Tuesday, November 26, 2013

BENARKAH WASIAT MEMPERCEPATKAN PROSES PEMBAHAGIAN PUSAKA?

Sejak kebelakangan, heboh tentang wasiat. Ada yang mengatakan, “Saya belum lagi berwasiat”. Ada pula yang bertanya, “Apakah saya kena meninggalkan wasiat untuk mengelakkan daripada pergaduhan dalam kalangan anak-anak saya apabila saya mati? Ada pula yang merungut, “Apa yang hendak saya wasiatkan?”

Semua persoalan tersebut membelenggu fikiran sebahagian daripada masyarakat yang mendengar kempen tentang perlunya seseorang itu berwasiat yang dikatakan boleh menjamin kesejahteraan keluarga di masa akan datang dan untuk mempercepatkan urusan penyelesaian harta pusaka jika seseorang wasi dilantik untuk menguruskan harta pusaka itu nanti.

Soalan:
Saya masih keliru tentang hibah, wasiat dan pusaka. Boleh terangkan perbezaannya?.

Jawab:
Hibah adalah pelupusan harta yang akan berkuatkuasa semasa tuan punya harta masih hidup mengikut kehendak tuan punya harta. Kadar hibah tidak dihadkan sama ada hendak dihibahkan kesemua atau sebahagian daripada hartanya. Juga tidak disyaratkan penerima hibah itu dari kalangan waris yang berhak menerima pusaka atau tidak. Dengan kata lain, hibah adalah ‘pemberian hidup’. Contoh: Ahmad memberikan sebuah kereta kepada anak keduanya, Kasim. Kereta itu menjadimilik Kasim ketika Ahmad masih hidup.

Wasiat adalah pelupusan harta yang akan berkuatkuasa setelah tuan punya harta meninggal dunia. Kadar wasiat telah dihadkan kepada setakat 1/3 daripada harta peninggalannya sahaja. Juga disyaratkan penerima wasiat bukanlah daripada kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka pewasiat itu. Contoh: Ahmad mewasiatkan keretanya diberikan kepada isterinya, Sabariah dan rumah diberikan kepada anak tirinya, Kasim. Wasiat kepada Sabariah tidak sah sekiranya ketika kematian Ahmad, Sabariah masih lagi isterinya kerana Sabariah adalah waris yang berhak menerima harta pusaka Ahmad. Wasiat kepada Kasim sah kerana Kasim tidak berhak mendapat pusaka Ahmad. Wasiat ini berkuatkuasa selepas kematian Ahmad.

Pusaka adalah pelupusan harta seseorang yang telah mati kepada waris-warisnya yang telah ditentukan mengikut hukum faraid. Contoh: Kasim mati meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki dan seorang adik lelaki. Hukum faraid telah menentukan harta pusaka Ahmad hanya layak diwarisi oleh isteri (1/8 bahagian) dan anak lelaki (asabah: 7/8 bahagian). Tiada bahagian untuk adik lelaki. Kuatkuasa hukum faraid ini setelah Ahmad meninggal dunia.

Syarat sah wasiat

Mengikut konsep, wasiat dibenarkan bertujuan untuk memberikan sebahagian harta seseorang kepada orang yang dikehendakkinya semasa hayatnya dan pemberian itu akan terlaksana setelah kematiannya sedangkan orang itu tidak berhak mewarisi hartanya mengikut ketetapan hukum faraid.

Itulah sebabnya antara syarat sah wasiat ialah:
1.         Tidak diwasiatkan kepada waris yang berhak menerima pusaka.
2.         Tidak diwasiatkan lebih daripada 1/3 harta agar baki 2/3 lagi itu diwariskan mengikut hukum faraid.

1. Tidak diwasiatkan kepada waris yang berhak menerima pusaka.

Adalah digalakkan seseorang itu berwasiat kepada seseorang yang dikasihinya tetapi orang itu tidak boleh mewarisi hartanya seperti anak angkat, anak tiri, cucu yang dipelihara sedangkan anak masih ada, saudara mara yang tidak mewarisi mengikut hukum faraid dan sebagainya. Tetapi tidak digalakkan berwasiat kepada waris-waris yang berhak  berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. riwayat Abu Umamah r.a. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak itu hak masing-masing, kerana itu tidak ada wasiat kepada waris-waris yang berhak”.

Apa yang berlaku dalam masyarakat, sebahagian besar daripada ibu bapa berwasiat kepada anak-anak mereka dengan menentukan harta-harta tertentu kepada seseorang. Ada pula yang berwasiat harta tertentu seperti rumah yang didiaminya diberikan kepada salah seorang anaknya.

Wasiat sebegini hukum asalnya tidak sah. Tetapi boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada kesemua waris-waris yang berhak mewarisi.

Apabila wasiat kepada waris-waris ditinggalkan oleh ibu atau bapa, tidak timbul masalah sekiranya semua anak-anak memberi peretujuan. Tetapi apabila ada antara anak-anak yang tidak bersetuju dengan wasiat itu, mengikut hukumnya, wasiat itu terbatal. Pertelingkahan mula timbul dalam kalangan anak-anak kerana anak yang diwasiatkan kepadanya berkeras mahukan harta yang diwasiatkan kepadanya dengan alasan telah diberikan oleh bapanya manakala anak-anak yang lain berpegang kepada hukum yang mengatakan wasiat itu tidak sah. Akibatnya harta pusaka itu tidak diselesaikan pembahagiannya sehingga begitu lama. Di sinilah puncanya mengapa sebahagian daripada waris-waris tidak menyelesaikan harta pusaka orang tua mereka.

2. Tidak diwasiatkan lebih daripada 1/3 daripada harta.

Harta yang diwasiatkan itu dihadkan setakat 1/3 daripada harta seseorang itu setelah ditolak belanja kematian dan hutang, jika ada. Ini bertujuan memberi peluang kepada waris-waris menikmati harta si mati mengikut hukum faraid. Pertelingkahan mungkin juga berlaku antara waris dan penerima wasiat sekiranya diwasiatkan kesemua harta atau lebih daripada 1/3. Masalah ini tidaklah begitu ketara kerana sekiranya diwasiatkan kepada orang yang layak menerimanya iaitu bukan waris yang berhak, kuatkuasa wasiat hanya setakat 1/3 sahaja dan kedua-dua pihak boleh memilikki harta pusaka itu mengikut kadar masing-masing.

Perlantikan wasi.

Ada yang mendakwa dengan berwasiat melantik wasi, harta pusaka itu akan dapat diselesaikan dengan segera tanpa menghadapi apa-apa masalah seolah-olah dengan meninggalkan wasiat laluan tolnya begitu mudah tidak perlu beratur panjang berbanding pusaka yang tidak berwasiat terpaksa menunggu barisan yang panjang untuk melepasi tol.

Persoalannya, adakah dengan melantik wasi, pusaka itu akan selesai begitu mudah?. Jawapannya, segala-galanya terpulang kepada kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh waris-waris untuk menyelesaikan harta pusaka itu. Samada wasi dilantik atau tidak, samada wasiat ditinggalkan atau tidak, sekiranya waris-waris memberikan komitmen yang baik, insyaallah penyelesaian pusaka akan berjalan lancar mengikut prosedur yang sedia ada. Tetapi sekiranya waris-waris tidak menunjukkan kesepakatan, pusaka akan terbengkalai begitu sahaja dan sekiranya pertelingkahan itu berkaitan dengan wasiat, waris-waris akan diminta berurusan dengan Mahkamah Syariah untuk menentukan status wasiat tersebut sebelum diselesaikan oleh Pegawai-Pegawai Pusaka.

Akta Wasiat 1959
Semoga saudara tidak terpengaruh dengan Akta Wasiat 1959 yang mengandungi peruntukan:
  •                       Boleh berwasiat kesemua harta tanpa had.
  • .                    Boleh berwasiat kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris. 

Akta ini hanya terpakai kepada bukan Islam sahaja. Namun peraturan inilah yang diamalkan selama ini oleh majoriti orang-orang Islam.
Orang Islam sepatutnya terikat dengan Hukum Wasiat Islam atau Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri) di mana syarat sah wasiat telah diterangkan di atas.

Soalan:
Benarkah dengan berwasiat boleh mempercepatkan penyelesaian harta pusaka?
Jawab:
Dari sudut penyelesaian harta pusaka sama ada berwasiat atau tidak berwasiat, adalah sama sahaja di bawah bidang kuasa Pusaka Kecil. Tiada keistimewaan bagi pusaka berwasiat sama ada boleh diberi keutamaan singkat tempoh penyelesaian atau dipermudahkan penyelesaiannya.. Bahkan sekirannya ada pihak yang mempertikaikan wasiat itu, perbicaraan pusaka kecil akan ditangguhkan dan penerima wasiat akan diminta mendapatkan pengesahan di Mahkamah Syariah.

Soalan:
Bolehkah Mahkamah Syariah mengenepikan wasiat yang dibuat mengikut cara dokumen yang betul?
Jawab:
Dokumen itu adalah satu cara pembuktian bahawa ada wasiat ditinggalkan oleh si mati. Akan tetapi Mahkamah Syariah akan meneliti tentang syarat-syarat sah wasiat. Sekiranya syarat sah wasiat diikuti, Mahkamah akan mengesahkan wasiat itu, sebaliknya sekiranya syarat sah tidak dipatuhi, wasiat itu diketepikan.

Sekian.


No comments: