Suara Malam
Mimpi di kamar malam, sepi
tika di luar bulan berwajah suram
ku rangkul kesepian dari persendirian
hati, jiwa dan diri ku
tertawa dan berduka...
Malam itu sepi. Matanya berlari antara bintang di langit. Seperti taburan permata di permaidani terbentang. Alangkah indahnya. Alanglah sunyinya. Purnama bagaikan gadis mengintai malu dari balik tirai awan.
Desa pedalaman itu bagaikan panggung kosong. Pelakon-pelakonnya telah lama mati dibuai mimpi. Tinggal sepi bagaikan padang lengang. Dan penontonnya tinggal keseorangan. Tinggal dia sendirian.
Dia berdiri di jendela rumah usang di pinggir desa itu bagaikan menyaksikan ulang tayang. Menatapi samar malam itu seolah-olah peristiwa itu berulang lagi. Seperti malam itu ia bermula, seperti malam itulah ia berakhir.
"Saudara, bilik ini untuk siswi sahaja." Suara halus lembut dan mesra menghilangkan tumpuannya pada nota-nota kuliah. Aliran fikirannya terhenti seperti pokok tumbang tiba-tiba mengempang aliran sungai.
Dia menoleh ke arah pintu bilik study itu. Persoalan di fikirannya datang mencurah bagaikan air sungai yang melimpah.
Sebuah wajah ayu dengan rambut ikal separas bahu seakan sekeping potret berlatar dan berbingkaikan pintu bilik itu. Wajah itu mengukir senyuman malu-malu dan nampak terpaksa.
"Bila peraturan baru ini dimulakan ?" Pertanyaannya seperti pendakwa yang mahukan kebenaran dan kepastian yang ditujukan kepada gadis itu.
"Saudara tidak membaca notis di Pejabat Kamsis ?" Suara dari wajah ayu itu tenang membalikkan pertanyaan. Setenang air di tasik mungkin, bisiknya.
"Maafkan saya. Saya belum melihatnya lagi." Dia cepat menyedari kesilapannya.
"Saya pun baru sebentar tadi mengetahuinya." Suara milik wajah ayu itu seakan memujuk apabila melihat seorang lelaki serba-salah di depannya.
Tergesa-gesa dia meninggalkan bilik study di paras dua asrama kampus itu bila mendengar bunyi hentak kaki semakin menghampir. Buku-buku dan nota-nota dikumpulnya segera. Kekhuatiran menguasai ingatannya kerana kesilapan memasuki bilik itu memungkinkan ada wajah-wajah lain yang akan tersenyum sinis melihatnya di situ.
Ruang malam itu dilihatnya masih samar seperti malam-malam yang lalu. Seperti malam-malam yang penuh rahsia dan berperistiwa. Tetapi malam itu sepi. Dan seperti malam sepi yang lain, nyanyian unggas rimba menjadi penghilang sunyi.
Direnungnya pemandangan desanya yang samar-samar itu tika senja telah mula menghilang. Di layar malam itu seakan terbentang peristiwa silam. Seperti setiap peristiwa, ia bermula dan berakhir.
Segalanya seolah-olah disusun dan diatur. Segalanya berlaku begitu cepat dan pantas.
"Maafkan saya, saudara Rusman. Ini nota saudara, bukan ?"
Dia terpaku menatap wajah itu sama seperti pada pertama kalinya. Seorang siswi menghulurkan kepingan-kepingan kertas tersusun dan berlipat dua kepadanya. Gadis itu terpaku seketika di depannya. Dari riak wajahnya seolah-olah terlukis suatu keinginan.
Dia tunduk melihatnya. Hatinya tertanya-tanya bagaimana gadis itu mengenalinya. Tetapi lantai bahagian luar bilik kuliah itu tetap teguh menahan renungannya.
"Terimakasih. Telah puas saya mencarinya. Di mana saudari... saudari menemuinya ?" Dia merasa lega dapat mengucapkan kata-kata itu seolah-olah terlepas beban berat dari bahunya.
"Saya Anis," gadis itu seakan memahami hasrat hatinya. "Saudara tertinggal di bilik study malam semalam... Bukan ! Malam kelmarin. Sejak semalam saya cuba mencari saudara, tetapi baru hari ini saya menemui saudara. Saudara Rusman pun ambil subjek Sastera Kreatif ini 'kan ?"
Penjelasan itu membuatnya mengerti hampir kesemuanya. Tetapi pertanyaan gadis itu tidak dijawabnya.
"Bagaimana saudari mengetahui nama saya ?" Soalnya pula.
"Mudah saja. Saya teliti nota saudara beberapa muka. Awak ke yang menulis sajak "Kesepian" itu ? Di situ tercatat nama saudara, saya rasa."
Dia angguk tetapi ragu-ragu dan bimbang. Bukankah di situ juga tercatat segala rahsia dirinya.
"Saudari telah membacanya ?" Dia bertanya dalam kekhuatiran.
"Ya... sebahagian. Sajak itu terlalu panjang."
Dia merasa lega tetapi masih tidak percaya sepenuhnya. Dia cuba mencari-cari kejujuran dari sinaran mata gadis itu.
Renungannya yang tajam membuatkan gadis itu ingin segera berlalu. Dan dia tidak dapat menghalangnya kerana alasan yang diberikan itu.
"Maafkan saya, saudara... Saya ada tutorial sebentar lagi," sambil mata gadis itu melirik jam ditangannya.
Kebosanan dan kesepian seakan mula memenuhi ruang hatinya yang kosong seperti kegelapan yang memenuhi ruang malam di desanya itu. Tetapi tubuhnya tidak berupaya meninggalkan jendela rumah itu seolah-olah telah kaku dan terpaku di situ. Cuma ingatan dan kenangan itu yang masih hidup. Kenangan yang kini mengukir sejarah hidupnya. Bagaimanakah dapat membuangnya jauh ?
Seperti air sungai yang mengalir deras, kenangan itu datang memaparkan segala peristiwa. Riak airnya bagaikan adegan-adegan peristiwa yang berulang semula. Tetapi malam itu terlalu samar untuk menggambarkan segalanya - segala yang pernah dialaminya.
"Hai !..." Suara lembut itu menegur di belakangnya.
Dia tampak terkejut dalam ruang perpustakaan yang sunyi itu.
"Saudari Anis..." Dia seakan tidak dapat memulakan bicara. Apakah yang dapat diucapkannya pada gadis yang belum dikenalnya pasti.
"Saudara ada meminjam buku Faridah Hanum dari rujukan khas, bukan ?"
"Ya. Bagaimana saudari mengetahuinya ?"
"sya tanya pustakawan di kaunter sana. Buku itu katanya hanya ada sebuah. Saya lihat ada nama saudara tercatat pada kad peminjam buku itu." Gadis itu menerangkan seolah-olah telah amat mengenalinya.
Dia mendengar dengan tekun sambil memerhatikan gerak bibir nipis gadis itu. Seakan tak puas sekali menatap wajah putih comel itu. Suatu permulaan yang baik, bisik hati kecilnya.
"Saudari 'dah siapkan esei tersebut ?" Dia menyoal, menyambung perbualan sebaik sahaja teringat sesuatu.
"Belum." Gadis itu kelihatan tersipu dengan soalan itu. Dan terus membalikkan soalan. "Saudara ?"
Dia menggelengkan kepala. "Susah. Tiada rakan untuk berbincang."
"Barangkali kita boleh berbincang bersama." Gadis itu menawarkan dirnya. Tetapi dia seperti melihat keadaan yang terpaksa itu.
"Boleh juga." Dia pura-pura gembira sedangkan hatinya berkocak dengan berbagai rasa. Tidak mungkin dia dapat menumpukan perhatian kepada perbincangan itu jika perasaan lain mengganggu fikiran. Dia cuba menenangkan fikirannya dengan melupakan segala ingatan itu. Melupakan segala perasaan itu.
Matanya terus memerhatikan bintang yang bekerlipan menerusi jendela rumah itu satu demi satu. Dia cuba mentafsirkan sendiri kelompok bintang-bintang itu. Seakan ada wajah-wajah dan lukisan-lukisan peristiwa di situ. Segalanya samar. Segalanya kabur. Segalanya telah lama berlaku. Dan segalanya takkan kembali lagi.
Kemudian matanya beralih ke pohon-pohon nyiur yang kehitaman di kejauhan seolah-olah gadis yang melambai di dalam kelam. Lambaian itu mengembalikan kenangan itu. Alangkah payah melupakannya. Alangkah payah melenyapkannya.
"Jangan lupa mengirim berita semasa di kampung nanti." Dia seperti mengharapkan kepastian. Seorang gadis mengangguk riang dari jendela bas di perhentian itu. Melambaikan tangannya dengan senyuman penuh mesra.
Dia tidak pasti bagaimana dan sejak bila persahabatan itu menjadi akrab. Mungkinkah kesunyian di kampus ini menjadikannya begitu ? Mungkinkah kesepian di dalam dirinya yang memulakannya ? Atau mungkinkah kerana kursus yang sama serta rasa saling memerlukan membungakan kemesraan itu ? Biarpun bagaimana, dia tetap tidak menghiraukan pertanyaan-pertanyaan itu.
Dua purnama dia tidak berkesempatan menemui gadis itu. Dan seharusnyalah rasa kerinduan itu tiba di sisinya. Pantas seperti angin yang menerobos jendela kamarnya. Tetapi lembaran-lembaran bertulisan halus dan bersih tiba di sisinya melenyapkan keresahan hatinya.
Dia cuba mencari kepastian dari lembaran-lembaran yang tiba maupun dari lembaran-lembaran coretannya. Seperti betapa sukarnya dia memulakan bicara dulu, begitulah sukarnya menimbulkan pertanyaan itu kini. Dia benar-benar mengharapkan kepastian itu datang segera ke sisinya.
Tetapi segalanya tidak berlaku seperti yang dirangkakan. Dia seakan terharu mengenang peristiwa itu dalam kesamaran malam di desa itu. Serasa mahu dia menumpahkan airmata lelakinya.
Segala yang diingininya berlaku begitu perlahan seperti juga tempoh persahabatan yang lama itu. Tetapi apabila segalanya menjadi pantas, dia seakan tidak dapat mengejarnya.
Sindiran rakan-rakan sekampus menyebabkan penafian itu timbul Dia cuba menolak kebenaran seolah-olah persahabatan yang akrab itu sekadar persahabatan biasa. Tetapi sesiapa pun tidak dapat menidakkan kenyataan. Apa yang pasti dia dan gadis itu saling memerlukan dalam menjalani hidup di kampus itu.
"Man, semasa cuti yang lalu orang tua ku telah membincangkan tentang diri ku. Mereka telah membuat rancangan tanpa pengetahuan ku." Suara gadis itu seakan cuba memberi kepastian betapa ia berlaku tanpa kerelaan hatinya.
Dia mendengarnya dengan penuh tumpuan. Tetapi ketenangan air di tasik hatinya lenyap seperti di lontari batu. Hatinya berkocak. Kata-kata itu membayangkan berbagai-bagai kemungkinan yang tidak diingininya.
"Apa maksud mu, Anis ?" Dia menyoal gadis itu. Tegas.
"Aku telah ditunangkan."
"Kau tak pernah beritahu aku tentang itu."
"Aku baru saja mengetahuinya."
"Kita bagaimana ?"
Soalan itu tenggelam bersama riak air tasik yang semakin bergelora.
Malam itu tetap samar dalam kegelapannya tersendiri. Seperti kegelapan jalan hidup yang dilaluinya. Segala-galanya benar-benar telah menjadi cepat dan pantas. Dia sudah tidak dapat mengejar waktu yang bergerak laju itu. Kehidupan telah menjadi suatu perlumbaan. Dan dia tewas setiap kali menyertainya.
Dia kembali memerhatikan lorong-lorong dan jalan-jalan di desanya yang pernah dilaluinya semasa kecil dulu. Kegelapan malam menjadikan dia kurang pasti di mana dia pernah terjatuh ketika berkejaran dengan rakan-rakan ketika itu. Kenangan masa kecil itu melahirkan rasa kerinduan di hatinya. Terasa mahu dia kembali ke alam yang tiada duka itu.
Tetapi kini dia telah dewasa. Kedewasaan itu telah menjelajahi seluruh dirinya, hatinya dan perasaannya. Kedewasaan itu dilaluinya dengan segala keinginan. Peristiwa demi peristiwa terjadi. Semua itu berpunca dari satu titik mula, kedewasaannya.
"Ku harap kau sudi hadir di majlis perkahwinan ku nanti." Gadis itu memujuknya. Tetapi di penjuru mataya ada manik-manik jernih terbentuk. Di situ ada terlukis kedukaan.
"Kau mahu melihat aku bersedih, Anis ?" Dia begitu kecewa dengan keputusan gadis itu yang tunduk pada kemahuan orang tuanya.
"Tidak, Man. Aku tetap mencintai mu selama hayat ku. Tapi, demi kebahagiaan ku, lupakanlah diri ku."
"Aku akan cuba melupakan mu, Anis. Tapi tidak cinta yang kita bina. Cinta itu telah lama bersemadi di hati ku. Kecuali kau, sesiapa pun tidak akan memilikinya."
"Kau seperti tidak merestui perkahwinan ku, Man."
"Tidak. Aku sebenarnya mahu melihat kau bahagia. Tetapi aku pun mahukan kebahagiaan itu milik ku juga."
Ruang malam itu terus kekal sepi. Dia berusaha melupakan kenangan itu. Tetapi bagaikan arus sungai, kenangan itu terus mengalir dalam ingatannya.
Di situ, di jendela itu, segala janji terbina dulu. Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Seperti ruang malam yang gelap dan kosong, begitulah hatinya kini. Dia seperti menyesali dirinya. Di manakah letaknya kesetiaan itu, keluh hatinya. Segala janji telah dimungkiri. Begitu mudah janji itu di bina, semudah itu pula merobohkannya.
"Keluarga ku menyenangi sikap mu, Anis." Kata-kata itu seperti baru semalam diucapkannya. Suasana seakan sama, tidak berubah. Seperti malam itu, bintang-bintang tetap pada kedudukannya.
"Kau seakan tidak sabar, Man. Keluarga ku belum memberi restu." Suara gadis itu seperti telah mengetahui segala kemungkinannya.
"Kau mesti berjanji. Walau apa pun terjadi, kita tetap bersama."
"Kau benar-benar mencintai aku, Man ?" Suara gadis itu masih sayu dan ragu-ragu.
"Kau tidak percaya pada kejujuran ku ?" Tangannya ingin menjangkau jari-jari halus gadis itu. Tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Direnungnya wajah gadis itu. Tetapi malam terlalu kelam untuk menampakkan kesayuaan yang terpancar dari wajah comel itu.
Kata-kata tidak berupaya memberikan kepastian. Renungan itu seolah-olah sudah cukup menggambarkan perasaan yang tersirat di hatinya.
Jari-jarinya tiba-tiba menjangkau udara malam yang dingin. Seolah-olah gadis comel itu muncul di jendela, berdiri di sisinya.
"Kau datang lagi, Anis. Suaminya di mana ? Tidakkah dia menghalang kau ke mari ?" Suaranya bergema dalam dirinya di kegelapan malam itu.
Bayangan gadis itu tetap kaku.
"Kau telah memungkiri janji kita, Anis. Aku masih mencintai mu. Cinta ku yang tak pernah berbelah-bahagi."
Bayangan tubuh kecil itu masih tidak bergerak dari situ.
"Aku ingin menyentuh tangan mu. Aku ingin membelai rambut mu. Aku ingin mengucup dahi mu."
Bayangan itu tiba-tiba lenyap dalam kegelapan malam. Dilihatnya lorong-lorong jalanan desanya yang samar dan lengang. Dilihatnya daun-daun nyiur masih melambai-lambai tampak berbalam. Terasa di kulitnya udara malam yang dingin menerjah masuk menerusi jendela. Desa itu terus tinggal sepi.
Ingatannya pantas kembali kepada kenangan itu. Tetapi bayangan tubuh comel itu tidak muncul lagi. Dia kecewa.
"Aku dengar kau akan melahirkan anak sulung mu, Anis."
Matanya tercari-cari bayangan tubuh comel dalam kegelapan malam itu.
"Aku dengar kau menghadapi kepayahan dan terpaksa dibawa ke hospital."
Tubuh comel itu masih tidak muncul.
"Aku tahu, suami mu cuba menghubungi ku. Tapi gagal kerana aku tidak menghiraukannya."
Hatinya mulai gelisah kerana bayangan wajah ayu dan tubuh comel itu masih tidak muncul.
"Aku dengar kau sering menyebut nama ku di saat-saat kau menderita kesakitan itu. Mengapa ? Suami mu 'kan ada di sisi mu ketika itu."
Dia cuba tersenyum mengenangkannya. Amat sukar.
"Semuanya aku dengar dari mulut suamimu. Dia datang kepada ku memohon maaf. Dia rupanya tidak mengetahui betapa besar cinta kita. Kenapa kau tidak berterus-terang padanya, Anis ?"
Dia semakin bersemangat menceritakan segalanya. Tetapi dia kecewa kerana tiada sesiapa pun yang menjawab pertanyaannya.
"Aku sungguh tidak percaya dia akan datang menyampaikan berita itu kepada ku, Anis. Anak mu yang comel itu seiras wajah mu."
Dia tunduk kesal mengenang kembali peristiwa itu.
"Tidak ! Tidak !"
Suaranya tiba-tiba memecah kesepian malam itu.
"Tidak ! Tidak !"
Suaranya semakin kuat bergema di tengah malam itu.
"Aku tidak percaya kau telah pergi. Aku percaya kau masih hidup. Aku pasti kau masih hidup."
Suaranya terus bergema memenuhi ruang malam itu.
"Aku tidak percaya pusara yang ku lawati itu pusara mu."
Dia bersungguh-sungguh menafikannya. Suaranya bergetar.
"Tidak ! Tidak !"
Laungan suaranya semakin kuat bergema jauh di dalam dirinya.
"Aku tidak akan memusnahkan cinta kita. Aku berjanji."
Dia seolah-olah mahu mencurahkan seluruh isi hatinya.
"Tidak ! Tidak ! Aku percaya kau masih hidup."
Suaranya bergema lagi.
"Tidak ! Tidak !"
Suaranya mula memenuhi ruang kamar rumah desa itu. Perlahan-lahan suara itu hilang ditelan kegelapan malam
Dia tunduk menatap rumput yang samar-samar bertaburan bak permaidani di tanah. Hatinya semakin sayu. Matanya mulai basah. Suara malam itu semakin menghilang.
"Abang..." Suara lembut dan manja tiba-tiba mematikan lamunannya.
Dia membiarkan suara itu berlalu dan hilang ditelan malam.
"Abang belum tidur lagi ?"
Dia menoleh dan melihat tubuh kecil yang terbaring di katil dalam sinaran lampu yang samar dan kemerahan.
"Abang masih ingatkan, Anis ?" Tubuh kecil yang masih terbaring itu bersuara lagi.
Dia seperti menyesali setiap kejadian yang berlaku. mengapa ia terjadi pada dirinya ? Mengapa ?
Tubuh kecil yang bersuara lembut dan manja itu semakin menghampirinya.
"Abang, segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Ima berjanji akan berusaha mengembalikan segala yang ada pada diri Anis. Ima akan setia pada Abang. Ima tahu abang amat mencintai Anis. Tapi sekarang Anis telah tiada. Dan Ima telah pun menjadi isteri abang." Tubuh kecil itu datang mendakapnya seakan tidak mahu berpisah lagi. Jari-jemari lembutnya menyapu titisan jernih di matanya. Kemudian sama-sama merenungi kegelapan malam itu.
Ketika itulah dia seperti mengulang kembali peristiwa silam. Didakapnya erat tubuh yang kecil itu. Jari-jemarinya bersimpul dengan jari-jemari lembut yang masih merah berinai. Seperti baru semalam kenangan itu berlalu, seperti tiada lagi kedukaan di hari depan, dia mula merasakan detik manis kemesraan dan kebahagiaan pada malam pertama perkahwinannya.
[ TAMAT ]
No comments:
Post a Comment