Monday, May 30, 2011

Tips menjadi Insan Cemerlang - Dr Fadzilah Kamsah

Berikut merupakan nota-nota penting berkaitan ceramah motivasi kecermerlangan yg saya hadiri dan bermanfaat untuk kita renung-renungkan dan amalkan dalam hidup kita.


Sama-sama kita Berkongsi ilmu,

Tips Menjadi Pekerja/Insan Cemerlang:

1. Pasang niat/doa untuk jadi yang terbaik dan jadi aset kepada dunia
2. Berlapang dada dan bersihkan hati
3. Bertindak dan berubah sekarang.
4. Jangan melawan fitrah (don’t go against nature)
5. Semua masalah berpunca dari diri sendiri (kita yg patut nilai diri kita/berubah)
6. Keyakinan (doa yang paling mustajab)

Tips2 Kecermelangan utama:

1. Hati/niat yg murni
2. Minda cerdas/positif
3. Usaha dan tindakan cemerlang
4. Penampilan anggun
5. Hubungan yang cemerlang
(sentiasa maafkan org, doakan untuk org, bantu org, ceriakan org, bangunkan org)
6. Ibadah dan doa
7. Guru yang cemerlang
8. Bentuk budaya terbilang

Tips Mengenal Diri Kita Yang Sebenar:
Cara Kenal Diri:
1. Nama dan maknanya – nama yang disebut ada maksud dan merupakan doa harian
2. Perawakan fizikal mencerminkan peribadi

Cuba tengok telapak tangan kanan anda bagi lelaki dan telapak tangak kiri bagi wanita. Jika jari manis lebih tinggi dari jari telunjuk membawa maksud anda seorang yang lembut hati dan kalau sebaliknya anda seorang yg keras hati. Bagi yg keras hati, kita berusaha merubah diri kita…

3. Tarikh lahir cerminkan peribadi

Bagi yg lahir Bulan Ganjil (1,3,5,7,……11)
bermaksud seorang yg tenang, suka bersendirian, seorang yg sistematik, sabar dan strong character.
Tetapi kalau bulan 5, 9, dan 11 ia lebih kepada seorang yg tegas dan sedikit keras hati
(tegas dlm sesuatu keputusan)

Bagi yg lahir bulan genap (2, 4, 6....12) bermaksud seorang yg laju/kelam kabut.
Tetapi bagi yg bulan 2,4,8,12 agak keras dan extra sensitive.

Bagi yg lahir antara 18hb hingga 23hb dalam mana-mana bulan bermaksud makhluk 2 alam.
Ada karakter bulan ganjil dan bulan genap. (ada 2 perangai)

4.Grafologi sebagai asas kenal peribadi:

Tulisan besar bermaksud = berani, pemurah, caring, mudah jadi pemimpin.

Tulisan kecil = pemalu dan sensitif tetapi penyayang.

Petua Untuk Sentiasa Ceria:

1. Berdoa dan pasang niat untuk sentiasa ceria dan bersemangat
2. Maafkan semua org sebelum tidur setiap malam
3. Programkam minda sebelum tidur setiap malam
4. Apabila bagun tidur terus senyum dan berdoa
5. Cari Butang Hijau – perkara-perkara yg menarik setiap pagi/membahagiakan.
Cth dengar lagu....atau bagi yg dah kahwin peluk suami/isteri/anak 10 saat atau yang belum kawin peluk ibu/bapa..( jgn peluk boyfriend/ girlfriend)

Masing2 kita ada kelebihan dan kekurangan. So, kita sendirilah yg kena bantu diri kita untuk berubah... renung2kan dan selamat beramal....

Tuesday, May 24, 2011

Terpaksa dalam cinta suatu kepalsuan


Kasih sayang umpama air, setiap orang mendahagakannya tetapi anda boleh lemas jika cinta dijalin umpama air di lautan !!!
Mudahkah anda membuka pintu hati kepada seseorang, tetapi teramat sukar untuk menutup kembali pintu hati kepadanya? Tidak dinafikan apabila perasaan cinta sudah bersemi di hati, anda terasa betapa indahnya dunia. Lebih indah lagi apabila segalanya terbuai kerana mencintai seseorang yang anda amat suka walaupun dia tidak membalasnya.

Namun, pengalaman pernah menyayangi seseorang, tetapi akhirnya dilukai membuatkan bencinya hati apabila hendak menerima kehadiran orang baru. Begitu sebaliknya, seseorang yang begitu menyintaimu, tetapi anda tidak menyukainya walau sebesar zarah pun. Fikirlah, perasaannya sama seperti perasaan anda – ingin mencintai walaupun tidak dicintai.

Hormati perasaannya, tetapi usah berikan harapan kerana terpaksa dalam cinta adalah suatu kepalsuan. Akhirnya yang merana anda sendiri. Cinta ibarat air. Anda sangat memerlukannya dalam hidup namun jika ia ibarat air di lautan, ia akan menjadi ombak yang akan membuatkan hidup anda terumbang-ambing.

Jika ia ibarat air sungai yang mengalir tenang, maka ia akan berterusan menghanyutkannya ke muara. Sekiranya ia ibarat air terjun, lalu terhempaslah anda ke bawah. Kalau ia ibarat air tasik yang tenang membiru, anda dalam diam akan menyimpan berjuta keladak di dasarnya. Lalu jenis air mana yang anda inginkan?

Carilah mata air yang suci lagi murni walaupun keluar sedikit demi sedikit, tetapi akan melimpahi perigi dan menghilangkan kehausan kita dengan sekali teguk saja. Biarlah anda menjadi cinta terakhir kepada seseorang kerana mungkin sudah terlambat untuk menjadi cinta pertamanya, tetapi anda tidak pernah terlambat untuk menjadi cinta terakhirnya.

Jika anda sudah melengkapi diri untuk membina kekuatan dalam fasa perhubungan yang baru, cubalah petua berikut. Mana tahu cinta yang baru bakal memenuhi dan menyinari kekosongan jiwa, memberi kehangatan kebahagian buat anda selamanya. Antara petuanya:

Apabila dia sibuk, jangan pula anda merengek-rengek meminta si dia menjemput anda di tempat kerja ataupun menemani anda ke mana jua sedangkan anda sudah tahu rutin kerjayanya.

Sekiranya si dia terlalu ego, jangan sesekali mempersoalkan keegoannya apabila sikap sedemikian sedang menguasai dirinya. Baik lelaki atau perempuan, adakalanya mereka begitu ego dan sukar mengakui sesuatu walaupun jelas dia yang bersalah. Mungkin dia lebih tegas, tetapi anda sukar menafsirkan sikapnya.

Jika si dia romantik, ajaklah si dia bersiar-siar di tepi pantai ataupun makan malam di bawah cahaya lilin sambil mengenang saat manis pertemuan pertama dan jangan lupa menyelitkan perancangan untuk masa depan bersama.

Apabila si dia panas baran, jangan membuat sesuatu yang boleh menyemarakkan lagi rasa marahnya. Cuba berdiam diri dulu sampai kemarahannya reda dan selepas itu barulah berbincang apa yang sepatutnya.

Jika si dia penat, jangan mengadu perkara remeh-temeh. Dalam saat begini, si dia hanya perlu rehat secukupnya dan jangan memaksa dia membuat sesuatu yang boleh menambah kepenatan bahkan berasa bosan melayani karenah anda yang bersifat keanak-anakkan.

Sekiranya si dia terlalu mementingkan diri sendiri, cuba berterus-terang dan luahkan rasa tidak puas hati anda mengenai sikapnya itu. Anda sepatutnya bersikap terbuka dan memintanya supaya mengimbangi pendapat anda juga. Jangan lupa untuk bertoleransi antara satu sama lain kerana persefahaman amat penting dalam menjalin perhubungan antara lelaki dengan perempuan.

Apabla si dia mengongkong dan anda pula memberontak, pasti akan dimarahinya kerana terdorong atas rasa yang tidak menyenangkan itu. Tetapi kalau anda menurut saja katanya, takut menjejaskan diri sendiri sehingga akan meletus sesuatu yang tidak diingini apabila timbul rasa tidak puas hati pada kemudian hari. Untuk itu, anda perlu berkata sesuatu kepadanya untuk membiarkan anda membuat keputusan sendiri asalkan tidak menjejaskan hubungan anda berdua.

Apabila si dia selamba, cuba tarik perhatian si dia. Contohnya lakukan sesuatu yang boleh menarik minatnya. Orang yang selamba ini selalunya ingin kita yang mulakan dulu. Oleh itu, rancang sesuatu untuk menarik perhatiannya.

Sekiranya si dia curang, jangan tuduh tanpa usul periksa. Jika benar si dia curang, bersemuka dan tanya padanya tujuan dia bersikap begitu. Tetapi kalau si dia tetap dengan keputusannya, eloklah anda sendiri yang berundur dulu sebelum hati semakin parah lukanya.

Jika si dia lurus bendul, memang anda boleh mengambil kesempatan ke atas dirinya, tetapi jangan sampai memperlekehkan setiap tindak tanduknya. Anda patut menjadi perangsang kepadanya dan mengatakan yang dia mampu membuat keputusan sendiri tanpa terlalu mengharapkan orang lain.

CiNtA SeJaTi @ SeHaRi


Sentiasa melengkapi diri untuk terima cinta baru……..

Kecewa dan terus kecewa dalam percintaan dijalin. Kadang-kadang hati sudah bosan memikirkan soal perasaan sedang diri dimamah usia. Bosan sebenarnya apabila berakhir pada cinta yang salah. Alih-alih mengharapkan cinta sejati tetapi ia hanya kekal dan menjadi ‘cinta sehari’

Ada waktu anda menyalahkan takdir yang menyebabkan sering kecundang lewat percintaan. Pernahkah mengkaji diri apa yang menjadi penyebabnya? Kalau difikirkan kelebihan diri, rasanya tidak kalah dengan teman lain yang sudah punya kehidupan membahagiakan bersama pasangan masing-masing. Namun, anda masih sendiri dan bagaikan orang berputus asa, anda sudah menanam cita-cita untuk tidak mahu mengharapkan sesiapa lagi.

Jangan cepat dilanda rasa kecewa. Ada pengkaji dalam soal cinta menyarankan supaya jangan menoleh ke masa lalu yang penuh kekecewaan sebaliknya sentiasa melengkapkan diri untuk menerima cinta baru. Namun, sebelum memutuskan menerima cinta seseorang, perhatikan tandanya, apakah dia memang jodoh anda?

Dia sahabat terbaik anda

Saat mengalami kesulitan, perkara pertama terlintas di kepala anda adalah dirinya,. Dia pandai menenangkan hati. Dia selalu hadir untuk anda dalam situasi apa sekalipun. Tiada orang yang lebih baik mengisi peranan ini daripada pasangan anda atau sahabat istimewa yang menjadi tempat susah senang anda. Percayalah, pasangan yang dirasakan jodoh anda, pasti tidak takut mengalami pasang surut dalam hidup ini.

Punya banyak persamaan

Hasil penelitian menyatakan, perkahwinan yang paling stabil adalah pernikahan yang membabitkan dua orang dengan banyak persamaan. Jenis persamaan itu tidak terlalu penting tetapi semua itu adalah modal untuk menjadikan hubungan semakin mantap. Menikmati semua aspek kehidupan bersama adalah antara rahsia pasangan sejati. Tidak perlu orang lain untuk membuat anda berdua bahagia. Apakah anda sudah merasakannya? Jika ya, jangan lepaskan dia.

Kepentingan anda adalah segalanya

“Cinta dimulai ketika seseorang menemukan bahawa keinginan orang lain sama pentingnya dengan hasrat hatinya sendiri.” (Harry Stack Sullivan).

Daripada bahasa tubuh dan sikapnya selama ini, terlihat jelas dia memperlakukan anda sebagai orang terpenting dalam hidupnya. Bahkan, dia sering mementingkan sesuatu untuk keperluan diri dan sekaligus dia memikirkan diri anda. Jika ini yang ada pada peribadinya, mungkin dia yang anda cari. Justeru, cinta abadi membabitkan komitmen rela berkorban untuk kebahagian pasangan, lalu jangan memikirkan orang lain di fikiran. Percayalah bahawa dialah milik cinta sejati anda.

Cinta tanpa syarat

Cuba ingat, pernahkah dia menarik muka masam saat melihat anda memakai baju yang tidak menepati seleranya? Dia barangkali pernah menegur gaya pakaian anda yang agak menjolok mata atau sebenarnya gaya pakaian anda membuatkan dia tidak senang kerana takut ada lelaki/ perempuan lain akan memberi perhatian lebih kepada anda. Atau anda pernah ditegurnya tanpa disedari gara-gara memotong rambut tanpa pengetahuannya? Namun, dia sentiasa pandai mengambil hati dan tegurannya jarang menyakitkan hati. Sebaiknya, fikirlah jika anda berkira-kira untuk memilih dia menjadi kekasih sejati. Cinta sejati adalah cinta tanpa syarat yang mampu menerima pasangan seadanya.

Sentiasa bersedia jadi pendengar setia

Setiap kali anda berbicara padanya, tidak sedetik pun perhatiannya beralih. Dia pendengar yang baik, mampu mendengar anda berbicara berjam-jam lamanya tanpa rasa bosan, penuh perhatian dan mengerti apa yang anda dinginkan.

Sering menepati masa

Untuk urusan apa sekalipun, dia selalu berusaha untuk menepati waktunya. Janji bertemu jam tujuh malam, dia sudah tiba di tempat setengah jam lebih awal. Baginya, lebih baik dia yang sampai dulu atau menjadi penunggu setia daripada membiarkan anda menunggu. Apalagi jika tempat pertemuan agak janggal untuk dirinya tetapi dia sentiasa mahu anda didahulukan.

Gerak batin atau naluri

Tanpa sebarang ucapan, anda mampu mengetahui apa yang tersirat di hati masing-masing. Anda berdua bagaikan dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaan pasangan pada situasi apa sekalipun. Bila anda sudah merasakan hal sedemikian, selamat!. Mungkin dialah belahan jiwa anda.

BiLa HiDaYaH MeNyApAkU...

Kenangan itu masih mengimbau kotak mindanya. Masih menjadi teman setia kepada mimpinya yang enggan pergi pada dinihari yang kedinginan itu.


"Adakah engkau melihat orang yang mengambil nafsunya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya kerana mengetahui (kejahatan hatinya) selepas didatangi ilmu kepadanya." ( Jatsiyah:23)

Mengapa dia masih berperasaan sedemikian sedangkan telah diusir perasaan itu dari dalam dirinya sejak lama dahulu? Hidupnya kini telah dibebaskan dari perasaan yang membelenggu jiwanya itu. Perasaan serba salah dan dosa yang amat. Kenapa kenangan itu harus kembali semula?

Dan dia cuba untuk memadam memori silam namun kisah itu bagaikan berterbangan di kotak matanya yang hampir berair.

5 tahun lepas..

"Awak, awak sanggup tak buat apa sahaja untuk saya?" Harman dengan lembut bertanya, sambil membelai rambutnya yang bertebangan dek angin yang melambai.

"Hurrm.... Apa dia? Banyak dah saya buat untuk awak ini," dengan senyuman manja dia membalas.

Ya, apa lagi yang dia tak buat untuk Harman. Segala-galanya akan diserahkan buat pujaan hatinya itu. Harman Haji Khalid. Pemuda idaman yang menjadi siulan rakan-rakan di kampusnya. Pemuda tinggi lampai berbidang sasa. Lesung pipinya menjadi pelengkap kepada wajahnya yang sudah setia tampan. Dengan sedikit kumis di dagunya, Harman mempu menggetarkan sekilas pantulan mata wanita. Dan Harman adalah miliknya! Siapa yang tidak berasa bertuah mendapat jejaka itu. Apa sahaja untukmu Harman akan kutunaikan!

"Saya tahu. Saya tahu awak sanggup buat apa sahaja untuk saya. Tapi itulah, permintaan ini agak berat sikit. Tak taulah awak sanggup tak nak buat,"

Adlina mula berkira-kira sendiri akan permintaan Harman. Kadang-kadang dia sendiri keliru dengan dirinya sendiri. Dia tahu apa yang dilakukannya adalah salah. Duduk berdua-duaan di tempat sunyi sambil bersentuh-sentuhan. Tapi dia tak mengerti kenapa dia sangat suka buat perkara itu. Dia merasakan kebahagiaan tak terhingga bersama Harman. Hidupnya terasa berbunga-bunga penuh makna. Hari-hari dia bernyanyi riang sepulangnya dia pulang keluar bersama Harman sehinggakan adik beradiknya lali dengan suara sumbangnya menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.

Kadang-kadang bisikan hatinya menghembus udara suci, minta dirinya untuk berhenti sejenak dan berfikir. Kadang-kadang dia membuka mahkota agungnya di hadapan Harman.Harman teringin melihat kecantikannya. Kecantikan yang sepatutnya dinikmati oleh mereka yang berhak. Namun Harman berjanji padanya jika ada rezeki mereka akan berkahwin. Dia tahu Harman takkan menipu. Harman terlalu baik untuk menipu.

Allah akan ampunkan dosaku, bisiknya. Dia bukan tak nak kahwin. Cuma masanya belum lagi. Dan dia pasti, pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Lagipun dia masih solat dan bertudung di hadapan orang lain.

"Cakaplah sayang, apa dia?"

Perlahan-lahan Harman meramas tangannya dan memegang kejap kedua belah tangannya. Jantungnya berhenti berdegup. Kadang-kadang Harman gemar membuat aksi-aksi romantis, dan dia sangat rasa dihargai apabila Harman melayannya sebegitu.

"Adlina permata hati saya, sudikah Adlina menjadi pemaisuri rumah tangga saya? Yang akan mewarnakan hari-hari saya dan menjadi ibu kepada anak-anak saya?"

Dia gumam. Terkesima. Antara gembira dan teruja. Dia tak mampu berkata apa-apa. Ada manik-manik yang hampir jatuh di pipinya. Perasaannya terlalu gembira tetapi tiada kalimah yang dapat mengucapkannya.

"Tapi Adlinaku sayang, boleh tak saya nak minta sesuatu dari awak?"

Dan dia membiarkan Harman berbisik halus di celah rongga telinganya. Matanya bulat tatkala Harman habis berbicara. Diketap kedua bibirnya. Keliru dirasakan dirinya ketika itu. Dia masih belum boleh berkata-kata sambil merenung bebola mata Harman yang berharap.

Lama ditenung mata hazel jejaka yang menjadi pujaan ramai itu. Mata itu mampu mencairkan hati perempuan-perempuan yang lemah.

Dan akhirnya dia mengangguk setuju...

________________________________________

"Tolong aku Azia! Tolong aku! Dia nak orang lebih 21 tahun untuk kasi kebenaran aku buat operation tu!"

"Yang kau buat kerja tu sape suruh. Kau tak ingat Tuhan ke? Tak ingat dosa pahala? Kau tak ingat kat mak ayah ke? Pastu kau nak heret aku untuk tolong kau?"

" Jangan macam tu Azia, aku perlukan sangat pertolongan kau sekarang ni. Kau jangan tambahkan lagi masalah aku!"

Adlina menangis teresak-esak di peha kakaknya. Dia rasakan empangan air matanya telah pecah. Dia sangat bingung ketika itu dan tiada siapa lagi yang boleh diminta pertolongan melainkan kakak kandungnya sendiri.

" Aku tahu kau sayangkan Harman tu. Tapi dia yang harus bertanggungjawab ke atas kau. Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku nak dia bertanggungjawab!"

" Azia! Dia tak ngaku tu anak dia. Dia dah tinggalkan aku dah! Dia tu memang tak guna! Jantan miang! Pergi jahanam dengan dia!" Adlina terus menerus menangis sambil menjerit-jerit kepada kakaknya. Mujurlah dia berada di flat kakaknya yang tidak berpenghuni. Dihentak-hentak bantal yang berada di sofa ruang tamu.

Dia berasa dunianya gelap. Dia harus gugurkan kandunganya itu! Dia mesti! Tapi dia masih di bawah umur. Cuma kakaknya sahaja harapannya untuk dia mendapat tanda tangan keizinan untuk melakukan pengguguran itu. Tanpa tanda tangan itu, tiada klinik yang akan menerimanya untuk dibedah.

"Ok. Begini. Aku sanggup tolong kau. Tapi dengan satu syarat." Kakaknya menarik nafas berat. Seolah-olah mahu memberi amanah besar di pundaknya.

Kakaknya menyambung, "Aku nak kau tinggalkan universiti itu dan apply untuk study di overseas. Aku nak kau tinggalkan Harman itu. Aku tak mampu nak tanggung kau ke sana. Mak abah tak boleh tahu pasal benda ini. Aku tak nak kau menyebabkan mereka tak mengaku kau sebagai anak mereka. Kau ada otak pandai, aku rasa kau akan dapat tempat tu. Bila kau tinggalkan universiti itu, kau jangan beritahu sesiapa pun kau akan ke mana. Aku tak nak kawan-kawan kau cari kau. Aku nak Harman betul-betul lenyap dalam hidup kau!'

________________________________________

Dia masih ingat pada malam hujan renyai di mana kakaknya Azia memberi ceramah yang panjang lebar dalam mencorakkan masa depannya. Dirasakan hidupnya ketika itu kelam dan gelap, segelap batu hitam di malam hari. Tetapi kakaknya memberikan sinar harapan baginya.

Dia berjaya mengugurkan kandunganya yang baru berusia 5 minggu itu. Itulah dosa besar paling dahsyat pernah dilakukannya setelah dosa yang dilakukan saat dia menunaikan permintaan Harman untuk menjamah tubuh yang tidak halal baginya. Mengapa dia begitu bodoh melakukan pekerjaan terkutuk itu?

Allah cintakan dia! Itu dia sangat pasti kerana Allah masih menyelamatkan dia! Setelah apa yang telah dia lakukan Allah masih sayangkan dia!

Dan kini dia melalui kehidupan yang bersih, sebersih bayi yang bahu lahir. Dia bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya.

"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak berdosa lagi" (Hadis)

"Adlina, akak nak tanya ni....,'

Kak Rahmah yang menjadi penjaganya di bumi kangaroo itu menyapanya mesra setelah melihatnya begitu lama mengelamun. Dia berada di rumah Kak Rahmah ketika itu kerana ada kuliah ilmu di situ.

"Adlina sudah bersedia untuk berumah tangga?"

Terkejut dan terperanjat, dia tunduk menyepi. Dia merasakan air matanya mahu gugur dan hatinya dirasakan mahu pecah. Namun digagahkan juga hatinya. Bagaimana mampu dia menjawab persoalan itu sedangkan dirinya itu kotor dan jijik? Lebih dahsyat dari bangkai anjing yang dicampakkan ke dalam lombong najis? Manakan boleh aku hidup bersama dengan manusia yang tidak pernah ada noda dalam dirinya?

"Sesungguhnya taubat yang dapat diterima oleh Allah untuk orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan, kemudian mereka bertaubat dalam masa yang dekat" ( Nisa:17)

Lama dia menunduk. Tiba-tiba dia merasakan ada sentuhan lembut di bahunya.

'Lina, akak minta maaf jika pertanyaan akak mengguris hati Lina. Akak tidak tahu yang Lina belum bersedia. Walaupun Lina masih belum menceritakan pada akak tentang perkara yang sentiasa menghantui diri Lina, tapi akak sangat harap Lina akan dapat melupakan kisah itu. Allah itu maha menerima taubat. Dia mendengar doa hamba-hambaNya. Akak yakin, sebesar manapun dosa Lina pada Dia, Dia akan ampunkan Lina.'

Dia mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus–putus beristighfar agar dikuatkan hatinya.

'Akak dan suami akak cuma risaukan Lina sahaja. Hidup di negara bukan Islam ini banyak dugaannya. Cabaran datang dari pihak bukan Islam mahupun ya.'

________________________________________

Lina mendengar kata-kata Kak Rahmah dengan penuh cermat. Walaupun persoalan perkahwinan adalah persoalan yang tidak mampu difikirkannya sekarang, namun dia tahu, semenjak mengenali Kak Rahmah, Kak Rahmah hanya berbicara jika perkara itu penting dan masanya sesuai sahaja.

Adlina sedar, dia telah banyak berubah semenjak datang ke situ. Tudungnya mula bertutup kemas. Pergaulannya sangat terjaga. Banyak ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya di situ. Malah dia benar-benar merasakan nikmatnya Islam itu apabila di datang ke bumi orang putih ini.

Dia sedar dia perlukan teman hidup yang kuat untuk menyokongnya untuk kekal berterusan di atas jalan ini. Yang mampu membimbingnya tanpa kebosanan mengenal penciptaNya dan beramal dengan sunnah NabiNya.

'Akak harap Lina sudi memikirkan perkara ini. Terpulang pada Lina untuk membuat pilihan. Pemuda itu sendiri tidaklah sempurna juga. Dia turut mengalami pengalaman yang serupa dengan Lina. Tapi, dia sudah pun bertaubat dari dosa-dosa silamnya. '

Lina mengangkat muka dan merenung Kak Rahmah penuh kaget. Mana akak tahu? bisik hatinya.

'Usah risau Lina, tiada siapa yang memberitahu kami. Cuma kami rasakan sahaja. Sudah ada seorang yang seperti Lina juga tapi alhamdulillah, di sini dia menemui cahayaNya.'

Adlina berfikir lama sambil menatap kosong ke sisi ruang tamu rumah Kak Rahmah. Teman-temannya sudah lama pulang. Sengaja Kak Rahmah minta dia pulang lewat hari itu.

' Jika Lina dah buat keputusan, nanti datanglah rumah akak minggu hadapan. Insyaallah dia akan datang juga untuk hadiri pengajian dengan suami akak. Dia pemuda yang paling baik akhlaknya pernah akak lihat. Tak pernah tinggal kuliah ilmu dan tidak pernah tinggal solat jemaah subuh di masjid.'

Adlina tersentak sejenak. Layakkah aku untuk pemuda itu? Manakan sama aku dengan dia! Adakah mampu aku memelihara cintaMu Ya Rabb di saat aku memiliki seorang lelaki dalam hidupku? Adakah aku tidak akan melupakanMu dan meninggalkan jalanMu di saat aku sudah berteman nanti?

"Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, ataupun perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan rasulNya dan berjihad di dalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya' ( Taubah: 24)

Dia sudah serik dikecewakan manusia dan dia pernah membenci lelaki dengan kebenciannya yang kesumat. Namun dia sedar dia tak boleh menyimpan perasaan itu. Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tidak boleh kerana seorang pemuda dia membenci keseluruhan lelaki di atas dunia!

Tapi dia tidak mahu lagi terlalu menyintai manusia! Mereka membuatkannya kecewa!

'Perkahwinan itu seharusnya memberi kekuatan dan sinergi kepada individu dalam rumah tangga itu, bukan melemahkan. Jika isteri leka suami mengingatkan, jika suami lalai isteri menyedarkan. ' begitulah kata-kata Kak Rahmah di saat kami berbicara tentang perkahwinan dengannya.

Di saat itu, hawa dingin semula jadi menerobos ke dalam bilik sepinya, menggigilkan tubuh badannya. Di saat hening itu dia merasakan Allah sangat dekat dengan dirinya, lantas dia menadahkan tangannya ke langit sambil memohon:

" Ya Allah, jika benar dia pilihan terbaik untukku, maka tunjukkanlah aku jalanMu dan janganlah Kau palingkan cintaku dariMu."

Dia mendengar suara kekecohan berada di rumah Kak Rahmah. Bagaikan ada kenduri yang kecil. Kak Rahmah kata ada majlis ilmu, bukannya majlis makan-makan. Mungkin ramai orang barangkali, fikirnya.

Di saat dia masuk, ramai orang lelaki sudah mula beredar dari ruang tamu rumah Kak Rahmah itu. Tersipu-sipu dia bergegas ke ruang dapur untuk menemui Kak Rahmah. Segan dia kepada lelaki bukan ajnabi.

Kak Rahmah memeluknya dengan penuh kehangatan, menghilangkan hawa sejuk yang dialaminya di saat kedatangannya ke rumah itu.

'Ibu, mari sini ibu. Bawa Lina sekali,' Kedengaran suara Abang Hakim memanggil isterinya dari luar.

Kak Rahmah menarik tangan Lina dan di bawanya ke ruang tamu. Lina terlihat susuk tubuh yang agak dikenalinya duduk bersimpuh sopan di sisi Abang Hakim. Pernah aku lihat pemuda ini, dia berkira-kira. tapi di mana ya? Fikirannya pantas memikirkan. Dia cuba untuk mencuri-curi pandang ke arah lelaki itu namun lelaki itu juga tunduk statik menghadap lantai rumah.

Lina dengan mata tertunduk duduk di balik Kak Rahmah. Dia memang agak kekok berada dalam suasana begini. Apatah lagi dalam majlis yang sebegitu.

'Adlina Malik. Kenalkan, ini calon suamimu, Harman Haji Khalid.'

Di saat itu, dua insan di bilik itu mengangkat wajah masing-masing sambil merenung tajam antara satu sama lain. Ada makna di sebalik pandangan itu. Ada jawapan yang mahu diselidiki tapi suara mereka seolah-olah tenggelam di balik bunyian heater yang memanaskan ruangan di bilik tamu itu.

Kak Rahmah dan Abang Hakim mungkin menjadi insan paling hairan melihat mereka di tika itu.....