Tuesday, May 24, 2011

Terpaksa dalam cinta suatu kepalsuan


Kasih sayang umpama air, setiap orang mendahagakannya tetapi anda boleh lemas jika cinta dijalin umpama air di lautan !!!
Mudahkah anda membuka pintu hati kepada seseorang, tetapi teramat sukar untuk menutup kembali pintu hati kepadanya? Tidak dinafikan apabila perasaan cinta sudah bersemi di hati, anda terasa betapa indahnya dunia. Lebih indah lagi apabila segalanya terbuai kerana mencintai seseorang yang anda amat suka walaupun dia tidak membalasnya.

Namun, pengalaman pernah menyayangi seseorang, tetapi akhirnya dilukai membuatkan bencinya hati apabila hendak menerima kehadiran orang baru. Begitu sebaliknya, seseorang yang begitu menyintaimu, tetapi anda tidak menyukainya walau sebesar zarah pun. Fikirlah, perasaannya sama seperti perasaan anda – ingin mencintai walaupun tidak dicintai.

Hormati perasaannya, tetapi usah berikan harapan kerana terpaksa dalam cinta adalah suatu kepalsuan. Akhirnya yang merana anda sendiri. Cinta ibarat air. Anda sangat memerlukannya dalam hidup namun jika ia ibarat air di lautan, ia akan menjadi ombak yang akan membuatkan hidup anda terumbang-ambing.

Jika ia ibarat air sungai yang mengalir tenang, maka ia akan berterusan menghanyutkannya ke muara. Sekiranya ia ibarat air terjun, lalu terhempaslah anda ke bawah. Kalau ia ibarat air tasik yang tenang membiru, anda dalam diam akan menyimpan berjuta keladak di dasarnya. Lalu jenis air mana yang anda inginkan?

Carilah mata air yang suci lagi murni walaupun keluar sedikit demi sedikit, tetapi akan melimpahi perigi dan menghilangkan kehausan kita dengan sekali teguk saja. Biarlah anda menjadi cinta terakhir kepada seseorang kerana mungkin sudah terlambat untuk menjadi cinta pertamanya, tetapi anda tidak pernah terlambat untuk menjadi cinta terakhirnya.

Jika anda sudah melengkapi diri untuk membina kekuatan dalam fasa perhubungan yang baru, cubalah petua berikut. Mana tahu cinta yang baru bakal memenuhi dan menyinari kekosongan jiwa, memberi kehangatan kebahagian buat anda selamanya. Antara petuanya:

Apabila dia sibuk, jangan pula anda merengek-rengek meminta si dia menjemput anda di tempat kerja ataupun menemani anda ke mana jua sedangkan anda sudah tahu rutin kerjayanya.

Sekiranya si dia terlalu ego, jangan sesekali mempersoalkan keegoannya apabila sikap sedemikian sedang menguasai dirinya. Baik lelaki atau perempuan, adakalanya mereka begitu ego dan sukar mengakui sesuatu walaupun jelas dia yang bersalah. Mungkin dia lebih tegas, tetapi anda sukar menafsirkan sikapnya.

Jika si dia romantik, ajaklah si dia bersiar-siar di tepi pantai ataupun makan malam di bawah cahaya lilin sambil mengenang saat manis pertemuan pertama dan jangan lupa menyelitkan perancangan untuk masa depan bersama.

Apabila si dia panas baran, jangan membuat sesuatu yang boleh menyemarakkan lagi rasa marahnya. Cuba berdiam diri dulu sampai kemarahannya reda dan selepas itu barulah berbincang apa yang sepatutnya.

Jika si dia penat, jangan mengadu perkara remeh-temeh. Dalam saat begini, si dia hanya perlu rehat secukupnya dan jangan memaksa dia membuat sesuatu yang boleh menambah kepenatan bahkan berasa bosan melayani karenah anda yang bersifat keanak-anakkan.

Sekiranya si dia terlalu mementingkan diri sendiri, cuba berterus-terang dan luahkan rasa tidak puas hati anda mengenai sikapnya itu. Anda sepatutnya bersikap terbuka dan memintanya supaya mengimbangi pendapat anda juga. Jangan lupa untuk bertoleransi antara satu sama lain kerana persefahaman amat penting dalam menjalin perhubungan antara lelaki dengan perempuan.

Apabla si dia mengongkong dan anda pula memberontak, pasti akan dimarahinya kerana terdorong atas rasa yang tidak menyenangkan itu. Tetapi kalau anda menurut saja katanya, takut menjejaskan diri sendiri sehingga akan meletus sesuatu yang tidak diingini apabila timbul rasa tidak puas hati pada kemudian hari. Untuk itu, anda perlu berkata sesuatu kepadanya untuk membiarkan anda membuat keputusan sendiri asalkan tidak menjejaskan hubungan anda berdua.

Apabila si dia selamba, cuba tarik perhatian si dia. Contohnya lakukan sesuatu yang boleh menarik minatnya. Orang yang selamba ini selalunya ingin kita yang mulakan dulu. Oleh itu, rancang sesuatu untuk menarik perhatiannya.

Sekiranya si dia curang, jangan tuduh tanpa usul periksa. Jika benar si dia curang, bersemuka dan tanya padanya tujuan dia bersikap begitu. Tetapi kalau si dia tetap dengan keputusannya, eloklah anda sendiri yang berundur dulu sebelum hati semakin parah lukanya.

Jika si dia lurus bendul, memang anda boleh mengambil kesempatan ke atas dirinya, tetapi jangan sampai memperlekehkan setiap tindak tanduknya. Anda patut menjadi perangsang kepadanya dan mengatakan yang dia mampu membuat keputusan sendiri tanpa terlalu mengharapkan orang lain.

No comments: