Wednesday, May 19, 2010

Cerita kembang tekak

"Min tak sangka abang Fizi ini romantik orangnya!"

Kenyataan daripada Jasmine Wahyuni disambut dengan senyuman berbunga oleh Hafizi Arfan. Gadis yang merangkap juniornya itu akhirnya tewas di tangannya setelah hampir tiga minggu Hafizi berusaha memikatnya. Jasmine merangkul lengan kanan Hafizi dengan erat. Beberapa mata milik rakan sekuliah gadis tersebut hanya mampu memandang dengan api cemburu. Hafizi; penuntut Tahun 3 Fakulti Undang-Undang UKM memang seorang yang amat kacak dan tampak berkarisma. Sayangnya perangai beliau yang suka bertukar-tukar teman wanita telah mencalarkan imejnya.

Lirikan mata-mata cemburu tersebut membuatkan Hafizi berasa bangga dan gembira seketika. Jasmine memang seorang freshie yang cantik. Ketikamana beliau di minggu orientasi lagi, begitu ramai sekali yang cuba bertandang di hati gadis tersebut. Malah ada pula yang ingin mengambilnya sebagai adik angkat. Namun akhirnya Hafizi adalah pemenang mutlak. Jasmine adalah trofinya.

Langkah Hafizi mati tatkala melalui bilik kuliah bernombor tiga. Halatuju beliau dan Jasmine telah dihalang oleh seorang gadis yang tidak kurang cantiknya. Serta-merta perasaan enak Hafizi tadi berganti benci.

"Mangsa baru nampak?" sindir gadis tersebut dengan sinis. Beliau adalah teman sekuliah Hafizi; Shazreena Kausar. Pertanyaan sinis gadis tersebut dibalas dengan renungan tajam. Semenjak minggu orientasi lagi, iaitu kira-kira 2 tahun yang lalu mereka berdua persis anjing dan kucing. Hari ini pun tiada bezanya.

"Kau tentu sudah tahu dia ini buaya darat- oh tidak; naga selat, bukan? Mengapa masih sanggup menyelit di celah ketiaknya?" Pertanyaan Shazreena kali ini dihunjamkan pula ke arah Jasmine. Berubah air muka gadis kacukan tersebut.

"Minta maaf, tapi saya rasa ini bukannya urusan kakak," balas Jasmine kembali dengan tajam. Hafizi tersenyum bangga. Perempuan bergaduh kerananya; tentulah seronok. Shazreena tidak memberikan sebarang reaksi terhadap pernyataan tadi. Matanya tertancap memerhatikan air muka bangga Hafizi.

"Kau tentu berasa bahagia di sampingnya sekarang. Kau berasakan bahawa kaulah orangnya. Satu-satunya gadis yang mampu bertakhta di hati Hafizi Arfan. Kau pasti berasa sangat istimewa sekarang. Berasakan kaulah yang tercantik dan terbaik. Berharap agar perasaan tersebut kekal selama-lamanya," ujar Shazreena dengan lembut kepada Jasmine.

"Tiga atau empat bulan kemudian, apabila beliau meninggalkanmu; kau akan merana dan berasa sangat sakit di sanubarimu. Pada masa itu, kau pasti akan berasa tidak bernilai. Berasakan betapa hodoh dan teruknya dirimu. Berharap agar perasaan yang kekal tersebut akan hilang serta-merta setiap hari," ungkapan Shazreena kali ini membuatkan Jasmine terpaku. Mulutnya terbuka untuk berkata-kata namun tiada suara yang keluar. Hafizi pula yang mula berasa geram, cuba membuka mulut.

"Jadi apabila kau berasakan begitu kelak, silalah hubungi kakak. Kakak mengendalikan Khidmat Kaunseling Kausar. Selepas meluahkan perasaan masing-masing, kita boleh makan pizza. Tentu seronok!" ujar Shazreena dengan perasaan teruja seraya menghulurkan kad Khidmat Kaunseling Kausar yang dibuatnya sendiri. Pada kad tersebut terdapat ikon Cupid (Dewa Cinta) yang mati dipanah ke jantungnya. Jasmine yang begitu tergamam dengan perubahan senario tersebut akur sahaja menyambut pemberian Shazreena.

"Bye!" Itulah kata-kata terakhir Shazreena sebelum beliau meninggalkan mereka berdua dengan tawa senang hati. Kedua-duanya termangu-mangu seperti baru lepas dipukau. Jasmine membelek-belek pula kad tersebut. Tercatat juga fee bayaran sebanyak RM5.00 bagi setiap sesi.

"Jangan percayai perempuan gila itu. Dia memang gilakan wang. Pantang sahaja ada peluang nak buat duit, pasti dia rebut," nasihat Hafizi. Namun kata-kata Shazreena tadi sangat membekas di hati Jasmine.

---------------------------------------------------------------------------------------------
"Baiklah, aku telah berikan sepuluh sifat di dalam seseorang lelaki yang disukai oleh Mastura. Sekarang bayar RM30.00 sepertimana yang dijanjikan," ujar Shazreena sambil memandang tepat ke arah Aminuddin.

"Tak boleh bagi aku diskaunkah, Shaz? Bajet aku bulan ini agak nazak," rayu Aminuddin.

"Jangan mengada! Kau yang berjanji akan membayar upahku sebanyak RM30.00 semasa kita berurusniaga. Lagipun kan Mastura tak sukakan lelaki yang merokok? Kau berhenti sahajalah. Cukuplah duit makan kau untuk bulan ini," balas Shazreena dengan keras. Terketar-ketar tangan Aminuddin semasa menghulurkan wangnya. Sekiranya beliau enggan membayar, maka buruklah padahnya kelak. Shazreena sangat popular dan berpengaruh di kalangan siswazah perempuan. Lebih malang lagi Mastura adalah salah seorang rakan karibnya.

"Terima kasih. Oh ya! Aku memberitahu Mastura bahawa kau menaruh minat terhadapnya. Aku juga memberitahu dia bahawa kau adalah seorang lelaki yang baik dan boleh dipercayai. Jadi sekarang Mastura sedang menunggu kau sendiri mengajaknya untuk bertemujanji," Kata-kata Shazreena membuatkan mata Aminuddin terbelalak besar.

"Betulkah ni, Shaz?" tanya Aminuddin dengan nada teruja. Shazreena cuma membalas dengan senyuman dan anggukan. Aminuddin serta-merta melompat-lompat dan bersorak kegembiraan.

"Macam monyet," komen Shazreena seraya tertawa.

"Kau kutuk aku King Kong pun tak mengapa, Shaz!" balas Aminuddin. Tawa Shazreena semakin lantang.

"Nah," Tiba-tiba Shazreena mengunjukkan kembali wang RM30.00 tadi kepada Aminuddin. Pemuda tersebut memberikan ekspresi wajah keliru.

"Bawalah Mastura makan di tempat yang baik sedikit. Janganlah ke kafeteria universiti," nasihat Shazreena. Aminuddin tersenyum girang.

"Kau ni memang baik, Shaz. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku peluk kau," ujar Aminuddin.

"Kalau kau nak hilang biji mata, cubalah!" ancam Shazreena. Disusuli dengan tawa manja. Namun tawanya mati tatkala ternampak kelibat Hafizi yang dengan muka bengis semakin menghampiri.

"Kau ni tak ingin hidup lagikah? Apa dosa aku pada kau, hah? Adakah aku mengganggu hidup kau? Atau aku berbuat sesuatu yang menyakitkan hati kau?" Bertalu-talu pertanyaan yang penuh emosional daripada Hafizi dihunjamkan ke arah Shazreena. Gadis manis tidak berkata apa-apa. Sebaliknya beliau meneliti raut wajah musuh ketatnya yang kini tegak berdiri hampir sekaki setengah daripadanya.

"Tadi kau makan roti sardinkah? Nafas kau berbau hanyirlah!" komen Shazreena tiba-tiba. Beberapa orang penuntut yang berada berdekatan terus ketawa.

"Perempuan busuk hati!" cerca Hafizi.

"Suka hatilah cara macam mana aku nak mempromosikan Khidmat Kaunseling Kausar atau KKK aku. Lagipun kau memang playboy yang jahat!" balas Shazreena kembali dengan nada membentak.

"KKK kau tu samalah dengan nama Klu Klax Klan, tahu? Organisasi jahat!" Nampaknya Hafizi juga tidak mahu mengalah.

"Aku sangat gembira bila dapat mendedahkan topeng hipokrit kau di depan budak mentah tadi," balas Shazreena seraya tersenyum bangga.

"Kamu ni-" Kali ini Hafizi tidak boleh bersabar. Tangan kanannya diangkat tinggi.

"Kalau kau berani pukul aku, aku akan buat repot di balai polis. Biar kau disumbatkan ke lokap. Padan muka!" ancam Shazreena. Hafizi kembali menurunkan tangannya. Kemudian berpaling dan melangkah pergi.

"Aku sudah jangka kau takkan berani memukulku sebab kau hanya berani melukakan hati perempuan sahaja," sindir Shazreena dengan sulaman cabaran. Kali ini Hafizi sudah hilang sabarnya. Beliau berpaling kembali dan memegang kedua-dua belah bahu Shazreena dengan agak kasar.

"Pukullah aku kalau berani!" bentak Shazreena dengan nada marah. Beliau bersiap-sedia untuk membalas kembali.

Namun secara tiba-tiba Hafizi terus mengucup bibir gadis tersebut. Segala-gala berlaku dengan begitu pantas sehinggakan Shazreena tidak sempat berbuat apa-apa. Hafizi terus berpaling dan melangkah pergi. Beliau begitu gembira sekali dapat mengenakan musuhnya lantas ketawa terkekeh-kekeh.

Shazreena pula masih terpaku di situ. Matanya yang bening masih menyoroti derap langkah Hafizi yang semakin menjauh. Manakala jari-jemari tangan kanan beliau mengusap-usap lembut bibirnya.

---------------------------------------------------------------------------------------------
"Kau memang gila sebab mencium Shazreena di khalayak ramai!" komen Asyraf, rakan sebiliknya. Hafizi pula dalam keadaan yang agak murung.

"Menyesal aku berbuat begitu! Jasmine sangat marah sehinggakan dia enggan lagi berjumpa denganku," ujar Hafizi dengan nada suram.

"Wah! Ini kali pertama aku tengok kau benar-benar susah hati pasal perempuan. Nampaknya kau betul-betul sukakan Jasminelah, ya?" tanya Asyraf dengan nada teruja. Hafizi tidak membalas. Sebaliknya beliau asyik merenung keluar jendela biliknya sambil mengusap-usap bibirnya dengan tangan.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Keesokan harinya tatkala Hafizi keluar daripada kafeteria setelah selesai makan malam, beliau terserempak dengan Shazreena berdekatan mesin minuman ringan. Langkahnya mati seketika. Gadis manis tersebut memang seolah-olah sedang menunggunya. Hafizi merengus kecil lantas kembali membuka langkah pergi. Namun secara tiba-tiba Shazreena meluru ke hadapan dan menyekatnya.

"Apahal dengan kau ni, hah?" soal Hafizi dengan nada yang agak kasar.

"Aku ingin berbicara denganmu. Secara bersendirian," Nada suara yang agak dingin daripada Shazreena membuatkan Hafizi berasa gusar. Hatinya berasa kurang enak. Namun beliau akur dengan permintaan seterunya itu. Setelah berjalan beberapa ketika akhirnya mereka tiba di lokasi yang agak sesuai untuk berbicara tanpa sebarang gangguan.

"Fizi; mengapa kau menciumku?" Pertanyaan lembut daripada Shazreena membuatkan Hafizi tergamam. Beliau tahu bahawa itulah topik yang akan mereka perbualkan. Namun tidak disangka musuh ketatnya akan bertanya sedemikian rupa.

"Fizi, kenapa kau berbuat begitu?" Kelembutan suara Shazreena memang mampu mencairkan hati seorang lelaki. Namun ianya amat menyakitkan hati Hafizi.

"Suka hati akulah! Kalau kau tak suka, kau boleh menamparku sekarang," jawab Hafizi dengan kasar. Pandangannya diarahkan ke tempat lain. Tidak sanggup kali ini beliau menentang sepasang mata milik gadis di hadapannya.

"Fizi; pandang aku dan beritahu mengapa kau menciumku," Shazreena masih memujuk dengan lembut. Akhirnya Hafizi perlahan-lahan mengalihkan pandangan ke arahnya.

"Aku sangat sakit hati. Sakit hati kerana tak dapat memiliki hatimu. Aku cuba menjauhkan diri. Namun kau asyik muncul di depan mata. Tahukah kau betapa terhirisnya perasaanku setiap kali kelibatmu berada di depan mata? Aku berharap agar kau membenciku dan tidak lagi menggangguku. Itulah sebabnya mengapa aku menciummu," penerangan panjang lebar Hafizi membuatkan air muka Shazreena berubah serta-merta. Gadis tersebut mengeluh kecil.

"Rupa-rupanya kau masih lagi menaruh perasaan terhadapku. Fizi; aku ini tunangan orang. Mana mungkin aku dapat menerima ketika kau menyuarakan isi hatimu dua tahun lepas. Sekarang pun masih sama. Janganlah menaruh harapan kosong lagi. Lupakan saja aku ini," Begitu tenang sekali Shazreena mengungkapkan bait-bait katanya. Namun ia bagaikan racun yang sangat berbisa di sanubari Hafizi.

"Janganlah kau gunakan gadis lain untuk merawat lukamu. Kasihanilah mereka; kerana mereka juga akan terluka sepertimu. Aku ini bukannya gadis impianmu. Kau pasti akan berjumpa dengan gadis yang jauh lebih baik daripadaku suatu masa nanti. Kalau kau masih menghormati cintamu padaku, janganlah kau menjadi playboy lagi," sambung Shazreena lagi. Sungguhpun ungkapan itu tenang dan lancar, manik air mata tetap beruraian mengalir di pipi gadis manis tersebut. Hafizi termangu; berasa kekok dan tidak tahu apa yang patut dilakukannya.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Kini sudah lebih kurang enam bulan masa berlalu semenjak insiden Hafizi mencium Shazreena di khalayak ramai. Hafizi kini sudah berubah. Lengan beliau tidak lagi mengepit gadis-gadis yang cantik; sebaliknya digantikan dengan buku-buku rujukan yang tebal-tebal belaka. Beliau juga telah berjumpa dengan setiap bekas kekasihnya untuk memohon kemaafan daripada mereka. Ada yang memaafkannya. Tidak kurang juga yang enggan dan memakinya. Malah ada juga yang ingin kembali ke pangkuannya. Namun Hafizi menolak pelawaan tersebut dengan baik. Ternyata di hatinya masih ada Shazreena.

Shazreena juga tidak lagi kerap muncul dan mengganggu Hafizi sebagai menghormati perasaannya. Namun sesekali beliau bertanya khabar tentang bekas seterunya itu daripada rakan-rakan sekuliah. Ternyata Hafizi telah berubah menjadi lebih baik. Malah 'sahamnya' semakin naik di kalangan penuntut perempuan sungguhpun beliau telah berhenti memikat mereka.

Shazreena sangat gembira mendengarkan perkhabaran tersebut. Beliau akhirnya memutuskan bahawa inilah masanya yang paling sesuai untuk bertemu dengan Hafizi. Selepas kuliah Undang-Undang Tanah, Shazreena sengaja menyekat Hafizi daripada kumpulan rakan-rakannya.

"Hah! Apahal pula ni?" tanya Hafizi yang menyulam tuturnya dengan senyuman. Namun kesedihan jelas terpapar di riak mukanya. Shazreena tahu bahawa hati pemuda tersebut terluka lagi tatkala melihatnya.

"Boleh kita berbicara sebentar? Bersendirian," pujuk Shazreena dengan lembut. Hafizi menganggukkan kepala. Setelah berjalan beberapa ketika akhirnya mereka tiba di lokasi yang agak sesuai untuk berbicara tanpa sebarang gangguan. Ianya bagaikan Deja Vu bagi Hafizi.

"Aku sangat gembira dengan perubahan sikapmu," Shazreena membuka bicara. Hafizi mengangguk sambil tersenyum.

"Semuanya kerana aku menghormati perasaan cintaku padamu," ujar Hafizi seraya menundukkan kepala. Terselit perasaan sedih pada tutur katanya. Shazreena melepaskan keluhan berat.

"Kau masih tak dapat melupakanku?" Pertanyaan Shazreena tidak bersambut. Namun bahasa tubuh Hafizi mendedahkan segalanya.

"Fizi, aku sebenarnya telah putus tunang," Kata-kata Shazreena kali ini bagaikan renjatan elektrik di segenap tubuh Hafizi. Air mukanya nyata menunjukkan perasaan terperanjat yang amat sangat.

"Bi-Bila kau putus... tunang?" tanya Hafizi. Perasaannya bercampur-baur sekarang. Kali ini Shazreena tersenyum nakal.

"Dua bulan selepas minggu orientasi kita," ujar gadis manis tersebut seraya cuba menahan tawanya.

"Maknanya dua tahun yang lalu?" tanya Hafizi dengan nada suara yang agak tinggi. Kali ini tawa Shazreena langsung berderai.

"Kau jangan main-main!" ujar Hafizi. Sedikit tersinggung. Shazreena meredakan tawanya sambil menggenyeh-genyah mata.

"Aku tak main-main. Memang aku telah putus tunang selepas dua bulan di sini. Masa itu kau telah menjadi seorang playboy. Jadi aku tak suka. Aku mahu kau berubah. Tetapi aku tak mahu kau berubah disebabkan olehku. Aku mahu kau ikhlas. Itu sebabnya aku enggan memberitahu sesiapa; agar kau tak tahu akan perkara ini. Tapi seronok betul dapat mempermainkan kau selama ini," Sebaik sahaja memperjelaskan keadaan, Shazreena menyambung tawanya kembali.

"Tak guna kau, Shaz! Kau tipu aku, ya? Menyampah betul!" bentak Hafizi. Marah benar dia kerana selama ini dipermainkan oleh Shazreena. Namun perasaan tersebut berganti dengan kejutan apabila Shazreena secara tiba-tiba memegang tangannya.

"Hei," tegur Shazreena.

"Apahal?" tanya Hafizi. Masih marah.

"Fizi mesti jaga hati Shaz baik-baik, tau? Jangan bagi ia terluka,ya?"

Rayuan lembut dan pandangan bening daripada Shazreena bagaikan air bah yang memadamkan api kemarahannya. Perasaannya bercampur-baur sekarang. Pun begitu semuanya menjurus kepada kegembiraan. Luka dihatinya selama ini turut terhapus serta-merta. Di hatinya hanya ada Shazreena. Di hati Shazreena juga hanya ada dia.

Hafizi menganggukkan kepala.

- Tamat -

No comments: