Disember 2008 - Penerbangan yang panjang itu berakhir di Jeddah. Aku melihat satu per satu wajah ahli keluargaku. Masing-masing dengan ekspresi wajah yang berbeza. Kelihatan Mak dan Abah dalam keadaan yang sangat tenang.
Aku lihat kakakku memeluk lengan suaminya. Masing-masing tersenyum-senyum. Entah apa yang difikirkan oleh dua pengantin baru itu. Lantas aku memandang kedua-dua adik lelakiku, " This is it! " Mereka berdua tersenyum memahami kata-kataku.
Sesudah keluar dari airport Jeddah kami dibawa menaiki bas menuju ke Mekah Al-Mukarammah. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa berdebarnya hati ini. Aku tidak pasti apa yang menyebabkan hatiku bergetar. Mungkin teruja? Atau mungkin takut?
Terimbas kembali pada bulan puasa yang lepas, perbualan antara Mak dan aku di telefon.
" Yan, tahun ini tradisi percutian hujung tahun keluarga kita akan ditukar kepada pergi Umrah ," suara Mak penuh bersemangat di corong telefon.
Ketika itu aku tergamam dan hanya mengiakan saja. Tamat perbualan antara aku dengan emak di telefon.
Namun waktu itu fikiranku tidak terhenti di situ sahaja. Suara mak masih terngiang-ngiang dalam kepalaku. Pergi Umrah? Pergi ke tanah suci. Aku tidak pernah terfikir langsung untuk menjejakkan kakiku ke tanah haram Allah SWT itu. Tiba-tiba aku jadi risau.
" Bolehkah aku? Tahukah aku ibadah-ibadah yang perlu ku laksanakan di sana nanti? Aku tak pandai mengaji.. macam mana ni? Ahh.. "
Itulah reaksiku ketika mula-mula diberitahu bahawa Abah ketika dia menunaikan haji bersama dengan Mak, telah bernazar untuk membawa anak-anaknya menunaikan Umrah.
Bas meluncur laju, dari tingkap bas dapat ku lihat pemandangan malam sekitar Jeddah yang sangat berlainan dari tanah airku. Bangunan-bangunannya lain sekali. Walaupun aku ialah seorang yang banyak mengembara namun Tanah Arab ini amat berbeza dari negara-negara yang pernah ku lawati.
" Banyakkan berzikir dan doa. " tegur Mak.
Aku akur lalu ku buka buku panduan Umrah yang sedari tadi telah ku gantung di leher. Ketika bas mula memasuki kota Mekah, aku mula berdoa ;
" Ya Allah, kota ini adalah Tanah Haram-Mu dan tempat yang aman-Mu, maka hindarkanlah daging, darah, rambut dan kulitku dari Neraka. Dan selamatkanlah diriku dari siksa-Mu pada hari Engkau membangkitkan kembali hamba-Mu, dan jadikanlah aku termasuk dalam golongan orang-orang yang selalu dekat dan taat kepada-Mu. Amin. "
" Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah, didepan kita sekarang adalah Masjidil Haram tempat di mana terletaknya Kaabah, Arasy sekalian umat Islam di dunia. " suara Mutawwif memecah lamunanku. Click to join TemanHidup
Aku melihat daripada tingkap bas. Subhanallah! Ku lihat dengan mataku sendiri. Masjidil Haram yang tersergam indah dan bersinar-sinar. Cahaya putih yang memancar darinya menyinari persekitaran di sekeliling Masjid.
" Ya Allah, indah sungguh rumah-Mu ini Ya Allah! "
Subhahallah. Subhanallah. Berkali-kali hatiku mengucapkan tasbih kepada Yang Maha Esa. Air mataku mula bergenang. Rasa seperti mimpi, aku benar-benar sudah berada di Tanah Suci Mekah.
Dalam melayari perasaan terharu itu, tiba-tiba bas berhenti. Rupa-rupanya kami telah sampai di depan hotel tempat penginapan kami. Mutawwif menyarankan kami supaya melakukan solat jamak takhir di bilik hotel masing-masing. Waktu ketika itu hampir jam 12 malam. Abah mengarahkan keluarganya untuk bertemu di lobi hotel pada jam 12.30 malam.
Tepat jam 12.30malam, masing-masing sudah berkumpul di lobi. Kami mula mengatur langkah mengikut Abah dari belakang.
" Sambil berjalan, kita bertalbiah. " Abah mengajar.
" Labbaikallah Humma Labbaik, Labbaikala syari kalaka labbaik, Innalhamda, wanniqmata, Lakawalmulk, La syari Kallak "
" Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah, Hamba-Mu datang menyahut panggilanmu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu "
Kami berjalan sambil bertalbiah menyusuri jalan dan lorong-lorong, melalui kedai-kedai kecil. Kawasan di sekitar itu keadaannya sangat sederhana. Kami terus berjalan menuju ke Masjidil Haram. Dari jauh aku nampak Masjidil Haram itu bersinar-sinar. Sinarannya amat ketara sekali kerana kawasan selain Masjid agak suram dan malap.
Ketika hendak melangkah masuk ke dalam masjid, hati ku makin berdebar-debar. Suasana di dalam Masjid sangat tenang dan aman. Kakiku terus melangkah masuk sambil hati tidak putus-putus berdoa.
" Itu Kaabah. " bisik Mak sambil tersenyum kepada ku.
Mataku terus menangkap sebuah bangunan bersegi berwarna hitam. Betul-betul berada di depan ku.
" Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar! "
Dan ketika itu juga airmataku deras mengalir. Selaju-lajunya. Ketika itu juga aku merasa diriku sangat kerdil di sisi Allah SWT. Tidak putus-putus aku berdoa kepada Yang Maha Esa.
Dalam tangisan, aku melakukan solat sunat Taubat. Dan ketika itu terasa banyaknya dosa yang telah ku lakukan sepanjang hidupku. Betapa jahilnya aku.
" Ya Allah ampunkanlah dosa hamba-Mu yang hina ini. Satu-satu dosa yang telah kulakukan selama ini terbayang-bayang di dalam kepala. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku. "
Ku lihat adik-adikku juga merah matanya. Kakakku dan suaminya juga begitu, sembab mata mereka. Pada ketika itu, kami tidak bercakap langsung. Masing-masing dalam perantaraan dengan Allah SWT yang Maha Besar. Ya, antara diri dan Rabb.
" Kita tawaf. " kata Abah perlahan.
Aku mengikut rombongan kecil kami menuju kearah Kaabah yang tersergam indah di tengah-tengah Masjidil Haram.
Mataku tidak teralih langsung. Aku asyik menatap bangunan hitam empat segi itu dan ketika itu rasa seperti mimpi. Selama ini, Kaabah hanya kulihat dari bingkai-bingkai gambar yang tergantung di dinding rumah, atau di televisyen atau di lukisan di sejadah. Tapi kali ini aku melihat Kaabah dengan mataku sendiri. Betul-betul berada di depan ku. Pertama kali dalam hidupku.
Aku mula melakukan tawaf bersama-sama keluargaku. Di dalam tawaf aku asyik berdoa dan bertasbih kepada Allah SWT. Aku sangat kusyuk dengan doa-doaku tanpa kusedari aku terpisah daripada keluargaku semasa tawaf kelima. Selesai tujuh pusingan, aku terhenti betul-betul di hadapan Multazam iaitu Pintu Emas Kaabah. Ku lihat ramai lelaki-lelaki yang seperti melekat di situ. Ramai juga yang berdoa di situ. Pada ketika itu baru aku tersedar bahawa aku keseorangan.
Aku mulai mencari-cari wajah-wajah keluargaku namun tidak kutemui. Agak lama juga aku bersendirian. Sudahlah pertama kali berada disitu, tidak tahu kemana harus pergi. Risau mula menular dalam hati lalu aku berdiri betul-betul di depan pintu Kaabah dan menadah tangan berdoa.
" Ya Allah Ya Tuhanku, temukan lah aku dengan keluargaku. Amin. "
Selesai sahaja berdoa, seperti ada suara yang mengarahkan ku supaya menoleh ke kanan. Aku pun menoleh, Subhanallah! Benar-benar doaku termakbul, aku nampak Mak di sebelah Makam Ibrahim sedang melambai-lambai ke arah ku. Alhamdulillah. Dalam hati terdetik juga, bagaimana aku tidak nampak Mak disitu sedangkan jarak antara Makam Ibrahim dengan pintu Kaabah tidaklah jauh. Aku beristighfar.
Rupa-rupanya ahli keluargaku semuanya sudah berada di situ menunggu aku. Semua sudah bersedia untuk melakukan solat sunat tawaf. Aku pergi mendapatkan mereka. Usai solat, aku mula berdoa. Kala itu, sekali lagi terimbas kembali segala dosa-dosa sepanjang hidupku. Sungguh banyak kejahatan dan kemaksiatan yang telah aku lakukan selama ini..
" Ya Allah ampunkanlah dosa-dosa hamba-Mu yang hina ini. Peliharalah aku dari azab kubur dan azab api neraka-Mu Ya Allah. Kuatkanlah imanku dan tetapkanlah imanku. Sesungguhnya aku ini amat jahil Ya Allah, aku lupa dengan tanggungjawabku, aku hanyut dengan dunia. Terima kasih ya Allah kerana sudi menerimaku sebagai tetamu-Mu. Janganlah Engkau memesongkan hatiku setelah Engkau memberi hidayah ini kepadaku."
Aku berdoa betul-betul di hadapan Multazam. Ku pandang tepat ke arah Pintu Emas Kaabah. Sesekali mataku kabur dek kerana airmataku yang tidak henti-henti mengalir.
Usai solat, kami meneruskan rukun yang seterusnya, Sai'. Antara Safar dan Marwah aku berjalan ulang-alik. Berpeluh juga aku pada waktu itu. Namun semua itu tidak ku kisahkan, dalam hatiku bulat hanya kerana Allah yang Maha Besar. Cukup tujuh kali, kami tamatkan ibadah dengan bertahalul iaitu menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Maka terlepaslah aku daripada larangan ihram.
Abah tersenyum. " Alhamdulillah, tahniah anak-anak Abah. Kamu semua baru sahaja selesai Umrah wajib masing-masing. "
Aku saling berpandangan dengan adik-beradikku. Semua tersenyum. Alhamdulillah.
Hatiku berkata-kata sendiri.
Selama 28 tahun aku hidup, aku tidak pernah pedulikan agama suci Allah SWT ini. Aku hanya Islam pada nama namun corak hidupku tidak langsung mencerminkan Islam. Aku hanyut dengan dunia. Hanyut!
Ku pandang Abah dan Mak. Airmataku berlinang.
Terima kasih Abah kerana membawa anak Abah ke Tanah Suci Allah ini. Anak Abah ini sangat bersyukur kerana menerima jemputan dari Yang Maha Esa dan teramat bersyukur kerana Allah SWT memberi hidayah serta membuka mata hati ini untuk melihat kesucian Islam. Allah membuka hati anak Abah ini untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.
Alhamdulillah. Sesungguhnya, menjadi jemputan Allah SWT telah memberi aku satu titik peralihan dalam hidupku. Peralihan ke arah hidup yang berlandaskan syariat Islam. Semenjak pulang ke tanah air, aku telah mejadi insan yang baru. Menjalani hidup sebagai seorang Muslim yang sebenar, ku kekalkannya sehingga sekarang dan selamanya. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment