Thursday, June 2, 2011

Cintaku..Cintamu Jua

“Wei, apa duk termenung ni? Tak de kerja ke?” Aku tiba-tiba je di tegur oleh seseorang. Tegas dan sedikit kuat, memeranjatkan aku. Lantas lamunanku mati disitu.


“Maaf. Puan… Laa hai, ko ke? Ingat lady boss tadi. Apa hal sergah-sergah orang ni, hah!” gerutuku. Geram dengan sikap Asyikin yang suka sangat menegurku tanpa memberi salam.

“Heh, salahkan orang pula. Yang ko tu, angan-angankan sapa? Putera kayangan ke? Sampai dah tiba waktu lunch pun tak sedar.”

Alamak malunya. Aku sebenarnya sedikit gusar. Ada-ada je benda yang menganggu concentration aku. “Oh ya ke? Tak perasanlah pula. Masa tu cepat sangatlah hari ni. Ko lapar tak?”

“Mestilah. Tengok perut aku dah bising ni. Ko tak dengar ke?”

“Dengar… Dengar….,” jawabku sambil ketawa kecil. Geli hati dengan sikap kawanku yang seorang ni. Asyikin ni kalau bab makan, first class. Tak payah jemput. Laju je. Tapi body dia tetap maintain. Macam aku ni taklah kurus sangat. Berisi juga. Tapi, kalau nak kata gemuk pun tak juga. Boleh tahanlah. Sesuai dengan ketinggianku.

Aku sebenarnya sedikit terganggu memikirkan hal yang mak aku ungkitkan pagi tadi. Aku belum lagi tergerak hati nak mendirikan rumah tangga. Aku sendiri pun tak berapa pasti sebabnya. Tapilah kan, menurut firasat sahabat karibku, aku ni mungkin fobia terhadap alam perkahwinan. Betul ke? Entahlah. Yang aku tahu, aku tak nak kahwin mahupun mencari calon buat masa terdekat ni. Aku lebih selesa bersendirian, melayani perasaan sendiri. Aku ni tak suka cari masalah.

“Alhamdullilah, kenyang sungguh aku hari ni. Terima kasih, cik Shafinaz Suzanna kerana susah-susah belanja aku makan,” omong Asyikin sambil mengeliat malas. Tiada lagi ruang kosong untuk diisi. Aku hanya menggeleng melihat telatah Asyikin. Tak pernah nak berubah. Macam ni macam mana nak jadi isteri orang.

“Kasihmu aku terima. Apa nak buat, kan?” balasku sambil mencapai gelas yang berisi teh o’ ais, minuman kegemaranku. Begitulah kami dua sahabat menghabiskan masa lunch kami. Selain itu, kami juga berkongsi menyewa bilik yang sama; nak kurangkan sikit perbelanjaan. Maklumlah, kami ni anak dagang. Datang ke KL, semata-mata untuk mencari rezeki. Jadi, tiada gunanya memikirkan soal jodoh.

Pada malam harinya, Asyikin tergesa-gesa bersiap. Aku nak juga tahu. Rupanya, dia ada janji temu dengan tunangnya yang kebetulan akan berada di KL untuk satu minggu berturut-turut. Katanya ada conference penting di Putrajaya. Nampak gayanya, kenalah aku teman diri sendiri malam ni. Malasnya aku nak turun pergi makan sorang-sorang. Tak bestlah. Kalau ada Asyikin, boleh juga kami sembang-sembang sementara menunggu pesanan kami. Tapi, apa nak buat. Tak kan aku nak halang member aku tu berjumpa dengan bakal suaminya. Tak manislah pula. Nak ikut sama nanti dikatakan kacau daun pula.

“Pak, bagi saya nasi putih campur tom yam pedas.Untuk sorang ya.”

“Siap. Minum apa, dik?”

“Emmm…. Sirap limau, pak.”

“Ok. Tunggu sebentar ya.” Aku mengangguk sambil menghadiahkan sekuntum senyuman buat Pak Mail. Aku memang selalu makan kat sini. Sedap! Aku duduk di meja yang paling hujung sekali. Ramai sangat pelanggan Pak Mail. Tak cukup tempat pula. Akhirnya, pesanan aku tiba. Sedang aku sibuk melayani hidangan, tiba-tiba aku disapa oleh seseorang.

“Hai.” Suara seorang lelaki! Tersirau darahku. Aku perlahan-lahan mengangkat sedikit kepalaku. Siapa pula mamat ni? Tak pernah pun aku jumpa sebelum ni. Macam mana ni? Nak jawab ke tak? Aku confused.

“Cik adik, boleh saya tumpang duduk kat meja ni? Tak de tempat lain,” pintanya lembut. Ceh! Aku ni kenapalah lekas benar gabrah. Macam-macam yang aku fikirkan. Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk. Tanda setuju.

“Thanks.”

Peliklah mamat sekor ni. Meja, kerusi ni bukan aku punya. Tempat awam. Kira okeylah tu dia dah minta kebenaran. Tapi kenapa nak ucap terima kasih pula. Aku sedikit kekok meneruskan santapanku. Sebelum ni aku tak pernah duduk makan semeja dengan mana-mana lelaki pun. Tak cukup dengan tu, mamat ni tenung aku macam nak telan aku hidup-hidup je. Entah apa masalah dia. Aku ni memang pandai cover. Aku sikit pun tak layan. Aku pura-pura seperti tidak perasaan diri aku diperhatikan. Nasi kat pinggan aku ni bila nak habis…. rasa macam banyak pula. nak buang sayanglah pula. Aku memang sejak kecil lagi dah dididik supaya tidak merugikan makanan. Nangis nasi tu nanti.

“Cik, awak ada masalah ke?” tiba-tiba mamat terlebih sopan tu tanya aku. Sibuk je. “Kenapa, muka aku ni nampak macam ada masalah ke?” balasku, tapi dalam hati jelah. Tak berani nak tembak kat lelaki tu. Bukannya aku kenal dia pun. Tak pasal-pasal kena lenting pula. Aku memandang tepat wajah mamat kat depan aku tu. Kali ni, dia pula macam tak selesa. Tahu pun. Macam tu jugalah aku pun rasa bila orang tengok aku tanpa berkelip mata. Rasakan sekarang. Balas dendam ni.

“Awak tak selesa ke?” sekali lagi aku diajukan pertanyaan. Dia ni tak nak mengaku kalah. Dah tahu aku tak nak jawab, tapi masih juga mencuba. Aku ni pun teruk juga perangai. Orang tu bukannya tanya benda yang bukan-bukan. Aku menarik nafas panjang sebelum menjawab pertanyaan lelaki tersebut.

“Taklah. Saya okey je.”

“Kalau awak feel not comfortable, saya boleh cari table lain.”

“Hiskkkk, tak pelah. Saya tak kisah. Lagipun saya dah nak balik ni,” jawabku sambil tersenyum kelat. Dia membalas senyumanku, semanis madu. Kacak juga mamat kat depan aku ni. Tapi, pujianku ini tiada niat lain. Ikhlas. Apa salahnya kalau sekali-sekala kita puji seseorang yang memang berhak mendapatkannya. Akhirnya, aku mengatur langkah menuju ke apartment dengan ditemani oleh bebola mata lelaki tadi. Dia ingat aku tak nampak. Aku bukannya buta cik abang oii.

“Comelnya gadis tu. Macam anak patung. Cute sangat. Melepaslah pula,” bisik hati kecil Shahmir Shazlan. “Moga-moga aku diketemukan sekali lagi dengan dia. Aku pasti akan cuba-cuba berkenalan dengan dia. Walaupun aku tahu aku perlu bekerja keras untuk merapatinya. Dia bukan gadis sebarangan. Aku dapat rasa sangat kemuliaan diri gadis itu. Dan sedikit sombong.”

Hari-hari berikutnya berjalan seperti biasa. Aku bahagia menjalankan kewajipanku sebagai seorang Personal Financial Executive, di Maybank bersama-sama dengan Asyikin. Walaupun kadang-kadang tu aku ada juga kena marah dengan lady boss, Pn. Martini Sulaiman.

“Finaz, Pn. Mar panggil ko.”

“Panggil aku. Ko tau ke apa sebabnya Syikin?”

“Manalah aku tahu. Cepat pergi. Nanti lenting pula orang tua tu,” bisik Asyikin. Aku pula serba tak kena jadinya. Apa lagi aku dah buat ni? Aku perlahan-lahan menghampiri bilik pejabat Pn. Martini. Aku dijemput masuk. Suaranya lembut. Tak ada tanda dia tengah angin. Aku melangkah masuk. Ada oranglah pula kat situ, bersama-sama dengan Pn. Martini.

“Assalammuallaikum, Pn. Mar panggil saya ke?”

“Waalaikummussalam. Ya! Sila duduk sebentar. Ada hal sikit saya nak bincang dengan awak.” Aku memang dah blur. Tak faham apa yang tengah berlaku kat situ. Lebih-lebih lagi bila terpandang lelaki separuh umur yang duduk kat situ. Dia tersengih-sengih memandangku. Kenapa pula pak cik ni? Dah gila ke? Heh! Tak baik aku kata macam tu.

“Pn. Mar, saya ada buat silap lagi ke?” soalku. Aku memang dah tak boleh sabar lagi.

“Taklah. Sebelum tu kenalkan suami saya, Dato’ Sulaiman.”

“Apa khabar, Dato.” Aku menegurnya.

“Sihat. Tak yahlah berdato’ dengan saya. Panggil je abah.” Eh! Kenal pun tidak. Tiba-tiba suruh panggil abah. Memang peliklah.

“Shafinaz, sebenarnya kami berdua ni ada niat panggil awak ke sini. Kami nak lamar awak untuk anak tunggal kami. Sudi tak?” terang Pn. Martini. Aku dah terpana mendengar isi hati bos aku tu. Mana mungkin. Aku tak kenal anak dia. Aku perlu mengambil keputusan yang berpihak kepadaku sendiri.

“Pn. Mar, Dato, saya minta maaf banyak-banyak sangat. Saya tak dapat terima lamaran ni. Saya belum bersedia lagi. Maaf ya.”

“Tak pelah, Shafinaz. Kami tak memaksa. Tapi, diharapkan awak fikir-fikirkan pinangan ni ya. Kami berkenan sangat dengan awak. Kami yakin, begitu juga dengan anak kami nanti.”

Kenapalah aku selalu sangat didatangi masalah yang sama. Asyik-asyik kahwin. Aku tahulah sekarang ni aku dah capai 25 tahun. Tapi, itu tak bermakna aku kena jugak kahwin kan. Macam kat luar tu, ingat semua bila dah capai umur 23 tahun tu terus je kahwin ke. Ni zaman moden. Ada banyak lagi benda nak buat.

Aku ceritakan pada Asyikin apa yang Pn. Martini cakapkan siang tadi sebaik sahaja tiba di rumah sewa. Dia apa lagi… gelakkan aku. Entah apa yang lucunya. Aku pun tak tahu. Aku sedikit tersinggung.

“Terima jelah. Keluarga kaya-raya mereka tu. Ko boleh hidup senang.”

“Wei, ko ni… aku tak pernah pandang harta tau.”

“Taklah, itu bukan maksud aku sebenarnya. Itu hanya sampingan. Aku tak suruh ko kahwin sekarang juga. Tunang dulu. At least taklah kau tu jadi anak dara tua nanti. Dah ada calon. Bila-bila pun boleh kahwin.”

“Kenapa tak ada yang faham perasaan aku ya? Aku belum jumpa orang yang aku cintai. Aku tak boleh pakai kahwin je. Tak bercinta pun tak pe. Yang penting aku kenal hati budi dia. Itu dah cukup,” terangku panjang lebar. Asyikin terdiam mendengar kata-kataku. Mungkin dia diimpit rasa bersalah kot. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk tidur je. Malas aku nak keluar makan. Tak lapar pun. Asyikin tak pula datang mengangguku. Aku tak dapat tidur. Dah cuba paksa pun. Jauh dilubuk hatiku tiba-tiba semacam perasaan terbit. Aku tidak dapat katakan dengan pastinya apakah perasaan itu. Gemuruh tak tentu pasal. Jangan-jangan ada perkara yang tak diingini nak berlaku kot. Hisk! Minta sangat dijauhkan. Aku tak sanggup nak menghadapinya. Jiwa aku ni bukannya kuat. Dahlah tu cepat sangat sensitifnya. Nanti tak pasal-pasal aku meraung kat tengah jalan pula. Manakala si Shahmir Shazlan pula bagaikan pungguk rindukan bulan pula. Lama juga dia duduk terpacak kat kedai makan Pak Mail. Menunggu kehadiran bidadari malam.

Seperti biasa, aku hujung-hujung minggu macam ni suka sangat menghabiskan masa di taman bunga. Rasa seronok hati bila tengok kemekaran bunga-bungaan yang tersenyum manis menyambut salam daripada mentari. Biasanya Asyikin tidak turut serta. Jauh katanya. Sebenarnya itu hanya alasan. Dia tu tak suka duduk kat taman macam orang bodoh. Aku suka. Tak kisahlah walaupun seorang diri. Sedang aku leka menghayati setiap kuntum bunga-bungaan disitu, aku dihampiri oleh seseorang. Aku segera menoleh. Pantas. Memeranjatkan si tuan punya badan.

“Cik adik ni, buat saya terkejut je. Kuss semangat. Nasib tak de sakit jantung. Kalau tak, alamatnya masuk hospitallah.”

“Maaf. Tak sengaja,” jawabku spontan. Aku tak berniat nak takutkan orang. Kalau orang tu dah takut tu bukanlah salah aku.

“Dimaafkan. Sorang je ke?”

“Ya,” jawabku ringkas. Dia tulah mamat yang aku jumpa kat gerai makan tempoh hari. Macam mana dia boleh ada kat sini? Jangan dia ekori aku dahlah. Ceh! Pandai-pandai je tuduh orang. Perasaan nak mampus.

“Ingat kat apa tu, awak?”

“Ahhh??? Tak ada apa-apalah. Cuma.. Emmm… just leave it.” Aku pun tak tahu apa yang aku merepek. Buat malu je. Tak pasal-pasal dia ingat aku mengelamun ingat kat pak we.

“Siapa nama awak? Boleh berkenalan tak? Harap sangat awak sudilah terima salam persahabatan saya. Ikhlas ni.”

“Emmm…” aku mengambil masa sejenak untuk fikir-fikirkannya. Tapi, lepas tu aku pun menjawab, “Boleh. Apa salahnya. Nama saya Shafinaz Suzanna. Awak?” soalku kembali setelah memperkenalkan diri. Dah adat, kenalah tanya balik.

“Sedap nama tu. Saya suka. Saya panggi awak Inaz ya. Nama saya Shahmir Shazlan. Ikut suka Inazlah nak panggil apa. Saya tak kisah.” Dia tersenyum manis. Kacak dan segak juga lelaki kat depan aku ni. Tak de cacatnya. Perfect! Terpikatlah pula aku. Nampak gaya macam anak orang-orang kaya je. Tapi budi bahasa dia memang tinggi. Tak berlagaklah katakan. Macam ni bolehlah jadi kawan aku. Aku pun bukannya ada kawan lelaki. Apa salahnya kalau ada seorang.

“Kalau macam tu saya panggil awak… awak jelah ya…” jawabku sambil mengaru-garu kepalaku yang bertudung kemas. Ini menyebabkan Shazlan tergelak kecil. Dia masih lagi merenung wajahku tanpa sedikit pun mengalih pandang ke arah lain. Aku semakin gelisah. Mungkin dia dah dapat rasa perubahan pada wajahku. Segera dia mengalih ke arah pasangan couples yang ada kat situ. Keadaan senyap seketika. Aku kematian akal. Tak tahu nak cakap apa dengan dia. Aku tak pernah berkawan dengan kaum adam sebelum ni.

“Inaz, saya rasa macam nak bagitahu perkara sebenar kat awak.” Shazlan tiba-tiba memecahkan kesunyian.

“Apa bendanya?” soalku tenang. Tapi dalam hati, tuhan je yang tahu. Dub dab dub dab bunyi degupan jantungku.

“Sebenarnya saya ekori Inaz,” katanya jujur.

“Oh! Patutlah awak boleh ada kat sini ya.”

“Bukan tu je. Kawan Inaz, Asyikin tu kenalan saya sejak kat U lagi. Dia tu junior saya yang paling rapat. Lagipun tunang dia tu kawan saya. Kami satu campus. Dia yang bagitahu saya Inaz kat sini.”

“Asyikin punya kerjalah ya ni. Tak pe. Sabar. Nanti saya ketuk kepala dia.” Aku geram sangat dengan Syikin sekarang ni. Dia asyik-asyik nak kenakan aku. Dia tahu aku cepat sangat gabrah bila berduaan dengan seorang lelaki. Tapi, masih juga cari jalan. Memang nak kena budak ni. Kurang asam betullah…. Namun aku pendamkan ajalah amarahku. Kalau bukan kerana Asyikin aku tak mungkin mempunyai sahabat sekacak Shazlan.

Begitulah saban hari perhubungan kami semakin akrab. Aku selalu juga keluar berduaan dengan Shazlan tapi ketempat-tempat khalayak ramailah. Mana boleh pilih tempat yang tersorok. Kang kena tangkap basah baru tau. Tak pasal-pasal dapat kahwin free. Minta dijauhkan. Dan aku memang tak nafikan budak Shazlan ni memang baik orangnya. Cuma… aku kurang pasti kenapa dia beriya benar nak kawan dengan aku. Tapi, taklah pula aku tanya dia. Nanti memalukan aku sendiri pula. Sehinggalah suatu hari tu, ketika kami lepak kat tempat yang biasa aku kunjungi setiap hari ahad, Shazlan memulakan bicaranya.

“Inaz cantik.”

“Apa?” aku binggung sikit. Ni apasal pula tiba-tiba puji aku. Ada udang disebalik mee ke…?

“Ya! Inaz cantik macam patung barbie kat shopping complex tu.”

“Merepeklah.”

“Tak. Sumpah.”

“Tak baik main sumpah-sumpah.”

“Ok. Tapi, memang Inaz cantik sehingga menganggu tidur Shazlan.”

“Gila.”

“Inaz masih tak dapat agak lagi ke?”

“Agak apa benda? Saya tak fahamlah.”

“Saya serius nak berkawan dengan Inaz.”

“Yalah, kan saya dah terima salam persahabatan awak. Kalau tak saya dah lama blah tau. Tak kan keluar ngan awak. Sebab awak kawan sayalah, saya sanggup teman awak.”

“Tak. Bukan tu. Maksud saya…. saya nak lebih dari pertalian persahabatan.”

“Maksud awak?” Aku mula rasa gugup. Sekarang baru aku tahu kenapa sejak beberapa bulan lepas selalu benar fikiranku melayang jauh tanpa sebab. Aku seperti hilang keruan. Rupanya aku bakal berdepanan dengan bala baru. Punca utamanya kawanku sendiri. Siap dia! Aku cekik dia hidup-hidup.

“Saya cintakan Inaz,” luah Shahmir Shazlan jujur. Dia memang tak dapat nak sorok lagi. Dia dah jatuh hati pada Shafinaz sejak pertemuan mereka yang pertama lagi. Dan dia bertambah gembira apabila terlihat Shafinaz bersama dengan Asyikin kat Jusco beberapa bulan lepas iaitu dua hari sebelum pertemuan keduanya. Dia yakin dapat memiliki Shafinaz jika bersungguh-sungguh memasang niat.

“Apa? Cintakan saya? Saya tak nak.”

“Kenapa?”

“Tiada niat nak jatuh cinta.”

“Yalah, kenapa?”

“Tiada sebab.”

“Tapi saya yakin; cintaku, cintamu juga.”

“Jangan perasan.”

“Kenapa, Inaz takut rahsia hati Inaz terbongkar ke?”

“Malas saya nak layan awak.”

“Ego Inaz tak bertempat tau.”

“Saya nak balik. Selamat tinggal.”

“Sebelum tu. Inaz dengar dulu apa saya nak kata. Saya ikhlas nak bernikah dengan Inaz. Malahan saya dah minta mama dan papa lamarkan Inaz untuk saya. Rasanya sampailah mereka kat kampung Inaz malam ni.” Aku terbeliak. Gila ke lelaki ni. Aku ingatkan dia main-main je. Saja nak gurau dengan aku. Tak sangkalah pula dia serius macam ni. Aku tahu benar perangai mak dan abah aku. Mesti mereka terima punya kalau dah ada yang merisik. Mereka memang pernah beritahu aku. Kerana kalau nak harapkan aku, alamatnya tumbuh janggutlah.

“Awak ni biul ke?”

“Ya, sejak bertemu dengan Inaz saya dah jadi biul.” Aku dah tak dapat nak tahan lagi. Aku gelak. Tetapi, kemudiannya, aku sedar silapku.

“Opssss… maaf. Saya dah tak dapat kawal.”

“Tak kisahlah. As long as Inaz sudi terima saya. Jangan buat saya merayu-rayu depan orang ramai kat sini tau. Saya ni tak tahu malu.”

“Mengaku pun yang awak tu tak tahu malu.”

“Jangan ubah topik. Inaz terima cinta saya atau tak? Kata putus. Kalau tak… saya janji tak kan ganggu Inaz lagi. Tak kan datang cari pun. Kalau itu yang Inaz nak. Kat luar tu banyak lagi bunga. Saya sunting je mana-mana yang nak kat saya.” Kini, suara Shazlan sedikit tegas.

“Hai macam tak ikhlas je.”

“Memang ikhlas. Tapi kalau orang tu dah tak sudi takkan saya nak terhegeh-hegeh nak kat dia kan. Lebih baik cari yang lain. Saya ni berfikiran praktikal sikit.” Aku serba-salah. Bila otak kata tolak je lamaran tu, hati pula kata jangan buat kerja bodoh. Bukan senang nak dapat lamaran yang baik. Tengok gaya nampak sangat yang Shazlan tu baik orangnya. Tak pernah pun mengambil kesempatan sepanjang berkawan dengan dia.

“Saya ada pilihan lain tak?” Ceh! Apa punya soalan aku tanya. Macam orang tak betul pula. Ada-ada jelah aku ni. Kalau nak katakan jelah nak. Ni tak… Pandai-pandai nak putar-belit pula.

“Kalau saya kata tak ada.”

“Emmm…”

“Terimalah saya. Saya janji akan bahagiakan Inaz buat selama-lamanya. Sebelum ni pun saya tak pernah memiliki mahupun dimiliki. Inaz cinta pertama saya. Dan yang pastinya cinta terakhir saya juga,” luah Shazlan sambil tiba-tiba je melutut depan aku. Aku terharu. Aku pun suka juga dengan dia. Cara dia, cara gentelmen. Memang ciri-ciri yang aku idami. Ingat nak jual mahal sikit tapi tak jadilah pula. Balik-balik aku yang malu.

“Eh! Apa ni? Bangun cepat. Orang semua tengok kita je.”

“Fuyooooo… romantiknya brother. Baru nak pikat ke? Teruskan. Kami sokong ni,” jerit salah seorang daripada pasangan yang ada situ. Aku dah merah muka ni. Kulit pun dah tebal semacam.

“Sudikan Inaz menjadi permaisuri saya?” bisik Shazlan sambil menghulurkan sebentuk cincin berlian yang memang cantik sangat. Bukan aku je, sesiapa pun bila dilamar sebegitu sekali, sure boleh cair punya. Perlahan-lahan aku mengangguk.

“Hurrayyyyyy!!!!!!” jerit Shazlan. Hampir nak roboh taman bunga tersebut. Memang tak tahu malu dia ni. Pasangan kekasih yang lain-lain bertepuk tangan. Macam filem hindustan pula jadinya. Buat malu je. Memang betul kata Shazlan. Dia tak tahu malu.

Akhirnya, majlis Ijab-kabulku bersama Shazlan diadakan dengan begitu meriah sekali. Lagi satu berita yang mengejutkanku. Hari tu aku tolak pinangan Pn. Martini dan Dato’Sulaiman. Balik-balik mereka juga yang jadi mertuaku. Mana aku tahu Shazlanlah anak mereka. Tapi, itulah takdir. Jodoh dan pertemuan, ajal dan maut semuanya di tangan tuhan. Kini, aku sudah pun bergelar isteri kepada Shazlan, beberapa jam lepas. Pejam celik dah pun selesai majlis perkahwinan.

“Ayang, abang gembira sangat hari ni. Abang dah ada ayang kat sisi abang. Mestilah gembira kan?” usik Shazlan. Aku faham benar disebalik maksud ayat tu.

“Malas nak layanlah. Inaz nak turun bawah jab. Tolong mak kemas-kemas sikit.” Aku sebenarnya nak larikan diri. Sebabnya… tahu-tahulah bila suami isteri baru nak bermanja. Aku sebenarnya malu. Yalah! Mak dan ayah mertuaku ada kat bawah. Aku pun sedap-sedap berkasih dengan suami kat bilik. Apa fikir mereka nanti. Tak ke ingat aku ni tak sabar. Tapi, belum pun aku sempat melangkah keluar, dah pun ditarik oleh Shazlan.

“Tunggulah ayang. Yang tu esok pun boleh buat. Mama dah pun masuk tidur. Jom duk sebelah abang.” Aku akur. Isteri soleha katakan. Mesti dengar cakap suami punya. Tak nak cari dosa.

“Awak… ehhhh… abang… apasal semacam je perangai abang ni?”

“Hisk… tak baik tau cakap macam tu. Hari ni malam pengantin kita. Mestilah ada feeling tertentu,” sambungnya sambil mencuit pipiku. Aku dah agak pun.

Aku dan Shazlan telah memulakan hari pertama kami dengan penuh kasih-sayang. Moga-moga perhubungan kami kekal abadi.
-TAMAT-

No comments: