Thursday, May 13, 2010

Isteri tersayang

ISTERI TERSAYANG

PENDAHULUAN
Cerpen ini diadaptasi dari sebuah kisah benar (sahabat baik saya) yang ceritakan dari email. Nama,watak serta plot di dalam cerpen ini telah diubah supaya cerpen ini tidak menimbulkan unsur sensitiviti bagi sesetangah pihak. Penghasilan cerpen ini sekadar ingin dijadikan sebagai ikhtibar untuk kita semua.

------------ --------- --------- --------- -
Zubir, seorang lelaki. Pesan ibunya, insan bernama lelaki pantang menangis. Insan bergelar lelaki tidak boleh menitiskan air mata. Pesan ibunya terbuku - terpaku diruyung minda.

Hampir 40 tahun bertapa di kepala, pesan ibunya hari ini Zubir ingkar lupa. Pesan dari seorang insan yang berkerudung di bawah nama wanita. Zubir sudah lama tidak ketemu dia. Kali terakhir mereka berutusan berita 20 tahun lalu. Dia rafiq terakrab Zubir. Sahabat yang Zubir anggap terunggul. Taulan yang tidak keterlaluan Zubir katakan, diantara bebintang yang bergentayangan di langit hitam pekat, dialah satu-satunya purnama yang bersinar. Zubir sibuk menyiapkan disertasi ketika monitor komputernya disinggahi ikon kecil berupa surat. Tetikus pantas digerakkan ke ikon inbox massage yang jarang-jarang diterima itu. Sekali tekan, email yang hadir dari pengutus yang tidak Zubir ketahui asal-usulnya terpampang menjamu diagonar mata.

Zubir,
Salam buat rafikku yang aku kira kala ini sibuk dengan tuntutan hidup yang sentiasa menggigit. Maaf, aku muncul tiba-tiba setelah lama menyepi diri. Aku sebenarnya ketandusan kata-kata. Aku sesungguhnya tidak tahu bagaimana harus aku lakarkan agar engkau tahu duka-lara hatiku. Maruah wanita sentiasa berkapuh di kaki lelaki, kata orang. Aku pernah bersumpah akan sentiasa berpegang dengan kata-kata itu tapi metah, sumpah aku terlerai akhirnya. Aku persis bulan yang merayu pungguk. Cuma, pencarian aku ini tidak akan ada hentinya kerana aku tahu, aku hanya mengejar bayang-bayang semalam. Aku terlalu merindui dia, Zubir!

Mukadimah warkah yang tidak diundang itu menjemput tanda tanya bertamu disanggar hati. Kenapa dia jadi begitu? Mengapa dia jadi pengemis rindu? Benteng hati Zubir turut merusuh bersama-sama dengan bait-bait perutusan yang dijelajah-jamah seterusnya.

Zubir,
Natasya Aminah Abdulah, gadis berdarah English-Scottish. Aku mula mengenalinya di kampus University of Leeds, London. Natasya pelajar fakultiku. Natasya tidak mudah didekati. Tidak ada ruang untuk aku menghampirinya buat sekian lama hinggalah kesuatu tarikh keramat. Satu petang aku melihat dia diburu oleh seorang lelaki, untuk mengelak diganggu tiba-tiba dia sepantas kilat masuk ke rumah sewaku dengan selamba. Aku jadi kaget kerana dia bukan muhrim yang tiba-tiba menceroboh masuk semata-mata untuk mendapat perlindungan diganggu oleh lelaki tersebut. Akhirnya dia menceritakan kepada aku bahawa lelaki tersebut adalah bekas kekasihnya yang ingin mengganggu hidup Natasya dengan merebut kembali cintanya, namun Natasya cuba menolak kerana sudah tidak tahan dengan sikap bekas kekasihnya yang kaki perempuan.

Detik itulah aku berjaya menghadirkan diri dalam hidupnya. Kami kahwin selepas itu walaupun ibuku menghalang. Cinta aku pada Natasya teguh-utuh biarpun ibu sering menimbulkan onar. Kata ibu, Natasya bukan anak bangsawan Melayu seperti kami justeru itu dia tidak layak menjadi sebahagian dari kaum keluargaku. Ibu tidak rela keturunannya berumbut-berumbi asing. Malah bangsa Natasya juga berasalnya dari kolonial yang banyak mencetuskan semangat nasionalisme Malaysia walaupun kita sudah merdeka hampir 40 tahun.

Persoalan yang singgah diendokrap minda Zubir kian terjawab. Zubir mula mengerti gejolak hati dia. Zubir mula faham susur-galur kisah dia. Namun debar Zubir kian berganda bila Zubir terus meluncuri batas-batas warkah dia selanjutnya.

Zubir,
Lima tahun usia perkahwinan kami, kami masih berdua. Kasihku pada Natasya mula tergugat. Aku kepingin anak yang biasa panggil aku ayah! Mungkin ini balasan kerana mengingkari titah ibu. Aku jadi keliru. Natasya tenang. Tika mendapat perkhabaran buruk tentang keluarganya diKosovo dulu pun, dia tetap tenang. Aku jadi kalut. Aku jadi tidak sabar. Aku jadi bingung dengan kesabarannya. Ibu pula kian mendesak mengasak. Bara mula berasap. Ibu pula menyiram minyak. Tahap kesabaran aku mula teruji. Api kemarahan aku marak menjulang. Termakan dengan kata-kata ibu yang Natasya mandul, cinta aku mula beralih arah. Farah pilihan ibu, tanpa banyak soal, aku terima.Namun, Natasya tetap setia dengan aku. Sungguh aku tidak mengerti wanita itu, Zubir. Sabarnya tidak ada penghujung!

Zubir,
Aku mula abaikan Zubir. Tambahan pula, setelah dua bulan berkongsi kasih dengan Farah. Dia mengandung. Natasya, jarang sekali aku jenguk. Mual rasanya aku bila memandang wajahnya. Aku jadi begitu tidak sabar dengannya. Semua yang dilakukan serba tidak kena di mataku. Aku pernah menjirus tangannya dengan air teh yang panas berasap Cuma kerana dia terlewat membawakan air itu padaku! Ranting tubuhnya, aku kira sudah lali dengan sepak terajangku. Pernah dia tersungkur kelantai terkena penanganku suatu hari itu Zubir. Darah merah pekat berhamburan dari kepalanya yang terhantuk dibucu meja, tapi aku bangga melangkah keluar meninggalkan dia menanggung kesakitan sendirian. Sembilan bulan Farah mengandung, sembilan bulan jugalah Natasya tidak kupedulikan. Nafkah zahir batinnya aku tidak pernah ambil peduli. Aku kira lara dia makin bertambah selepas kelahiran Azhad Ahlami, putera aku dan Farah. Natasya sudah tidak ada dalam kamus hidupku! Entah kenapa? Rasa kesal tiba-tiba sahaja datang bertamu. Aku semakin resah, resah yang makin mencengkam di jiwa.

Zubir jadi bingung. Mengapa begitu mudah kasih terhenti? Kenapa begitu senang cinta mati? Dia bukan lagi rafik yang pernah suatu ketika dulu Zubir kagumi.

Zubir,
Hati Natasya turut kurebus dengan kata nista tapi sungguh, dia tidak pernah melawan. Dia tidak jadi seperti ayam yang berketak bila dimarahi manusia. Dia umpama rumput dilaman yang boleh aku pijak sesuka hatiku. Allah itu Maha Kaya. Itu ketentuan yang tidak dapat aku sangkalkan. Farah berubah selepas melahirkan anak kami. Dia abaikan aku. Dia abaikan Azhad Ahlami. Kata Farah, dia tidak betah menjadi ibu. Potongan badan dia yang menggiurkan dulu telah rosak kerana mengandungkan Azhad Ahlami, katanya.Dia kesal kerana hamil. Dan yang sungguh menghancurkan hatiku, katanya dia kesal kerana berkahwin denganku! Anak kami terbiar Zubir. Farah tinggalkan aku bersama-sama Azhad Ahlami yang masih lagi menyusu. Ibuku pula tidak mahu ambil tahu.Tahukah engkau betapa rusuh hatiku tika itu, Zubir?

Zubir sebak. Sebak mengenangkan betapa agungnya kuasa Tuhan. Allah tidak pernah mungkir janji pada umat ciptaanNya. Yang baik dibalas baik.Yang buruk mendapat pembalasan setimpal. Dalam memelihara ego seorang lelaki, Iskandar terpaksa akur, dia wajar menerima pembalasan seperti itu dari Allah.

Zubir, Aku terpaksa menjilat nanah yang aku cipta sendiri selepas peninggalan Farah. Aku ketemu Natsya. Azhad Ahlami perlukan perhatian dan kasih sayang seorang ibu. Aku rela sembah Natasya tika itu Zubir, kalau-kalau dia tidak mahu

mengambil Azhad Ahlami. Dia tidak menolak. Aku bertambah terpukul dengan keadaan. Mengapa semurni itu hati dia, Zubir? Azhad Ahlami lena dalam dakapan dia. Dan engkau tahu Zubir, sememangnya Allah itu sungguh Pengasih. Azhad Ahlami kehilangan ibu. Paling mengharukan aku, Azhad Ahlami biasa membesar dari sumur Natasya! Natasya tidak pernah hamil. Dia tidak pernah mengandung. Mana mungkin ada susu tapi itulah kebesaran Ilahi. Aku langgar sumpah kita Zubir. Lelaki tidak seharusnya menangis. Tatkala melihat detik itu, permata jernih ini turun tidak berhenti-henti. Jendela mataku berlangsir hujan! Kami hidup bahagia selepas itu Zubir. Farah telah kulepaskan secara baik. Ibu akur dengan keputusan aku. Dia lebih banyak diam sejak Farah tinggalkan aku. Mungkin malu dengan Natasya. Hari-hari yang kami lalui selepas itu cukup manis. Azhad Ahlami membesar dengan kasih sayang Natasya.

Zubir seakan tidak percaya membaca zarah-zarah tulisannya itu. Besar kuasa-Nya. Dada Zubir berombak menahan sebak.

Zubir,
Waktu yang berlalu terasa begitu pantas. Usia perkahwinan kami masuk ketahun yang ke-20. Azhad Ahlami sudah jauh besar. Dia ke Amerika menyambung pelajarannya. Aku sibuk dengan perniagaanku. Natasya tidak pernah merungut. Dia isteri setia, Zubir. Setiap hari, pulang dari kerja, makanan akan sentiasa siap terhidang. Aku jadi selesa dengan keadaan itu. Dan mungkin kerana itulah aku take things for granted! Hanya bila ada keperluan kami bercakap. Bukan aku tidak menyayanginya, Zubir. Cuma aku kira dia cukup tahu kasih sayangku padanya walaupun tidak kuucapkan.

Satu hari, Natasya mengadu padaku. Kepalanya sentiasa pening dan selalu pitam. Aku terlalu sibuk dengan urusan perniagaanku hinggakan permintaannya untuk menjalani pemeriksaan terbiar begitu sahaja. Aku terlupa tanggungjawabku padanya dalam kesibukan aku mengejar keuntungan. Dedaun masa yang telah gugur tidak akan dapat dilekatkan semula pada pohon kehidupan. Itulah yang aku pelajari beberapa bulan selepas itu, Zubir. Natasya pengsan. Menangis hingga kering mengalir air mata darah sekalipun tidak mampu mengubah ketentuan Ilahi, Zubir. Natasya menghidap barah otak. Mengapa tidak aku terfikir apa yang diberitahunya itu adalah simptom penyakit maut itu?

Menurut doktor, barah otak yang dilaluinya itu adalah kesan daripada hentakan dan pendarahan dibahagian kepala Natasya satu ketika dulu yang pernah aku lakukan. Penyakit barah otak ini selalunya sukar untuk diselamatkan. Lebih malangnya Natasya sudah di peringkat kritikal. Natasya perlu dibedah segera. Aku rasa sungguh bersalah pada Natasya. Kalaulah aku tidak terlalu menurut sibukku, sudah tentu barah Natasya tidak separah ini. Aku ini terlalu kejam pada Natasya. Aku sungguh kejam.

Tika itu, baru aku sedar betapa susahnya menjadi seorang isteri. Aku ambil alih tugas di rumah kala Natasya terlantar di hospital. Aku terpaksa belajar membahagikan masa menjenguk Natasya dan mengemas rumah. Hanya Tuhan sahaja yang mengerti hatiku tika itu, Zubir. Baru aku sedar, betapa selama ini, insan yang bergelar isteri itu memikul tanggungjawab yang sungguh berat. Aku ikhlas mengaku Zubir, jika aku diberi pilihan, aku lebih rela mengambil tempat Natasya menanggung sakitnya daripada menanggung tanggungjawabnya sebagai seorang isteri! Kesihatan Natasya semakin menyusut. Aku diburu rasa menyesal yang tidak berkesudahan. Kata doktor, barah Natasya sudah mengakar ke sistem saraf. Barah penyakit perjalanan sehala.Tidak ada perjalanan pulang. Tiketnya menuju kesatu destinasi sahaja. Mati! Satu hari, Natasya memanggilku. Suaranya lemah sekali. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Aku jadi kaget Zubir.

Tiba-tiba sahaja aku begitu takut kehilangannya. Walaupun aku telah ketahui saat seperti ini akan tiba, aku seakan tidak mahu menerima kenyataan itu. Wajah Natasya tenang. Dia cuba menguntum senyuman yang aku kira terukir dalam kesakitan yang teramat sangat. Kepalanya aku riba, Zubir. Tuhanku, tika ku elus rambutnya yang sudah kehilangan seri itu, satu-persatu rambutnya gugur. Lebih mengguris hatiku Haziq, ada parut panjang di kulit kepalanya. Parut luka Natasya yang terhantuk dibucu meja satu ketika dahulu masih bersisa! Dan parut itu jugalah yang menjadi punca barah ini. Aku tidak dapat menahan sebakku. Betapa berdosanya aku! Natasya semakin lemah.

Ada air mata tergenang di bibir matanya. Kelopak mataku sudah tidak mampu kubendung lagi. Natsaya pohon agar aku halalkan segala makan minumnya. Juga, dia pohon padaku, halalkan air susunya membesarkan Azhad Ahlami walaupun dia bukan ibu kandung Azhad Ahlami. Dia pohon ampun dariku kerana tidak mampu mengurniakan anak yang dikandung dalam rahimnya sendiri.

Zubir,
Tangannya kupegang erat. Aku tidak rela melepaskannya pergi. Bersama-sama hari yang baru mendaki dhuha serta diiringi kalimah syahada, Natsaya akhirnya terlena dalam dakapanku. Lena yang sungguh panjang! Aku masih lagi tidak dapat menerima kenyataan yang dia telah tiada. Azhad Ahlami tiba dari Amerika petang itu juga. Sempat dia mengucup dahi ibunya itu. Aku masih lagi terbau harum puspa kemboja. Sungguh, aku amat merinduinya. Sungguh juga, Aku terlalu menyayanginya. Zubir!

Megat Iskandar,
23 January 2002. Malaysia.

Bait-bait terakhir warkah Iskandar cukup meruntun hati Zubir. Airmata Zubir seakan tidak mahu berhenti ini terpaksa diseka. Besarnya pengorbanan seorang isteri. Zubir juga seperti Iskandar, tidak pernah menyedari betapa agungnya

seorang insan bernama wanita ini. Pawan musim gugur yang bertiup menggigit saya. Iskandar menyedarkan Zubir. Zubir tidak pernah mengucapkan sayang pada isterinya setelah lebih 20 tahun lebih hidup bersama. Zubir bangun. Najwani sudah tertidur di sofa, mungkin kerana terlalu penat menanti Zubir menyiapkan Tugasannya. Dia Zubir kejutkan dari tidur. Najwani, abang Sayangkan Najwani! Terpisat-pisat bangun dari tidur, Najwani terpinga-pinga. Zubir tidak peduli. Iskandar terlewat. Zubir tidak mahu dia juga terlewat.

TAMAT
**Mati Hanya Sekali, Jadikannya Di Jalan Allah**







by:ejan

No comments: