Tuesday, May 18, 2010

Gadis Sebelah Rumah


Setiap hujung minggu, aku akan berada di rumah ibubapaku sekiranya tidak ada apa-apa pertunjukan pentas. Di tepi balkoni bilikku inilah aku memencilkan diri sambil bermain gitar, mencari ilham dan tona muzik yang baru sebagai killer song untuk album terbaru kumpulan kami nanti. Ketika aku asyik memetik gitar dan bernyanyi perlahan, telingaku menangkap bunyi ketawa seorang perempuan di luar rumahku. Ketawanya tidak begitu kuat berdekah, namun sangat riang. Mungkin ada sesuatu yang menyeronokkan di laman rumahnya, fikirku.

Aku mengintai sedikit, memerhatikan apa yang berlaku. Dua ekor arnab putih berlari-larian di sekitar halaman rumah jiran sebelahku itu. Gadis itu pula cuba menangkapnya namun tidak berjaya. Dia tertawa sendiri lalu terduduk keletihan di atas hamparan rumput yang hijau. Aku terpesona dengan gerak-gerinya tadi. Gaya lariannya. Wajahnya kelihatan lembut dan mempesonakan. Ilhamku tiba-tiba saja datang tanpa diundang setelah terpandang wajah gadis tersebut. Aku kembali mengarang lirik yang terlintas di fikiranku. 'Untuk Gadisku', itulah tajuk yang aku berikan. Hasil kerjaku itu telah dipuji oleh pengurusku. Sudah pasti lagu itu boleh menaikkan nama kumpulan kami buat sekali lagi. Itupun kerana gadis di sebelah rumahku itu.

Seminggu kemudian, aku berada di tempat yang sama lagi. Di tepi balkoni bilikku, memencilkan diri dan cuba menghasilkan sebuah lagu. Tidak pula aku nampak dia semenjak kes mengejar arnab tempoh hari. Aku ada juga bertanyakan ibuku tentang si dia. Rupa-rupanya gadis itu adalah anak jiranku yang baru pulang bercuti dari sekolah berasrama penuh. Mungkinkah gadis itu sudah kembali ke asramanya? Aku tidak pasti.

Pada suatu hari, kumpulanku membuat pertunjukan pentas di sebuah pasaraya besar di kota. Semasa aku sedang khusyuk bermain gitar dan menyanyi, mataku menangkap kelibat gadis sebelah rumahku itu. Dia tersenyum sambil memandang tepat ke arahku. Hatiku berasa sedikit bangga apabila mendapati si dia memakai kemeja-T kelab peminat kumpulan kami. Setelah habis pertunjukan pentas itu, aku pulang ke rumah dengan perasaan yang berbunga. Selepas mandi dan minum petang, aku berjalan-jalan di luar rumah, menanti gadis sebelah rumah itu berlalu di hadapan pagar rumahku. Itupun kalau nasibku begitu baik untuk bertemu dengannya.

Alangkah bertuahnya diriku apabila aku terlihat si dia melintas di hadapan pagar rumahku. Mulutku ini berani pula menjerit, memanggil 'cik '. Gadis itu menoleh. Riak mukanya agak terperanjat melihat aku di tebing pagar. "Andy?" ucapnya dengan nada terkejut. "Ya, saya Andy. Err, boleh kita bersembang sekejap?" balasku, sedikit tergagap. "Boleh." Si dia tersenyum dengan manis sekali. "Masuklah dulu." Pelawaku sambil membuka pintu pagar.

Kemudian kami duduk di taman orkid milik ibuku. Ibuku pula baik hati, membuatkan minuman untuk kami berdua. "Boleh saya minta autograf awak, Andy? Saya sangat suka dengan lagu-lagu ciptaan awak. Boleh dikatakan, peminat setia awak." Ucapnya, dengan bersahaja. "Autograf? Boleh. Tiap-tiap hari pun boleh." Balasku dengan selamba. Si dia tertawa riang. Aku segera mencapai pena dan kertas yang dihulurkan. "Err, nama awak?" soalku. "Adrienne." Ucapnya, pantas. "Ejanya?" soalku dengan nada bodoh. Memang aku kurang pasti dengan ejaannya. Adrienne tertawa lagi. Sesungguhnya aku amat terpesona dengan sikapnya yang ceria dan periang itu. "A.. D.. R.. I.. E.. N-N.. E.." sebutnya, satu-persatu. "Oh, Adrienne. Sedap nama awak." Pujiku. Namanya secantik orangnya.. "Thank you!" Adrienne tersenyum manis. Kalaulah aku seorang penghidap kencing manis, sudah pasti aku mati kerana senyumannya itu.

Tidak kusangka, pertemuan pertama itu telah membuatkan hatiku tertambat kepadanya. Setiap hari, aku akan bangun awal semata-mata ingin mengusiknya yang asyik menyiram bunga ataupun memberi makan pada arnab-arnabnya. Kadang-kala aku akan membasuh kereta ayahku atau melakukan apa-apa saja, semata-mata ingin melihat wajahnya. Kalau diikutkan hatiku, ingin saja aku menyuruh ibuku pinangkan saja Adrienne. Tetapi, hasrat itu tidak pernah aku nyatakan kerana aku tahu, Adrienne masih muda. Begitu juga aku. Biarlah kami berkawan terlebih dahulu.

Persahabatan kami juga bertambah baik apabila kami sering bertukar-tukar pendapat tentang lagu-lagu yang bersesuaian dengan jiwa remaja. Kadang-kala Adrienne akan datang ke rumahku di waktu petang dan mendengar aku menyanyikan lagu-lagu kegemarannya. "Untukmu gadisku, akan kujanjikan cincin di jari manismu. Sebagai tanda ikhlas kasihku terhadapmu. Wahai bidadari, dengarkah dikau akan suara hatiku ini?" Suaraku mendayu-dayu menyanyikan lagu 'Untuk Gadisku' yang sememangnya diciptakan khas untuknya. Adrienne akan tersenyum lebar dan adakalanya dia turut bernyanyi bersamaku. "Saya suka awak, Andy. Awak ni cutelah!" Ucapnya suatu hari padaku. "Betulkah? Saya pun suka awak.. Suka mengintai awak pagi-pagi dari dulu lagi. Tapi sekarang ni, saya suka usik awak. Kira 'suka' lah tu, kan?" Usikku sambil mencuit sedikit hidungnya yang mancung. "Andy nakal!" Adrienne akan menjerit cerlang lalu melarikan diri dariku. Aku pula hanya tertawa dan mengejarnya keliling rumah.

Namun langit tidak akan selamanya cerah. Adrienne yang ceria dan periang itu bukanlah seceria dan sesihat yang aku sangkakan. Pagi itu, sewaktu dia keluar memberi makan pada arnab-arnab kesayangannya, dia telah jatuh pengsan tanpa sedarkan diri. Aku terlihat Adrienne terbaring di laman rumahnya dari tebing balkoni bilikku. Aku bergegas turun ke bawah dan memanjat pagar rumahku demi untuk mendapatkannya. Wajahnya pudar dan kelihatan begitu lemah. Ibubapanya telah menghantarnya ke hospital, manakala aku dan ibubapaku menyusul dibelakang.

Jiwaku begitu tidak tenteram setibanya aku di ruang legar wad kecemasan di hospital. Pelbagai persoalan timbul di fikiranku. Segala-galanya terjawab apabila ibunya memberitahuku bahawa Adrienne menghidap leukemia, sejenis barah darah yang mampu membunuh! Diagnosis pakar perubatan telah mengesahkan bahawa badan Adrienne sudah tidak mampu bertahan dengan lebih lama lagi. Adrienne sudah tidak boleh diselamatkan. Hanya masa saja yang menentukannya.

Airmata lelakiku tumpah jua apabila mendengar kata-kata doktor itu. Perasaan sayang itu sudah tersulam semenjak aku terpandang dirinya buat kali pertama, maka barulah aku boleh menangis kerananya. Aku tidak ingin percaya akan kata-kata doktor, namun aku perlu menerima hakikat walaupun ianya pahit untuk ditelan! "Andy, ada sesetengah perkara, tidak dapat diberikan oleh ibubapa kepada anaknya. 'Perkara' itu, boleh menguatkan semangat Adrienne. Andy faham maksud pakcik, kan? Kerana kasih-sayang kami tidak sama dengan kasih sayang Andy."

Aku hanya diam apabila mendengar kata-kata bapa Adrienne. Fikiran aku kusut. Aku tidak mengerti ucapan itu dengan sepenuhnya. Perlahan-lahan aku menyeka airmata yang jatuh ke pipi. "Adrienne sayang pada Andy. Dia minat Andy. Suka sangat mendengar lagu-lagu Andy. Dia gembira apabila dia berjumpa dengan Andy. Dia tidak sangka orang yang disukai dan diminatinya selama ini hanya tinggal di sebelah rumah. Andy, pergilah berjumpa dengan Adrienne di dalam. Tunaikanlah hajatnya untuk pakcik. Tolonglah, ini saja yang pakcik minta."

Langkahku perlahan, memasuki bilik rawatan rapi tersebut. Ibuku dan ibu Adrienne berada di sisinya. Aku segera mendapatkan Adrienne yang terbaring. Jemarinya yang sejuk kupegang dengan sekemas mungkin. "Adrienne.. Adrienne.." Aku hanya memanggil nama itu berkali-kali. Aku ingin berkata-kata, namun aku buntu. "Andy.. tolong jangan sedih, ya? Awak mesti janji dengan saya, bahawa awak akan menjadi pemuzik dan penyanyi yang terbaik." Suara Adrienne kedengaran begitu perlahan.. "Emm.. saya janji dengan awak. Saya janji." Balasku secepat mungkin. Ada seduan terlekat di halkumku. Aku sedang menangiskah?

Adrienne mengelap pipiku yang basah dengan hujung jemarinya. Dia cuba tersenyum walaupun payah. "Awakpun mesti janji dengan saya. Tolong kuatkan semangat, tau! Jangan tunjuk kelemahan awak pada saya. Janji, jangan tinggalkan saya, Adrienne.." Ucapku walaupun sedikit teresak. Aku mengetap bibirku dengan sekuat-kuat hati. Aku tidak mahu menangis dan kelihatan sedih di hadapan Adrienne disaat-saat begini. "Saya janji, saya takkan tinggalkan awak. Walaupun saya tak ada di sisi awak, tapi saya… tetap… dan sentiasa… disini… di hati, dan fikiran awak." Balas Adrienne sambil menundingkan jarinya ke dadaku. Perasaan sebak tiba-tiba mencengkam. "Adrienne, janganlah cakap macam tu." Nafas Adrienne tiba-tiba menjadi berat. Suaranya langsung tidak kedengaran. "Andy.. janji tau.. The best.." ucapnya lalu dia memejamkan mata. Aku sedikit takut dengan keadaannya itu. "Adrienne..? Adrienne..?" panggilku berkali-kali. Ibu Adrienne menangis secara tiba-tiba. Aku benar-benar terkejut. "Andy, Adrienne dah tak ada lagi." Kata-kata ibuku itu bagai tamparan yang menyinggah ke pipi. Adrienne..

Setahun berlalu tanpa aku sedari dan pemergian Adrienne di hadapan mataku itu masih belum dapat aku lupakan sepenuhnya. Aku juga sudah lama tinggal berasingan dari kedua-dua ibubapaku. Aku tidak sanggup berdepan dengan laman rumah yang kosong di sebelah rumahku yang dulu itu. Aku tidak mahu menanggung perit akibat kerinduan yang amat sangat. Mungkin arnab-arnab di rumahnya juga berasa sepertiku, sedikit kesunyian. Jadi, biarlah aku sendirian di sini. Mungkin aku akan bertemu dengan sumber ilham yang baru untuk menghasilkan lebih banyak karya. "Andy, janji tau.. The best...." kata-kata terakhir Adrienne akan kuingat sampai mati.

Permintaan Adrienne telahpun aku tunaikan. Lagu 'Untuk Gadisku' yang aku cipta telah mendapat sambutan hangat diseluruh negara. Sekelip mata saja kumpulan kami menjadi popular. Pelbagai jemputan dan undangan pertunjukan pentas yang kami terima. Mungkin ini hikmah dan berkatnya aku bertemu dengan seseorang yang seistimewa Adrienne, gadis sebelah rumah itu. Walau cuma seketika, namun kesannya sangat mendalam dan memberikan aku secebis kekuatan untuk terus maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.

No comments: