Friday, June 3, 2011

Cinta Sejati

Di keheningan pagi raya, kelihatan seorang lelaki sedang membongkok membersihkan sebuah kubur yang kelihatan agak lama. Walaupun kelihatan agak usang, kubur tersebut bersih dan terjaga rapi. Tanpa menghiraukan sesiapa, lelaki itu terus sibuk sambil tangannya yang kasar pantas mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh di sekitar kubur tersebut.


Setitik demi setitik air mata suam kelihatan menitis mengalir turun menuruni pipinya. Setelah selesai kubur tersebut dibersihkan, lelaki tersebut duduk bersila sambil membaca Yasin dan doa dipanjatkan. Selesai membaca Yasin, dicapainya bekas air berisi rendaman bunga mawar lalu dicurahkan ke atas batu nisan sambil tangannya menyapu-nyapu bersih batu nisan tersebut. “Zura, Selamat Hari Raya sayang. Abang datang lagi hari ni, macam biasa. Abang masih lagi sayangkan Zura dan abang akan sayangkan Zura hingga ke akhir hayat abang” lelaki tersebut tiba-tiba bersuara, sayu. Lelaki tersebut menarik nafas panjang. Matanya yang berair itu memandang ke arah batu nisan di kuburan itu dengan pandangan yang kosong.
Fikiran beliau mengimbau ke suatu masa sepuluh tahun yang lepas.

Sepuluh tahun lalu
Tangan Zack menggenggam erat tangan Azura bagaikan tidak akan dilepaskannya. Keadaan Terminal Bas Putra yang penuh sesak dengan orang dan dalam keadaan tolak-menolak itu bagaikan tidak dapat menguraikan pasangan kekasih itu. Mata Zack merenung tajam ke mata Azura. “Abang, kenapa pandang Zura macam tu?” Zack hanya tersenyum. “Abang rasa berat hati untuk lepaskan Zura. Terasa macam abang tak akan dapat jumpa Zura lagi” jawab Zack.

“Jangan cakap macam tu, Zura balik kampung sekejap aje. Hari raya ke-5, Zura balik semula ke KL. Abang jangan risau la.”

Zack hanya tersenyum sahaja mendengar jawapan kekasihnya. Tangannya makin erat menggenggam tangan Azura.

“Tapi, abang janji, jangan lupakan Zura tau.” Azura berkata pada Zack sambil tersenyum.
“Abang janji sayang.” jawab Zack sambil tangannya makin erat menggenggam tangan Azura.

Tiba-tiba kedengaran suara dari pembesar suara mengumumkan ketibaan bas memasuki terminal. Zack segera memimpin tangan Azura menuju ke bas yang berhenti di hadapan sekali sambil tangannya yang sebelah lagi menjinjing beg pakaian Azura. Tertera pada tingkap bas tersebut ‘No. 5 KL-KB’. Zack membaca pada tiket di tangannya. Memang sah inilah bas yang perlu Azura naiki. Kaki Zack melangkah naik ke tangga bas sambil memandu Azura menuju ke tempat duduk. Kelihatan seorang perempuan tua sedang duduk bersebelahan dengan tempat duduk Azura. Zack tersenyum lega. “Nasib baik makcik ni yang duduk sebelah awek aku, kalau lelaki, kenalah aku ikut Zura balik sekali,” bisik hati Zack. Zack segera memberi salam pada perempuan tua tersebut.

“Makcik, ni awek saya, Zura. Dia duduk sebelah makcik. Mintak makcik tolong tengok-tengokkan dia ye” sapa Zack. Azura dengan segera menghulurkan tangan pada makcik itu sambil memperkenalkan diri.

“Eloklah tu nak. Sekurang-kurangnya ada juga teman makcik berbual. Sila duduk nak,” jawab makcik tersebut sambil tersenyum.

Setelah meletakkan beg Azura, Zack segera turun dari bas sambil diekori oleh Azura dari belakang. “Zura, bas dah nak bergerak. Abangpun tak boleh lama di sini. Bila Zura sampai kampung nanti, kirim salam abang pada mak dan ayah Zura. Jangan lupa pada adik Zura juga tau,” pesan Zack.

“Baiklah abang. Abangpun sama tau, kirim salam sayang Zura pada mak dan ayah abang,” jawab Azura kembali. Enjin bas tiba-tiba dihidupkan. Azura memandang ke arah Zack. Dengan cepat Azura memegang dan terus mencium tangan Zack. “Abang, Zura pergi dulu ye. Ingat pesan Zura tadi. Jangan lupakan Zura ye. Zura sayangkan abang.” Kata Azura sambil tersenyum. Zack hanya memandang ke arah Azura. Tangan Azura digengam erat. Perlahan-lahan Zack melepaskan sebuah ciuman pada dahi Azura. Muka Azura tiba-tiba menjadi merah. Azura tersipu-sipu malu. “ Zura, walau apapun terjadi, abang tetap sayangkan Zura hingga ke akhir hayat abang. Zura ingat kata-kata abang tu ye.” Azura hanya menganggukkan kepala sambil linangan air mata bergenang di matanya. “Zura akan ingat abang sampai bila-bila. Zura pergi dulu bang. Janji jangan lupakan Zura ye” jawab Azura sambil menarik tangannya dari tangan Zack yang bagaikan tidak mahu melepaskan tangan Azura dan terus melangkah masuk ke dalam perut bas.

Pintu bas ditutup sambil bas tersebut bergerak perlahan-lahan keluar dari terminal sambil diperhatikan oleh Zack hingga hilang dari pandangan mata. Zack berdiri tegak bagaikan mengelamun. “Kenapa hatiku bagaikan ada sesuatu yang tak kena?” bisik hatinya sambil kakinya melangkah pergi ke ruang letak motorsikal. Setelah mengenakan topi keledar, Zack terus menunggang motorsikalnya keluar dari Terminal Bas Putra menuju ke rumah.

Keadaan ibukota malam itu bagaikan pesta dengan lampu berkilauan di kiri kanan jalan. Tapi hati Zack direnggut risau mengenang apa yang tak pasti.

Di rumah Zack, lampu pelita bergemerlapan menanti ketibaan Aidilfitri. Zack pula berehat di luar rumah setelah penat membantu ibubapanya menyiapkan persiapan hari raya. Kelihatan kanak-kanak bising sambil bermain bunga api. Zack hanya memandang dengan pandangan kosong. Keriuhan kanak-kanak langsung tidak menarik perhatiannya. Hatinya yang tadi penuh kerisauan mula berdebar-debar bagai ada sesuatu yang akan berlaku. Zack bangun dan terus masuk ke rumah menuju ke biliknya. Tanpa berlengah, dia ke bilik air mengambil wuduk. Sejadah di bentangkan dan Zack terus menunaikan solat sunat sebelum masuk tidur. Namun Zack tidak boleh tidur.

Fikirannya melayang memikirkan Azura sahaja. Walaupun matanya tak mahu pejam, dipaksakan juga hingga terlelap. Pagi esoknya, Zack terbangun setelah azan Subuh berkemumandang. Setelah menunaikan solat Subuh, Zack ke dapur membantu ibunya menyiapkan juadah untuk hari raya. Setelah itu, dia bersama-sama ayahnya ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Di rumah, setelah menjamu selera dan bermaaf-maafan, Zack termenung sambil merenung ke luar rumah melihat kanak-kanak gembira berhari raya. Tiba-tiba telefon bimbit Zack berbunyi. Zack mengambil telefonnya dan merenung ke arah telefonnya.

“Panggilan jauh. Dari Kelantan.” Bisik Zack. “Hello. Assalamualaikum” jawab Zack.

“Waalaikumsalam. Abang Zack ye?” balas pemanggil itu. “Ini adik Zura, Mira,” pemanggil memperkenalkan diri dalam nada yang tersekat-sekat. “Abang Zack, Mira minta maaf mengganggu, tapi Mira nak beritahu Abang Zack, yang kak Zura dah tiada…… Bas kak Zura kemalangan malam tadi masa baru sampai ke Kota Bharu.” Kata Mira dengan nada yang tersedu-sedu. “Insyaallah, petang selepas asar ni nak dikebumikan” sambung Mira singkat.

Zack hanya tersentak. Pandangannya kabur dan terus gelap. Kakinya bagaikan tak dapat lagi nak menampung berat badannya. Dengan cepat Zack duduk di sofa. Nafas Zack tersekat-sekat dan dadanya berombak kuat. Air matanya mula berlinang menitis membasahi pipi. Telefon bimbitnya terlepas dari tangan. “Astaghfirullahalazim. Ya Allah Ya Tuhanku,” hanya itu sahaja suara yang keluar dari bibir Zack. Melihatkan keadaan Zack, ibu Zack menerpa ke arah anak sulungnya. “Mak, Zura dah tak de, mak. Zura dah meninggal. Kemalangan bas pagi tadi” beritahu Zack dengan suara yang tersekat-sekat.

Ibu Zack hanya dapat menarik nafas sambil terduduk di sebelah anaknya. Tiada suara yang keluar dari bibirnya, hanya air mata bercucuran membasahi pipi tuanya.“Mak, ayah, Zack minta izin untuk pergi ke Kelantan, hari ini juga.” pinta Zack pada ibubapanya.

“Baiklah Zack, kau bawa kereta ayah,” jawab ayah Zack.

“Tak pelah ayah, Zack pergi dengan motor Zack. Zack lebih selesa,” jawab Zack.

“Baiklah Zack. Tapi hati-hati,” pesan ayah Zack.

Mendengar keizinan yang di beri, Zack segera berlari menuju ke biliknya untuk bersiap. Motornya sudah gagah tersedia menunggu untuk ditunggang. Motorsikal Yamaha RD 350 YPVS pemberian ayahnya itu banyak mengimbau kenangan antaranya dengan Azura. Dengan sekali tendangan sahaja, enjin motorsikal Zack mengaum garang dan terus meluncur keluar melalui pintu pagar rumah sambil di perhatikan oleh ibubapa Zack. Perjalanan jauh tidak menjadi masalah pada Zack kerana sebagai ahli kelab motor, beliau banyak kali melakukan konvoi ke lokasi-lokasi yang jauh. Motorsikalnya juga diselenggara dengan baik membuat perjalanan berjalan lancar.

Tepat jam 5 petang, Zack tiba di rumah Azura. Deruman enjin motorsikal Zack menarik perhatian orang ramai yang berada di rumah Azura. Melihatkan Zack datang, Mira segera meminta ayahnya membawa Zack masuk. Zack terus menerpa ke arah ayah Azura sambil mencium tangan ayah Azura. Dengan linangan air mata, ayah Azura memeluk Zack. “Zura dah tak ada Zack,” kata ayah Zura. “Mari tengok dia,” ajak ayah Azura.

Perlahan-lahan Zack melangkah menuju ke atas rumah Azura. Dari pintu rumah, kelihatan sekujur tubuh ditutupi kain batik sambil dikelilingi orang-orang sambil membaca Yasin. Kelihatan ibu Azura berteleku di sisi tubuh Azura sambil teresak-esak. “Maknya, ini Zack. Tolong bukakan tutup muka Zura tu.” Kata ayah Azura. Ibu Azura memandang ke arah Zack sambil linangan air matanya makin mencurah-curah keluar. Tangannya perlahan-lahan membuka kain batik yang menutupi muka Azura. Zack menanti dengan hati yang berdebar-debar.

Setelah kain batik di selak, terserlahlah wajah Azura, kekasihnya yang amat dicintainya. Walaupun rohnya sudah tiada, wajah Azura tetap ayu, tetap cantik. Tanpa dapat ditahan, air mata Zack berlinang keluar membasahi pipi dan juga lantai. Zack membacakan Al-Fatihah dan doa untuk kekasih tercintanya. Keadaan menjadi sepi. Kesayuan mula terasa pada yang hadir. Mira hanya dapat menutup mukanya dengan telapak tangannya sambil teresak-esak.

Jenazah Azura di alihkan ke dalam pengusung. Zack memegang kayu pengusung yang di hadapan sekali. Perlahan-lahan pengusung dimasukkan ke dalam van jenazah. Setelah van jenazah meninggalkan rumah menuju ke tanah perkuburan, hujan mulai turun. Setelah selesai upacara pengkebumian, Zack meminta izin dari ayah Azura untuk bertafakur seketika. Tinggallah Zack seorang diri melutut di sisi kubur Azura. Hujan lebat membasahi bumi tidak di hiraukan. Linangan air mata Zack masih tidak berhenti.

“Zura, abang minta maaf jika abang ada buat salah dan silap pada Zura,” kata Zack dengan tersedu-sedu. “Abang sangkakan hubungan kita akan berakhir sebagai suami isteri, tapi takdir menentukan segala-galanya. Abang tak boleh melawan takdir sayang,” sambung Zack. “Abang pernah berjanji untuk menyayangi Zura hingga ke akhir hayat abang, dan abang akan tepati janji abang itu, walaupun Zura tiada lagi di sisi abang. Bagi abang, Zuralah kekasih abang yang pertama dan yang terakhir.”

Linangan air mata dan sedu Zack makin bertambah. Tangannya menggenggam kuat tanah kubur Azura. “Abang berjanji, abang akan tetap sayangkan Zura dan abang takkan lupakan Zura hingga ke akhir hayat abang,” kata Zack sambil berdiri. Perlahan-lahan Zack mengatur langkah longlai meninggalkan tanah perkuburan dalam hujan yang makin mencurah-curah.

Masa sekarang
Kicauan burung menghentikan lamunannya. Haripun sudah menjelang tengahari. “Zura, abang balik dulu Zura. Jauh lagi perjalanan abang ke Kuala Lumpur. Motor kitapun abang masih guna lagi. Masih boleh bawa abang berjumpa Zura hari ini. Macam manapun, abang tetap sayangkan Zura hingga ke hembusan nafas abang yang terakhir. Zura ingat tu ye sayang.” Kata Zack dengan lembut. Tangannya menabur bunga-bunga yang dipotong rapi ke atas kubur Azura. Setelah itu Zack bangun sambil mengemaskan barang-barang dan menuju ke arah motornya. Walaupun sudah sepuluh tahun berlalu, motorsikal pemberian arwah ayah Zack masih kukuh lagi.

Perlahan-lahan Zack menunggang motornya meninggalkan pusara kekasih tercintanya. Ketika Zack keluar dari simpang tanah perkuburan, tiba-tiba sebuah kereta dengan laju keluar dari selekoh dan terus merempuh Zack tanpa sempat mengelak. Zack tercampak jauh. Darah memercik membasahi motor Zack. Tubuh Zack terbaring di atas jalan raya. Matanya memandang ke arah langit sambil mulutnya terkumat-kamit mengucap dua kalimah syahadah. Pandangannya mulai kabur, kemudian kelam, kelam dan terus gelap. Nafas Zack berombak deras, kemudian perlahan dan perlahan. Apa yang kelihatan di anak matanya hanyalah raut wajah ayu Azura ketika dia mencium dahi Azura sepuluh tahun yang lepas.

Setelah ambulan tiba, Zack disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, tidak jauh dari kubur Azura. Akhirnya Zack dapat mengotakan janjinya iaitu untuk menyayangi kekasihnya, Azura, hingga ke hembusan nafasnya yang terakhir.

No comments: