Thursday, June 2, 2011

Kepulangan Di Aidilfitri - Ep 3(Akhir)

Oleh kerana tiket keretapi pun sudah habis dijual, Shafina terpaksa memberanikan dirinya menghubungi Shafiq. Dengan senang hati pemuda itu berjanji akan mengambilnya selepas asar petang esok. Berkobar-kobar dia mengemas apa yang patut. Baju raya untuk abah dan mak. Biskut-biskut raya yang diborongnya dengan Firza malam semalam hampir satu kotak sederhana. Siap berkemas, dia terus membersihkan diri dan menunaikan solat asar. Dalam doanya, dia tak putus-putus meminta kepada Allah S.W.T agar melembutkan hati mak dan abah agar sudi menerima dirinya semula.


"Tu dia, mak aii konon tak mahu tumpang orang tu, alih-alih sampai 2,3 beg dia angkut. Macamlah dah tak nak balik sini lagi" tegur Firza yang muncul dimuka pintu bilik setelah dia selesai bersiap. Teguran Firza dibalas dengan senyuman sahaja. Firza yang masih berdiri di depan pintu bilik melangkah keluar apabila terdengar suara orang memberi salam. Firza meninjau dari celah tingkap ruang tamu. Dilihatnya Shafiq sedang berdiri diluar pintu pagar, Firza lantas membuka pintu rumahnya.

"Abang Shafiq masuklah, kejap Firza panggilkan Fina" Shafiq mengangkat tangan dan mengangguk.

"Cik kak, Prince Charming kau dah sampai" Shafina bingkas bangun mengheret begnya.

"Pandai-pandai aje kau ni, mulut tu cover sikit kalau dengar dek dia tak ke malu aku dibuatnya. Sudahlah menumpang orang, nanti dia kata aku lebih-lebih pulak" bebel Shafina. Firza tergelak sinis.

"Ala apa salahnya, aku tengok dia pun macam minat je dengan kau" usik Firza lagi.

"Ish, sudahlah tu..tang merepek engkaulah yang nombor satu. Nah tolong angkat kotak ni ye..terima kasih" Firza tanpa buang masa terus mengangkat kotak yang dimaksudkan.

"Uihh beratnya, kau bawa balik batu ke kayu ni?" Shafina tergelak.

Shafiq yang berada diluar rumah membantu memasukkan beg kedalam Toyota RAV4 Sport miliknya.

"Ok, aku pergi dulu Firza, doakan kitaorang selamat pergi, selamat pulang ye" Shafina memeluk erat Firza.

"Tenangkan hati, jangan fikir yang bukan-bukan. Selamat Hari Raya Fina, maafkan segala salah silap aku ye, 0-0 kan?" usik Firza dan Shafina tersenyum.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri Firza, aku pun nak minta maaf dengan kau..jangan lupa datang kampung aku nanti tau, alamat aku dah letak kat atas meja kau tadi. Kirim salam dengan Along, Kak Rin dan mak ayah kau sekali ye" Firza mengangguk. Sekali lagi dia memeluk sahabatnya itu.

"Firza balik kampung pukul berapa ni?" soal Shafiq yang sedari tadi hanya memerhatikan gelagat dua sahabat itu.

"Kejap lagi Along datang ambil. Abang Shafiq, Selamat Hari Raya. Bawak kereta tu baik-baik tau jangan laju-laju. Bawak anak dara orang tu.." sempat lagi dia mengusik. Shafiq tergelak.

"InsyaAllah..jangan risau. Kalau abang terbawak laju mesti ada orang tegur nanti. Selamat Hari Raya, kitaorang pergi dulu ye. Assalamualaikum" kata Shafiq sambil mengangkat kening. Shafina buat selamba saja.

"Waalaikumusalam" jawab Firza yang masih tersenyum-senyum melihat mereka berdua.

Shafina melambaikan tangan ke arah Firza. Rasa hatinya bercampur baur antara gembira, sayu dan bimbang. Dia lebih banyak mendengar celoteh Shafiq daripada menyampuk, cuma sesekali saja kedengaran suaranya bercerita. Radio yang dipasang turut menjadi teman mereka sepanjang perjalanan. Walaupun kereta agak banyak namun perjalanan mereka masih lancar.

"Lagu raya saja dari tadikan, rasa tak sabar nak sampai kampung. Saya dah hampir dua bulan tak balik..asyik kena pergi site je.." kata Shafiq. Shafina memandang sekilas dan tersenyum. Dia pun rasa begitu, rasa tak sabar nak peluk dan cium kedua orang tuanya tapi cukup kuatkah? . Apapun kali ini dia sudah bertekad, dia akan sujud di kaki kedua orang tuanya memohon kemaafan.

Shafiq yang baru dua bulan tidak berjumpa dah rasa tak sabar apatah lagi dia yang dah lima tahun meninggalkan kampung. Agaknya macam manalah perubahan kat sana. Fikir Shafina.

"Saya kalau dah pergi site bukan boleh duduk sana sehari dua, selalunya 3/4 hari. Semua dah okey baru senang hati nak balik" Shafiq menyambung kata.

"Kat mana tapak projek awak tu?" tanya Shafina berminat.

"Sekarang ada 2 projek tengah jalan serentak. Satu kat Johor Baharu satu lagi dekat Penang. Itu yang bergilir dengan Firhan. Letih juga tapi nak buat macam mana dah tugas" terang Shafiq lagi, Shafina mengangguk setuju. Shafina tahu juga serba sedikit kerana Firhan, abang Firza itu sering kali menghantar isterinya yang sedang mengandung itu ke rumah mereka tiap kali dia ke luar daerah.

"Eh, saya suka lagu ni. Rasa sayu je kan.." Shafina mengiakan kerana lagu ini memang kena benar dengan dirinya. Mereka masing-masing terdiam menghayati bait-bait lagu daripada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza itu.

Sayu... hati ini makin sayup
Rindu... terkenangkan desa permai
Wajah ayah bonda bermain di mata
Mengajak ku pulang ke desa
Di hari bahagia hari raya
Lama kutunggu
Bertemu di pagi mulia
Namun tidak kesampaian
Airmata jatuh berlinangan
Kuingin berulang manisnya bersama
Menyambut hari bahgia
Jarak memisahkan rindu pertemuan
Bilakah hasrat jadi nyata

Jam sudah hampir ke angka 6.45 petang, mereka mengambil keputusan untuk singgah ke Temerloh dulu untuk berbuka dan solat maghrib. Shafiq memberhentikan keretanya di sebuah restoran. Restoran itu agak penuh tapi masih ada ruang untuk mereka berdua. Mereka memesan makanan yang sama iaitu Nasi Beriani dengan Ayam masak merah serta Air Sirap Bandung.

Sementara menanti waktu berbuka mereka berbual lagi. Serba sedikit Shafina mula mengenali pemuda dihadapannya ini kerana Shafiq jenis orang yang suka bercerita. Mula-mula Shafina segan juga tapi lama kelamaan dia rasa biasa kerana sifat Shafiq yang ramah membuatkan dia rasa selesa.

"Nama ayah Fina siapa? Manalah tahu saya kenal ke?" Shafina terdiam.

Safuan Abdullah" jawabnya pendek.

"Erm..Safuan Abdullah?..ermm tak perasan pulak..tapi tak apa kejap lagi saya kenal juga" kata Shafiq tersenyum. Shafina membalas senyumannya.

"Saya ni kalau balik, ikut ayah ke masjid besar tu mesti jumpa dengan sorang pakcik ni. Dia suruh saya panggil dia Pak Wan aje. Baik orangnya, selalu nasihat saya macam-macam. Kalau balik tak jumpa dia memang rasa tak sah, dia pun memang rapat dengan ayah saya. Selalu pergi memancing sama-sama, bila saya balik saya joint juga, kalau x mincing kitaorang pergi Lata Kasah, mandi air terjun. Itu yang secara tak langsung saya jadi rapat dengan dia.

Saya pernah tanya mana anak dia, sebab tiap kali saya ke rumahnya tak pernah pulak nampak anak-anak dia ada bila tanya dia terus senyap. Ayah saya pun tak bagi saya tanya macam-macam. Entahlah mungkin diaorang tak nak ungkit kisah lama. Tapi saya kesian dengan orang tua-tua macam tu, anak dia tak tahulah pergi mana. Kita ni walaupun duduk di bandar kena juga sekali sekala tengok mak ayah di kampung. Ini tidak sesetengah tu langsung tak menjenguk bertahun-tahun. Dah tak ingat asal usul lagi..betul tak Fina?" Shafina rasa terpukul laju saja dia mengangguk. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Sesungguhnya dia kehilangan kata-kata. Dadanya terasa sempit, sebak menyelubungi diri.

"Saya minta diri ke bilik air kejap" Shafina bangun.

"Fina okey ke? Pucat je tu" Shafina mengangguk. Dia berjalan pantas. Terasa ada air hangat di tubir mata. Entah kenapa dia terasa benar dengan kata-kata Shafiq walaupun tahu pemuda itu sudah tentunya tidak tahu sejarah hidupnya.

Dia bukanlah anak yang tak mengenang budi, bukan juga anak yang lupa pada asal usulnya. Dia pergi kerana kecewa, dia pergi untuk mencari harga diri. Lima tahun satu jangka masa yang agak lama. Bukan dia tak mahu pulang tetapi hatinya masih belum cukup kuat. Tetapi kini dia sudah tidak peduli lagi tentang tohmahan orang mahupun marah emak dan abah pada dirinya. Apa yang penting ialah memohon keampunan. Shafina kuatkan diri, dia memandang dirinya di depan cermin. Air mata di seka perlahan. Setelah yakin baru dia melangkah keluar. Aku harus kuat!
"Awak okey ke?" tanya Shafiq sebaik saja dia duduk. Shafina mengangguk dan tersenyum. Shafiq perhati wajah Shafina yang agak murung sejak tadi. Walaupun dia sentiasa tersenyum tetapi Shafiq perasan riak wajahnya yang muram cuma dia tak mahu bertanya kerana bimbang gadis ini berkecil hati.

Apabila azan berkumandang, mereka berbuka puasa. Sebelum meneruskan perjalanan pulang mereka singgah di Masjid Temerloh untuk bersolat maghrib. Jam menunjukkan pukul 8.00 malam ketika mereka memulakan perjalanan semula.

Sepanjang perjalanan Shafina hanya berdiam diri. Shafiq tidak pula mengganggunya mengelamun. Mungkin ada sesuatu yang disorokkannya. Kata hati Shafiq tetapi tidak berniat mahu mencungkilnya. Biarlah dia tenang fikirannya dulu.

"Kenapa senyap je Shafiq? Dah tak sudi nak berbual dengan saya ke? Shafina mengusik. Soalan Shafina memecah kesunyian. Shafiq yang terkejut tergelak kecil.

"Saya tak berani nak cakap apa-apa tengok muka awak tu serius aje, macam nak makan orang" ujarnya berseloroh. Segaris senyuman terlakar di bibir Shafina. Cantiknya dia. Senyumlah lagi…kata hati Shafiq, nakal.

"Kalau awak selalu senyum macam tukan bagus" Shafina menjeling kemudian mencebik.

"Kalau awak tak ada cerita, saya nak ceritakan pada awak satu kisah..awak nak dengar tak?" kata Shafina tiba-tiba. Kening Shafiq berkerut.

"Nak, ceritalah" jawab Shafiq berminat.

"Kisah ni kisah lima tahun lalu tentang sorang gadis yang……" Shafina bercerita sehingga tiada satu pun episod yang tertinggal. Shafiq yang mendengarnya langsung tidak menyampuk. Apabila keretanya hampir sampai di Masjid besar Jerantut barulah Shafina selesai bercerita.

"…….dan gadis itu ialah…………….. saya, Shafina binti Safuan. Pak Wan yang awak kenal tu tentunya abah saya………….." Shafina menutup ceritanya dengan mata yang berair. Shafiq yang mendengarnya tergamam. Lama dia terdiam sebelum bersuara, Shafina juga dilihatnya melayan perasaan.

"Sabarlah Fina, saya yakin mereka tentu akan terima awak semula" Shafina mengangguk. Hatinya rasa lega, kerana sudah meluahkan apa yang terbuku di dada.

Shafiq membelok ke kiri, mereka kini hampir sampai ke destinasi yang dituju. Shafina menunjuk arah rumahnya. Dari jauh Shafina lihat lampu di ruang tamu dan dapur terpasang. Hatinya yang rawan tambah berdebar.

"Selawat banyak-banyak" pesan Shafiq dan Shafina mengangguk. Kereta Shafiq berhenti betul-betul di dalam kawasan perkarangan rumah Shafina. Keadaannya masih sama seperti dulu, bersih dan menyamankan. Pokok-pokok bunga kertas yang pelbagai warna menghiasi lorong sepanjang ke rumah mereka. Ah, Abah memang seorang yang rajin. Sempat juga dia bermonolog.

Debaran jantungnya makin laju. Mereka keluar dari kereta, Shafina tertinjau-tinjau. Dalam samar kelihatan seseorang keluar dari arah pintu dapur dan menjenguk. Tanpa menunggu Shafiq, dia terlebih dahulu berlari ke pintu dapur.

"Mak…mak"
Mak Munah yang tergamam, turut keluar berlari mendapatkan anaknya yang sangat dirinduinya selama ini.

"Ya Allah, Fina ke ni?" Shafina terus memeluk emaknya erat. Tiada kata yang mampu diucapkan. Hanya linangan airmatanya saja penganti bicara.

"Ampunkan Fina mak, ampun kan Fina…" Shafina merintih pilu. Mak Munah memeluk anaknya erat. Dia segera membangunkan Shafina yang sudah rebah memegang lututnya.

"Fina tak salah, tapi mak dan abahlah puncanya. Sudahlah tu nak. Akhirnya tergerak juga hati kau nak balik" dalam sedu sedan dia bersuara.

"Shafina? Shafina anak abah" Safuan menuruni anak tangga dengan laju. Airmata yang mengalir di pipi dibiarkan saja. Shafina dipeluknya erat, seakan tak mahu melepaskannya lagi. Ya Allah aku bersyukur ke hadrat mu kerana masih memberi peluang kepadaku untuk menatap wajah anakku sebelum aku menutup mata. Safuan berdoa di dalam hati.

"Abah…….ampunkan Fina…ampunkan Fina, Abah….." hatinya terlalu rawan melihatkan penerimaan kedua orang tuanya. Shafina mengucup tangan abah berulang kali. Rasa bersalah bertindan-tindan di dalam hati.

"Abah…mak ampun Fina…" kali ini dia memeluk kaki abah pula. Cepat-cepat bahunya diraih oleh abah.

"Dah lama abah ampunkan, sebenarnya kamilah yang bersalah..lepas seminggu kamu pergi, kawan kamu Surina dan keluarga dia datang. Keluarga Surina paksa juga Rizal supaya bertanggungjawab seperti yang kamu ceritakan dalam surat yang kamu tinggalkan tu. Akhirnya kenduri yang sepatutnya untuk kamu dengan Rizal dah bertukar pasangan.

Apapun kami lega kerana dia tak jadi menantu kami, tapi kesal kerana kami, kamu melarikan diri Fina" kata abah penuh hiba. Mereka tiga beranak berpelukan. Tiada kata yang mampu diluahkan hanya memanjat kesyukuran dan berdoa agar kebahagiaan yang diberi Allah S.W.T kali ini tidak akan terselit titik hitam dalam hidup mereka lagi.

Pertemuan syahdu itu membuatkan naluri hati Shafiq berasa sayu. Dia berasa kasihan dengan Shafina, dalam masa yang sama dia juga kasihan dengan kedua orang tua Shafina. Dalam hal ini dia tidak menyalahkan sesiapa. Semua yang berlaku ada hikmah yang tersirat disebaliknya. Shafiq berdoa di dalam hati semoga selepas ini keluarga Shafina akan terus kekal bahagia. Dia membuka bonet kereta untuk mengeluarkan barang-barang Shafina.

"Sudah mari kita naik, malu tengok dek orang menangis depan laman macam ni, moh naik" ujar abah, sempat berseloroh.

"Eh, Fina balik dengan siapa tu?" tegur Mak Munah. Baru dia perasan ada seorang pemuda yang berdiri disisi keretanya memerhatikan mereka tadi. Abah turut memerhatikan pemuda yang sedang mengeluarkan beg dari bonet keretanya itu.

"Ya Allah, lupa nak kenalkan" Shafina berlari anak memanggil Shafiq.

"Eh, itu Shafiq anak Haji Arshad" kata abah.

"Assalamualaikum Pak Wan, makcik..apa khabar?" Shafiq bersalaman dengan Safuan.

"Waalaikumusalam..Ya Allah, betullah Munah, ni anak Haji Arshad, Shafiq….eh macam mana boleh balik berdua pulak ni" soal abah kelihatan keliru. Shafiq tersenyum.

"Abah, Fina tumpang Shafiq balik..nanti Fina ceritalah macam mana boleh kenal, Shafiq mari masuk minum air dulu" kata Shafina. Shafiq tersenyum menggeleng. Jam di tangan di kerlingnya. Sudah hampir jam 9.30 malam. Tentu mak dan ayah risau.

"Tak apa Fina, Pak Wan, makcik rasanya biar saya berangkat dulu. Mak dengan ayah tentu dah ternanti-nanti risau pulak diaorang nanti. Saya balik dululah. Jemput datang ke rumah esok ya, Assalamualaikum.."

"Waalaikumusalam..jangan lupa datang ke rumah esok Shafiq..bawa mak ayah kamu sekali..terima kasih banyak sebab bawa balik Shafina dengan selamat." Shafiq tersenyum mengangguk sebelum beredar. Shafina mengekori Shafiq hingga ke kereta. Dia mengambil tas tangan yang tertinggal di tempat duduk hadapan.

"Terima kasih banyak Shafiq kerana hantar saya pulang dengan selamat dan terima kasih jugak kerana bagi saya semangat.." Shafina curi-curi menatap wajah Shafiq. Sekilas Shafiq tersedar dirinya diperhatikan lalu Shafiq membalas renungan itu dan Shafina pantas melarikan pandangannya.

"Sama-sama…saya pun nak ucapkan terima kasih sebab sudi menemankan saya balik kampung. Selama ni asyik balik sorang je. Selamat Hari Raya Shafina" Shafiq memandang Shafina lagi. Seolah-olah sukar meninggalkan gadis yang mula mendapat tempat dihatinya itu. Tak mengapalah..esok masih ada. Shafiq tersenyum lagi. Teruk betul aku ni, kalau ayah dengan mak tahu…

"Selamat Hari Raya Shafiq" suara lembut Shafina menyapu telinganya lantas tersentak dari lamunan.

Shafina menghadiahkan senyuman manis sebelum melangkah pergi. Entah kenapa tiba-tiba hatinya bagaikan terselit suatu perasaan indah yang sukar dimengertikan. Dia tersenyum sendirian. Kakinya pantas mengorak langkah menuju ke arah kedua orang tuanya yang sedia menunggu di muka pintu. Harapannya kali ini hanya satu, bahagiakan kedua orang tuanya selagi masih ada hayat. Shafina menoleh ke belakang sekali lagi. Shafiq masih disitu memerhatikannya. Tangannya di lambaikan dan Shafiq membalas seraya tersenyum. Hatinya berbunga riang.
TAMAT

No comments: