapi mana abang Adam?? Marah benar dia padaku sampaikan tak sudi melihatku disini.
Melihatkan aku yang senyap dan muram, ibu bagaikan mengerti bahawa aku perlu bersendirian.
“Doktor beritahu tekanan darah Alia terlalu rendah dan Alia terlalu letih. Itu sebab Alia pengsan. Alia perlu banyak berehat. Kami semua keluar dulu, esok pagi kami datang lagi. Alia rehat ya.” Pesan ibu sambil mengucup dahiku.
“Terima kasih ibu.” Bisikku perlahan.
Umi tidak mahu meninggalkan aku seorang. Tapi setelah dipujuk ibu, akhirnya umi mengerti. Sebelum keluar, ayah,ibu,umi dan abi mengucup dahiku dan berdoa supaya aku lekas sembuh. Mengalir air mataku tak tahan sebak di dada. Ternyata aku dikelilingi mereka yang penuh dengan kasih sayang.
Malam terasa sungguh kosong. Aku gagahkan diri bangun dari katil mencari kerusi tolak. Aku perlu keluar, aku tak mahu terbiar keseorangan dalam bilik ini. Aku mahu mencari ketenangan di kedinginan malam.
Aku duduk di suatu sudut sambil merenung malam. Aku tak berani memandang bulan kerana aku akan menangis jika terpandangkan bulan. Terasa betapa sunyi dan sedihnya sang bulan.
Dingin malam mencengkam sampai ke tulang. Tiba-tiba ada kain yang diletakkan dibahuku.
“Maafkan abang sayang.” Lafaz abang Adam sambil menggenggam erat jemariku.
Tiada apa yang mampu aku luahkan. Hanya air mata yang mengalir mamberitahu segalanya.
Malam itu aku diam tanpa sepatah kata pun. Begitu juga abang Adam. Kami sama-sama merenung malam. Memikirkan apa yang telah terjadi dan akan terjadi.
********************
“Sayang dah bangun?? Cepatnya. Nak makan apa-apa tak?? Doktor pesan sayang tak boleh berpuasa hari ini.” Jelas abang Adam sebaik sahaja menjengah masuk.
“Malam tadi abang tolak sayang masuk bilik. Tak mahu kejutkan sayang, abang pun angkatlah sayang naik atas katil. Berat juga isteri abang ni ya.” Seloroh abang Adam.
Tapi sedikit pun tidak berjaya membuat aku tersenyum. Aku masih tak mengerti. Kenapa abang Adam tiba-tiba berubah. Kenapa mesti ber’abang’ ‘sayang’ sedangkan tiada siapa pun disini.
“Laa, kenapa senyap je ni??marah sebab abang tinggalakan sayang seorang?? Sorry lah, abang pergi solat subuh kat surau sebelah.” Jelas abang Adam sambil tersenyum.
Dia bangun dan menuangkan air, lalu disuap ke mulutku. Kemudian dia membetul-betulkan bantal dan selimutku. Bimbang kalau aku tidak selesa. Tak cukup itu, dia duduk dibirai katil sambil mengulus lembut jemariku.
“Abang sayangkan Alia. Lebih daripada segalanya. Lebih daripada nyawa abang sendiri. Mencintai Alia adalah anugerah terhebat daripada Yang Maha Mencintai kepada abang. Memiliki Alia walau tidak sepenuhnya adalah hadiah terbesar sepanjang hidup abang.”
“Dan sekiranya abang terpaksa kehilangan Alia, abang lebih rela kehilangan nyawa abang. Abang terlalu cintakan Alia. Terlalu. Terimalah cinta abang sayang.”
“Tapi…” Pintasku. Tapi belum sempat aku menghabiskan ayatku, abang Adam cepat meletakkan jari telunjuknya dibibirku.
“Sebenarnya abang terlalu cintaka Alia. Sejak pertama kali abang lihat Alia di rumah umi 2 tahun lepas, hati abang dah terpaut pada Alia. Abang sentiasa berdoa agar Alia menjadi suri dalam hidup abang. Menjadi menantu kepada umi. Dan ibu kepada anak-anak abang. Allah Maha penyayang, Dia hadiahkan Alia untuk abang, tapi bukan sepenuhnya.” Bicara abang Adam sayu. Dan air mataku mula mengalir.
“Kenapa abang tak berterus-terang dengan Alia??” balasku dalam sendu.
“Bila Alia cakap tentang Zulia, abang rasakan Alia tak mahu bersama abang. Abang tak pernah cakap yang abang ada perasaan pada Zulia. Tambahan pula Izhar pernah bercerita pada abang tentang perasaannya pada Alia. Dan Alia juga ada cakap yang Alia akan beritahu umi bahawa Alia tidak setuju dengan perkahwinan kita. Itu sebab abang buat keputusan gila dengan setuju berkahwin dengan Alia. Bagi abang, biarpun abang tidak memiliki Alia sepenuhnya, tapi abang tetap berhak ke atas Alia. Dan abang yakin suatu hari abang akan berjaya memiliki cinta Alia. ”
“Tapi kenapa baru sekarang abang beritahu semua ni??kenapa tak dari dulu??”
“Abang tak mahu tergesa-gesa. Abang perlu benar-benar sedia. Dan yang sebenarnya abang takut. Takut kalau abang terpaksa kehilangan Alia.”
“Kalau betul abang cintakan Alia, kenapa abang tak ada masa Alia dihantar ke hospital?? Abang tahu tak, masa tu Alia lebih rela jika Alia mati. Alia benci pada doktor yang menyelamatkan Alia.” Tangisku semakin menjadi-jadi.
“Jangan cakap macam tu sayang.” Pujuknya sambil mengesat air mataku..
“Alia buat abang benar-benar kecewa bila Alia tiba-tiba beritahu umi tentang rancangan yang abang langsung tak setuju. Abang ingat nak luahkan segalanya pada Alia malam tu,tapi ternyata Alia lebih dulu minta dilepaskan. Ternyata cinta abang tak berjaya menambat hati Alia. Abang kecewa sangat-sangat. Sebab tu abang halang diri abang dari melawat Alia. Tapi ternyata cinta abang lebih kuat dari marah abang pada Alia. Abang tak berjaya halang diri abang dari bertemu Alia. Abang tak sanggup berpisah dengan Alia.” Jelas abang Adam tentang apa yang berlaku.
Tiada kata yang mampu aku luahkan. Kami saling berpelukan. Seerat mungkin. Bagaikan tiada apa yang dapat memisahkan kami saat itu.
“Maafkan abang sayang. Maafkan abang atas segala penderitaan Alia selama ini. Maafkan abang kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami. Maafkan abang kerana leka dengan perasaan Alia. Maafkan abang sayang.” Rayu abang Adam sambil mencium-cium jemariku. Terasa bahangnya airmata abang Adam yang mengalir di jemariku.
Aku yakin cinta Adam Harris tulus dan ikhlas buat diriku Alia Areena. Dan aku yakin inilah petunjuk daripada Yang Maha Merencana. Aku bersyukur yang teramat sangat.
Terlalu bersyukur.
********************
“Selamat hari raya Aidilfitri sayang.” Bisik abang Adam ke telingaku.
Selamat hari raya Aidilfitri??” Tanyaku pelik.
“Ya, selamat hari raya Aidilfitri” ulang abang Adam lagi.
Terasa liat sungguh mataku untuk dibuka. Baru aku teringat, malam tadi aku tidur lewat sangat. Bantu umi, kak Adilla, Adirra dan Mak Jah membuat persiapan akhir menjelang raya. Siapkan pakaian raya lagi. Hampir pukul 4 pagi baru aku berjaya meletakkan badan disisi suami tercinta.
“Dah pukul berapa ni?” Tanyaku sambil menggosok-gosok mata.
“Dah subuh. Bangunlah mandi. Busuklah.” Seloroh abang Adam.
Selepas solat subuh aku terus ke dapur membantu mana yang patut. Umi memang akan menyiapkan semuanya sebelum pergi solat Aidilfitri. Balik sembahyang boleh terus makan. Tak perlu nak kelam kabut. Hehehe..
Pulang dari sembahyang, kami semua menuju ke kubur datuk dan nenek abang Adam. Pertama kali buatku. Selesai membaca surah Yassin, al-Fatihah dan sedikit doa, kami terus pulang kerumah.
********************
“Abang, ampunkan dosa dan salah silap Alia selama bergelar isteri abang. Halalkan segala makan pakai Alia. Ampunkan Alia ye bang.” Menitis air mataku tatkala mencium tangan suami tercinta. Terharu diberi peluang oleh Yang Maha Mengasihi memiliki insan yang sangat aku cintai.
“Alia tak pernah bersalah pada abang. Abang halalkan segalanya. Dan abang harap, Alia pun sudi maafkan segala kesalahan abang pada Alia.” Sambil mengucup lembut dahiku. Terasa hangatnya kucupan seorang suami.
Selesai semua bermaaf-maafan, kami menjamu selera dengan semua juadah yang tersedia. Meriah sungguh Aidilfitri kali ini. Pertama kali menyambut Aidilfitri sebagai seorang isteri. Isteri kepada seorang suami yang sangat aku cintai.
********************
“Assalamualaikum.” Suara orang memberi salam sambil menekan loceng pintu.
“Waalaikumusalam.” Jawab abi dari dalam rumah.
Keluarga Ikham Izhar memang tetamu wajib keluarga abi dan umi. Datuk Arsyad dan Datin Siti Nuraidah, ibu bapa Izhar merupakan sahabat umi dan abi semasa belajar puluhan tahun dahulu.
Melihatkan Izhar aku rasakan seribu kesalahan telah aku lakukan padanya.Risau apa yang akan dikata nanti bila aku dan abang Adam masih suami isteri. Risau di wajahku dapat di baca oleh suami tercinta.
“Sayang tak perlu risau. Izhar tak tahu apa-apa pun. Abang tak pernah beritahu dia apa pun yang terjadi antara kita.” Bisik abang Adam ke telingaku.
“Maksud abang??!!” tanyaku terperanjat.
“Ya, bila abang cakap yang hanya kita bertiga sahaja tahu, sebenarnya tak, hanya abang dan Alia sahaja yang tahu. Mustahil abang akan lepaskan Alia kepada orang lain.hehehe” sinis abang Adam sambil ketawa sinis.
“Owh..main-mainkan Alia ye.” Balasku sambil mencubit pinggang abang Adam.
“Aduhh!!” jerit abang Adam. Semua yang ada di ruang tamu memandang tepat kearah kami. Senyap.
“Kenapa Adam??” tanya umi kehairanan kerana tiba-tiba sahaja abang Adam menjerit.
“Tak ada apa umi. Semut gatal gigit pinggang Adam.” Jelas abang Adam sambil tersenyum simpul.
Semua yang ada tergelak di buat dek abang Adam. Riuh rendah rumah besar ini di buatnya.
********************
Ya Allah, bahagianya hidup ini. Aku bersyukur teramat sangat hanya padamu Ya Allah..
Terima kasih atas bahagia yang Engkau anugerahkan Ya Allah. Sesungguhnya setiap recanaMu adalah yang terhebat dari mana-mana rencana di dunia ini.
Mungkin kehidupan tak seindah kisah cinta kami. Tapi kehidupan juga tak sedasyat yang kita bayangi. Kerana itulah ia di gelar kehidupan.
Cerpen Cinta ini telah dikirimkan oleh saudari Siti Rahmah.
No comments:
Post a Comment