Wednesday, June 16, 2010

Syawal Terakhir

Haji Ibrahim merenung kaki kanannya yang kudung. Sudah lima tahun kaki kanannya itu dipotong akibat penyakit kencing manis yang dihidapnya. Dia tidak punya pilihan samada nyawanya atau kakinya. Walau mulanya dia berdegil tapi akhirnya dia bersetuju juga bila doktor yang merawat menyatakan kemungkinan nyawanya akan melayang kalau kakinya tidak dipotong kerana kuman-kuman sudah mula merebak.


Walau baru jam sembilan malam, keadaan sekitar Rumah Orang-Orang Tua Cheras sunyi dan tenang sahaja. Hujan rintik-rintik semenjak petang tadi masih belum lagi teduh. Dipegangnya tongkat besi yang tersepit di celah ketiaknya. Tongkat ini telah menjadi teman setianya buat sekian lama. Digosok-gosok tongkat itu perlahan-perlahan.

Dia sendirian saja duduk di bangku rotan berenda rumah kebajikan itu. Matanya dipejamkan. Ditarik nafasnya panjang-panjang kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Diam tak diam telah hampir sepuluh tahun dia menjadi penghuni tetap rumah kebajikan ini. Sendirian tanpa pernah dikunjungi oleh sesiapa pun baik satu-satu anak perempuannya sendiri.

Kalau isterinya masih hidup mungkin tidak sebegini. Arwah isterinya meninggal dunia akibat penyakit barah payudara. Setelah setahun isterinya mengidap penyakit itu, akhirnya dia pergi buat selama-lamanya. Dia kehilangan insan tersayang yang menemaninya hidupnya selama tiga puluh tahun.

Sejak itu, dia seakan tidak dipedulikan lagi. Anak perempuannya sendiri menganggap diia sebagai beban untuk menjaga dirinya yang mengidap penyakit kencing manis. Malah telah tidak sanggup lagi menjaganya dan akhirnya telah menghantar dia ke rumah kebajikan ini. Dua bulan menghuni rumah kebajikan ini, dia melarikan diri kembali ke rumah anaknya, Malangnya anaknya tidak lagi menginap di situ. Tiada tempat hendak dituju, dia merayau-rayau tanpa hala tuju dan akhirnya menjadi pengemis untuk mendapatkan makanan. Sewaktu sedang mengemis di jambatan Pudu Raya, dia ditahan oleh pegawai kebajikan masyarakat lalu dihantar semula ke Rumah Orang-Orang Tua Cheras.

Kini dia tidak lagi berfikir untuk melarikan diri. Kudrat dan usia tuanya yang telah menjangkau 70 tahun ditambah lagi dengan penyakit kencing manis telah menyekat pergerakannya. Kini dia hanya ingin menamatkan usia tuanya di rumah ini bersama-sama rakan-rakan yang senasibnya.

Jauh di sudut hatinya, dia sedang menanti dan terus menanti. Dia sedang menanti anaknya dan cucu-cucu datang mengunjungnya. Cukuplah walau sekadar untuk bertanya khabar tentang dirinya. Tidak lama lagi Syawal akan menjelma. Mungkin ini Syawalnya yang terakhir. Kuman-kuman telah bersarang di segenap tubuhnya. Dia tidak mampu bertahan untuk Syawal yang akan datang. Biarlah Syawal yang terakhir ini, sebelum menutup mata, dia dapat menatap wajah anaknya dan mendakap mesra cucu-cucunya. Dia teramat rindu kepada cucunyanya, Ikin, Fahrin dan Farah. Pasti cucu-cucunya sudah besar panjang.

Dia sering berdoa memohon kepada Yang Maha Kuasa moga mempertemukan kembali dia dan keluarganya. Dia pasti tuhan akan mengkabulkan permintaannya satu hari nanti. Bukankah Maha Pencipta rindu pada doa-doa hambanya. Bukankah Allah hampir kepada hamba yang sering berdoa kepadanya. Air matanya telah kering. Kerinduan dalam penantian ini telah terlalu lama ditanggung hingga air mata pun tidak lagi mahu mengalir keluar.

“Ya, Allah, Ya tuhanku, kembalikanlah mereka kepadaku sebagaimana engkau mengembalikan Nabi Yusoff kepada bapanya Nabi Yaakub. Kerinduan ini tidak tertahan lagi. Hanya kepadaMu aku bermohon dan berharap. Penantian ini begitu menyakitkan tetapi aku tetap redha. Apakah ini kifayah kepada setiap dosa-dosa yang telah aku lakukan?”

Kini hampir setiap malam dia bermimpikan arwahnya isterinya. Mimpi yang sama. Isterinya menangis di satu padang yang luas tanpa penghuni. Sering juga dia bermimpi anak perempuannya datang mencium tangannya. Mimpi ini sering datang bersilang ganti.

Namun kisah silamnya hingga membawa dia terlantar di rumah orang-orang tua ini tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Malah tidak juga kepada Ponnusamy atau pun Leong yang menjadi rakan baiknya disini. Katil mereka bertiga pun bersebelah.

“Haji, apa bikin sorang-sorang kat sini?” Tegur Ponnusamy tiba-tiba sambil menepuk bahunya perlahan.

Haji Ibrahim terkejut sedikit. Dia membalas dengan senyuman tanpa berkata apa-apa. Tiada patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Direnung sahaja pada tubuh kering Ponnusamy. Jelas terlihat tulang rusuk di dada Ponnusamy. Lelaki tua kurus keding ini memang jarang memakai baju di waktu malam, malah senang berlenggeng sahaja. Nasibnya dan nasib Ponnusamy hampir sama. Ponnusamy mengidap lelah. Kalau didatangi penyakitnya, batuk terkongkullah tanpa henti Ponnusamy sepanjang malam. Dulu Ponnusamy seorang peniaga kain di Jalan Masjid India. Nasibnya malang, bila perniagaannya merosot, isterinya pula mati dilanggar kereta sewaktu melintas jalan untuk menghantar makanan kepadanya. Selepas itu Ponnusamy sering saja mabuk-mabuk. Tidak tertahan dengan kerenahnya, anak-anak Ponnusamy sepakat menghantarnya ke rumah kebajikan ini.

“Sudah lah Haji, apa lagi Hj tunggu. Kalau dia orang sayang sama Haji mesti dia datang. Hari raya lagi dua tiga hari.” Pujuk Ponnusamy sambil menepuk-nepuk belakang Haji Ibrahim. Sesekali dia terbatuk-batuk.

‘Haji, kalau ada apa masalah, Haji cerita sama saya. Kita sudah lama duduk sini. Haji sudah macam saya punya abang. Kita bukan ada orang lain lagi Haji. Kita sudah kena buang sama kita punya keluarga la Haji! Kita duduk sini tunggu sampai matilah Haji! Tak tahulah siapa mati dulu. Hajikah atau saya? Itu Tuan Allah punya kerja.” Sambung Ponnusamy lagi sambil duduk di sebelah Haji Ibrahim.

Kata-kata Ponnusamy begitu menyentuh hatinya. Lelaki India ini tenang sahaja bagai tiada apa yang digundahkan. Lelaki itu melipat daun sireh lalu disuap ke mulut dan dikunyah perlahan-lahan. seolah sedang menikmati satu ketenangan yang hakiki. Hakikatnya seperti dia juga , ada peristiwa silam begitu melukakan hatinya.

Benar seperti kata Ponnusamy. Mereka di sini adalah insan terbuang. Tiada siapa lagi yang memperdulikan mereka. Kepada siapa lagi ingin meluahkan rasa terpendam selain dari rakan-rakan yang senasib. Sekurang-kurang luahan itu akan dapat mengurangkan sedikit penderitaan yang ditanggung selama ini. Bukan Haji Ibrahim tidak mahu bercerita tentang sejarah silamnya, cuma dia malu. Mungkin inl adalah balasan tuhan terhadap dosa-dosanya kepada ibunya terdahulu.

Mereka berdua terdiam sejenak sambil memerhatikan suasana malam yang kian sepi. Malam seakan bergerak perlahan. Hujan yang turun sedari petang tadi sudah mula serik. Haruman bunga kemboja kembali menerjah-menerjah.

“Haji dan Pak Cik Ponnusamy. Sila masuk ke bilik sekarang. Pergi tidur. Malam dah larut, Jangan berembun kat luar nanti sakit. Kalau sakit nanti saya juga yang susah!” Laung Kak Midah penjaga rumah kebajikan kepada mereka berdua.

Haji Ibrahim dan Ponnusamy bangkit perlahan-lahan bergerak masuk ke dalam rumah. Ponnusamy memegang erat tangan Haji Ibrahim memimpinnya masuk ke katil mereka yang bersebelahan kerana lampu bilik telah dipadamkan.

“Haji, Ponnusamy, apa bikin dua-dua luar sana? Apa pasal tadak ajak sama saya?” Terdengar suara Leong di dalam kegelapan.

Ah Leong, lelaki cina yang berusia sekitar 80 itu memang seorang yang ramah. Ada sahaja yang ingin dibualkannya. Walau pun agak berusia lanjut tapi masih sihat tanpa sebarang penyakit. Leonglah yang akan mengejutkan untuk sembahyang subuh kalau Haji Ibrahim tidak terjaga dari tidurnya. Lepas mengejutkan Haji Ibrahim, Leong akan melakukan senaman Tai Chi. Katanya dia sentiasa sihat kerana selalu melakukan senaman Tai Chi.

“Tidurlah Haji. Jangan fikir banyak-banyak. Esok pagi saya kejut Haji sembahyang. Nanti Haji minta sama Tuan Allah apa yang Haji mau! Haji tidur baik-baik nanti dapat mimpi baik-baik.” Ada kemesraan yang ihklas dalam suara Leong.

Haji Ibrahim memejamkan matanya. Berusaha untuk segera tidur. Namun fikiranya masih melayang terbayangkan arwah isterinya, anaknya dan cucu-cucunya. Ponnusamy di sebelahnya telah lama terbuai mimpi, hanya dengkuran kasar Ponnusamy sahaja yang terdengar.

Sebaik terlena, Haji Ibrahim termimpikan arwah ibunya. Arwahnya ibunya yang berselubung dengan telekung putih datang menghampirinya. Wajah arwah ibunya masam sahaja. Arwah ayahnya yang berdiri di sebelah arwah ibunya juga dengan muka yang masam sambil merenung tajam ke arahnya.

“Kau anak derhaka! Kau anak derhaka!” Jerit kedua-duanya.
****
Ibrahim mengeluarkan pakaian ibunya yang tersusun di dalam almari pakaian lantas dimasukkan ke dalam satu beg besar. Beberapa helai baju kurung, kain batik dan telekung ibunya digumpal-gumpalkannya sahaja tanpa dilipat dengan rapi. Hatinya masih panas membara dengan leteran isterinya semasa bersahur tadi. Walaupun di dalam bulan puasa ini sepatutnya dia lebih bersabar, leteran isterinya itu tadi membuatkan dia menjadi marah.

“Berapa kali dah Imah cakap dengan abang. Hantar je ibu abang tu ke rumah orang-orang tua, habis cerita. Ini tidak. Tengok tu, habis dikencing dan berakkan katil tu. Bilik ni dah berbau busuk abang tahu!.” Jerkah Imah isterinya yang tidak lagi tertahan dengan kerenah ibu mertuanya.

“Ibu abang tu dah nyanyuk! Pasal tu kencing beraknya merata. Saya dah tak sanggup nak jaga ibu abang lagi. Lebih baik abang hantarkan ke rumah orang-orang tua. Atau saya yang keluar dari rumah ni!” Jerit Imah mengugut sambil bercekak pinggang..

“Boleh tak awak bersabar sedikit. Emak abang tu dah tua, memanglah macam tu.” Jawab Ibrahim perlahan sambil meneguk segelap teh panas. . Seleranya untuk bersahur hilang walau pun makanannya yang terhidang di atas meja sememangnya kegemarannya. Ibrahim hanya mendiamkan diri walau pun hatinya pedih mendidih mendengar leteran isterinya. Ada sahaja tentang ibunya yang tidak kena di mata isterinya.

“Sabar! Sabar!. Itu je yang abang tahu. Saya pun kerja, balik rumah kena layan ibu abang lagi. Saya penat melayan kerenah mak abang. Makan pakainya, berak kencing saya yang jaga. Itu belum lagi kerenah anak kesayangan awak tu!” Balas isterinya lantang. Pinggan yang dipegang dihempas kemeja.

Zaharah, anak tunggal mereka hanya memerhatikan pertengkaran kedua ibubapanya tanpa berkata apa-apa. Gadis yang baru berusia lima belas tahun hanya diam sambil menghabiskan makanan yang masih tersisa di dalam pinggannya. Anak gadis itu memang amat menyayangi neneknya itu. Neneknya itulah satu-satu tempat dia bergantung kasih sayang kerana kedua ibubapanya sibuk dengan kerjaya masing-masing hingga lalai memberikan kasih sayang kepada Zaharah.

“Sudahlah tu, pagi esok abang hantar mak ke rumah orang-orang tua!” Bentak Ibrahim menamatkan pertengkaran mereka suami isteri.

Jam lapan pagi, Ibrahim mengejutkan ibunya. Terpisar-pisar mata ibunya bila dikejutkan secara kasar begitu. Ibrahim lantas menyuruh ibunya segera mandi dan bersiap secepat mungkin. Tergesa-gesa ibunya ke bilik mandi tanpa mengetahui perkara yang sebenar.

Beg ibunya telah diletakkan di dalam kereta. Kereta buatan luar negara yang baru dibelinya dua minggu lepas itu dihidupkan enjin. Pagi ini telah dibulatkan keputusannya untuk menghantar ibunya ke rumah orang-orang tua di Kuala Kubu Baru. Rumah Orang-Orang Tua yang jaraknya lebih dari seratus kilometer dari rumah mereka itu sengaja dipilih oleh Imah.

“Kau nak bawa emak ke mana ni Ibrahim? Kenapa ada beg besar dalam kereta?” Soal ibunya cemas dan kehairanan sebaik melihat sebuah beg besar kepunyaannya berada didalam kereta.

“Emak jangan banyak soal!. Emak ikut je. Kami nak bawa mak ke rumah baru. Emak akan lebih terjaga di situ!” Bentak Imah keras sambil masuk ke dalam kereta.

“Kau nak bawa emak kemana Ibrahim? Mak tak nak pergi! Mak tak nak pergi!. Mak nak duduk di sini je! Ibrahim, tolong Jangan buat mak macam ni” Rayu ibunya. Tangan ibunya memegang kuat pintu rumah sambil menangis.

Ibrahim dia tidak menjawab. Ditarik tangan ibunya sambil diheret masuk ke dalam kereta. Tidak langsung memperdulikan rayuan ibunya. Tiada lagi kasihan belas terhadap ibunya telah tua itu terpamer di wajah Ibrahim. Imah isterinya hanya mendiamkan diri di tempat duduk hadapan kereta. Tidak sedikit pun terlihat riak wajah simpati terhadap ibu mertuanya.

Zaharah yang terdengar jerit suara neneknya segera berlari keluar dalam keadaan tergesa-gesa terus memeluk neneknya yang telah berada di dalam kereta.

“Ayah Jangan buat nenek macam ni! Kasihan nenek ayah, Jangan ayah, Jangan bawa nenek pergi! Zara sayangkan nenek!” Jerit Zaharah sambil menangis.

Jiran-jiran sebelah rumah memerhatikan dengan penuh simpati. Apalah daya mereka untuk masuk campur dalam urusan keluarga jiran mereka itu. Mereka hanya mampu menggelengkan kepala menyaksikan peristiwa itu.

Kereta itu bergerak laju meluncur keluar tanpa memperdulikan Zaharah yang berdiri merayu kepada kedua orang tuanya.

“Ayah tak patut buat nenek macam tuuu!! Zara dendam ayah! Zara dendam ayah!” jerit Zaharah menangis teresak-esak sambil berlari masuk kembali rumah.

Rumah Orang-Orang Tua Kuala Kubu Baru menyaksikan sekali lagi peristiwa yang menyayat hati. Ibrahim mengheret ibunya keluar dari kereta. Imah, isterinya pula membimbit beg pakaian ibu mertuanya masuk ke dalam rumah Orang-Orang Tua itu. Terdengar suara tangisan si Ibu. Penghuni-penghuni Rumah Orang-Orang Tua itu hanya mampu memerhatikan sahaja. Sebentar lagi mereka akan menerima seorang lagi kawan baru yang senasib dengan mereka. Air mata mereka mengalir, namun redha untuk menerima seorang lagi ibu yang dibuang oleh anaknya.

Sejam kemudian sebuah kereta meluncur keluar dengan lajunya dari rumah orang-orang tua itu. Di belakangnya seorang perempuan tua berlari-lari mengejar kereta itu sambil menangis memanggil nama anaknya berulang kali. Kereta itu terus laju lalu hilang dari pandangan seorang ibu tua yang sedang menangis hiba.

Esok Syawal menjelma. Buat pertama kali dalam hidupnya seorang ibu tua, dia menyambutnya dengan air mata dan dengan tangannya tidak lagi dicium dan dikucup oleh anaknya, menantunya dan cucunya.

Itulah juga kali pertama dan kali yang terakhir kereta itu mengunjungi Rumah Orang-Orang Tua Kuala Kubu Baru. Tidak ada lagi kunjungan hinggalah si ibu tua menghembuskan nafasnya yang terakhir.

****
Fajar Sywal mula menyinsing. Takbir memuji kebesaran Allah berkumandang tidak henti dari segenap pelusuk alam. Insan bergembira meraihkan satu kemenangan dalam peperangan menentang hawa nafsu. Ramadhan ditinggalkan dengan kesayuan oleh mereka-mereka yang beriman dengan Yang Maha Esa.. Apakah Ramadhan akan datang masih diperuntukan untuk mereka.

Haji Ibrahim masih berteluku di masjid. Sebaik selesai solat sunat Idul Fitri, dia ingin beriktikaf sejenak atas limpah rahmat Allah yang masih mengizinkan dia untuk menikmati indahnya Syawal kali ini. Dipanjatkan doa dengan sepenuh harapan agar permintaannya selama ini dimakbulkan tuhan. Dia terlalu rindukan anak dan cucu-cucunya. Moga mereka akan datang melawatnya di sini. Telah sepuluh kali Syawal datang dan pergi mereka tidak pernah datang mengunjunginya. Andainya mereka tidak datang, dia sedia memaafkan mereka.

Malam tadi dia bermimpi lagi. Dia bermimpi isterinya sedang menangis di satu kawasan yang gelap gelita. Tiba-tiba api yang marak menyambar isterinya dan membakar hangus hingga menjadi abu. Kejadian itu berulang-ulang. Kemudian dilihat arwah kedua ibubapanya pula menjelma dengan wajah yang masam sambil menjerit perkataan anak derhaka kepadanya. Sebaik terjaga, azan dari masjid berhampiran terdengar sayup-sayup. Dia menangis menyesali segala perbuatannya.

Sebaik usai doanya, Haji Ibrahim memegang tongkatnya untuk berdiri. Tiba-tiba dia merasa kesakitan mula menjalar di seluruh badannya. Rasa sakit itu pantas menuju ke jantungnya. Pandangan mula kelam dan akhirnya gelap. Dia tidak dapat melihat apa-apa. Pendengarannya pula mula menuli. Perlahan-lahan sekelilingnya mula sunyi, suara dan bunyi di sekelilingnya hanya sayup-sayup dan akhirnya tiada lagi suara dan bunyi kedengaran. Pernafasannya mula tersekat. Sukarnya untuk bernafas, seakan-akan ada selonggok duri-duri tajam yang tersengkang di kerongkongnya, terasa amat perit. Tongkatnya terlepas, dia jatuh menyembam ke lantai masjid.

Ponnusamy berjalan tergesa-gesa di antara celah-celah orang ramai yang datang menziarahi Rumah Orang-Orang Tua Cheras. Matanya melilau-lilau mencari seseorang.

“Leong! Leong! Lu ada nampak Haji ka? Saya cari dia tarak jumpa la.” Laung Ponnusamy sebaik ternampak Leong yang sedang menikmati hidangan hari raya di satu sudut ruang tamu rumah orang-orang tua itu.

“Wa tak tau la! Wa ingat dia pergi sembahyang sana masjid.” Jawab Leong sambil dilengukkan lehernya mencari susuk badan Haji Ibrahim tapi tidak terlihat. Ada riak kerisauan di wajahnya. Dia khuatir terjadi apa-apa yang buruk kepada Haji Ibrahim kerana dua tiga hari ini dilihatnya kesihatan Haji Ibrahim agak merosot.

“Semua orang sudah balik masjid la Leong. Dia sorang saja belum balik!” Jawab Punnosamy kerisauan.”Lu tahu ka? Lu nampak itu tiga orang berdiri dekat pintu. Itu dia punya cucu datang mahu bawa dia balik rumah!

Kak Midah berlari tergesa-gesa berlari mendapat dua orang gadis dan seorang pemuda yang telah sekian lama berdiri di situ.

“Atuk kamu rebah di masjid tadi waktu solat hari raya tadi. Mereka dah bawa dia ke hospital. Baru sekejap tadi. Mungkin masih dalam perjalanan lagi Baik kamu ke sana segera. Dia tak sedarkan diri!”

****
Ikin memandu kereta agak laju tapi berhati-hati. Jarak rumah orang-orang tua itu cuma 10 kilometer sahaja. Namun terasa begitu jauh sekali. Air matanya mengalir. Perasaan rindu kepada datuknya yang telah lama tidak bertemu begitu memuncak. Fahrin dan Farah menenangkan kakaknya. Sememangnya di antara mereka Ikin sebagai kakak yang sulung paling rapat dengan datuk mereka. Manakala Fahrin dan Farah pula hanya ingat-ingat lupa kerana waktu itu mereka masih lagi kecil berbanding dengan Ikin.

Sebaik menghantar datuknya ke rumah orang-orang tua, mereka sekeluarga berhijrah ke Australia. Sejak itu Ikin tidak lagi berjumpa dengan datuknya. Namun sebulan yang lalu semasa menghabis musim cuti, mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya. Mereka bertiga selamat tanpa apa-apa kecederaan. Malangnya ayah mereka mati di tempat kejadian, manakala ibunya cedera parah dan dimasukkan ke hospital. Sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, sempat dia berpesan agar Ikin dan adik-adiknya pulang ke Malaysia mencari datuk mereka dan memohon maaf datuk bagi pihak ibu mereka.

Sebaik tiba di hospital, kebetulan Haji Ibrahim sedang diusung di atas katil bergerak oleh petugas bahagian kecemasan menuju ke bilik ICU. Ikin dan adik-adiknya bergegas mengejar dari belakang.

“Atuk!”
“Atuk!”

Ikin segera mencapai tangan datuknya. Dipegang kemas-kemas tangan datuknya itu yang telah lemah longlai. Ikin terasa tangan datuk berusaha membalas pegangannya walau pun agak lemah dan tidak berdaya. Bibir datuknya kelihatan bergerak-gerak seakan ingin membisik sesuatu.

“Atuk! Ini Ikin. Cucu atuk datang. Fahrin dan Farah pun ada atuk. Kami nak bawa atuk pulang ke rumah kita! Atuk ini Ikin!” Ikin membisikkan ke telinga datuknya tetapi tiada balasan dari datuknya. Air mata Ikin mengalir membasahi pipinya.

“Atuk mengucap tuk! Ashaduallahillahahillah….” Ikin membisikkan kalimah suci ke telinga datuknya. Dilihat bibir atuknya bergerak perlahan.

Beberapa orang lelaki yang berpakaian putih seperti doktor berlari-lari masuk ke dalam bilik ICU itu. Beberapa peralatan dipasang ke badan datuknya. Mereka sedang bersungguh-sungguh melakukan sesuatu untuk menyelamatkan datuknya. Ikin, Fahrin dan Farah terpaku di situ, walaupun diminta menunggu diluar oleh seorang jururawat yang berada di situ.

Tiba-tiba dilihat lelaki itu semua berhenti melakukan sesuatu ke atas datuknya. Mereka berbisik sambil menggelengkan kepala dengan jururawat tadi. Mereka telah melakukan segalanya. Wajah mereka muram. Tubuh datuknya juga sudah tidak lagi memberi apa-apa reaksi. Diam dan kaku. Ketentuan Allah mengatasi segalanya. Tidak sesaat dicepatkan dan tidak sedetik dilewatkan.

Jururawat tadi menghampiri mereka sambil membisikan sesuatu. Ikin menangis teresak-esak sambil memeluk kedua-dua adiknya. Mereka bertiga menerima kenyataan takdir Allah. Air mata mereka gugur mengalir di pipi.

Ikin, Fahrin dan Farah tunduk mencium dahi datuknya tanda rela melepaskan datuk mereka pergi menghadap Yang Maha Esa. Perlahan-lahan seorang jururawat menutup muka datuk mereka dengan sehelai kain putih. Syawal ini adalah syawal terakhir untuk mereka rayakan bersama-sama datuk tersayang.

No comments: