Monday, November 11, 2013

Rahsia Hati Kita


Nisa ketap bibir.  Ada jugak yang aku sekeh-sekeh kepalanya dan lepas tu sumbat kat dalam tong sampah, baru puas hati aku! Marahnya sambil merenung tajam pada mamat di hadapannya itu.  Amad Ukail @ Amad!

“Wei, cepatlah! Lambat!  Macam kura-kura!.” Pekik Nisa dengan kuat.

“Kejap!  Apasal tak bagitahu aku awal-awal yang kau nak ke bandar?!.  Dahlah minta teman, lepas tu marah-marah pulak.  Sakit telinga aku!  Kau marah ni macam bertih jagung.  Meletup-letup! Cair taik telinga aku macam ni!.” Bebel Amad Ukil sambil berdiri.  Kasut sudah terpasang.  Dia menjeling Khairunnisa @ Nisa.  Jiran sebelah rumah, satu sekolah, sahabat baik dan ‘konco a.k.a kamceng’ sejak dari zaman berhingus lagi…Nama cantik, tapi perangai hampeh!  Kutuknya dalam hati. 

“Ada aku kesah! Baguslah, tak perlu lagi bersusah payah korek taik telinga tu!  Jimat sikit…Aku takde teman, diaorang busy!  Daripada kau membuta tak tentu pasal, baik kau temankan aku.  Lagi berfaedah.  Dapat pahala…” Jawab Nisa sambil menjeling Amad.  Dia muncungkan bibir…

“Dapat pahala kepala hotak kau! Dapat penat adalah…Dah, Jom!  Kata nak cepat kan…” Sindir Amad dan segera berlalu ke kereta yang tersadai megah di hadapan rumah.  Kereta Kancil keluaran Perodua yang sudah berusia berabad tahun, berpindah tangan dari generasi ke generasi yang seterusnya.  Kali ini, dialah generasi itu…

Bukan dia tidak mahu berkereta yang elok sikit.  Keluarganya mampu belikan yang lebih mewah lagi  Tapi, dalam usia yang masih muda ini lebih baik dia guna yang ini dulu.  Kalau nak berkereta mewah pun.  Biarlah dia sudah punya pekerjaan sendiri.  Fikirnya sambil tersengih.

Dia lihat Nisa sudah berlari anak dan menunggu di tepi pintu Kereta Kancil tu.  Siap tersengih-sengih…Dia menggeleng-gelengkan kepala.  Tak puas hati betul!  Rungutnya dalam hati.

*……………………………….*

Selesai saja menemankan Nisa mencari buku rujukan Bahasa Melayu di Kedai Buku Popular di Centre Point.  Pusat membeli-belah di kota Kinabalu itu.  Mereka turun ke tingkat Palm Square.  Makan tengah hari kat situ dahulu sebelum pulang ke rumah.

Nisa duduk sambil bersila di atas kerusi.  Amad hanya buat muka ‘aku-tak-kesah’!  Dah memang perangai Nisa macam tu.  Cubalah tegur Nisa supaya duduk elok-elok.  Akan Nisa tembak menggunakan batang straw yang berisi air milo!  Dia dah kena sekali, jadi jangan cuba-cuba nak tegur lagi!

Selesai saja menjamu selera, mereka bergerak pulang.  Kereta Kancil yang pada mulanya bergerak lancar di jalan raya mula terbatuk-batuk.  Dah macam batuk penyakit Tibi tu…Amad yang kekalutan hanya tersengih memandang Nisa.  Pantas dia pasang signal kecemasan.

Tanpa diminta dan disuruh, kereta tu mati di tengah-tengah jalan.  Nisa dan Amad pandang memandang dan kemudian ketawa kuat.  Apa kesss!

“Ini mesti kau tak ikhlas bawa aku jalan kan? Kan? Tengok, dahlah kereta mati kat tengah jalan.  Panas pulak tu!  Orang yang lalu lalang pun tengok kita dengan muka pelik.  Siap tersenyum-senyum!  Ingat diaorang buat iklan ubat gigi ke?  Perli-perli kita macam tu!.” Bebel Nisa sambil menahan panas dengan plastik buku.

“Apa kaitan pulak aku tak ikhlas ni?!  Dah, jangan nak membebel.  Kejap lagi abah aku sampai…Kau duduk kat bawah pokok tu.” Arah Amad sambil menbuka bonet kereta.  Segitiga bewarna merah diambil dan diletakkan 1 meter dari belakang Kereta Kancil tu.

Tanpa banyak soal, Nisa berlalu ke bawah pokok.  Duduk mencangkung sambil menopang dagu.  Amad yang melihatnya hanya tersengih.  Dia masih berdiri di tepi Kereta Kancil tu.  Bayangkan jika gadis lain yang dibawa tadi, pasti gadis tu bersembunyi sebab malu dengan kejadian ini.

Nisa dikerling lagi.  Masih menopang dagu sambil melihat kereta yang lalu lalang dengan muka selamba babun.  Dengan hanya memakai seluar jeans dan baju t-shirt.  Rambut pulak diikat gaya ponytail.  Simple! 

Dia tersenyum, Nisa lain dari gadis-gadis yang lain.  Nisa tidak pandai berbohong apatah lagi hipokrit.  Nisa adalah diri Nisa yang sebenarnya.  Itu sebabnya dia suka berkawan dengan Nisa, dan yang paling best diaorang ni satu kepala!

*……………………………….*

Satu hari, semasa sesi persekolahan…

“Apa kau tengok tu?.” Soal Nisa sambil melihat Amad yang duduk di dalam kelas sepanjang waktu rehat itu.

Amad segera memyembunyikan sepucuk surat di dalam laci.  Kemudian, tersengih lebar.  Janganlah Nisa nampak! Mohonnya dalam hati…

“Kau sembunyi apa tu?!.” Tanya Nisa lagi.  Kali ini dengan mata bersinar-sinar!

Amad ketap bibir.  Alamak….

“Aku tanya kau, apa kat dalam laci tu?!.” Kali ini suara Nisa meninggi.  Dah macam memaksa lagaknya!

Amad mendengus kuat, lantas mengeluarkan sepucuk surat dari dalam lacinya!  Surat itu diserahkan pada Nisa.  Nisa menyambutnya dengan selamba dan tersengih-sengih…

“Wah, kau ada peminat rahsialah…Hebat!.” Riang Nisa sambil membaca bait-bait ayat di dalam surat itu.

Nisa melihat Amad semula.  Amad diketegorikan dalam lelaki paling hensem dalam sekolahnya.  Dah hensem, bijak pulak tu!  Perangai pun boleh tahan sopan, Amad sopan dengan orang lain aje.  Dengan dia, Amad buat macam layan best buddy dia!  Hancur…

“Kau nak balas ke?  Dia cakap, dia nak tahu sekiranya kau sudi menerima dia sebagai insan yang paling istimewa.  Jikalau kau sudi, dia nak jumpa kau kat pondok bersebelahan padang sekolah…petang ni!.  Waduh, jiwang beb!.” Kata Nisa lagi sambil duduk di hadapan Amad.  Dia menyerahkan semula surat itu pada Amad.

Amad mengambil dan meletakkan semula surat tu di dalam lacinya.  Dia pandang Nisa dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja.

“Biarlah, aku tak nak balas dah…Aku nak tumpukan perhatian aku pada pelajaran sekarang ni.  Benda-benda macam ni tak berfaedah dan hanya membuang masa saja...” Balas Amad dan kemudian tersengih.

Nisa tersentak…

“Wei, sampai hati kau cakap buang masa.  Kesian kat dia.  Betul ke kau tak nak balas surat tu?  Selama ni kalau ada orang bagi surat ataupun luah isi hati kat kau, kau balas dengan baik.  Walaupun kau tolak diaorang tu!.” Kata Nisa dan bersimpati pada pengirim surat yang hanya menulis nama sebagai ‘NJSR’…

Amad hanya mengangkat bahu dan keluar dari kelas.  Nisa diam dan menoleh ke luar tingkap dengan pandangan kosong!.

Keesokkan harinya.  Nisa mengambil cuti sakit akibat demam selsema.  Selepas saja pulih dari demam, Nisa kembali ke sekolah dengan lebih ceria dan happy sentiasa.  Nisa meneruskan hari-hari persekolahannya bersama Amad serta rakan-rakannya yang lain!

*……………………………….*

Persahabatan antara mereka berdua masih lagi akrab dan erat walaupun usia mereka sudah berganjak ke 25 tahun.  Amad mewarisi perniagaan Abahnya, entrepreneur yang berjaya  manakala Nisa bekerja sebagai account clerk di sebuah syarikat swasta.

Sehinggalah Amad terpandang Nisa yang memakai tudung buat kali pertamanya…

“Wei, kau nampak aku ni macam tak pernah nampak orang bertudung!  Kenapa, pelik ke?.” Soal Nisa sambil membetulkan tudung di atas kepalanya.  Niatnya untuk bertudung tiba-tiba datang dalam benak fikirannya.  Lagipun, kesedarannya datang apabila membaca sebuah buku yang menerangkan kelebihan berhijab dalam hukum islam.  Insaf dia buat selamanya!

“Tak…tak…aku…cuma ter…kejut aje.” Balas Amad sambil menguak rambutnya.  Dia menahan debaran di dada!  Buat seketika, dia terpana dan terpaku melihat Nisa yang bertudung itu.  Ya Allah, comelnya dia!  Pujinya dalam hati.

“Ooo…ingatkan apa tadi.” Ujar Nisa sambil tersenyum manis.

Sekali lagi Amad terpana!

‘Apa kena dengan aku ni!’…Bisik Amad dalam hatinya.  Entah kenapa Nisa yang bertudung ini menimbulkan satu perasaan halus.  Sukar untuk diungkap dengan kata-kata…Selama ini, Nisa memang mempunyai raut wajah yang comel dan manis.  Cuma Nisa sahaja yang lebih suka dengan bergaya santai dan lebih suka menampal bedak Jhonson Baby berbanding menggunakan alat-alat mekap yang lain.  Tetapi, apabila dia melihat Nisa yang bertudung ini… Betapa dia terpukau!

Muka bulat, mata yang bundar, alis kening yang elok terletak dan bulu mata yang lentik.  Bibir Nisa elok terletak dan apabila dia pandang sekali lagi.  Nisa pakai Lipgloss!

“Kau fikir apa tu?.  Hish, ni hah aku ada buat kek coklat tadi.  Ambil dan makan!” Ujar Nisa sambil menghulurkan tapau kek coklat kepada Amad.  Amad menyambutnya sambil melihat Nisa.  Dia hanya menganggukkan kepalanya.  Hish, kenapa aku tak boleh larikan pandangan aku dari Nisa ni?! Rungutnya dalam hati.

Nisa berpamitan dan hanya beberapa langkah.  Dia sampai ke rumahnya.  Cepat kan…apa tak cepatnya kalau rumah mereka hanya bersebelahan.  Nisa tersengih dan masuk ke dalam rumahnya.  Amad yang masih berdiri di situ tidak dipedulikan.  Apa kes dengan Amad tu?! biasanya kalau aku bagi makanan, mesti dia sindir aku…

‘Kau ada letak racun ke? Tak pun guna-guna supaya aku suka kat kau?’...Nak jugak aku backhand dia masa cakap macam tu.  Punyalah aku baik hati bagi makanan kat dia…Kan sebagai jiran tetangga, kita haruslah menghulur, menerima dan beramah mesra sesama jiran demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup berjiran tetanga ini.  Bisiknya dalam hati.

*……………………………….*

Sejak hari itu, Amad seringkali terbayangkan Nisa yang ‘comel-loteh’ itu.  Haji Mustapha dan Puan Alisya kebingungan dengan gelagat anak bujang diaorang yang sering kali termenung sahaja.  Apabila ditanya, hanya gelengan didapat.  Pelik!

Hujung minggu itu…Amad hanya berehat di rumah sambil melihat keceriaan dan kegembiraan adik-adik perempuannya, Ana dan Aina berkaraoke.

“Abang tak nak nyanyi sama ke?.” Soal Ana.  Adik kedua bongsu dalam keluarganya. 

Amad hanya menyandar di sofa dan memeluk tubuh.  Adiknya itu dipandang dan hanya menggeleng. 

Ana dan Aina hanya tersenyum dan menyambung berkaraoke sambil tergelak-gelak.  Amad menutup matanya.  Perasaannya yang gundah-gulana sejak kebelakangan ini amat memeritkannya.  Dia tahu, penyakit yang dialaminya sekarang ini adalah ‘Cinta’.  Cinta di antara lelaki dan perempuan.  Sememangnya, dia sudah jatuh cinta pada Nisa!  Sahabat dan jiran sebelah rumahnya itu!

Dia mengeluh halus.  Tak mungkin dia akan meluahkan rasa yang ada pada hatinya ini kepada Nisa.  Bayangkan kalau dia luahkan pada Nisa.  Tentu Nisa akan terkejut.  Baik kalau tak pengsan! Dia tidak mahu merosakkan persahabatan antara mereka berdua…

Dia mengeluh lagi…

“Ana, boleh tolong pasang lagu Rhoma Irama – Penasaran tak? Abang nak nyanyi...” Tanya Amad tiba-tiba sambil melihat adiknya itu.

Tetapi, terus saja Ana dan Aina ketawa berabis kat situ.  Apa kes abangnya nak nyanyi dangdut ni?!  Ketawa mereka masih lagi kedengaran.  Amad menjeling pada mereka.  Dia berdiri dan menuju ke almari lantas mengambil CD Rhoma Irama itu.  Itu adalah CD Abahnya.  Abahnya merupakan peminat setia Rhoma Irama.

“Takde lagu lain ke abang?  Ini lagu Abahlah…” Soal Aina sambil tersenyum dan ketawa lagi.  Pelik dia dengan abangnya ini.

“Hari ni abang berjiwa dangdut!...” Amad mengambil microphone di tangan Ana.  Lantas duduk di antara Ana dan Aina.

Screen sudah memaparkan lagu Rhoma Irama – Penasaran…

Kalau belum bisa aku mendapatkan…
Oh gadis manis yang menjadi rebutan…
Sungguh mati aku jadi penasaran…
Sampai mati pun akan kuperjuangkan…

Memang dia yang paling manis…
Di antara gadis yang manis…
Aku pun tak merasa heran…
Kalau dia jadi rebutan…

Sungguh mati aku jadi penasaran…
Sampai mati pun akan kuperjuangkan…

Amad menyanyikan lagu itu dengan baik sekali.  Sememangnya dia punya suara yang mantap.    Bagaikan lagu Penasaran itu amat sesuai untuk jiwanya sekarang ini!  Adik-adiknya hanya tergelak-gelak di tepinya sambil menepuk-nepuk tangan.  Apabila selesai menyanyikan lagu itu, dia berdiri dan melangkah ke biliknya.   
Adik-adiknya berpandangan antara satu sama lain.

‘Aik, kenapa tu?! Kejap mood baik, kejap mood murung, kejap lagi mood menghayal’…Fikir Ana dan Aina kemudian mengangkat bahu.  Turut bingung sepertimana Abah dan Umi diaorang!

*……………………………….*

Nisa mengambil handphone di atas mejanya.  Dia check mesej di peti masuk.  Kosong! Hish, kenapa tak berbalas mesej aku ni?  Gumamnya dalam hati.

Pagi tadi, dia ada mesej Amad untuk bertanyakan samaada nak temankan dia ke One Borneo ataupun tak.  Dia saja mengajak Amad pergi bersama.  Ini kerana sejak kebelakangan ini mereka berdua sudah jarang keluar bersama.  Lagipun, dia perasankan sesuatu.  Setiap petang, apabila dia terserempak Amad di luar rumah.  Amad seperti tidak menghiraukan dia.  Apabila diajaknya berbual, Amad memberi alasan yang dia sibuk dengan fail-fail yang perlu disemak.  Apa kena dengan Amad tu?  Dia ada masalah ke?  Fikirnya sambil memegang dagunya.  Dah macam berfikir gaya Conan, Detective Conan.  Kartun kegemarannya itu!

Dia mendengus…Amad memang nak kena dengan aku!

*……………………………….*

Nisa berdiri di luar rumah Amad sambil memberi salam…

“Assalamualaikum…” Ucapnya sambil melangkah masuk.  Kelihatan Puan Alisya keluar dari dapur sambil tersenyum melihat dirinya.

“Waalaikummussalam…Nisa rupanya.  Masuk nak…” Sahut Puan Alisya sambil memegang tangan Nisa.

“Dah masuk pun mak cik.” Balas Nisa sambil tersengih-sengih.

Puan Alisya ketawa kecil sambil menarik pipi Nisa.  Gadis itu amat manis pada pandangan matanya.  Bayangkan kalau Nisa ni jadi menantunya!  Pasti best!  Bayangnya dalam hati sambil tersenyum…

“Mak Cik, Nisa nak jumpa Amad.  Boleh tak?  Tadi pagi Nisa ada mesej dia.  Tapi, dia tak balas mesej Nisa ni.  Biasanya kalau dia tak dapat balas, Amad dah pergi ke rumah.  Jumpa Nisa.  Ini tidak, no message! Pelik.  Dia sihat ke mak cik?  Sejak dua menjak ni, dia macam ada masalah aje.  Jadi pendiam.  Selalunya dia tu happy go lucky dan mulut tu macam mulut murai aje, bising!.  Tapi sekarang ni, dia macam lain sikit…” Luah Nisa berterus terang tentang kedatangan pada hari ini.

Puan Alisya mengeluh lembut lantas menarik Nisa ke sofa di ruang tamu itu.  Dia pandang Nisa yang sudah duduk di hadapannya itu.

“Mak cik pun tak tahu.  Orang kat rumah ni memang perasan dengan perubahan Amad tu.  Tapi, apabila ditanya, Amad cakap yang dia okey aje.  Tapi, dia tetap dengan mood termenung dan mengelamun dia tu.  Biasanya dialah penyeri dalam rumah ni.  Adik-adik dia tu habis diusiknya.  Tapi, macam yang Nisa cakap tadi.  Dia dah jadi pendiam aje.  Macam ada masalah.” Balas Puan Alisya dengan dahi berkerut.

Nisa mengeluh halus. “Amad ada kat atas ke?.” Soalnya sambil meninjau sekeliling.

“Dia ada kat dalam bilik.  Ana dan Aina ada kat dalam bilik rehat, berkaraoke.  Nisa naiklah ke atas.  Nisa pergilah tengok-tengokkan Amad…Mana tahu Nisa boleh cungkil apa masalah dia tu...” Arah Puan Alisya sambil tersenyum melihat Nisa.

Nisa mengangguk dan berpamitan.  Dia melangkah naik ke atas rumah banglo yang luas dan berhias cantik itu.  Dia masuk ke dalam bilik rehat.  Kelihatan Ana dan Aina masih berkaraoke di situ. 

“Kak Nisa!.” Jerit Ana dan Aina kegembiraan.

Nisa tersenyum…

“Kakak nak jumpa abang kamu tu…Dia masih kat dalam bilik dia ke?.” Tanya Nisa meminta kepastian.

Yup! Tadi, lepas aje abang nyanyi lagu dangdut.  Dia terus masuk bilik.  Tak tahu kenapa dengan abang tu? Macam ada masalah aje…” Lancar Aina berbicara.  Ana di sebelah hanya menganggukkan kepalanya. 

Nisa memandang Aina yang berumur 17 tahun itu.  Kemudian melihat Ana yang berumur 19 tahun.  Cantik!

“Takpe, nanti kakak pergi tanya apa masalah dia...” Balas Nisa sambil keluar dan menuju ke bilik Amad.

Dia berdiri di depan bilik Amad.  Dia mengetuk pintu bilik itu dengan kuat…

“Assalamualaikum… Amad! Nisa ni…Buka pintu!.” Laung Nisa dengan ketukan di muka pintu itu.

Amad yang berbaring di katil terkejut.  Dia bingkas bangun dan berjalan mundar-mandir dalam biliknya.  Dia garu kepala yang tak gatal.  Nisa! 

“Amad, kau ada kat dalam kan?!  Buka pintu ni!.” Arah Nisa dengan kuat lagi.

“Aku kira sambil sepuluh.  Kalau kau tak buka pintu ni dalam masa itu.  Aku bagi hadiah paling ‘manis’ untuk kau.  Kau nak ke?!.” Sambungnya lagi yang berbaur ugutan itu.

“Satu…Dua…Tiga...Empat…Lima….” Kira Nisa dengan kuat.  Tapi kelibat Amad masih tidak kelihatan untuk membuka pintu itu.

Dia tidur ke? Fikir Nisa…

“Enam…Tujuh…Lapan…Sembilan…Sembilan setengah…kau memang nak kena dengan aku!. Sepu…” Pintu bilik terkuak dengan perlahan.  Amad berdiri di hadapannya dengan pandangan serius!

Nisa membalasnya dengan pandangan tajam! Jom main lawan mata!  Tapi, sekejap sahaja Amad melarikan pandangan matanya dari mata Nisa…

Nisa mencebik, aku menang! Laungnya dalam hati…

“Kau nak apa?.” Tanya Amad yang berdiri di muka pintu itu sambil berpeluk tubuh. 

Nisa ketap bibir. “Kenapa tak balas mesej aku?.” Tanya Nisa.  Direct to the point!.

Amad mengeluh kemudian dia menutup pintu biliknya.  Dia berjalan di hadapan…

“Kita ke koridor…” Arahnya pendek.

Nisa hanya mencebik di belakang.  Tetapi, dia ikut langkah Amad yang belok ke kanan.  Menuju ke koridor!

*……………………………….*

“Kau ada masalah ke?.” Soal Nisa serius dan duduk dengan santai di hadapan Amad. 

Amad hanya duduk di situ sambil berpeluk tubuh.  Dia menyandar selesa…

“Aku okey.” Balasnya pendek.  Menyembunyikan hakikat yang sebenarnya!  Dia melemparkan pandangannya ke taman yang terletak tidak beberapa jauh dari situ.  Dia tidak betah untuk menatap dan merenung wajah dan mata Nisa itu!

“Kau jangan nak tipu!  Kau bukan jenis yang pandai berbohong…Kau bagitahu aku apa masalah kau, mana tahu aku boleh tolong...” Tanya Nisa lagi.  Tidak berputus asa!

Amad diam dan kemudian mengeluh halus. “ Aku tak apa-apalah…Pasal mesej kau tu, aku minta maaf.  Aku baru aje baca mesej kau tu.  Baru nak balas, tapi kau dah datang!.” Bohong sunat Amad lagi sambil tersenyum sumbing.  Matanya masih lagi melihat ke arah taman itu. 

‘Minta maaf Nisa, aku dah baca mesej kau awal-awal lagi.  Cuma aku mengelak nak berjumpa dengan kau aje…Takut perasaan aku ini tak dapat dikawal.  Berilah aku beberapa hari dan ruang.  Akan aku pulih seperti sediakala dan kembali kepada Amad yang dahulu’.  Pohonnya dalam hati…

Kening Nisa terangkat, dah macam gaya The Rock! Professional Wrestler WWF/E itu…

“Amad, kan aku dah cakap tadi…Kau bukan orang yang pandai berbohong!.  Jangan nak simpan-simpan rahsia dengan aku!  Semua rahsia kau, aku dah tahu.  Tahi lalat kat badan kau tu pun aku tahu kat mana tempatnya! Baik kau cakap kat aku.  Sekarang!.” Pinta Nisa geram dengan Amad yang masih berahsia lagi dengan dia!

Terus Amad pandang Nisa…

Ek elleh, sampai macam tu sekali kau tahu!  Kau intip aku ke?.  Nisa-Nisa…rupanya kau seorang yang pervert! Tak sangka aku!.” Geleng Amad dengan muka serius.  Saja mengelak dengan soalan Nisa yang membuatkan hatinya tidak tenteram!

Nisa duduk menegak.  Pantas tangannya memanjang dan menumbuk lengan Amad dengan kuat…

Excuse me, jangan nak tuduh sembarangan! Macam manalah aku tak tahu kalau kau suka mandi pakai seluar dalam aje masa kecik-kecik dulu.  Dah tu, siap masuk dalam ‘derom’ lagi.  Kau ingat itu bathtub ke?!  Sampaikan kau heret aku sekali masuk dalam ‘derom’ tu!  Tak pasal-pasal kena marah free oleh mama.” Ungkit Nisa sambil mencebik.

Amad ketawa kuat.  Dia pandang Nisa.  Betapa dia tidak mahu memusnahkan persahabatan ini!

Dia duduk tegak dan melihat ke mata Nisa.  Dia menarik nafas dan kemudian menghembusnya perlahan…
Dia bertekad, rahsia hati ini akan disimpan!  Tidak akan sesekali diluahkan pada Nisa! Dia tidak mahu merosakkan pertalian persahabatan yang sudah terjalin sejak dari kecil lagi…

“Tak ada apa-apalah.  Aku okey!.” Jawab Amad sambil tersenyum dan memandang tepat ke mata Nisa!
Nisa mencebik…Dia tidak percaya!

*……………………………….*

Amad mengambil fail di atas meja kerjanya.  Kertas-kertas di dalam fail itu diteliti dan disemak satu persatu.  Dia mengisyaratkan kepada setiausahanya agar tidak menerima sebarang panggilan masuk! Buat masa ini dia mahu bersendirian!

Sudah 2 minggu sejak Nisa datang ke rumahnya untuk menanyakan permasalahannya itu.  Sejak dari itu jugaklah dia berlagak selamba dan hanya menyibukkan dirinya dengan kerja-kerja di pejabat.  Dia berbuat demikian agar dapat melupakan hakikat yang dia menyukai Nisa!  Bukan sebagai sahabat, tetapi sebagai seorang lelaki kepada wanita yang dicintainya!  Gila, memang dia gila!

Fail kedua di ambil lagi, diteliti dan disemak sekali lagi…

“Haaah!!!....” Amad melemparkan pen di atas meja.  Dia menyandar dan menutup matanya.

Dia mendengus kuat…Dia bangun dan berdiri sambil melihat pemandangan di luar melalui dinding bangunan yang diperbuat daripada kaca itu.  Cuaca yang cerah tetapi bukan seperti hatinya.  Keruh!

Handphone di atas mejanya berbunyi.  Dia mengeluh lagi dan hanya membiarkannya... Malas dia nak menyambutnya.  Bukan disaat fikirannya tengah berserabut dengan hal berkenaan Nisa!

Tidak lama kemudian, pintu biliknya diketuk.  Setelah memberi kebenaran, setiausahanya itu masuk dengan riak wajah yang serba salah.

“Ada panggilan…”

Amad merenung tajam setiausahanya itu. “Bukankah saya sudah berpesan tadi agar tidak menerima sebarang panggilan masuk!.” Potong Amad dengan nada yang kurang menyenangkan!

Setiausahanya itu tersentak…

“Tapi, ia panggilan dari Puan Alisya.  Urgent katanya.” Ujar setiausahanya dengan suara yang sedikit kendur.  Barangkali takut!

Amad terdiam, pelik dengan panggilan itu…Uminya tidak pernah menelefonnya menggunakan talian pejabat, melainkan ada hal yang berlaku!

Dia mengarahkan setiausahanya itu menyambung talian masuk ke dalam biliknya…

“Assalamualaikum Umi, Amad kat sini…” Ucap Amad apabila talian sudah disambung masuk.  Tidak lama kemudian, riak muka Amad berubah!

Tanpa membuang masa, dia mengambil handphone dan kunci keretanya di atas meja.  Dia perlu ke hospital sekarang ini,  Nisa!!!

*……………………………….*

Amad keluar dari Kereta Fortunernya dan melangkah masuk ke dalam ruang kecemasan.  Kelihatan kedua ibu bapa serta keluarga Nisa di situ bersama dengan Abah dan Uminya.  Dia bertambah kalut…

Sebentar tadi, Uminya memberitahu yang Nisa mengalami kemalangan semasa pulang dari makan tengah hari.  Kereta yang dipandu oleh Nisa dilanggar oleh kereta lain. 

Amad menyalam Abah dan Uminya.  Begitu juga dengan kedua ibu bapa Nisa…

“Nisa tak apa-apa ke?!.” Tanya Amad kalut.

“Tak tahu, mak cik hanya dapat panggilan dari rakan Nisa.  Rakan Nisa... ada ditempat kejadian masa kemalangan itu berlaku…” Lirih Puan Fatimah dengan esakan kecil.

Amad bertambah kalut dan seperti hatinya disiat dengan pisau belati apabila mendengar esakan Puan Fatimah.  Uminya turut mengalirkan air mata.  Dia menyandar di dinding.  Menahan diri dari sebarang kemungkinan!

Amad melemparkan pandangan pada rakan Nisa.  Baju rakan Nisa itu dipenuhi dengan tompokan darah!  Dia meraup mukanya... 

Ya Allah, apakah ini cubaan yang perlu aku lalui? Jikalau iya, janganlah Engkau uji hamba-Mu ini dengan cubaan yang tidak mampu hamba-Mu ini hadapinya.  Sesungguhnya, hamba-Mu yang hina lagi kerdil ini bermohon kepada-Mu…Jauhkanlah Nisa dari sebarang kecederaan yang mampu meragut nyawanya...Ya Allah, Hamba-Mu ini masih memerlukan insan yang bernama Nisa dalam menempuhi kehidupan yang seterusnya.  Amin…

Doa Amad dengan hati yang pilu…

Tidak lama kemudian, kelibat seorang doktor keluar dari bilik pembedahan…

Amad merasakan dunianya gelap gelita apabila terdengarkan kata-kata doktor itu yang menyatakan bahawa Nisa sudah tiada!  Pergi meninggalkan dia buat selamanya!

Ya Allah…

*……………………………….*

Amad merenung tanah kubur itu dengan pandangan sayu.  Sudah 3 tahun peristiwa itu berlaku.  Dia menghadiahkan Nisa dengan ayat suci Al-Quran, surah Al-Fatihah dan Surah Yassin…Penuh syahdu dia mengalunkannya.

Dalam hatinya, dia berdoa agar Nisa ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman…Amin.

Sesudah itu, dia melangkah hiba.  Tidak pernah sekalipun dia tidak melawat kubur Nisa dalam tempoh 3 tahun ini.  Setiap kali dia teringatkan Nisa.  Dia akan ke sini…Tetapi, setiap kali itu jugaklah dia berasa perit.  Hatinya kini sudah di bawa pergi bersama Nisa…

Apatah lagi apabila mengetahui bahawa Nisa jugak mempunyai perasaan kepadanya.  Perkara ini diketahui daripada Tini.  Kakak sulung Nisa.  Tini menyerahkan diari Nisa kepadanya.  Pada mulanya, dia menolak kerana itu adalah barang peribadi Nisa.  Tetapi, Tini bertegas dan berkata...  Ada sesuatu yang perlu dia tahu!

‘Amad, andai kau tahu rahsia hatiku ini, bahawa aku amat menyintaimu sejak dari aku mula mengenali apa itu cinta!  Tetapi, aku takut jikalau perasaanku ini akan merosakkan persahabatan antara kita berdua.  Jadi, aku pendamkannya…Hanya DIA yang tahu rahsia hatiku ini!’. Bait-bait ayat itulah yang memeritkan hatinya.

Dia juga tahu bahawa Nisalah yang menulis surat cinta dan menggunakan nama samaran ‘NJSR’ yang bermaksud Nisa, Jiran Sebelah Rumah! Betapa dia menyesal dengan perkara itu…

Tetapi, menyesal pun tidak berguna! Seandainya dia tahu, akan dia luahkan perasaan hatinya kepada Nisa.  Biar Nisa tahu yang rahsia di hatinya adalah sama dengan rahsia di hati Nisa.  Dia juga menyayangi dan mencintai Nisa sepenuh hatinya.  Dia mendongak dan merenung langit, air matanya mengalir …Nisa!!!


No comments: