Wednesday, May 19, 2010

Menantu Oh Menantu

Panjang muncung anakku , manatap wajah neneknya. Aku memerhati dari jauh.


"Opah... Kak Long tak pandailah. Macam mana nak gantung ni? Opah suruhlah Maksu yang buat,"

"Tak pandai...tak pandai... Tak pandai kena belajar.

Belajar dari kecil ni haa... jangan jadi macam mama kamu tu. Dah jadi isteri orang pun tak reti nak pasang langsir,"

Aku tersenyum mendengar kata-kata ibu mertuaku. Selintas kenangan menjengah. Kenangan menjadi menantu baru di rumah ini.

"Ya ALLAH! Apa kamu buat ni, Eisha?,"

"Gantung langsirlah. Kan mak suruh saya gantung langsir,"

"Tahulah kamu gantung langsir. Tapi, kenapa terbalik gantungnya ni?

Kamu ni, pandai ke tidak?,"

Aku menggeleng. Cuak melihat renungan tajam ibu mertuaku.

"Gantung langsir pun kamu tak tahu?,"

"Saya tak tahu, mak. Saya tak pernah buat,"
"Itupun kamu tak tahu. Apa yang kamu tahu ha?,"

"Entah,"selamba aku menjawab.

"Along!,"
Aku mematung di sudut ruang tamu. Tersentap mendengar jeritan ibu mertuaku.

"Apa mak? Kenapa? Terkejut Along,"suamiku muncul bersama soalan yang berderet. Langkahnya mati di sebelahku. Mungkin meyedari wajahku yang sudah kelat semacam.

"Kamu ni, kahwin dengan siapa? Puteri raja ke?

Gantung langsir pun tak reti. Tengok ni. mahal mak beli langsir ni, digantung terbalik, kenapa?

Itulah. Suruh kahwin dengan Balqis, kamu tak nak. Balqis tu tak ada macam bini kamu ni, tahu tak?
Semua benda tak tahu. Mak dah cakap, jangan kahwin dengan anak orang kaya. Menyusahkan kamu nanti. Tengoklah ni..,"

Aku menarik muka. Menjeling sekilas pada ibu mertuaku yang masih membebel. Suamiku tersenyum kecil.

"Kenapa terbalik sayang?,"

"Manalah orang tahu. Orang tak pandai tapi, mak suruh jugak,"

"Oooo! Akulah yang salah ya?,"

"Yalah. Memang mak yang salah kan? Eisha tak buat, cakap Eisha malas pulak,"pantas aku menjawab.

"Eeee.. geramnya aku. Pendek umur aku dapat menantu macam kamu ni, tahu tak? Menyusahkan," ibu mertuaku bersuara sambil berlalu.

"Eisha ke yang salah? Eisha Cuma ikut cakap mak saja,"aku mengadu pada suamiku dengan muka mencuka.

"Kau ingat aku tak dengar ke? Turunkan balik langsir tu!,"

Aku tersentak mendengar jeritan ibu mertuaku. Dengar rupa-rupanya.

"Mak dengarlah,"bisikku sambil menutup mulut. Suamiku tersenyum.

"Dah. Turunkan langsir tu. Abang tolong sayang pasangkan. Sayang pun satu, mulut tu janganlah menjawab sangat...,"

"Mana ada Eisha menjawab? Eisha cakap benda betul aje,"

Suamiku menggeleng perlahan sambil tersenyum lucu.

"Kenapa mak tak suka sangat kat Eisha, bang?,"

"Mana ada? Mak tu tak puas hati sikit saja. Maklumlah, calon menantu dia, kena reject," Aku tersenyum kecil.

"Kena reject sebab Eisha, ya?,"soalku tersenyum lucu. Suamiku turut tersenyum sambil kenyitkan mata.
"Kamu berdua jangan nak mengumpat mak, bulan-bulan puasa macam ni!,"

"Ops!,"serentak aku dan suamiku bersuara sambil menutup mulut.

****
"Kak Long! Apa ni? petang-petang hari macam ni tidur pula. Bangun.

Tolong Opah dengan mama masak. Nanti nak berbuka,"
"Alaaa... opah. Tak laratlah. Kan Kak Long puasa ni...,"

"Jangan banyak alasan. Kamu ni, sama dengan mama kamu ya? Cepat.

Jangan malas-malas,"

"Opah ni.... Bencilah. Tak baik buat budak kecil macam ni tau!,"

"Menjawab... menjawab... Macam mama kamu,"

Aku tersenyum lagi. Sayur yang sudah siap dipotong, aku bawa ke sinki.

Tercegat di situ sambil memerhati ibu mertuaku yang sedang berbalas bicara dengan anak tunggalku itu.

"Eisha!,"

Aku tersentak. Hampir terloncat dari katil. Ketukan yang bertalu dari pintu membuat jantungku hampir luruh.

"Dah nak berbuka ke?,"soalku dalam mamai.

"Amboi! Banyak cantik muka kau! Nak berbuka?

Tengok jam tu pukul berapa? Membuta saja,"

Aku menggigit bibir. Salah soalanlah. Cepat aku memandang jam di tepi katil. Pukul enam petang.

"Keluar! Tolong mak sediakan juadah berbuka,"

Aku menarik muncung. Lecehnya. Takkan aku yang kena sediakan? Suruhlah orang lain. hatiku merungut laju sambil bangkit dari katil. Melangkah longlai ke pintu. Daun pintu ku buka perlahan. Bertentang mata dengan renungan tajam ibu mertuaku.

"Eisha penatlah mak. Bagilah Eisha rehat ya,"

"Banyak kamu punya penat. Banyak kamu punya rehat. Tidur saja yang kamu tahu, ya?,"

"Memanglah. Kalau bulan puasa, memang Eisha suka tidur petang. Cepat sikit masa berlalu,"

Belum kahwin, bolehlah kamu nak membuta sampai sahur pun. Iesha, kamu tu dah kahwin. Kamu membuta, nanti suami kamu balik kerja , nak berbuka dengan apa? Dengan air liur basi kamu?,"

"Ishh... mak ni. Tak baik cakap macam tu. Pengotor betullah mak ni,"

"Menjawab! Itulah aje yang kamu tahu,"

Aku tersenyum.

"Nanti Eisha suruh Abang Darwis beli kat bazaar ramadhan je. Tak pun, mak ajelah yang masak. Abang Darwis kata, dia suka masakan mak,"

"Bertuah punya budak. Kalau dah kahwin, nak aku juga yang masak, baik tak payah kahwin. Dah! Jangan mengada. Ikut mak ke dapur. Sediakan juadah berbuka,"

Aku mengeluh lemah.

"Cuba jangan jadi pemalas...,"
"Bukan malaslah mak. Eisha tak larat. Eisha kan puasa...,"

"Eeeee...apalah malang aku dapat menantu macam kamu ni, Eisha? Satu sen pun tak berguna,"

"Mak.. tak baik hina Eisha. Tak baik hina orang bulan-bulan puasa macam ni,"

"Kamu tu... ingat sikit. Tak baik lawan cakap mak mertua. Lebih-lebih lagi bulan-bulan puasa macam ni,"sindir ibu mertua cukup tajam. Aku tersengih sambil menggaru kepala.

"Cepat pergi basuh muka. Lepas tu, masak nasi,"

"Masak nasi? Mana Eisha tahu masak nasi?," Ibu mertuaku mendengus marah.

"Sudah...sudah... nanti mak ajar. Kalau tak nak belajar, biar mak panggil Balqis saja datang tolong mak,"

"Tak apa, mak. Eisha nak belajar. Eisha nak belajar,"laju aku menjawab. Tercabar mendengar nama menantu pilihan ibu mentuaku yang telah ditolak mentah-mentah oleh suamiku.

"Biarlah Kak Long tidur, opah. Kak Long tak boleh buka mata ni.
Mengantuk sangat ni,"

"Mana boleh macam tu. Kena bangun juga. Kalau tak boleh banyak, Kak Long makan sikit saja. Tak pun, makan kurma dengan minum air saja,"

"Nanti Kak Long niat aje Kak Long makan. Bolehlah opah," Ibu mentuaku jegilkan mata. Aku tergelak di meja makan. Suamiku turut tergelak kecil.

"Tengoklah Along. Betul-betul mengikut perangai mama dia," Aku tersenyum. Ibu mertuaku begerak ke meja sambil menarik tangan anakku.

"Maksu tu... boleh pun tidur. Kenapa Kak Long pulak kena bangun?,"

"Maksu tak apa. Esok dia tak boleh puasa. Cepat basuh tangan. Makan sikit,"

"Kak Long... dengar cakap opah tu. Nanti, Kak Long juga yang tak larat esok,"aku bersuara lembut. Separuh memujuk. Tidak boleh terlalu berkeras. Aku faham perasaan anakku itu.faham betapa terseksanya dia terpaksa lalui saat-saat sebegini. Kenapa? Kerana aku dulu pun, sama seperti Kak Long.

Payah betul bangun bersahur.

"Alaaa... tak apalah. Kak Long dah niat dah... Kak Long niat makan nasi lauk ayam goreng," Aku tersengih. Suamiku tergelak besar. Ibuku diam tak terkata. Tapi, aku tahu dia cuba sembunyi senyum.

"Mana dapat ayat ni? Opah memang ada dengar ayat ni. Tapi, kat mana ya?,"

Aku tersenyum malu. Lebih-lebih lagi, menyedari jelingan ibu mertuaku padaku. Mana mungkin dia lupa pada kata-kata itu. Itu, kata-kata keramat daripada menantu sulongnya.

"Iesha memang tak pernah sahurlah mak. Tak payahlah susah-susah kejutkan Iesha sahur,"aku bersuara sambil merenung kosong nasi di dalam pinggan.

"Mana elok kamu tinggalkan sahur? Sahur tu kan sunat. Suami kamu suka bangun sahur. Kamu pula yang malas,"

"Iesha tak biasalah, mak. Selalunya memang Iesha tak pernah sahur.
Mana lalu tak makan nasi pegi-pagi macam ni?,"

"Kalau tak lalu nak makan nasi, makan sajalah benda yang ringan-ringan. Minum air masak. Yang penting, bangun. Temankan suami kamu ni. Kamu ni...
cuba ingat sikit, kamu ni, isteri orang. Isteri, tanggungjawabnya pada suami. Dah.. makan nasi tu,"

"Tak apalah mak. Iesha dah niat makan nasi ni. So, tak payah makan lagilah,"

"Oiii... ada pulak, makan pakai niat-niat. Mazhab songsang mana yang kamu ikut ni?," Aku tersengih sambil mengawal rasa mengantuk.

Suamiku, tergelak besar di sebelahku. Membuat adik bongsunya yang terlena di pinggan, terjaga serta-merta.

"Mazhab mengantuk tu.. mak,"ujar suamiku sambil memandang wajahku. Aku tersenyum.

"Mengantuklah, bang,"

"Makan sikit. Lepas tu, tidur balik,"

"Kamu ni Along. Manjakanlah isteri kamu tu,"

"Tak manjakan isteri, nak manjakan siapa lagi, mak?,"seloroh suamiku sambil tertawa kecil. Sengaja ingin membuat muncung ibunya semakin panjang. Melihat muncung ibu mertuaku, tiba-tiba hilang pula rasa mengantukku. Walaupun suka marah-marah, aku suka melihat marahnya itu.

aku dapat melihat kasih sayang melalui bebelannya. Dapat rasakan kemesraan daripada jerit pekiknya. Aku tersenyum melihat ibu mertuaku menyuap nasi dengan muncung yang panjang.

"Mak nak ayam goreng ni?,"soalku sambil meletakkan seketul ayam goreng ke dalam pinggan nasinya.

"Hmmm...,"jawabnya tanpa memandang. Aku pandang suamiku sambil tersenyum. Seperti biasa suamiku kenyitkan mata, sambil mengangkat ibu jarinya.

"Dah... tak payah nak bodek mak," Aku ketawa mengekek sambil akhirnya jemariku menyentuh juga nasi di pinggan.

****
"Maksu! Macam mana ni? Boring betullah Opah ni,"

"Apanya?,"

"Opah tu.. ada ke suruh Kak Long buat ni. kan panas ni,"

"Yalah panas. Tunggulah kuih tu sejuk dulu. Lepas tu, baru masukkan dalam balang. Sekarang memanglah tak boleh pegang," Aku Cuma melihat mulut anakku yang memuncung.

"Orang nak main mercun pun tak boleh,"

"Apa, Kak Long? Merungut ya?," Anakku diam.

"Kita ni, orang perempuan. Kena belajar. Jangan jadi macam...,"

"Mama.... Kan?," cepat anakku menyampuk. Aku tersenyum.

"Ha ah. Jangan jadi macam mama kamu tu,"

"Kenapa pulak dengan mama?,"

"Tanyalah mama kamu,"

"Kenapa mama?,"

"Mana ada apa-apa. Tak ada apa-apalah,"jawabku sambil menguli doh untuk acuan biskut nestum.

"Mama cakap tak ada apa-apa," Ibu mertuaku tersenyum sambil menggantung baju kurung dan baju melayu yang sudah siap bergosok.

"Mana pula tak ada apa-apa. Pasal mama Kak Long, Opah sambut raya kat hospital tahu?,"suamiku bersuara tiba-tiba. Aku menjeling ke arah suamiku yang tersenyum panjang.

"Kenapa pula?,"

"Nak tunjuk perasaanlah kononnya. Kan, mak?," Aku jegilkan mata sambil jelirkan lidah pada suamiku. Janganlah dibuka lagi cerita lama itu.

"Kenapa papa? Ceritalah,"

"Mama ni, tak reti buat kuih...,"

"Bukan kuih saja mama Kak Long ni, tak pandai. Semua benda dia tak pandai...," sampuk ibu mertuaku.

"Ya ke?,"adik iparku pula menyampuk. Aku tunduk. Buat-buat pekakkan telinga.

"Ceritalah lagi, papa,"

"Opah suruh dia bakar kuih. Dah tak reti, tak nak cakap. Nak tunjuk pandailah konon...,"

"Yalah. Asal cakap tak pandai, mesti panjang mak membebel,"sampukku membela diri.

"Lepas tu?,"adik iparku pula bertanya

"Dia bakar kuih, semua jadi arang...," Cerita suamiku disambut gelak tawa yang cukup riuh. Aku menarik muka masam.

"Opah mengamuk. Mama dah tension kena marah, malam-malam dia bangun.

Konon nak buat kuih. Nak ganti balik kuih yang hangus. Siap tengok buku resepi. Orang lain tidur, dia buat kerja sorang-sorang. Entah macam mana, dia tertidur, buku resepi terkena api dapur gas. Masa tu opah tak guna oven elektrik. Habis terbakar buku tu, kemudian melarat ke langsir,"

"Lepas tu?,"

"Lepas tu, nasib baik Opah terjaga malam tu. Nak minum air. Opah tengok api, apa lagi. Terjeritlah opah. Terus dapat darah tinggi.

Malam tu jugak opah kena tahan kat hospital. Nasib baik api belum besar betul. Sempat papa padamkan. Esoknya, semua sambut raya kat hospital. Sebab opah kena tahan kat ward,"

Anakku tergelak besar mendengar cerita papanya. Aku pula memandang dengan muka bodoh. Adik iparku, turut tumpang gelakkan aku.

"Teruknya mama,"anakku bersuara sambil gelengkan kepala. Aku jegilkan mata, pura-pura marah. Suamiku bergerak ke sebelahku sambil memeluk bahuku.

"Tapi, itu dulu. Masa anak orang kaya baru menjadi menantu orang susah. Ya tak, mak?," Ibu mertuaku tersenyum. Aku tersenyum malu.

"Sekarang mama Kak Long ni, dah jadi menantu kesayangan opah.
Maklumlah... semua benda dia dah expert,"

"Abang ni... mengarutlah," aku bersuara sambil mencubit lengan suamiku.

"Dulu pun, mak sayang. Bukan tak sayang...,"ibu mertuanya menyampuk dari ruang tamu. Aku tersenyum sambil mengangkat kening, membuat suamiku mencebik.

"Cepat datang sini semua. Mak ada sesuatu untuk kamu semua,"

"Apa dia mak?,"adik iparku sudah berlari ke ruang tamu. Seiring dengan anakku. Adunan kuih aku tinggalkan seketika sambil bergerak ke ruang tamu bersama suamiku.

"Mak ada hadiah untuk kamu semua,"
"Hadiah? Hadiah apa pula?,"

"Yalah. Takkan anak-anak mak saja yang nak kena bagi mak hadiah kan?

Mak pun ada juga," Aku tersenyum sambil melihat ibu mertuaku mengeluarkan beberapa bungkusan dari dalam almari.

"Hadiah untuk raya nanti,"sambungnya lagi. Aku memandang wajah tua itu. senang menatap wajah itu. Tahun ini, merupakan Aidilfitri kelapan aku sambut di rumah ini. Bermakna sudah lapan tahun juga aku menjadi menantu di rumah ini. Daripada tidak tahu apa-apa, aku berbangga. Aku berbangga kerana hari ini, aku sudah menjadi seorang suri rumah tangga yang serba boleh. Semuanya kerana ibu mertuaku yang tersayang ini.

"Ini untuk kamu Iesha," Aku tersentak. Bungkusan yang ibu mertuaku hulurkan, aku sambut dengan senyuman.

"Terima kasih, mak,"ujarku sambil menghadiahkan satu ciuman di pipinya.

"Ini, untuk papa dan mama kamu. Nanti, kamu balik ke sana, kamu bagi,"

Aku tersenyum lagi. Untuk besannya pun ada juga.

"Buat susah-susah saja, mak ni,"

"Tak.... Ya ALLAH! Api! Api tu!,"ibu mertuaku menjerit tiba-tiba. Aku tersentak. Suamiku melompat berdiri. Berkejar ke dapur. Api marak menyala pada langsir. Aku turut terkejar ke dapur. Membantu suamiku memadamkan api,

"Ya ALLAH. Mana datangnya apinya?,"semput ibu mertuaku bertanya.

"Entah..,"aku menjawab dalam kepenatan berlari membawa air untuk suamiku.

"Tu....,"suamiku bersuara sambil menunjukkan majalah yang sudah separuh terbakar, yang terletak berhampiran dengan ubat nyamuk. Pasti angin kipas yang membuat kertas majalah terdedah pada ubat nyamuk yang menyala.

"Nasib baik mak tak beraya kat hospital sekali lagi,"

"Dalam terkejut, kata-kata itu membuat kami tertawa.

No comments: