Tuesday, May 18, 2010

Kekal ke Akhirnya

Semalam telahpun berlalu. Namun hari ini senyumku masih melebar. Erti sebuah kegembiraan. Penuh dengan kegirangan. Awal pagi semalam segala-galanya berjalan lancar. Segala-galanya terlaksana sebagaimana dirancang. Sebentuk cincin bertatah sebutir berlian putih tersarung kemas di jari manisku. Alhamdulillah, aku kini menjadi tunangan orang. Kudoakan semoga ikatan ini berpanjangan. Senyumanku terus mekar…


Deringan handphone di mejaku memutuskan lamunan. Tertera nama si pemanggil. Aku tersenyum lagi. Terbayang wajah seseorang yang menyenangkanku. Perlahan-lahan aku menekan punat menjawab, tertunggu-tunggu suara di hujung sana. Panggilan yang sememangnya ditunggu-tunggu. Sejak semalam aku menanti, hari ini baru termakbul. Suaranya menyapa lembut, dan aku membalasnya.

Katanya dia sedang melihat koleksi gambar-gambar majlis semalam, sambil memuji kecantikanku. Senyuman meleret di bibirku. Terbayang keindahan majlis semalam. Terasa keseronokannya. Akhirnya talian diputuskan. Aku masih dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Tatkala ini aku menjadi sebahagian daripada hidupnya. Aku akan menjadi surinya tidak lama lagi.

Ingatanku mengimbau kenangan silam. Kami sering berjumpa malah sering menyapa. Namun sekadar rakan sepengajian. Kadang-kadang terasa hairan juga kerana si dia seolah-olah mahu mengenali dengan lebih rapat. Pernah juga kami makan berdua bersama, tapi itupun kerana kebetulan saja, kawan yang kunanti tak kunjung tiba, tiba-tiba dia pula yang menawarkan diri duduk semeja. Untuk menolak permintaannya terasa bersalah pula. Aku gugup juga, maklumlah tak pernah aku makan berdua dengan mana-mana lelaki. Si dia selamba saja. Dia yang memulakan kata. Sepatah ditanya sepatah juga aku menjawab. Kadang-kadang aku hanya mengangguk, menggeleng, tersenyum, dan berisyarat saja. Entah, aku tidak mahu terlalu menunjukkan kemesraan kepada seorang lelaki yang aku masih tidak kenal peribadinya. Kadang-kadang aku khuatir andainya akan timbul pula fitnah yang sering memerangkap. Hanya waktu yang akan menentukan segala-galanya.

Ada harapan yang bersarang jauh di lubuk hatiku, moga-moga ia berakhir dengan sebuah kegembiraan. Semakin hari semakin aku mengenali dirinya. Semakin dekat hatiku kepadanya. Ada rasa yang bertakhta di hatiku. Dan rasa itu berbalas. Akhirnya dia melamarku menjadi tunangan hidupnya. Sebahagian hidupku telah menjadi milik seseorang, berdarah manis kini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Handphoneku berbunyi lagi. Nama pemanggil kutatap. Aku senyum lagi lantas butang menjawab kutekan. Ceria saja suaranya langsung tidak bermasalah. Kawan-kawan di sekelilingku mula memandang-mandang. Galak mereka mengusikku. Tahulah mereka siapa yang menelefonku. Keadaan masih terkawal, aku tahu berkelakuan sopan. Walaupun bergelar tunangan, tingkah laku harus dijaga. Kawan-kawan pun tahu akhlakku. Menjadi contoh kepada mereka semua adalah impianku.

Lagipun bukannya manis bergelak tawa sakan bersama seorang lelaki walaupun dia adalah tunangku. Tunangku juga tahu membatasi diri, itulah keistimewaannya.

"U dah mandi ke ni…? Ada bau je…baik U pegi mandi sebelum I pengsan kat sini…Kalau I pengsan U jugak yang kecoh nanti…tu dah kira baik…kalau I mati, nangis tak berlagu la U tu…"

"Dah hensem la…nak pegi mengadap sayang pun dah ok, jom kita keluar…teman abang makan…"

" Terima kasih je lah…I dah kenyang. Tadi I dah makan kenyang-kenyang ngan kawan-kawan…Sekarang masanya I nak rehat-rehat…lapangkan fikiran, fikir apa nak buat untuk hari esok…"

"Alah…kalau dah tak sudi tu banyak la alasannya…bila kita nak kawin ya…? Cepatkan boleh…?" Aku hanya tersenyum, terasa lucu pula. Itulah ayatnya setiap kali aku menolak pelawaannya untuk keluar bersama. Namun dia faham pendirianku untuk tidak terlalu keterlaluan dalam berhubungan. Kesempatan yang ada harus digunakan sebaiknya. Aku memutuskan talian. Menyambung semula kehidupanku bersama kawan-kawan.

Mereka semua teman-teman yang baik. Terasa sangat bertuah sekali. "Hai…senyum memanjang je kawan kita ni…dah kat rumah mertua ke…?" Hanya senyuman daripadaku menjadi jawapan kepada mereka semua. Malu sebenarnya. Mereka semua tahu statusku kini. Dengan kilauan cincin di jari aku tidak mampu menidakkan teguran mereka semua. Akhirnya aku melangkah ke bilik, tak tahan lagi menahan telinga menerima usikan-usikan daripada teman-teman.

Aku tinggal menyewa bersama kawan-kawan. Sudah sekian lama bersama mereka, sudah faham apa yang harus dan tidak harus dilakukan di rumah ini. Sememangnya kami sama-sama membantu menguruskan rumah ini. Ada jadualnya yang tersendiri, tidaklah nanti ada yang tidak berpuas hati. Masing-masing berperanan dan seboleh mungkin mahu menjaga setiap perasaan yang wujud.

Teman-temanku juga semuanya berperwatakan ceria. Asalnya pula dari kampung, tahu menghargai setiap kesenangan yang wujud. Kami saling bertukar pandangan, saling menegur agar tiada yang tersilap langkah. Inilah anugerah tuhan yang harus disyukuri. Kehidupanku teratur sempurna, dibantu oleh kawan-kawan yang memahami, tunangan yang disayangi dan orang tuaku yang dihormati.

Kehidupanku penuh dengan tawa riang. Kami serumah sering berkumpul jika berkelapangan. Adakala tunangku turut serta juga.

"Korang ni bila nak kawin…?"

"Tanyalah si Aisyah ni…I memang la nak cepat dia pulak yang suka kasi macam-macam alasan…"

"Itu nak kena kawin paksa ni…mende baik tak elok ditangguh-tangguh…"

"Betullah tu…kalau nak kitaorang yang uruskan pun no hal lah…". Itulah yang sering mereka utarakan bila berkumpul bersama. Ada-ada saja idea mereka semua untuk mengenakan kami berdua. Aku hanya mampu tersenyum saja, Rizal, tunangku melirik penuh makna. Renungan itu kubalas bersahaja. Tunangku faham aku tidak selesa dengan situasi tersebut.

"Tunggulah sikit masa lagi…kasi can kat Aisyah ni manja-manja dengan kawan-kawan dia dulu…" Kawan-kawanku ketawa kecil. Aku tumpang ketawa juga. Tunangku selamba saja sambil bibirnya tersenyum-senyum menyukai suasana antara kami semua.

Hidangan makan tengahari kami nikmati bersama di rumah sewaku. Suami rakan serumahku turut serta kali ini. Bukannya aku yang beria menjemput tunangku makan di sini tapi Kak Mala yang memujukku agar suaminya berteman. Suami Kak Mala bekerja di negeri lain. Hanya hari minggu mereka bersama, bermesra, mengubat rindu yang terpendam.

Selesai semuanya, kami serumah berborak-borak kosong. Hampir waktu Asar, tunangku memohon diri untuk balik. Aku hanya menghantarnya di pintu rumah. Aku melambaikan tangan sambil tersenyum mesra. Kegembiraan menguasai diri. Tapi sekejap cuma apabila azan Asar berkumandangan aku terus ke bilik air mengambil wudhu'. Saat mengaminkan doa aku teringat kedua ibubapaku di kampung. Apa khabaran mereka sekarang? Aku menarik nafas panjang, terasa rindu pada belaian mereka sekian lama. Terbayang di ruangan mata kenangan-kenangan indah bersama.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Saat aku mendaftarkan diri pada hari pertama di Universiti, itulah kali pertama aku melihat tunangku. Kami saling berpandangan namun tiada sepatah kata yang terucap. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Kali ini ahli keluargaku turut serta bersamaku semasa sesi pendaftaran. Si dia aku tidak ambil peduli. Sesekali aku lihat dia berbual-bual bersama orang ramai sekeliling.

Perasaanku cukup resah, mungkin kerana sekejap lagi aku akan ditinggalkan keluarga di sini. Jauhnya…cukup menyebakkan. Namun terselit juga suatu kebanggaan kerana kini aku mampu bergelar seorang mahasiswi di menara gading. 'Siapa yang tidak mahu ke sini?' Perasaanku berkocak lagi, memikirkan tentang kehidupanku di kolej. 'Siapa roommate ku nanti?' Ah, siapapun nanti aku harap dia seorang yang baik.

Sekilas aku memandang si dia, sibuk menulis sesuatu nampaknya. Tidak dipedulinya suasana hingar di sekeliling. Asyik pula aku memandangnya entah kenapa. Tiba-tiba bahuku disentuh, abangku menyalamiku sambil mengucapkan tahniah. Ada hadiah yang dihulurkan. Oh, terima kasih kubalas sambil tersenyum riang. Seterusnya aku menyalami setiap ahli keluargaku. Tersentuh juga hatiku atas kesudian mereka menemaniku hari ini.

Aku datang dari sebuah keluarga yang sederhana sahaja. Ibuku seorang surirumah sepenuh masa dan ayahku pula seorang guru. Ikatan kekeluargaan di kalangan kami amat utuh. Paling aku gembira apabila setiap daripada kami tahu untuk menghargai kewujudan masing-masing. Hari ini, mereka buktikan segala-galanya. Kini tiba masanya aku berjauhan dengan mereka. Terasa sepi di hati apabila mereka mula melangkah ke kereta. Lambaianku dibalas sambil mataku menyoroti kereta ayah sehingga hilang dari pandangan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pintu bilik kubuka perlahan. Nampaknya aku akan mempunyai seorang saja roommate. Aku memilih meja study, almari dan katil sebelah kanan. Sambil memikirkan siapakah gerangan roommateku, aku berdoa semoga dia nanti bersikap mesra denganku. Aku mula mengemas kesemua keperluan yang dibawa. Hampir sepuluh minit aku bersendirian pintu bilikku dikuak. Seorang gadis hitam manis melemparkan senyuman sambil melangkah masuk. Dia menyalamiku. Namanya Nia. Kelihatan di wajahnya sebuah kelesuan, mungkin setelah berpenat di tempat pendaftaran tadi. Sapaan khabar aku mulakan supaya suasana tidaklah hambar.

Dia nampaknya seorang yang cekap apabila sekejap cuma masa yang diambil untuk mengemas segala keperluan yang dibawa. Sambil berbual berkenalan akhirnya dia mengajakku menemaninya ke café kolej. Masakan aku menolaknya apabila perutku juga mula berkeroncong sumbang.

Tak disangka pula si dia yang kulihat semasa pendaftaran tadi ada juga di sini. 'Tak de orang lain ke?' Aku mula memilih menu yang sesuai lantas mendapatkan tempat duduk yang agak kebelakang. Nampaknya aku mula menyukai kolej ini. Segala-galanya ada di sini. Bilik yang selesa, café yang bersih, CC yang dihias moden, gym yang luas, dan banyak lagi suasana yang menenangkan fikiranku.

Akhirnya ia bermula di sini! Asyik aku menyuap nasi ke mulut si dia datang menyapa. Katanya nak menumpang duduk memandangkan tempat lain sudah pun penuh. Nampaknya aku terpaksa bersetuju. Nia pun tak banyak cakap terus mengangguk kepala. Lagipun kami berdua orang baru di sini. Tak elok menyombong. Aku agak kekok berkeadaan begini sehingga ke akhirnya. Namun si dia ramah berbicara. Aku bukannya biasa pun makan semeja dengan mana-mana lelaki ajnabi. Ini pun kerana terpaksa rela.

Selesai segalanya aku dan Nia kembali ke bilik. Sekilas pandang si dia juga telah pun berlalu entah ke mana. 'Mana dia tinggal?' Tiba-tiba saja perasaan ingin tahuku meluap-luap. Entah kenapa sekejap cuma aku telahpun menyenangi perlakuannya. Dari perbualan tadi aku tahu si dia bernama Rizal. Aku perkenalkan diriku sebagai Aisyah. Tanpa diduga hatiku mekar girang…entahlah…

Aku mengambil wudhu' saat azan Maghrib berkumandang dari surau kolej. Aku mengajak Nia solat berjamaah bersama. Kami hanya solat di bilik kerana masih tidak biasa untuk ke surau. InsyaAllah apabila sudah biasa di sini aku berniat untuk solat di surau apabila berkesempatan. Aku memanjat doa semoga aku sentiasa tabah dan bersemangat sepanjang pengajianku di sini. Aku tetapkan niatku semoga kedatanganku ke sini adalah untuk menuntut ilmu Allah secukup-cukupnya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pulang saja dari kuliah aku terus tidur. Badanku terasa lemah sekali. Setelah Nia kembali dari kuliahnya aku terus meminta dia menemaniku ke klinik. Nasib baik ada seorang kakak senior yang berbaik hati menumpangkan kami dengan keretanya. Doktor memberikanku beberapa jenis ubat. Aku terlena lagi selepas kuambil ubat-ubat tersebut. Demamku sedikit reda apabila kutersedar dari lena yang agak panjang.

Saat begini aku mula rindukan keluarga di kampung. Aku mengambil keputusan untuk menelefon mereka. Sapaan daripada ibu membuatkan hatiku tenang. Sedikit sebanyak aku menceritakan keadaan diriku, bukan bertujuan untuk merisaukannya tapi sekadar untuk bermanja. Siapa lagi untukku merengek selain daripada ibu? Kudengar suara ibu sayu memujukku.

Sepuluh minit masa berlalu akhirnya talian kuputuskan. Demamku makin pulih dan fikiranku lapang sekali. Aku menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Aku dapat rasakan badanku mula bertenaga kembali. Apapun aku mengambil keputusan untuk menyambung mimpiku memandangkan masa yang ada tidaklah begitu menjerat. Hampir menjelang malam baru aku tersedar, itupun setelah dikejutkan Nia. Aku bergegas membasah tubuh. Tidak mahu lagi berleka-leka kerana ada tugasan kuliah yang harus aku selesaikan.

Jiwaku tenang saat menelaah ilmu. Nia juga kelihatan khusyuk menyiapkan tugasannya. Sambil tangan kami sibuk menyiapkan tugasan mulut kami becok bercerita. Nia peramah orangnya sambil sesekala kami ketawa kelucuan. Aku ceria dengan suasana.

"Camana life kau sekarang?" Nia mencungkil sesuatu.
"Ok la…sibuk sket sekarang ni…macam-macam tugasan dah dapat…semuanya nak cepat…letihhh"

"Itu la kan, aku pun sama."
"Susah tak kau punya course? Aku kena banyak outing la…"
"Aku plak banyak nak kena pakai duit. Dah la loan tak masuk-masuk lagi…nak mintak ngan parent pun bukannya diaorang berduit." Nia meluahkan masalahnya. "Itu la kan, tapi nak buat camana. Aku pun macam tu juga. Bila dah banyak outing tentunya nak kena pakai banyak duit. Terpaksa juga aku mintak lebih sket ngan parent. InsyaAllah diaorang faham kalau kita jelaskan dengan betul." Nia menganggukkan kepalanya. Bersetuju saja dengan komen yang kuberikan.

Nia akhirnya mengajakku ke café. Aku bersetuju saja. Kami makan seadanya sekadar mengalas perut. Sesuatu yang tidak diduga berlaku lagi…Rizal juga berada di situ. Aku mula gelabah tak tentu pasal. Dia menghadiahkanku sebuah senyuman. Aku membalas seadanya. Keramahan Rizal mula menguasai suasana sehingga masing-masing membawa diri. Seperti pertemuan dulu aku sememangnya menyenangi peribadinya. Bicaranya bijak berilmu. Perwatakannya juga menarik perhatian. Aku mula mengagumi setiap apa yang ada padanya. Betapa seronoknya aku jika dia juga menyukai peribadiku. Tapi…siapalah aku ini…? Aku gembira dengan setiap layanan yang diberikan Rizal. Ah…mainan perasaan!

Aku membetulkan niatku datang ke sini. Ada harapan yang menggunung untuk melihatku berjaya. Jika ibubapaku di kampung bersusah payah mencari rezeki untuk menampung kos pengajianku kenapa harus aku persiakannya? Aku harus tahu menghargai sebuah pengorbanan. Ibu selalu berpesan supaya aku belajar bersungguh-sungguh. Tekadku semoga tiada kekecewaan tergambar di wajah mereka suatu ketika nanti.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hampir satu semester aku di sini. Rutin kampus menjadi kebiasaan padaku. Apa yang berbeza cuma hubunganku yang agak rapat dengan Rizal. Kami berkawan rapat dan saling membantu antara satu sama lain. Suatu perkara yang paling tidak aku suka apabila ada perasaan halus mula menguasai diriku. Perasaan itu kusimpan kejap jauh di lubuk hati. Manakan tidak apabila suatu ketika kulihat Rizal mesra dengan seorang wanita di kampus ini.

Aku mengenali Diana seadanya. Kami juga pernah bertegur sapa. Dia bagiku seorang yang bergaya. Rizal juga kulihat amat senang dengannya. Cemburuku usah dikata, namun kusimpan dari pandangan wajah. Ada waktunya Rizal selamba saja menceritakan perihal Diana kepadaku. Aku terpaksa menjadi pendengar setia walaupun hatiku hanya tuhan saja yang tahu. Sejauh mana hubungan mereka tidak pernah kupersoalkan.

Suatu ketika kami terserempak. Rizal memperkenalkan Diana kepadaku. "Diana…my best friend. Kawan lama I. Kalau U ada apa-apa masalah boleh mintak tolong dengan dia. Diana ni baik orangnya. Cakap je apapun InsyaAllah dia akan tolong." Pujian Rizal melambung. Meluatnya aku…Rizal senyum meleret.

"U ni lebih-lebih je…U pun sama la kan…Rizal ni kalau nak tahu kalau dengan perempuan cantik lagi senang dia lentok. Cakap je problem apapun dia la orang pertama yang angkat tangan nak tolong." Aku tersenyum cuma…sebenarnya cukup menyampah dengan keadaan.

"Oklah Rizal, Diana…aku pergi dulu, ada hal sket kat library…nak siapkan tugasan." Rizal menganggukkan kepala.

"Nak siapkan tugasan ke…ada dating ngan pak we?" Jelingan tajam kuberi pada Rizal.

"Suka hati aku la…apa kau sibuk? Ingat kau aje ke yang boleh ada mak we?"

"Aku ada mak we ke…?" Rizal menyoalku. Aku tidak menjawab lantas menyambung langkahku ke destinasi. Dari belakang kudengar Rizal memanggilku namun kupekakkan telinga. Aku percepatkan langkah menjauh.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sebulan berlalu tanpa kutemui Rizal di mana-mana. Ada rindu bersarang di hati. Sambil memujuk hati yang tidak keruan aku mencermin diri. Siapalah aku dibanding Diana? Kali ini aku bersendirian ke bandar. Membawa hati yang agak lara. Satu persatu lot kedai kujejaki. Namun tiada satu pun yang menarik perhatianku. Hampir Maghrib baru aku pulang ke kolej dengan keletihan.

Terasa langsung tidak bermaya. Nia pula tiada menemani. Katanya ada hal di kampung. Hanya katil tempat aku berlabuh. Aku terus melelapkan mata menganyam mimpi. Sehinggalah Subuh baru aku tersedar. Aku bangun melakukan senaman ringan. Beginilah rutin harianku, melakukan sedikit regangan sebelum ke bilik air. Aku membelek jadual hidupku untuk hari ini. Ada kuliah…Malasnya…Selepas menunaikan fardhu Subuh aku bersarapan ringan di bilik.

Selesai saja kuliah aku bergegas ke perpustakaan. Ada tugasan baru yang harus aku selesaikan segera. Tugasannya agak susah kali ini dan sememangnya memerlukan banyak bahan rujukan. Aku berlenggang keseorangan mencari tempat berlabuh yang sesuai, agak tersorok agar lebih privacy. Tiba-tiba pandanganku melihat Rizal. Kenapa harus di sini? Aku terus menjauhkan diri. Malas untuk aku menegurnya. Walaupun terasa benci namun jauh di sudut hati kecilku masih merindui Rizal. Cemburuku pada kemesraan antara Rizal dan Diana tak mampu aku ketepikan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Setahun pengajianku berlalu…kini tiba masanya untuk aku bercuti panjang sebelum pengajian semester baru. Aku pulang ke kampung mengubat kerinduan yang sarat terhadap ayahbonda. Ibu dan ayah menyambutku seadanya dengan makan malam yang sungguh menyelerakan. Sambil bercerita panjang aku memohon dari ibu dan ayah untuk bekerja sepanjang cuti kali ini. Alhamdulillah mereka bersetuju dengan cadanganku.

Seminggu berlalu akhirnya aku mula bekerja di sebuah syarikat hartanah sebagai pembantu jualan. Seronok rasanya apabila aku mula menjiwai dunia pekerjaan. Banyak pengetahuan dan pengalaman dapat kukutip. Aku juga punya bos yang agak baik orangnya. Selalu memberi tunjuk ajar seandainya aku ada melakukan kesilapan. Rakan sepejabat turut membantu menyelesaikan segala tugasan yang diamanahkan.

Sebulan sudah berlalu dan hanya tinggal seminggu lagi aku di sini. Rakan sepejabat meraikanku dengan sedikit jamuan ringkas hari ini. Kebetulan kata mereka ada staf baru yang akan melapor diri pada hari ini juga. Sesuatu yang tidak diduga…, Rizal orangnya. Saat dia diperkenalkan jiwaku kalut. Rizal disuruh memberi sedikit ucapan selamat datangnya dan nampaknya aku juga terjerat apabila terpaksa juga mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberi peluang aku bekerja di sini.

Sebelum waktu pulang tiba tahulah aku bahawa Rizal bukanlah seorang asing di sini tapi dia merupakan anak sulong kepada bos aku. Aku kaget lagi. Entah kenapa aku merasa benci yang amat. Kelibatnya sejak dari tadi tidak kelihatan. Dalam bilik agaknya…buat-buat sibuk la tu…Aku hanya mampu menarik nafas panjang. Kepalaku terasa berat, macam-macam yang terlintas dalam fikiranku.

Saat aku melangkah pulang Rizal datang mendekati. "I memang dah tahu U keje kat sini…abah yang bagitahu."

"Terima kasih kerana bagi peluang I kutip pengalaman kat sini…". Aku sekadar menjawab.
"Lama I tak nampak U kat kampus…"
"Biasa la kan…masing-masing sibuk…" Rizal menganggukkan kepalanya.
"I rindu sangat kat U. Nak sangat jumpa dengan U." Jantungku bagai berhenti berdegup. Mukaku terasa bahang. Tanpa sepatah kata aku melangkah keluar dari pejabat. Rizal cepat menghalang di depanku. "Tak sudi nak borak dengan I ke…? Macam dulu-dulu…kita kan pernah jadi kawan baik, so kenapa U macam tak suka je bila nampak I kat sini…?" Aku hilang arah, wajahku masih merona merah. Rizal memandangku lama sambil menunggu jawapan. Aku diam tanpa bicara. Jauh di sudut hati sebenarnya aku begitu gembira dengan pertemuan ini. "Oklah, U dah jadi sombong sekarang. I je yang tertunggu-tunggu pertemuan macam ni…Kalau U nak tahu I selalu mengharapkan ada lagi pertemuan antara kita selepas U seolah-olah menjauhkan diri dari I. I pun tak faham kenapa U sering mengelak dari berjumpa dengan I. Mmm…I nak tanya…U cemburu dengan Diana ke? Kalau betul begitu…antara I dengan Diana tak ada apa-apa pun." Telingaku menjadi pendengar setia. Mulutku membisu. "Diana dah pun kahwin, dan sekarang…I pun fikir pasal sebuah ikatan. I nak kahwin dengan U." Aku hampir pengsan, terasa di awangan. Namun kucuba bertahan seadanya. Rizal setia menunggu bicaraku. "I nak dengar suara U…cakaplah apa saja…" Lidahku kelu. Tiada kata yang mampu keluar dari rongga tekakku walaupun ada sesuatu yang ingin aku perkatakan. Rizal terusan memandangku. Akhirnya aku melangkah lagi, ralat rasanya berkeadaan begini. "I tunggu jawapan U…apapun keputusan yang U buat I sedia terimanya."

Kuteruskan langkah selaju mungkin. Tak mahu aku terusan mendengar luahan perasaan Rizal, mampu membuatkan aku pengsan bila-bila masa saja. Fikiranku bersimpang-siur. Rizal telah menyataka segalanya. Namun Hatiku masih berteka-teki mengenai Diana. Tak mungkin tiada yang istimewa antara mereka lantaran kemesraan yang ditunjukkan. Sebelum keputusan dibuat aku harus menyatakan apa yang terbuku di hati. Biar segala jelas sejelas-jelasnya.

Hari terakhir aku di pejabat kuatur satu pertemuan dengan Rizal. Aku mahukan penjelasan yang jitu. Tidak mahu lagi ada yang tersembunyi dan menjadi teka-teki. Lantas Rizal menceritakan segala-galanya. Antara dia dan Diana pernah memadu kasih namun tiada restu daripada keluarga. Akhirnya mereka memutuskan untuk terus bersahabat sahaja.

Deringan handphone memutuskan lamunanku. Aku kembali kepada realiti. Tunangku menelefon lagi. "Tak rindukan abang ke? Lambatnya kita nak kawin."

" rindu buat apa…tetiap ari U call."
"Ooo…tak rindu…tak pe…" Suaranya kedengaran merajuk.
"Orang tua hodoh la kalau merajuk…takdenya orang nak pujuk." Tiada simpati dariku.
"Tak pe lah, abang merajuk dengan orang lain…"
"kalau berani pegi lah."
"Ok, abang nak pegi lah ni…" Talian diputuskan. Terkejut aku dengan tindakannya. Merajuk betulkah dia? Hatiku cuak. Melampau sangatkah aku?

Ada ketukan di pintu rumahku. Aku berlari anak membukanya. Terkejut aku bilamana tunangku yang tercegat di depanku. "U?" Dia hanya mengenyitkan mata. Aku mengetap bibir. "Dengan siapa lagi abang nak merajuk…?" Wajahku merona merah. Tiada kata dapat kuluahkan. Sememangnya aku begitu terkejut dengan tindakannya, manakan tidak sekejap cuma selepas kami berbual di telefon. Dia tersenyum bangga. "Tadikan sayang jugak yang suruh abang datang…" Akhirnya aku tersenyum jua.

Katanya dari tadi dia berada di hadapan rumahku. Rindu katanya. Kami berborak seketika di halaman rumah. Tiada yang penting dibualkan melainkan luahan rasa ketidaksabaran menunggu hari penyatuan kami. Aku tersenyum cuma. Malas melayan perkara yang bukan-bukan. Kami sama-sama melewati kenangan silam. Akhirnya kami bakal bersatu. Tak pernah kusangka ia akan berakhir begini namun itulah impianku saat aku mengenali dirinya.

Kupanjatkan rasa syukur pada Ilahi. Malam mula menjelma. Aku mendongak ke langit, terasa damainya hati. Kubiarkan wajahku disapa angin lembut, nyaman sekali. Aku mula menghitung hari. Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi. Akan kami tunaikan segala janji-janji kami untuk hidup bahagia ke akhirnya. "Abang mahu sayang jadi seorang isteri yang terbaik untuk abang. Abang juga akan buktikan hanya abang yang mampu membahagiakan sayang hingga ke akhir hayat. Kita perlu sentiasa bersama walau dalam apa jua keadaan sekalipun." Aku bersetuju dengan apa yang diucapkannya. Harapan kami untuk mencari kebahagiaan bersama menggunung tinggi. Aku bertekad untuk menjadi isteri solehah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Aku menjadi tunangannya selepas dua tahun dia menungguku menamatkan pengajian. Aku kagum dengan kesabarannya menunggu hingga ke saat kami ditunangkan. Hari-hari yang mendatang makin bermakna buat kami. Sesekali mulutku mengucapkan syukur kerana segalanya berjalan lancar tanpa banyak halangan. Semoga segalanya akan berpanjangan hingga ke hari kami akan disatukan. "I juga mahu kesetiaan hingga ke akhir hayat. Harapnya tidak akan ada sesuatu yang akan menggugat kesetiaan antara kita. I hanya ada U hingga ke akhir hayat dan I harap U juga begitu…hanya I di hati untuk selamanya." Isi hati kuluahkan. Tunangku tersenyum penuh makna dan katanya itu jugalah impiannya. Tiada yang lain antara kami hingga ke akhir hayat.

Malam ini kubangun bertahajud. Kudekatkan diriku pada Pencipta. Kupanjatkan segala doa-doa harapan semoga segalanya selamat. Jiwaku tenang. Aku menjalani rutin seperti biasa. Apa yang berbeza aku hanyalah tunangan orang kini. Darah manisku beraura di mana jua. Senyuman sentiasa terukir di bibir. Itu tandanya aku sedang berbahagia. Hari ini tunangku menelefon lagi. "Jangan la ber I U lagi…please call me 'abang'…" Ada permintaan nampaknya kali ini. "Tunggu lepas kawin…kan itu syaratnya…" Aku mengingatkan syarat yang kuletakkan. Dalam kecewa dia tetap gembira kerana aku bakal dimiliknya. Semoga jodoh kami kekal ke akhirnya. InsyaAllah…


TAMAT

No comments: