Wednesday, July 14, 2010

Mengulit Kenangan

Dua hari lagi Boss baru akan datang, semua telah siap untuk menyambut kedatangannya. Kawan-kawan pejabatku semuanya sibuk menceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakang Boss baru nanti. Masih bujang, kacak, pelajar dari luar negara dan macam-macam lagi. Maria dan Nonie masing-masing cuba nak pasang jerat,manalah tahu ada rezeki...jadi isteri Boss. Aku malas nak masuk campur dengan rancangan mereka.


Cuma satu yang buat aku tersenyum sendiri bila mengenangkan namanya sama dengan kawanku masa kecil dulu Mohamad Sofian bin Shariman, aku mengelarkannya “Pian Cacing”. Bukan saja kecil tubuhnya tapi sering berhingus. Pian amat takut padaku, sebab tu aku suka buli dia. Rumah dia dengan rumahku tak jauh sangat boleh dikatakan berjiran juga. Walau pun aku suka buli dia tapi nasib baik dia tak pernah beritahu pada maknya. Mak cik Munah yang gedempol tu kalau sekeh kepala aku dah tentu aku boleh jadi biol seminggu.

Walaupun dia “cacing” disebalik itu dia pintar dalam pelajaran. Kebanyakan guru amat sayang padanya kecuali guru sukan dan pelajaran jasmani, Pian selalu kena marah sebab sifatnya yang lembab. Selalunya kerja sekolah aku suruh dia siapkan, kalau tidak aku buang angin basikalnya paling kurang pun aku akan sekeh kepalanya.Biasanya dia tak berani membantah setiap apa yang aku suruh. Apa agaknya yang dia buat sekarang...kali terakhir aku jumpa dia waktu dia nak tukar sekolah. Selepas kematian mak Munah abang Safri abang sulung Pian datang mengambil Pian dan bapanya pindah ke Kuala Lumpur. Sempat juga dia datang jumpa aku sebelum pindah.

“Milla..esok aku akan ke Kuala Lumpur, rasanya mungkin aku tak kembali kesini lagi sebab bapaku juga akan ikut sama” perlahan tuturnya sambil menundukkan mukanya. Dia memang tak berani menatap wajahku, agaknya dia takut denganku.

“Baguslah....sekurangnya kau selamat dari kena buli dengan Milla. Tapi kau mesti ingat Pian di KualaLumpur nanti masih ada ramai lagi yang lebih garang dari Milla” Aku cuma tersenyum mengejek bila aku lihat dia cuma tunduk dan diam membisu. Aku sendiri sebenarnya tak pasti keadaan yang aku cakapkan padanya, aku sendiri tak pernah bersekolah disana. Emm..pandai jer aku buat cerita sedangkan aku sendiri pun tak pernah jejakkan kaki ku di Kuala Lumpur. Betul ke disana tu penuh dengan samseng seperti mana yang selalu aku lihat di Televisyen.



“Milla....bila aku tiada nanti, siapa yang akan tolong kau buat kerja sekolah?”. Pian bertanya perlahan.

Ishkk...baik pulak si Pian cacing ni. Macamlah aku ni teruk sangat. Menyampah pula aku dengar.

“Milla....kau jaga diri kau baik-baik, aku tak pasti bila aku akan kembali ke daerah ini lagi”. Tuturnya dengan tenang.

“Alloo....Pian Cacing..kau yang harus jaga diri kau tu, selama ini aku tak pernah minta tolong kau kalau ada orang ganggu aku. Macamlah kau tu hero, emmm...jaga saja diri kau sendiri”.

Aku tak pasti kenapa aku marah padanya sedangkan dia ikhlas dengan aku, ataupun mungkin kerana sikapnya yang beralah dan sabar tu buat aku terasa betapa sebenarnya sikap aku sendiri yang teruk terhadapnya.Adakah aku kini terasa kehilangan orang yang selalu aku buli, yang tak pernah bantah setiap arahanku....entahlah.

“Sudahlah tu.... kau pergi balik berkemas apa yang patut, esok kau dah nak bertolak”.

Dia hanya memandangku sepintas dan terus berlalu. Itulah kali terakhir aku berborak dengannya. Entah dimana dia sekarang, agaknya masih berhingus tak berhenti lagi. Aku sendiri tak menyangka akan bersikap begitu, nasib baiklah sikap suka membuli hilang bila usiaku semakin meningkat. Kalau tidak…..entahlah, siapa pula yang akan menjadi mangsaku. Betul juga seperti kata pepatah “waktu dan keadaan akan merubah seseorang”. Aku sebagai contohnya, dari seorang yang kasar dan suka membuli kini bertukar sikap menjadi seorang gadis yang lemah lembut.

Kalau kucerita pada orang, pasti tiada siapa yang percaya begitu sekali sikapku disuatu waktu dahulu. Mungkin semua itu akan jadi kenangan buat aku dimasa tua nanti. Kalau aku bertemu dengan nya kembali…rasanya ingin sekali aku memohon kemaafan diatas sikap kasarku padanya dulu. Tapi…..mungkin aku tak berpeluang lagi untuk memohon maaf darinya. Agaknya dia pun dah lupakan aku dan kenangan yang pernah tercipta didesa kelahiran kami dulu. Kalau aku berselisih dijalan pun, rasanya aku dan dia pasti tidak mengenali antara satu sama lain. Waktu dan keadaan telah merubah segalanya.



“Milla….jom kita pergi makan” Maria mencuit bahuku menyebabkan lamunanku pada Pian Cacing terbang begitu sahaja.

“Okey jom…” Aku terus kemas kertas yang berselerak dimeja. Terus ku capai beg tangan dan senyum pada dua orang sahabat baikku yang telah lama menunggu.

“Milla….apa yang kau lamunkan tadi? Ceritalah pada kami”

Nonie bertanya sambil tangannya membetul rambutnya yang ikal.

“Emmm…yerlah aku pun nak tahu juga”. Maria menambah sambil membetulkan baju kemejanya.

“Nama Boss baru kita tu..”

“Kenapa dengan namanya…sama dengan nama buah hati kau ke?” Nonie tersenyum memandangku.

“Ishkk….mana aku ada buah hati le..” Aku menjeling pada dua orang sahabatku yang begitu berminat ingin mengetahuinya.

“Habis tu….takan nama bakal Pak mentua” Serentak kami ketawa dan sempat aku mencubit lengan Maria.

“Nama dia tu..sama dengan nama kawan sekolah aku yang selalu aku buli dulu. Tapi aku rasa mustahil dia, sebab korang kata muka Boss kita tu kacak dan tegapkan. Kawan aku tu…kurus kering, perut buncit penuh cacing dan buruk benar”. Aku menutup mulut menahan tawa bila mengimbas kembali wajah Pian cacing.

“Wah..!! orang selembut kau ni pun kaki buli?, tak sangka aku….kalau macam aku ni adalah juga tokoh kaki buli”. Nonie tersenyum sambil matanya terus memandang padaku.

“Kalau macam yang kau gambarkan tu…..sah bukan dia, Boss kita ni bertubuh sasa, kacak , pasti kau pun terpikat kalau kau memandangnya Milla”. Maria pula menambah.

“Aku pun harap begitu juga”. Kami bertiga terus pergi ketempat yang dituju. Perut pun dah mendendangkan berbagai rentak. Rock, balada, dangdut semua ada. Sepanjang perjalan ke destinasi yang dituju tak henti-henti mereka bercerita tentang Boss yang bakal muncul tidak lama lagi. Dah naik pekak telinga aku mendengar pujian mereka. Aku hanya mengelengkan kepala sambil sesekali tersenyum pada mereka. Aku hanya harap satu aja, kalau boleh biarlah Boss tu nanti jangan terlalu tegas, nanti aku juga yang teruk.Kenapalah aku yang dipilih jadi Setiausahanya, Maria dan Nonie juga tak kurang hebat apa lagi dalam hal berdandan.



Hari yang ditunggu tiba juga, walaupun aku yakin bukan Pian cacing namun hatiku rasa tak sedap jer. Maria dan Nonie berdandan dengan cantik. Sama-sama nampak jelita mengalahkan ada pertandingan ratu cantik tak pun hari pemilihan ratu pejabat. Aku hanya mampu tersenyum bila memandang mereka berdua.

“Milla..kenapa kau pakai kebaya harini, Boss kita tu pelajar dari luar negara….tentu dia tak suka Setiausaha dia macam tu” Nonie membebel dan disokong oleh Maria.

“Penampilan diri hak aku, kalau dia tak suka dia boleh tukar dengan orang lain. Tak pun kita tukar suka sama suka”.

Bila pintu terbuka, mataku terus tertumpu pada En Razif dan Boss baru kami. Lega hatiku…..sah bukan Pian Cacing, barulah aku boleh mengorak senyum dengan lebarnya. En Razif memperkenalkan seorang demi seorang semua staff yang ada. Giliran aku adalah yang terakhir. Semasa aku berjabat tangan dengannya, matanya memandang tepat padaku sambil berkata “apa khabar?”. Aku begitu gementar dan menjawab dengan tersekat-sekat. Entah kenapa aku jadi gementar dan tak mampu menjawab dengan lancar. Bila aku terpandang pada Maria dan Nonie mereka hanya ketawa sambil menutup mulut. Geram betul aku lihat mereka. Nantilah korang berdua, memang aku tak menafikan Boss tu memang kacak. Tapi aku sedikit pun tidak terpaut padanya. Entah apa yang buat aku begitu gementar, tentu mereka berdua tu salah tafsir.

Setelah selesai hari perkenalan dengan Boss yang baru, kami pun teruskan kerja masing-masing. Nasib baik lepas tu Boss baru tu keluar dengan En Razif, entah kemana pula En. Razif tu bawa melawat. Tapi bagus juga…..dari dia terperuk didalam pejabat ni. Aku pun rasa sedikit lega, semasa dia lalu dihadapanku tadi sempat juga aku menjeling padanya. Dia hanya tersenyum dan buat aku rasa malu pada diriku sendiri.

Hari ini aku rasa masa begitu lambat berlalu, berdebar aku menanti hari esok. Entah macamanalah Boss baru aku tu memerintah. Kalalulah dia tu macam Hitler, apa yang harus aku buat….melawan, turut setiap katanya atau perang saja. Kalau aku melawan nanti aku juga yang susah, kerja bukan senang nak dapat diwaktu gawat begini. Mengikut setiap perintahnya?..kalau betul aku ikut, kalau tak betul….takan aku nak ikut juga. Itu dah melampau. Ishkk aku ini asyik fikirkan dia. Baik tunggu saja esok…..



Hari pertama lagi Boss tu dah buli aku, sakitnya hatiku. Salah sikit saja dia suruh aku buat semula dari mula. Kalau macam ni mahu aku berhenti kerja dari menatap wajahnya. Aku dah tak nampak lagi wajah kacaknya, yang aku nampak bila setiap kali pandang wajahnya hanya muka Dinasour yang aku cukup menyampah. Buat hilang mood aku saja.

“Milla..masuk sekejap” suara dan wajahnya buat aku rasa macam nak muntah. Entah apa lagi yang tak kena ni, aku terus menuju ke biliknya. Aku mengetuk perlahan pintu dan melangkah masuk. Aku terus menuju ke mejanya, menanti arahan seterusnya.

“Duduk..” lembut pula suaranya, tapi bagiku suaranya tak ubah macam suara katak memanggil hujan. Aku pun terus duduk dihadapannya tanpa memandang wajahnya.

“Ada apa masalah En. Sofian….boleh saya bantu?” Aku tetap tundukan kepalaku, berdebar aku menanti arahan darinya. Lamanya Boss aku ni nak keluarkan arahan, ini yang menambah debar jantungku makin kuat.

“Kertas kerja ini saya nak awak semak dan taip lain, saya tak puas hati dengan apa yang awak taipkan disini dan saya nak hari ini juga. Saya tak kita pukul berapa awak boleh siapkan, saya akan bayar waktu kerja lebih masa awak tu”.

Berdesing telinga aku mendengar setiap patah perkataan dari mulutnya, ikutkan hati..mahu saja aku hempaskan kertas kerja tu atas kepalanya. Dia juga yang suruh aku ikut semua yang dia telah rangkakan, sekarang ni dia nak salahkan aku pulak. Tiba-tiba aku terigatkan pada Pian Cacing yang selalu aku buli dulu. Agaknya tuhan nak aku rasa perasaaan Pian Cacing dulu. Inilah balasan tuhan pada tiap perbuatan aku pada Pian dulu.

Aku mengambil kertas kerja dengan perasaan yang panas membara, sewaktu aku hendak keluar dari biliknya sempat aku menjeling padanya. Dia seolah-olah tersenyum mengejek padaku. Kenapalah Boss aku ni, apa saja yang aku buat serba tak kena. Maria dan Nonie tak ada masalah pula, agaknya sebab mereka berdua tu cantik dan mengoda yang dapat memenuhi citarasanya. Kebencian aku padanya semakin menebal, kekadang aku rasa seperti Boss aku ni pilih kasih. Asyik cari salah aku saja, kalau betul pun aku salah bertolak ansurlah. Macamlah aku tak pernah buat kerja sebelum ini. Pada hal aku pernah jadi pekerja cemerlang semasa Boss lamaku bertugas. Bila ganti saja dia…emmmm…..aku serba tak kena.



Sedar tak sedar dah tiga bulan aku kena buli dengan Boss baru aku ini. Menyampahnya usah ditanya. Kekadang tu hati aku ini macam gunung berapi yang nak meletup. Mengenangkan sukarnya untuk mendapatkan kerja waktu gawat begini aku hanya mampu sabarkan hati dan diri aku. Selagi termampu aku cuba mengorak senyum yang dipaksa-paksa setiap kali berhadapan dengannya. Sekali sekala pernah juga dia memperli aku bila dia sedar aku tak pernah ikhlas bila memberi senyuman padanya. Walaupun dia menyindir aku dalam nada berjenaka tapi pedihnya hanya tuhan yang tahu. Biarlah janji aku masih mampu menjadi pelakun hebat .

“Milla…awak ni kan, bukan tak manis senyum kambing awak tu, tapi……senyum kambing yang tak mandi setahun. Tak ikhlas langsung”. Dia tersenyum sambil mengelengkan kepalanya.

“Ini kira ikhlaslah ni En. Sofian, ikutkan hati saya tak ingin saya nak senyum dalam setahun ni”. Aku menjawab dengan wajah yang selamba. Maria dan Nonie hanya senyum memandangku.

“Milla..masuk sekejap”.

“Entah apa lagilah yang tak kena tu”. Aku sempat membebel sebelum melangkah kebiliknya. Tak sangka pula aku dia ada dibelakang, mengapalah Maria dan Nonie tak beri isyarat pada aku.Tebal aku rasa muka aku bila terpandang wajahnya.

“Awak bakal dicalonkan anugerah “mak nenek” tahun ini, tak sangka…….. boleh tahan juga pekerja saya ni”.

Amboi…..boleh tahan juga Boss aku ni. Dia tu calon “atuk kebayan”, kalau pasal bab perli aku boleh dapat sijil kelas pertama.

Aku terus melangkah ke pejabatnya. Nasib baik hari ini tak ada masalah dengan kerja aku, selalunya tak pernah kerja aku dapat memuaskan hatinya. Leganya aku hari ni, sekurangnya dapatlah aku balik awal sikit hari ini. Dapatlah aku nak rehatkan otak dan hati aku nanti di Pasaraya. Emm….boleh juga aku ajak dua lagi kawan aku ni temankan aku jalan-jalan. Tak pun pergi menonton wayang, lama juga dah tak pergi menonton wayang.

Ahh..leganya…janji dah sepakat, kami nak pergi menonton wayang malam ni. Tak sabar rasanya nak balik dan pergi berjalan-jalan. Semasa nak keluar dari pejabat sempat juga Boss aku tu perli.

“Hai..Milla baru nampak manis muka hari ini, kalau tidak….macam harimau tak makan sebulan”. Sempat juga dia perli aku, biarlah…janji tak ada kerja lebih masa. Malam ini aku, Maria dan Nonie akan bergembira.



Tiba-tiba dapat surat dari Kampung, hati aku rasa berdebar dan gelisah. Tak sabar rasanya aku nak membaca isi kandungan surat dari Kampung. Mak sakit ke…atau Abah yang sakit, emmm… risau pula aku nak membacanya. Perlahan ku buka surat dari Abah dan Mak, minta supaya aku balik hari minggu nanti. Ada hal penting yang nak dibincangkan, ishkk… apa pula halnya ni. Nak kasi tanah pada aku ke…. Nak buat apa tanah tu… Nak kena minta cuti pada Boss yang berat ni. Bukan senang aku nak dapat cuti, tapi terpaksalah aku minta juga. Kalau susah sangat nanti aku bawa surat ni suruh dia baca, manalah tahu dia tak percaya cakap aku. Boss tu bukannya boleh harap sangat tu.

Lambat pula Boss datang hari ini, macam dia tahu saja aku nak minta cuti. Gelisah aku menanti dia datang, baru hari ini dalam sejarah aku jadi pekerja dia aku harap sangat kedatangannya. Selalunya aku minta dia tak datang. Kalau dia tak datang Pejabat aku rasa seronok macam dapat bonus. Akhirnya muncul juga dia depan aku. Sewaktu aku beri salam dia hanya jawab dengan wajah yang mencuka. Tipislah nampaknya permohonan cuti aku nanti, apa pun aku kena cuba juga. Dapat atau tidak itu cerita kemudian.

Berdebar aku melangkah ke pejabatnya. Aku dah siap dengan “Bismillah”….dan segala ayat yang terlintas dikepalaku saat itu, tak lupa juga aku mulakan dengan langkah kanan semasa nak melangkah ke pejabatnya. Aku tetap berdoa agar permohonan cuti aku diluluskan. Aku terus saja menyatakan hasrat suci aku, memohon jasa baik Boss untuk meluluskan permohonan cuti aku. Tapi dia pulak perli aku yang bukan-bukan.

“Awak nak cuti Milla.., emmm…. Abah awak nak kasi awak kahwin agaknya Milla. Dapatlah saya makan nasi minyak nanti”

Amboi..siap dengan ketawa kecil lagi, nak kasi cuti kasi sajalah. Tak payahlah perli aku sampai macam tu sekali.

“Berapa minggu awak nak cuti ni Milla?”

Nasib baik aku sabar saja ni, dia ni pun bila aku diam bukan main lagi dia nak perli aku. “Kalau boleh tiga hari saja”

“Cukup ke tiga hari Milla…nanti tak puas pula awak nak bermanja dengan Mak dan Abah awak tu”.

Senyuman dari dia memang buat hati aku betul-betul rasa nak telan saja mamat depan aku ini…nasib baiklah dia ni Boss aku.

“Tuan nak kasi cuti atau tidak ni…saya dah tak lalu nak dengar Tuan perli saya lagi”. Terlepas juga perasaan geram aku.

Sampai saja aku di Kampung Mak dan Abah sambutku dengan senyuman yang memanjang. Tak terfikir pula aku apa yang buat mereka senyum sebegitu. Adakah kerana rindu padaku terubat atau ada maksud lain yang tersirat. Ku salami kedua tangan mereka dan ku cium pipi tua mereka. Agak lama juga aku tak balik menjenguk mereka, terasa bersalah juga aku sebagai anak. Aku tatap wajah Abah….. ketara betul kedut-kedut diwajahnya yang mengambarkan usia dan keuzuran. Mak tersenyum saja menatap wajahku. Kekadang aku rasa hairan dengan perubahan yang ketara.

Sehari dah berlalu aku di Kampung, terasa rindu juga nak dengar Boss aku tu berleter. Entah apa hal penting yang nak disampaikan oleh kedua orang tua ku pun masih tak disampaikan lagi. Emmm…aku juga rindu pada hilai tawa Maria dan Nonie.

“Milla.. Abah dan Mak nak kasi tahu kau satu perkara”.

Serius saja aku tengok wajah Abah, tapi Mak tersenyum seolah perkara yang nak disampaikan oleh Abah membahagiakannya. Aku hanya diam dan sesekali aku menatap wajah mereka seorang demi seorang. “Ada hal apa tu Abah?”.

“Dua minggu lepas ada orang datang meminang Milla, orangnya kami kenal sangat. Kedua orang tuanya dulu kawan baik Abah dan Mak, tunang kau tu pun baik budaknya. Tak ada cacat celanya Milla, kami dah terima pun pinangan itu. Tiga bulan lagi Milla akan menjadi isterinya yang sah”.

Terbeliak biji mata aku mendengarnya, macam tak percaya apa yang aku dengar. Kenapalah terima pinangan itu tanpa persetujuan aku. Macamana nak jelaskan nie…. Nanti dorang tersinggung susah juga. Nak terima saja aku tak sanggup. Dahlah aku tak kenal, singkat pula tempoh nya dah nak suruh aku kahwin.

“Kenapa tak bincang dengan Milla dulu Abah, sebelum Abah terima pinangan mereka”

“Abah tahu kau akan bahagia dengan dia nanti”

“Tapi ini soal masa depan Milla, cepat sangat tempohnya. Macamana ni Abah, Milla rasa belum sedia untuk berkahwin”.

“Milla Abah harap jangan hampakan harapan kami, Abah tak pernah minta apa-apa pun selama ini. Abah hanya harap Milla jangan lukakan hati kami dengan menolak hajat yang suci ini”.

“Tapi Abah……”

“Kami pasti kau akan bahagia Milla, jangan risau tentang semua itu. Kasih sayang boleh dipupuk, dibajai, semua tu akan berkembang dengan sempurna. Kami iringkan dengan doa restu”.

Hari ini aku mula bertugas, tiada keriangan seperti selalu. Aku ceritakan pada kedua sahabat baikku masalah yang melanda hidupku secara tiba-tiba. Mereka juga terkejut dengan keputusan yang Abah dan Mak ambil untukku.

“Mengapa kau tak menolaknya Milla kalau kau rasa tak bersedia untuk berkahwin”. Nonie menepuk bahuku perlahan.

“Betul tu Milla…Perkahwinan merupakan amanah, kita jangan berkahwin kalau kita rasa tak mampu nak jalankan amanah”.

“Korang cakap memang senang, tapi aku nak menolak harapan kedua orang tua aku tu tak terdaya. Harapan mereka terlalu tinggi dengan perkahwinan aku tu, entah dengan siapalah yang mereka nak kahwinkan aku”.

“Kalau macam tu.. kau terima sahaja Milla, kau pun bukan ada buah hati lagi yang takut kau nak tinggalkan. Lagi pun kan Milla orang kata pilihan orang tua ni selalunya baik dan membahagiakan”.

“Tapi…. Aku takutlah, entah siapalah bakal suami aku tu.. tempohnya dekat sangat. Tiga bulan saja…. Kau fikirlah”.

“Jangan risau Milla, Maria rasa tentu yang terbaik Abah dan Mak kau cari. Takan lah dorang nak musnahkan hidup anak kesayangan mereka ni”.

“Cakap memang mudah….aku yang nak tanggong ni yang teruk, emmmm macam tak percaya pula dalam sekelip mata aku dah nak jadi isteri orang. Macam mimpi disiang hari pun ada ni”.

“Sudahlah tu Milla…Nonie rasa kau akan bahagia nanti, kau nak tunggu apa lagi…dah ada orang suka tu, terima ajalah…abis cerita. Tak macam kami ni siapa pun tak nak”.

“Kau berdua bukan tak ada siapa yang nak…tapi korang ni memilih sangat, macamlah Milla tak tahu”.

Perkara ni kena rahsiakan dari pengetahuan Boss, kalau tidak.. gerenti panas telinga aku nanti kena perli dengannya. Harap-harap tu rahsia ini tak pecah sehingga aku buat permohonan cuti sekali lagi. Entahkan aku kena berhenti kerja, tak pula aku tanya Mak dan Abah bakal suami aku tu kerja apa?, kerja dimana? Ishkkkkkk.

Betul ke aku buat keputusan untuk ikut permintaan Mak dan Abah ni, emmm..makin ingat makin kusut aku memikirkannya. Mak…Abah… anak mu ini sedang berperang dengan keputusan dan harapan Mak dan Abah. Hati…..tabahlah kau menghadapinya.

Masa berlalu begitu pantas sekali, tanpa ku sedar hari yang paling aku tak suka menjelma juga. Aku terpaksa akur dengan keputusan dari Mak dan Abah, bukan main gembira lagi mereka. Semua keperluan telah mereka sediakan, aku hanya perlu ambil cuti dan dikahwinkan sahaja. Kekadang aku rasa seperti sebuah mimpi… bukanya sebuah kenyataan bahawa aku akan menjadi seorang isteri pada seorang yang tak pernah aku tahu siapa dia.

Kata Mak dia selalu tengok aku dan mengikuti setiap perkembangan diri aku, sedangkan aku sendiri tak pernah tahu siapa dia..rupa…suara… ishkk ni yang buat aku tambah takut. Sekarang ni aku rasakan pergerakan aku sentiasa diperhatikan. Nasib baik Boss aku sekarang ini tak cerewet macam dulu lagi, kalau tidak makin gila aku untuk menghadapi semua ini.

Hari ini aku terpaksa mohon cuti lagi dari Boss aku. Tentu dia terkejut bila aku beri Kad Undangan aku nanti. Aku dah sedia apa saja yang dia hendak perli aku nanti. Aku dah korek telinga aku elok-elok semalam, biar aku rasa tenang saja bila kena perli dengan Boss nanti. Kali ini dia tak boleh nak memperkecilkan aku lagi, tapi aku sebenarnya rasa takut nak pergi jumpa dia walaupun aku rasa aku benar-benar dah bersedia untuk menghadapi apa saja yang bakal di katakan padaku nanti. Emmm…. Sabar ajalah.

Aku melangkah ke pejabatnya dengan surat permohonan cuti dan Kad Undangan, ku ketuk perlahan pintu dan aku melangkah dengan penuh semangat. Aku ucapkan salam sebelum aku dipersilakan duduk dihadapannya

“Ada apa masalah yang boleh saya bantu”

“En Sofian.... saya nak memohon cuti selama dua minggu bermula hari Juamaat, ini surat permohonan cuti dan Kad Undangan dari saya sekeluarga untuk En Sofian”.

“Emmm…dah nak kahwin pun Setiausaha saya ni, siapa bakal suami awak tu Milla?”.

“Pilihan keluarga En Sofian, saya pun tak kenal dengannya”.

“Hmmm… Mohd Sofie, hampir sama dengan nama saya, agaknya awak suka pada saya. Sebab tu awak cari nama suami awak pun hampir dengan nama saya”.

Ewahhh…. Ketawakan aku pulak, dahlah tu.. perasan pula aku nak pada dia. Aku sanggup jadi anak dara tua dari kahwin dengan orang macam dia. Ingat aku ni dah tak laku ker?.. tolong sikit.

“En Sofian tolong setuju permohonan cuti saya tu, saya ada banyak kerja diluar” malas aku nak tatap muka dia lagi.

No comments: