Friday, June 3, 2011

Zuriat

“Kalau abang nak kahwin lagi, kahwinlah bang. Ina izinkan. Ina tahu abang rindukan suara tangisan anak-anak. Maafkan Ina bang kerana masih tak mampu memberikan abang zuriat.”


Suasana di Taman Tasik Shah Alam begitu mendamaikan. Angin petang bertiup sepoi-sepi bahasa membelai lembut wajahnya. Petang yang reduh ini, Ikbal sendirian sahaja tanpa ditemani oleh isterinya. Kebiasaannya Ina akan menemaninya. Selepas berlari-lari anak mengelilingi tasik, mereka akan duduk dikerusi yang tersedia berhampiran pada permainan kanak-kanak. Hari ini Ina agak keberatan mengikutnya atas alasan tidak sedap badan.

Penat berlari, Ikbal berhenti rihat di sebuah berhampiran taman permainan kanak-kanak yang sememangnya tersedia di taman tasik itu. Arman halakan pandanganya ke arah sekumpul anak-anak kecil yang sedang bermain-main riang. Gelak ketawa anak-anak begitu menghiburkan hatinya Begitu leka sekali dia memerhati. Dia tersenyum sendiri melihat gelagat dan keletahan anak-anak itu. Si montel yang berbadan sedikit besar dilihatnya berebut-rebut adiknya barangkali untuk duduk di atas buaian yang hanya sau saja kosong. Ada yang leka bermain jongkang jongkit. Ada yang bermain panjat-panjat alat gelonsor.

Matanya tiba-tiba tersorot ke arah sepasang suami isteri yang masih muda sedang bermain-main bersama sepasang anak mereka yang perempuan mungkin baru berusia satu tahun dan yang seorang lagi lelaki yang mungkin baru berusia dua tahun. Terbit rasa cemburu di hatinya bila melihat pasangan suami isteri bersama-sama anak-anak mereka bermain riang sekali.

Suara Ina masih terngiang-ngiang di telinganya. Tidak mudah bagi seorang isteri membuat keputusan untuk berkongsi kasih seorang suami bersama wanita lain. Rasa belas dan kasih pada isterinya tidak memungkin dia mudah mengambil keputusan yang amat berat ini

Telah lapan tahun mereka berkongsi hidup melayari bahtera perkahwinan. Perkahwinan yang membahagiakan. Namun ada kesunyian di hati mereka. Rumah mereka sunyi dari suara anak-anak. Mereka teramat rindukan suara tangis dan ketawa anak-anak yang terlahir dari darah daging mereka berdua. Namun hingga ke hari ini mereka masih gagal.

Ikbal sedar, perkahwinannya dengan Ina adalah pilihan hatinya sendiri. Mereka bertemu sewaktu menuntut di universiti. Walau pun pilihannya itu tidak direstui oleh kedua ibubapanya tapi berkat ketabahan menghadapi segala ujian dan dugaan, akhirnya berjaya juga mereka jinjang pelamin memeterai cinta untuk sehidup semati. Akhirnya kedua ibubapanya memberikan restu walau agak keberatan ke atas perkahwinan mereka.

Ina, isterinya yang amat tabah. Dia amat bersyukur kerana Ina begitu sabar menghadapi kerenah ibunya yang sedari awal telah mempunyai gadis pilihan hatinya sendiri untuk dijodohkan dengan Ikbal. Berkat kesabaran dan doa yang selalu dipanjatkan kepada Maha pencipta, akhirnya Ina mula diterima sebagai menantu oleh kedua orang tuanya.

“Abang kahwin sajalah dengan Rahimah. Ibu pasti setuju. Sekurang-kurangnya tercapai hajat hati ibu abang untuk bermenantukan Rahimah. Dugaan ini mungkin khifarat atas perkahwinan kita yang telah melukakan hati ibu abang. ”

Dia terkenangkan Rahimah, gadis yang pernah menjadi pilihan ibunya. Gadis ini masih lagi belum berkahwin, malah gadis ini memang bersedia untuk menjadi isteri keduanya. Gadis ini datang dari keluarga yang ramai iaitu tujuh orang adik beradik. Pasti gadis ini mampu memberikannya zuriat. Walau pun isterinya mengizinkan untuk dia berkahwin lagi satu, bukan mudah untuk membuat keputusan. Bagaimana kalau setelah mengahwini Rahimah, dia masih gagal mendapatkan zuriat.

Bukan dia dan Ina tidak pernah berusaha. Pelbagai ikthiar telah dibuat dari berjumpa doktor hinggalah bertemu dengan pengamal tradisional pun, masih juga gagal. Malah ujian yang dijalankan di klinik juga menyatakan dia dan ina tidak bermasalah, namun masih juga tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Umurnya kini sudah tiga puluh lima tahun dan Ina pula sudah tiga puluh tiga tahun. Rakan-rakan sebaya mereka dalam usia begini ada yang telah mempunyai empat orang anak. Malah rakan-rakan dia mereka yang berkahwin kemudian darinya juga telah mempunyai beberapa orang anak.

Mereka sudah tidak punya banyak masa lagi. Mungkin dengan cara berkahwin lagi satu, dia akan mendapatkan zuriat yang diingini. Sudah tidak lagi mampu dia menerima sindiran dan dijadikan bahan gurauan serta usikan dari sanak saudara dan kawan-kawan

”Bila matinya anak adam itu, maka terputuslah ia dengan dunia ini kecuali tiga perkara, ilmu yang ditinggalkan, amal jariahnya dan doa dari anak-anak yang soleh.”

”Doa dari anak yang soleh!” Bisiknya perlahan, teringat kata-kata seorang Ustaz yang sering memberi ceramah agama di pejabatnya. Dia perlukan anak-anak yang akan mendoakannya apabila ia mati nanti.

Ditekupkan mukanya. Keresahan jellas tergambar di wajahnya. Dia sayangkan ina, tapi isterinya masih belum mampu menghadiahkan cahaya matanya. Dia perlu anak untuk menyambungkan keturunannya dan mendoakannya waktu kematiannya.

”Rahimah?”

**

“ Mana Ina, dia tak ikut datang.“ Soal ibu sebaik Ikbal menyalami tangan dan mencium pipi ibunya.

"Saya datang seorang sahaja." Jawab ikbal, segera melabuhkan punggungnya ke atas kerusi kayu rotan yang berkusyen biru.

”Kamu kelihatan resah sahaja?” Soal ibu.

Ikbal hanya tersenyum sambil mengelengkan kepala. Namun riak di matanya jelas membayangkan keresahan yang mendalam seperti ingin segera diluahkan kepada ibunya. Namun masih belum mampu dia mengeluarkan kata-kata.

Dilihat wajah ibu yang duduk dihadapannya tenang sekali sambil mengait sehelai baju bayi yang separuh siap. Kerusi kayu rotan sesekali berbunyi bilik ibu mengerakkan badannya. Seingat dia kerusi ini telah ada semenjak dia dibangku sekolah menengah lagi, sudah terlalu lama. Namun kerusi ini kerusi kesayangan ibunya, pernah dia ingin membelikan satu set kerusi yang baru menggantikan kerusi kayu rotan tua itu, tapi ibunya menolak.

”Ayahmu ke surau, sebentar lagi pulanglah dia.” Terang ibu bila melihat mata Ikbal melilau seolah-olah mencari sesuatu.

”Sejak setahun lalu, ibu sering saja mengait benang menyiapkan baju bayi. Ikbal rasa bersalah kerana kami belum lagi mampu menghadiah cucu-cucu yang ayah dan ibu lama nantikan.” Ungkap Ikbal perlahan. Ada rasa bersalah yang terrbit dihatinya.

Ibu berhenti mengait. Baju yang masih belum siap tu diletakan ke atas meja. Cermin mata yang sedang dipakai segera dibuka. Dahi seakan berkerut. Wajah Ikbal dipandang tepat. Ibu seakan sedang mengumpulkan kata-kata.

”Dahulu, ibu dan ayah lama menunggu kedatangan kamu dengan pelbagai ikhtiar. Kami tidak pernah berputus asa dan sentiasa berbaik sangka dan redha dengan apa yang Allah takdirkan untuk kami. Akhirnya selepas menunggu selama sebelas tahun, akhirnya Allah menganugerahkan kamu kepada kami. Kami bersyukur kerana penantian itu, akhirnya Allah memberikan kami seorang, itulah kamu.” Jelas ibunya sambil mengesat akhir mata yang tiba-tiba mengalir.

”Kamu dilahirkan dengan segala kesusahan yang perlu ibu dan ayah tanggung. Malah ibu terpaksa menjalani pembedahan untuk melahirkan kamu. Ibu pasti Allah akan menganugerahkan juga zuriat untuk kamu berdua.” Jjelas ibu lagi.

Ibu segera mencapai kembali baju bayi yang sedang dikait tadi dan cermin matanya lantas segera menyambungkan kerja mengait itu semula.

”Maaf bu, kerana itulah, Ikbal tak mahu lagi ibu bersedih hati?” Berhati-hati Ikbal mengeluarkan kata-kata sambil direnung wajah ibunya.

”Apa maksud mu ikbal?” Tiba-tiba ibu menyoal agak keras. Bagai dapat menangkap sesuatu yang ingin Ikbal sampaikan.

”Ibu, Ikbal ingin berkahwin lagi.” Jawab Ikbal yang tersentak dengan terjahan keras ibunya tadi.

Ibunya tergaman, tidak mengangkal itu yang ingin diperkatakan Ikbal. Ada riak kemarahan di mata ibunya.

“Ibu tidak benarkan kau berkahwin lagi! Tidak sama sekali! Belum ada dalam salasilah keluarga kita berkahwin dari satu. Ibu tak setuju! Ayahnya mu juga tidak akan setuju!” bentak ibu keras.

Ikbal hanya diam membisu. Kata-kata ibunya kata-kata keramat. Membantah pasti akan menimbulkan kemarahan yang berpanjangan. Tiada daya untuk menentang kata-kata ibunya. Terlihat jelas api kemarahan di mata ibunya. Dia tidak mahu lagi mengulangi ceriita yang sama seaktu ingin menikahi Ina.

“Tidak bolehkah kamu bersabar sedikit dengan ujian Allah ini! Kalau ibu dan ayah sendiri masih mampu bersabar menantu kelahiran cucu kami, kenapa kamu tidak boleh? Bukankah kamu berdua telah disahkan oleh doktor mampu menghasilkan zuriat. Cuma belum rezeki kamu berdua lagi. Banyakkan berdoa kepada Allah moga disegerakan. Ibu dan ayah juga sentiasa mendoakan untuk kamu berdua!” ibunya keras menuturkan kata-kata bagai satu arahan yang perlu dia patuhi.

Suasana tiba-tiba hening. Hanya terdengar bunyi kipas angin yang berputa-putar ligat. Namun lembut hembusan angin yang terhasil dari putaran kipas itu tidak mampu menyejukkan hati keduanya, Ikbal dan ibunya. Minuman sejuk yang sedari tadi terhidang di atas meja itu jugak masih belum terjamah.

“Ina dah izinkan ikbal berkahwin lagi satu mak. Ikbal tak pernah memaksa. Rahimah pun telah bersetuju. Bukankah Rahimah dulu pernah ibu cadangkan menjadi isteri Ikbal” Jelas Ikbal mengharapkan ibunya memahami.

”Ibu, ikbal akan teruskan juga perkahwinan ini. Ikbal dah tak sanggup menunggu lagi!”

Ibunya diam, tidak lagi menyambung kata-kata. Baju bayi yang terhenti dikait disambung semula. Ibunya seolah enggan lagi meneruskan perbincangan. Tumpuan dialihkan kepada sulamannya. Ada kekesalan di hati ibu Ikbal atas kedegilan Ikbal.

**

Majlis pernikahan itu akan bermula jam 9.00 malam, sebaik sahaja selepas solat isyak. Majlis yang akan diadakan di rumah ibubapa Rahimah yang hanya kira-kira 200 meter sahaja dari masjid. Hanya sanak saudara terdekat sahaja yang dijemput.

Ikbal yang kelihatan segak lengkap berpakaian baju melayu putih, bersongkok hitam dan bersamping kain sutera hitam menanti dengan tenang kehadiran tok kadi. Wajahnya sesekali kelihatan resah. Beberapa titis peluh mengalir perlahan di pipinya segera dilapkan dengan sekeping tuala kecil. Ada debaran didadanya. Sesekali dia melihat jam ditangannya.

Nun di satu sudut, Ina isterinya dengan rela ingin mengikuti majlis pernikahan ini, awalnya telah dinasihat agak berada sahaja di rumah kerana kesihatan fizikal dan emosinya agak terganggu tapi masih berkeras untuk turut sama menyaksikan majlis pernikahan suaminya. Walau pun sebagai seorang wanita pedih hatinya untuk menerima kenyataan itu, namun kasihnya pada Ikbal direlakankan juga.

Rahimah yang telah bersiap dengan berpakain baju kurung dan tudung putih bersiap didalam bilik menanti saat bersejarah. Dia pasrah kalau takdirnya akan bertemu jodohnya dengan suami orang, dia terima sahaja. Lagi pun isteri Ikbal sendiri telah memeberikan persetujuan. Dia memang mencintai Ikbal sejak mereka masih kecil lagi. Malangnya apabila dewasa Ikbal memlih Ina sebagai isteri. Tiada penyesalan di hatinya menerima ikbal mejadi suami.

Saat ditunggu tiba, Tok kadi dan pembantunya tiba lalu mengambil ruang lapang di tengah-tengah ruang. Ikbal duduk bersila di hadapan Tok kadi. Ayah Rahimah sebagai wali di sebelah kanan Tok Kadi. Rahimah dengan diiringi pengapitnya keluar dari biliknya lalu duduk di sebelah Ikbal.

Tok kadi membelek beberapa dokumen di hadapannya. Majlis pernikahan akan dimulakan. Suasana sepi. Para hadirin semuanya memberikan tumpuan kepada upacara pernikahan yang akan bermula pada bila-bila masa.

”Abang Ikbal, kak Ina pengsan!” Tiba-tiba satu suara terdengar dari penjuru rumah.

Ikbal tersentak lalu berpaling. Dilihatnya Ina terbujur kaku di sudut rumah. Hanya nafasnya saja kelihatan turun naik. Berapa orang tetamu yang hadir segera memberikan bantuan. Ikbal bangun dalam keadaan tergesa-gesa terus menuju ke arah isterinya yang sedang terbaring kaku. Segera dipegang tangan isterinya, terasa amat panas sejuk sekali. Denyut nadi Ina juga perlahan. Degupan jantungnya juga mula perlahan. Baju Ina dibasahi peluh yang mencurah.

Ikbal cemas. Sejak seminggu yang lalu Ina sering mengadu badannya tidak sihat dan sering muntah-muntah, tapi bila diajak berjumpa doktor Ina enggan, katanya sakit biasa sahaja. Kali ini Ina pengsan, segera Ina dipangku lalu dibawah keluar menuju ke kereta. Adik lelakinya telah tersedia didalam kereta

”Terus sahaja ke hospital!”

**
Sejak Ina masuk ke wad kecemasan, Ikbal hanya dibenar menunggu di luar sahaja. Dia ditemani oleh adik lelakinya serta ayah dan ibunya yang tiba sepuluh minit kemudian. Ikbal agak keresahan. Jam di tangannya menunjukan telah setengah jam masa berlalu, masih belum ada berita tentang isterinya yang sedang dirawat. Begitu perlahan rasanya masa begerak. Walau pun beberapa orang jururawat kelihatan keluar masuk wad kecemasan itu, masih tiada lagi berita tentang isterinya. Ayah dan ibunya berusaha menenangkannya.

Sesekali direnungnya sekeping gambar yang tergantung didinding ruang menunggu itu. Gambar seorang anak yang sedang disusui oleh ibunya. Alangkah beruntungnya dia kalau mempunyai anak dari dagingnya sendiri.

”Encik Ikbal, doktor nak jumpa sekarang!” namanya tiba-tiba dipanggil oleh seoang jururawat yang keluar dari wad kecemasan itu.

Ikbal bergegas masuk ke wad kecemasan. Terlihat isterinya terbaring kelesuan di katil. Seorang lelaki yang berpakaian serba putih berdiri di sisi isterinya. Masih muda orangnya mungkin dalam lingkangan usia tiga puluhan.

”Saya suami dia!” Kata Ikbal sambil tangannya menunjuk ke arah isterinya yang sedang terbaring. Dilihat mata isterinya terpejam. Mungkin terlena kepenatan.

”Saya Doktor Halim, doktor yang memeriksa isteri encik Ikbal.” Sapa doktor muda tu sambil mengulurkan tangannya.

Tangan doktor muda itu disambut erat. Dia merenung ke wajah doktor yang sentiasa tersenyum itu dengan penuh harapan.

”Bagaimana isteri saya doktor? Apa sakitnya?” Tergesa-gesa Ikbal menyoal doktor muda itu. Tangan doktor itu masih digenggam erat tidak dilepaskan sedari tadi.

Doktor Halim masih lagi tersenyum sambil sebelah tangannya lagi menepuk bahu ikbal berrtalu-talu.

”Tahniah, anda bakal menjadi seorang bapa. Isteri anda mengidap sindrom kehamilan! Ini perkara biasa terjadi kepada wanita yang pertama kali hamil. Kandungannya telah berusia dua bulan setengah. Tahniah!” Jawab Doktor Halim.

Ikbal tersentak, bagaikan tidak percaya. Dia bakal menjadi seorang ayah. Segera dia mendapatkan isterinya. Direnung dalam-dalam wajah isterinya yang masih terbaring kelesuan. Wajahnya isterinya agak pucat dan keletihan. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Namun Isterinya tetap menghadiahkannya senyum. Senyuman yang paling manis rasanya

Digenggamnya tangan Ina erat-erat seolah tidak mahu lagi dilepaskan. Segera dahi isterinya dikucup sebagai tanda terima kasih.

”Bang, maafkan Ina kerana mengganggu majli pernikahan abang!” Tiba-tiba isterinya bersuara memecah kesunyian. ”Pergilah selesaikan dahulu majlis pernikahan tu!”

”Majlis pernikahan itu dah selesai” Jawab Ikbal.

”Bila?” Balas Ina.

”Lapan tahun dahulu! Tiada lagi majlis pernikahan yang baru!” jawab Ikbal gembira.

Terima kasih tuhan, doanya telah dimakbulkan.

No comments: