Thursday, June 2, 2011

Orang Sebelah - Ep1

Orang sebelah 1


“Mak… tolonglah jangan paksa Fitriah. Fitriah tak mahu!!” Bentakku dengan wajah masam mencuka. Ganggang telefon yang melekap di telinga, kurasakan begitu panas. Aku menumbuk-numbuk dinding bersebelahan dengan meja kecil yang mana telefon terletak di atasnya.“Bila lagi? Nak tunggu apa lagi? Umur kau pun dah dekat tiga puluh tahun. Masuk nie, dah lima kali. Malu mak nanti!!” Emak membebal panjang. Aku mengeluh perlahan. Aku menggaru-garu lenganku.“Fitriah…” Ayatku mati di situ.“Apa? Kau tunggu orang sebelah rumah kita nie lagi?” Soalan emak menyentak jantungku. Aku tersengih sumbing. Kali ini aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.Di mataku terbayang wajah Hairi, jiran sebelah rumahku di kampung. Dulu kami pernah rapat, namun belum pun sempat janji diikat ianya sudah terputus. Walaupun begitu, kami tetap mesra. Tiada kata yang pernah diluahkan kerana masing-masing tahu perasaan sendiri. Hanya sendiri yang memahami maksud yang tersirat di dalam hati masing-masing.Teringat lagi aku sewaktu berbual-bual kosong dengan emak lima tahun yang lalu. Gara-gara majlis perkahwinan sepupuku, aku juga turut terkena tempiasnya. Semua orang sibuk bertanya bila aku hendak naik pelamin.“Fitriah, kalau nak cari suami… carilah lelaki yang baik, sayang pada Fitriah, taat pada ALLAH dan sentiasa ambil berat pada orang tua.” Ucap emak sewaktu aku sedang sibuk memasukkan telur rebus ke dalam kotak-kotak kecil yang bakal diberikan kepada tetamu-tetamu esok.“InsyaALLAH mak…” Balasku tersipu-sipu malu.“Fitriah dah ada calon? Kalau ada, kenalkanlah pada mak.” Emak seperti mengumpan aku. Aku pula tidak menjawab, sebaliknya hanya tersengih.“Nie senyum-senyum nie, mesti dah ada…” Usik emak kepadaku. Di fikiranku terbayang wajah Hairi yang baru kutemui sebentar tadi. Waktu sekarang mungkin dia sedang sibuk membantu mengacau lauk di dalam kawah atau menggodak gulai. Dia turut sama menyumbang keringat dalam majlis perkahwinan sepupuku ini. Adat orang hidup sekampung. Bila ada kenduri-kendara, saling tolong-menolong. Tambahan pula rumah kami bukannya jauh, sebelah rumah saja.“Ish… tak adalah.” Jawabku perlahan. Pipiku sudah merah menahan malu. Kukilas ke wajah emak di sebelahku. Dia hanya tersenyum.Suasana senyap seketika. Aku pula tekun menyiapkan kerjaku.“Ermm… mak!” Panggilku sambil memandang tepat ke wajahnya.“Ada apa?” Emak menyoal aku.“Kalau Fitriah kawan dengan orang sebelah tu… mak suka tak?” Takut-takut aku mengeluarkan kata-kata. Aku melihat matanya terbeliak besar. Seperti terkejutkan hantu.“Orang sebelah? Siapa?” Nada suara emak bertukar. Tegas!“Orang sebelah…” Jawabku sambil memuncungkan bibirku ke sebelah kiri, ke arah rumah Hairi.Emak mendengus tiba-tiba. Aku mula cuak. Mengapa pula nie?“Hairi yang Fitriah maksudkan?” Soal emak tidak puas hati. Aku mengangguk cepat.“Mak bukan tak sukakan Hairi tu. Dia baik, cuma mak tak berapa suka dengan perangai emak dia. Fitriah sendiri tahukan perangai mak si Hairi tu. Suka sangat membangga-banggakan anak dia. Lepas tu suka sangat menyibuk hal orang lain.” Emak mengeluh perlahan. Hatiku tiba-tiba saja menjadi sayu. Nampaknya tak ada harapanlah aku ingin bersama dengan Hairi. Awal-awal lagi emak dah reject.Dan sejak hari itu, aku cuba melupakan tentang perasaan aku terhadap Hairi. Tetapi aku tak berjaya. Aku semakin sayang padanya. Namun begitu, aku yakin bahawa kami masih mempunyai peluang untuk bersama iaitu dengan bersabar. Walaupun begitu aku lebih mengutamakan keluarga. Biarlah aku korbankan kasih sayang aku pada Hairi untuk sementara waktu asalkan itu memuaskan hati mereka dan aku tidak mahu ‘dicap’ sebagai anak derhaka.Walaupun antara aku dan Hairi, tiada ada apa yang pasti dalam perhubungan kami, aku seakan yakin dengan hati ini. Aku yakin, dia turut merasakan apa yang aku rasa. Cuma masing-masing tidak meluahkan perasaan itu. Aku mengatakan begitu kerana Hairi memang amat rapat dengan diriku. Walaupun kami berjauhan namun sebulan sekali, dia sanggup turun ke ibukota semata-mata untuk berjumpa denganku. Bilaku tanya mengapa dia sanggup bersusah-payah begitu, dengan senyuman dia akan berkata, “Rindu…” Hai… terasa cair perasaan aku apabila dia mengungkapkan kata ‘rindu’ itu.Tapi, aku bukannya mahu mengalah begitu saja. Aku seakan membalas dendam pada emak secara halus. Masuk kali ini sudah lima kali rombongan peminangan dihantar ke rumah. Namun, semuanya aku tolak dengan alasan belum bersedia. Padahal dalam hati aku, Hairi tetap menjadi pilihan. Hmmm… emak pun seakan faham mengapa aku menolak semua peminangan tersebut. Semuanya kerana ‘orang sebelah’. Aku ketawa kecil.“Hah! Apa yang kau ketawakan tu?” Suara emak yang menerpa ke corong telingaku, menyentakkan aku dari lamunan panjang.“Tak ada apa-apa. Mak… cakap saja Fitriah tak bersedia lagi.”“Fitriah… Fitriah… sampai bila kau nak bersedia? Bila ‘orang sebelah’ tu yang datang meminang?” Sekali lagi emak menyindirku. Aku mula bosan. Aku hanya mendiamkan diri. Malas mahu membalas kata-kata emak. Jika boleh aku mahu menamatkan panggilan itu sekarang juga, namun tidak mahu dikata anak kurang ajar.“Baiklah… kalau dah tak mahu, nak buat apa? Bukan mak yang nak kahwin, kau juga! Ini kali terakhir mak ikut cakap kau Fitriah. Lepas nie, kalau ada siapa-siapa yang masuk meminang kau… mak terima saja!” Ugut emak dan serentak dengan itu emak meletakkan ganggang dan talian telefon terputus begitu saja. Aku terkedu sendirian…

Orang sebelah 2

Aku bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di ibukota. Memang amat jarang aku pulang ke kampung. Cuma apabila cuti sekolah saja aku menjengukkan diri ke kampung. Lagipun aku runsing dengan pertanyaan-pertanyaan saudaraku. Semuanya seakan mendesak aku menamatkan zaman bujangku.Aku mengurut dahiku yang terasa berdenyut-denyut. Mungkin terlalu memikirkan tentang emak. Aku mengeluh perlahan sambil mataku menatap buku kerja anak muridku.“Hai… banyak hutangkah Fitriah? Sampai berkerut-kerut dahi.” Kedengaran suara Cikgu Sabri menyapaku dari belakang.“Tak adalah cikgu, kepala sakit sikit. Agaknya tak cukup tidur…” Balasku tanpa berpaling kepada Cikgu Sabri.“Aik? Apa kau buat sampai tak cukup tidur? Nak kata ada suami, masih bujang. Nak kata ada anak, tak nampak pula kau mengandung!” Sinis sekali sindiran Cikgu Sabri. Telingaku terasa panas. Hish… dia nie. Semenjak aku tolak pinangan dia dua tahun lalu, asyik nak mengenakan aku saja. Pergilah cari perempuan lain. Bukan aku seorang perempuan kat Malaysia nie!!“Cikgu Sabri, tak semestinya orang yang tidur lewat ada anak dan suami. Kenapa, orang bujang macam saya tak boleh tidur lewat?” Suaraku sedikit meninggi. Ketika itu hanya ada beberapa orang guru sahaja di dalam bilik guru itu.“Bukan begitu…”Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, aku cepat memintas.“Haa… jadi, cikgu jangan nak menyibuk hal saya. Ikut suka sayalah nak tidur lewat ke… tidur awal ke… atau tak tidur langsung. Lagipun tak baik jaga tepi kain orang sedang kain sendiri koyak rabak.” Aku menghempaskan pen dan kemudian mengambil buku lalu terus bangun dan beredar menuju ke kelas.Puas hati aku dapat mengenakan dia. semenjak aku menolak pinangannya, dia seolah-olah menganggap aku sebagai musuhnya. Sejak dia masuk ke sekolah ini, aku tahu dia menaruh perasaan padaku. Tetapi, aku cuba melayannya sebiasa yang mungkin. Entah bagaimana dia boleh menyalah tafsirkan layanan aku terhadapnya. Ish… susahnya bila ada orang yang cepatperasan!!!*****“Lisa, aku rasa mak aku marahkan akulah.” Rungutku pada satu petang sewaktu kami sedang berjoging di sekitar taman perumahan tempat kami menyewa.“Kenapa pula?” Soal Lisa kehairanan.“Dua bulan lepas, ada orang masuk meminang aku. Aku tolak. Mak aku marah sampai dia hempaskan telefon.” Aku berterus-terang dengan Lisa tentang masalah aku. Aku akui, aku tidak pernah rasa bersalah sebegini sebelum ini. Walaupun peristiwa itu sudah dua bulan berlalu, namun ianya masih menghantui hingga kini. Entahlah!“Hai… lakunya kau ye! Masuk nie kalau tak silap aku, dah lima kali kena pinang tapi semuanya kau tolak. Kau nak tunggu siapa? Kau nak tunggu putera raja datang meminang kau?” Gurau Lisa lalu ketawa besar. Aku turut sama ketawa.“Eh, kalau betul putera raja datang meminang aku… kau pun untung juga.”“Kenapa pula?”“Aku akan ambil kau jadi pengapit aku. Kemudian kenduri kahwin mesti 40 hari 40 malam. Kalau nasib kau baik, manalah tahu ada adik putera raja tu berkenan pada kau, haa… berbiraslah kita nanti.” Aku ketawa besar melihat wajah masam Lisa kerana dipermainkan oleh aku.“Perasan!!” Cebik Lisa kepadaku. Aku hanya tersengih.Kami berhenti berlari lalu melepaskan lelah di bangku. Aku mengesat peluh yang membasahi wajahku. Lisa pula sedang melakukan senaman ringan di hadapanku. Aku sudah tidak mampu untuk berlari walau semeter lagipun. Memang aku jarang bersenam. Tambahan hari minggu begini, aku lebih suka menghabiskan waktu dengan tidur.“Tak baik kau asyik menolak hajat orang Fitriah. Apa lagi yang kau tunggu? Orang sebelah rumah kau tu?” Lisa pun tahu mengenai Hairi. Antara aku dan dia memang tiada rahsia. Kami memang rapat sejak zaman belajar di maktab lagi. Untungnya selepas habis belajar, kami ditempatkan di sekolah yang sama.“Habis tu, takkan kau nak aku terima semua hajat orang. Teruklah aku. Aku bukannya lelaki, yang boleh kahwin sampai empat.”“Aku tak kata begitu. Cuma, sikap kau yang selalu sangat menghampakan harapan orang, itu yang aku kurang gemar.”“Kahwin sekali seumur hidup Lisa. Kalau boleh aku mahu hidup bersama dengan orang yang aku cinta. Aku tahu, cinta dan kasih itu akan hadir selepas berkahwin tapi masalahnya sekarang hati aku sudah dimiliki oleh lelaki lain. Mana mungkin aku dapat menerima lelaki lain dalam hidup aku. Kau bayangkan aku kahwin dengan lelaki lain dan lelaki yang aku sayang pula berada di sebelah rumah aku saja. Hah, aku mungkin akan hilang akal bila tiba masa bernikah nanti. Silap haribulan, aku lari time majlis pernikahan itu nanti.” Begitu panjang lebar aku meluahkan rasa yang terpendam di hati sekian lama ini.“Betul juga kata kau. Tapi, kau fikirkanlah tentang emak dan abah kau. Sanggup kau lukakan hati mereka semata-mata mempertahan kasih dan sayang kau yang belum pasti berbalas pada Hairi tu?”Pertanyaan Lisa seakan menyentapkan jantungku. Lidahku kelu.

Orang sebelah 3

”Diam saja? Tak suka saya datang jumpa awak lagi?” Suara garau milik Hairi bergema di corong telingaku. Aku memandang wajahnya sekilas. Tika ini kami sedang berada di taman KLCC.“Tak adalah… saya suka awak datang.” Balasku mendatar. Aku cuba tersenyum, namun senyumanku nampak janggal. Seperti dipaksa-paksa.“Saya dengar awak kena pinang lagi.”Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk. Sekali.“Kenapa awak tolak?” Soalan Hairi aku biarkan berlalu begitu saja. Takkanlah aku mahu katakan yang aku menolak pinangan itu dan pinangan-pinangan sebelum ini kerana dia. Malu jika perasaanku ini tidak berbalas.“Awak dah ada boyfriend ya! Sebab itu awak reject!” Aku ketawa kecil mendengar perkataan ‘reject’ yang keluar dari ulas bibirnya.“Saya nie bukannya baik sangat nak reject orang sesuka hati. Cuma saya tak bersedia nak memikul tanggujawab sebagai isteri.” Aku rasa setiap kali soalan mengapa aku menolak pinangan orang, jawapan inilah yang aku berikan; belum bersedia. Bila agaknya aku akan bersedia? Mungkin betul kata emak. Aku hanya akan bersedia apabila Hairi yang datang meminangku. Aku tersenyum sendiri.“Hei… kenapa senyum seorang nie? Betullah awak dah ada boyfriend. Nanti dah tak bolehlah saya jumpa dengan awak begini. Yelah, nanti boyfriend marah pula.” Suaranya tiba-tiba saja tidak bersemangat. Wajahnya juga murung. Kenapa pula?“Kalau saya dah ada boyfriend, takkanlah saya dapat jumpa dengan awak dan kita berdua dapat duduk bersama macam nie.” Balasku berkias. Aku memandang wajahnya untuk menantikan reaksinya. Ternyata wajahnya kembali ceria. Aku yakin, dia juga sukakan aku! Hatiku turut berlagu riang.“Agaknya bila awak akan bersedia?” Sekali lagi aku biarkan persoalan itu berlalu. Aku cuma menjawab di dalam hati. Saya akan bersedia bila awak datang meminang saya, Hairi. Aku mengulum senyum.“Senyum lagi… ada apa nie? Mesti awak rahsiakan sesuatu pada saya, betul tak?” Hairi menduga. Dia memaut lenganku dengan kuat.“Tak ada apa-apa, betul…” Jawabku sambil menyembunyikan tawa. Dia tidak berpuas hati lalu mencubit pipiku lembut. Aku terpana seketika. Tak pernah dia melakukan begitu sebelum ini. Aku mula keliru.Aku mengusap pipiku yang dicubitnya sebentar tadi. Pipiku merona merah. Malu. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Pantas aku menyelongkar tas tanganku. Sebaik sahaja telefon bimbitku berada di tanganku, tertera nombor telefon rumah di kampung. Aku terus menekan butang untuk menjawab panggilan.“Assalamualaikum…” Kataku perlahan. Aku bangun menjarakkan diri dari Hairi.“Waalaikummussalam. Hah Fitriah, mak bercakap nie.” Terdengar suara emak sayup-sayup di corong telingaku.“Ya mak… mak apa khabar? Ada apahal mak telefon Fitriah?” Soalku bertalu-talu.“Alhamdulillah, sihat. Mak telefon kau nie hendak maklumkan pada Fitriah yang semalam ada orang masuk meminang Fitriah. Dan emak sudah pun menerima lamaran mereka itu.”“Emak!!! Kenapa mak tak tanya Fitriah dulu? Kenapa mak terus terima lamaran tu?” Alangkah terkejutnya aku apabila diberitahu tentang hal itu. Kenapa emak begitu kejam? Aku tak mahu… aku tak mahu…“Bukankah mak dah katakan dulu. Kalau ada yang masuk meminang kau selepas ini, mak terima saja. Kalau tanya kau, alamatnya tak merasalah mak nak tengok kau naik pelamin. Mak dah tua Fitriah. Entah esok entah lupa nak mati. Sementara nyawa masih dikandung badan, mak teringin nak lihat kau naik pelamin. Lagipun tinggal kau saja yang belum berkahwin. Sudah, jangan cakap apa-apa lagi. Bersedia saja. Dan untuk pengetahuan Fitriah, hari ini sudah rasmi Fitriah bergelar tunangan orang. Mungkin sebulan dua lagi, Fitriah akan naik pelamin. Bersiap-sedialah.” Belum sempat aku membalas kata-kata emak, emak terus meletakkan ganggang telefon.Emak… kenapa begitu kejam pada Fitriah? Fitriah tak mahu kahwin dengan orang lain. Fitriah cuma cintakan Hairi…Tanpaku sedari airmata mengalir laju menuruni pipiku.

No comments: