Wednesday, July 14, 2010

Mengulit Kenangan

Dua hari lagi Boss baru akan datang, semua telah siap untuk menyambut kedatangannya. Kawan-kawan pejabatku semuanya sibuk menceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakang Boss baru nanti. Masih bujang, kacak, pelajar dari luar negara dan macam-macam lagi. Maria dan Nonie masing-masing cuba nak pasang jerat,manalah tahu ada rezeki...jadi isteri Boss. Aku malas nak masuk campur dengan rancangan mereka.


Cuma satu yang buat aku tersenyum sendiri bila mengenangkan namanya sama dengan kawanku masa kecil dulu Mohamad Sofian bin Shariman, aku mengelarkannya “Pian Cacing”. Bukan saja kecil tubuhnya tapi sering berhingus. Pian amat takut padaku, sebab tu aku suka buli dia. Rumah dia dengan rumahku tak jauh sangat boleh dikatakan berjiran juga. Walau pun aku suka buli dia tapi nasib baik dia tak pernah beritahu pada maknya. Mak cik Munah yang gedempol tu kalau sekeh kepala aku dah tentu aku boleh jadi biol seminggu.

Walaupun dia “cacing” disebalik itu dia pintar dalam pelajaran. Kebanyakan guru amat sayang padanya kecuali guru sukan dan pelajaran jasmani, Pian selalu kena marah sebab sifatnya yang lembab. Selalunya kerja sekolah aku suruh dia siapkan, kalau tidak aku buang angin basikalnya paling kurang pun aku akan sekeh kepalanya.Biasanya dia tak berani membantah setiap apa yang aku suruh. Apa agaknya yang dia buat sekarang...kali terakhir aku jumpa dia waktu dia nak tukar sekolah. Selepas kematian mak Munah abang Safri abang sulung Pian datang mengambil Pian dan bapanya pindah ke Kuala Lumpur. Sempat juga dia datang jumpa aku sebelum pindah.

“Milla..esok aku akan ke Kuala Lumpur, rasanya mungkin aku tak kembali kesini lagi sebab bapaku juga akan ikut sama” perlahan tuturnya sambil menundukkan mukanya. Dia memang tak berani menatap wajahku, agaknya dia takut denganku.

“Baguslah....sekurangnya kau selamat dari kena buli dengan Milla. Tapi kau mesti ingat Pian di KualaLumpur nanti masih ada ramai lagi yang lebih garang dari Milla” Aku cuma tersenyum mengejek bila aku lihat dia cuma tunduk dan diam membisu. Aku sendiri sebenarnya tak pasti keadaan yang aku cakapkan padanya, aku sendiri tak pernah bersekolah disana. Emm..pandai jer aku buat cerita sedangkan aku sendiri pun tak pernah jejakkan kaki ku di Kuala Lumpur. Betul ke disana tu penuh dengan samseng seperti mana yang selalu aku lihat di Televisyen.



“Milla....bila aku tiada nanti, siapa yang akan tolong kau buat kerja sekolah?”. Pian bertanya perlahan.

Ishkk...baik pulak si Pian cacing ni. Macamlah aku ni teruk sangat. Menyampah pula aku dengar.

“Milla....kau jaga diri kau baik-baik, aku tak pasti bila aku akan kembali ke daerah ini lagi”. Tuturnya dengan tenang.

“Alloo....Pian Cacing..kau yang harus jaga diri kau tu, selama ini aku tak pernah minta tolong kau kalau ada orang ganggu aku. Macamlah kau tu hero, emmm...jaga saja diri kau sendiri”.

Aku tak pasti kenapa aku marah padanya sedangkan dia ikhlas dengan aku, ataupun mungkin kerana sikapnya yang beralah dan sabar tu buat aku terasa betapa sebenarnya sikap aku sendiri yang teruk terhadapnya.Adakah aku kini terasa kehilangan orang yang selalu aku buli, yang tak pernah bantah setiap arahanku....entahlah.

“Sudahlah tu.... kau pergi balik berkemas apa yang patut, esok kau dah nak bertolak”.

Dia hanya memandangku sepintas dan terus berlalu. Itulah kali terakhir aku berborak dengannya. Entah dimana dia sekarang, agaknya masih berhingus tak berhenti lagi. Aku sendiri tak menyangka akan bersikap begitu, nasib baiklah sikap suka membuli hilang bila usiaku semakin meningkat. Kalau tidak…..entahlah, siapa pula yang akan menjadi mangsaku. Betul juga seperti kata pepatah “waktu dan keadaan akan merubah seseorang”. Aku sebagai contohnya, dari seorang yang kasar dan suka membuli kini bertukar sikap menjadi seorang gadis yang lemah lembut.

Kalau kucerita pada orang, pasti tiada siapa yang percaya begitu sekali sikapku disuatu waktu dahulu. Mungkin semua itu akan jadi kenangan buat aku dimasa tua nanti. Kalau aku bertemu dengan nya kembali…rasanya ingin sekali aku memohon kemaafan diatas sikap kasarku padanya dulu. Tapi…..mungkin aku tak berpeluang lagi untuk memohon maaf darinya. Agaknya dia pun dah lupakan aku dan kenangan yang pernah tercipta didesa kelahiran kami dulu. Kalau aku berselisih dijalan pun, rasanya aku dan dia pasti tidak mengenali antara satu sama lain. Waktu dan keadaan telah merubah segalanya.



“Milla….jom kita pergi makan” Maria mencuit bahuku menyebabkan lamunanku pada Pian Cacing terbang begitu sahaja.

“Okey jom…” Aku terus kemas kertas yang berselerak dimeja. Terus ku capai beg tangan dan senyum pada dua orang sahabat baikku yang telah lama menunggu.

“Milla….apa yang kau lamunkan tadi? Ceritalah pada kami”

Nonie bertanya sambil tangannya membetul rambutnya yang ikal.

“Emmm…yerlah aku pun nak tahu juga”. Maria menambah sambil membetulkan baju kemejanya.

“Nama Boss baru kita tu..”

“Kenapa dengan namanya…sama dengan nama buah hati kau ke?” Nonie tersenyum memandangku.

“Ishkk….mana aku ada buah hati le..” Aku menjeling pada dua orang sahabatku yang begitu berminat ingin mengetahuinya.

“Habis tu….takan nama bakal Pak mentua” Serentak kami ketawa dan sempat aku mencubit lengan Maria.

“Nama dia tu..sama dengan nama kawan sekolah aku yang selalu aku buli dulu. Tapi aku rasa mustahil dia, sebab korang kata muka Boss kita tu kacak dan tegapkan. Kawan aku tu…kurus kering, perut buncit penuh cacing dan buruk benar”. Aku menutup mulut menahan tawa bila mengimbas kembali wajah Pian cacing.

“Wah..!! orang selembut kau ni pun kaki buli?, tak sangka aku….kalau macam aku ni adalah juga tokoh kaki buli”. Nonie tersenyum sambil matanya terus memandang padaku.

“Kalau macam yang kau gambarkan tu…..sah bukan dia, Boss kita ni bertubuh sasa, kacak , pasti kau pun terpikat kalau kau memandangnya Milla”. Maria pula menambah.

“Aku pun harap begitu juga”. Kami bertiga terus pergi ketempat yang dituju. Perut pun dah mendendangkan berbagai rentak. Rock, balada, dangdut semua ada. Sepanjang perjalan ke destinasi yang dituju tak henti-henti mereka bercerita tentang Boss yang bakal muncul tidak lama lagi. Dah naik pekak telinga aku mendengar pujian mereka. Aku hanya mengelengkan kepala sambil sesekali tersenyum pada mereka. Aku hanya harap satu aja, kalau boleh biarlah Boss tu nanti jangan terlalu tegas, nanti aku juga yang teruk.Kenapalah aku yang dipilih jadi Setiausahanya, Maria dan Nonie juga tak kurang hebat apa lagi dalam hal berdandan.



Hari yang ditunggu tiba juga, walaupun aku yakin bukan Pian cacing namun hatiku rasa tak sedap jer. Maria dan Nonie berdandan dengan cantik. Sama-sama nampak jelita mengalahkan ada pertandingan ratu cantik tak pun hari pemilihan ratu pejabat. Aku hanya mampu tersenyum bila memandang mereka berdua.

“Milla..kenapa kau pakai kebaya harini, Boss kita tu pelajar dari luar negara….tentu dia tak suka Setiausaha dia macam tu” Nonie membebel dan disokong oleh Maria.

“Penampilan diri hak aku, kalau dia tak suka dia boleh tukar dengan orang lain. Tak pun kita tukar suka sama suka”.

Bila pintu terbuka, mataku terus tertumpu pada En Razif dan Boss baru kami. Lega hatiku…..sah bukan Pian Cacing, barulah aku boleh mengorak senyum dengan lebarnya. En Razif memperkenalkan seorang demi seorang semua staff yang ada. Giliran aku adalah yang terakhir. Semasa aku berjabat tangan dengannya, matanya memandang tepat padaku sambil berkata “apa khabar?”. Aku begitu gementar dan menjawab dengan tersekat-sekat. Entah kenapa aku jadi gementar dan tak mampu menjawab dengan lancar. Bila aku terpandang pada Maria dan Nonie mereka hanya ketawa sambil menutup mulut. Geram betul aku lihat mereka. Nantilah korang berdua, memang aku tak menafikan Boss tu memang kacak. Tapi aku sedikit pun tidak terpaut padanya. Entah apa yang buat aku begitu gementar, tentu mereka berdua tu salah tafsir.

Setelah selesai hari perkenalan dengan Boss yang baru, kami pun teruskan kerja masing-masing. Nasib baik lepas tu Boss baru tu keluar dengan En Razif, entah kemana pula En. Razif tu bawa melawat. Tapi bagus juga…..dari dia terperuk didalam pejabat ni. Aku pun rasa sedikit lega, semasa dia lalu dihadapanku tadi sempat juga aku menjeling padanya. Dia hanya tersenyum dan buat aku rasa malu pada diriku sendiri.

Hari ini aku rasa masa begitu lambat berlalu, berdebar aku menanti hari esok. Entah macamanalah Boss baru aku tu memerintah. Kalalulah dia tu macam Hitler, apa yang harus aku buat….melawan, turut setiap katanya atau perang saja. Kalau aku melawan nanti aku juga yang susah, kerja bukan senang nak dapat diwaktu gawat begini. Mengikut setiap perintahnya?..kalau betul aku ikut, kalau tak betul….takan aku nak ikut juga. Itu dah melampau. Ishkk aku ini asyik fikirkan dia. Baik tunggu saja esok…..



Hari pertama lagi Boss tu dah buli aku, sakitnya hatiku. Salah sikit saja dia suruh aku buat semula dari mula. Kalau macam ni mahu aku berhenti kerja dari menatap wajahnya. Aku dah tak nampak lagi wajah kacaknya, yang aku nampak bila setiap kali pandang wajahnya hanya muka Dinasour yang aku cukup menyampah. Buat hilang mood aku saja.

“Milla..masuk sekejap” suara dan wajahnya buat aku rasa macam nak muntah. Entah apa lagi yang tak kena ni, aku terus menuju ke biliknya. Aku mengetuk perlahan pintu dan melangkah masuk. Aku terus menuju ke mejanya, menanti arahan seterusnya.

“Duduk..” lembut pula suaranya, tapi bagiku suaranya tak ubah macam suara katak memanggil hujan. Aku pun terus duduk dihadapannya tanpa memandang wajahnya.

“Ada apa masalah En. Sofian….boleh saya bantu?” Aku tetap tundukan kepalaku, berdebar aku menanti arahan darinya. Lamanya Boss aku ni nak keluarkan arahan, ini yang menambah debar jantungku makin kuat.

“Kertas kerja ini saya nak awak semak dan taip lain, saya tak puas hati dengan apa yang awak taipkan disini dan saya nak hari ini juga. Saya tak kita pukul berapa awak boleh siapkan, saya akan bayar waktu kerja lebih masa awak tu”.

Berdesing telinga aku mendengar setiap patah perkataan dari mulutnya, ikutkan hati..mahu saja aku hempaskan kertas kerja tu atas kepalanya. Dia juga yang suruh aku ikut semua yang dia telah rangkakan, sekarang ni dia nak salahkan aku pulak. Tiba-tiba aku terigatkan pada Pian Cacing yang selalu aku buli dulu. Agaknya tuhan nak aku rasa perasaaan Pian Cacing dulu. Inilah balasan tuhan pada tiap perbuatan aku pada Pian dulu.

Aku mengambil kertas kerja dengan perasaan yang panas membara, sewaktu aku hendak keluar dari biliknya sempat aku menjeling padanya. Dia seolah-olah tersenyum mengejek padaku. Kenapalah Boss aku ni, apa saja yang aku buat serba tak kena. Maria dan Nonie tak ada masalah pula, agaknya sebab mereka berdua tu cantik dan mengoda yang dapat memenuhi citarasanya. Kebencian aku padanya semakin menebal, kekadang aku rasa seperti Boss aku ni pilih kasih. Asyik cari salah aku saja, kalau betul pun aku salah bertolak ansurlah. Macamlah aku tak pernah buat kerja sebelum ini. Pada hal aku pernah jadi pekerja cemerlang semasa Boss lamaku bertugas. Bila ganti saja dia…emmmm…..aku serba tak kena.



Sedar tak sedar dah tiga bulan aku kena buli dengan Boss baru aku ini. Menyampahnya usah ditanya. Kekadang tu hati aku ini macam gunung berapi yang nak meletup. Mengenangkan sukarnya untuk mendapatkan kerja waktu gawat begini aku hanya mampu sabarkan hati dan diri aku. Selagi termampu aku cuba mengorak senyum yang dipaksa-paksa setiap kali berhadapan dengannya. Sekali sekala pernah juga dia memperli aku bila dia sedar aku tak pernah ikhlas bila memberi senyuman padanya. Walaupun dia menyindir aku dalam nada berjenaka tapi pedihnya hanya tuhan yang tahu. Biarlah janji aku masih mampu menjadi pelakun hebat .

“Milla…awak ni kan, bukan tak manis senyum kambing awak tu, tapi……senyum kambing yang tak mandi setahun. Tak ikhlas langsung”. Dia tersenyum sambil mengelengkan kepalanya.

“Ini kira ikhlaslah ni En. Sofian, ikutkan hati saya tak ingin saya nak senyum dalam setahun ni”. Aku menjawab dengan wajah yang selamba. Maria dan Nonie hanya senyum memandangku.

“Milla..masuk sekejap”.

“Entah apa lagilah yang tak kena tu”. Aku sempat membebel sebelum melangkah kebiliknya. Tak sangka pula aku dia ada dibelakang, mengapalah Maria dan Nonie tak beri isyarat pada aku.Tebal aku rasa muka aku bila terpandang wajahnya.

“Awak bakal dicalonkan anugerah “mak nenek” tahun ini, tak sangka…….. boleh tahan juga pekerja saya ni”.

Amboi…..boleh tahan juga Boss aku ni. Dia tu calon “atuk kebayan”, kalau pasal bab perli aku boleh dapat sijil kelas pertama.

Aku terus melangkah ke pejabatnya. Nasib baik hari ini tak ada masalah dengan kerja aku, selalunya tak pernah kerja aku dapat memuaskan hatinya. Leganya aku hari ni, sekurangnya dapatlah aku balik awal sikit hari ini. Dapatlah aku nak rehatkan otak dan hati aku nanti di Pasaraya. Emm….boleh juga aku ajak dua lagi kawan aku ni temankan aku jalan-jalan. Tak pun pergi menonton wayang, lama juga dah tak pergi menonton wayang.

Ahh..leganya…janji dah sepakat, kami nak pergi menonton wayang malam ni. Tak sabar rasanya nak balik dan pergi berjalan-jalan. Semasa nak keluar dari pejabat sempat juga Boss aku tu perli.

“Hai..Milla baru nampak manis muka hari ini, kalau tidak….macam harimau tak makan sebulan”. Sempat juga dia perli aku, biarlah…janji tak ada kerja lebih masa. Malam ini aku, Maria dan Nonie akan bergembira.



Tiba-tiba dapat surat dari Kampung, hati aku rasa berdebar dan gelisah. Tak sabar rasanya aku nak membaca isi kandungan surat dari Kampung. Mak sakit ke…atau Abah yang sakit, emmm… risau pula aku nak membacanya. Perlahan ku buka surat dari Abah dan Mak, minta supaya aku balik hari minggu nanti. Ada hal penting yang nak dibincangkan, ishkk… apa pula halnya ni. Nak kasi tanah pada aku ke…. Nak buat apa tanah tu… Nak kena minta cuti pada Boss yang berat ni. Bukan senang aku nak dapat cuti, tapi terpaksalah aku minta juga. Kalau susah sangat nanti aku bawa surat ni suruh dia baca, manalah tahu dia tak percaya cakap aku. Boss tu bukannya boleh harap sangat tu.

Lambat pula Boss datang hari ini, macam dia tahu saja aku nak minta cuti. Gelisah aku menanti dia datang, baru hari ini dalam sejarah aku jadi pekerja dia aku harap sangat kedatangannya. Selalunya aku minta dia tak datang. Kalau dia tak datang Pejabat aku rasa seronok macam dapat bonus. Akhirnya muncul juga dia depan aku. Sewaktu aku beri salam dia hanya jawab dengan wajah yang mencuka. Tipislah nampaknya permohonan cuti aku nanti, apa pun aku kena cuba juga. Dapat atau tidak itu cerita kemudian.

Berdebar aku melangkah ke pejabatnya. Aku dah siap dengan “Bismillah”….dan segala ayat yang terlintas dikepalaku saat itu, tak lupa juga aku mulakan dengan langkah kanan semasa nak melangkah ke pejabatnya. Aku tetap berdoa agar permohonan cuti aku diluluskan. Aku terus saja menyatakan hasrat suci aku, memohon jasa baik Boss untuk meluluskan permohonan cuti aku. Tapi dia pulak perli aku yang bukan-bukan.

“Awak nak cuti Milla.., emmm…. Abah awak nak kasi awak kahwin agaknya Milla. Dapatlah saya makan nasi minyak nanti”

Amboi..siap dengan ketawa kecil lagi, nak kasi cuti kasi sajalah. Tak payahlah perli aku sampai macam tu sekali.

“Berapa minggu awak nak cuti ni Milla?”

Nasib baik aku sabar saja ni, dia ni pun bila aku diam bukan main lagi dia nak perli aku. “Kalau boleh tiga hari saja”

“Cukup ke tiga hari Milla…nanti tak puas pula awak nak bermanja dengan Mak dan Abah awak tu”.

Senyuman dari dia memang buat hati aku betul-betul rasa nak telan saja mamat depan aku ini…nasib baiklah dia ni Boss aku.

“Tuan nak kasi cuti atau tidak ni…saya dah tak lalu nak dengar Tuan perli saya lagi”. Terlepas juga perasaan geram aku.

Sampai saja aku di Kampung Mak dan Abah sambutku dengan senyuman yang memanjang. Tak terfikir pula aku apa yang buat mereka senyum sebegitu. Adakah kerana rindu padaku terubat atau ada maksud lain yang tersirat. Ku salami kedua tangan mereka dan ku cium pipi tua mereka. Agak lama juga aku tak balik menjenguk mereka, terasa bersalah juga aku sebagai anak. Aku tatap wajah Abah….. ketara betul kedut-kedut diwajahnya yang mengambarkan usia dan keuzuran. Mak tersenyum saja menatap wajahku. Kekadang aku rasa hairan dengan perubahan yang ketara.

Sehari dah berlalu aku di Kampung, terasa rindu juga nak dengar Boss aku tu berleter. Entah apa hal penting yang nak disampaikan oleh kedua orang tua ku pun masih tak disampaikan lagi. Emmm…aku juga rindu pada hilai tawa Maria dan Nonie.

“Milla.. Abah dan Mak nak kasi tahu kau satu perkara”.

Serius saja aku tengok wajah Abah, tapi Mak tersenyum seolah perkara yang nak disampaikan oleh Abah membahagiakannya. Aku hanya diam dan sesekali aku menatap wajah mereka seorang demi seorang. “Ada hal apa tu Abah?”.

“Dua minggu lepas ada orang datang meminang Milla, orangnya kami kenal sangat. Kedua orang tuanya dulu kawan baik Abah dan Mak, tunang kau tu pun baik budaknya. Tak ada cacat celanya Milla, kami dah terima pun pinangan itu. Tiga bulan lagi Milla akan menjadi isterinya yang sah”.

Terbeliak biji mata aku mendengarnya, macam tak percaya apa yang aku dengar. Kenapalah terima pinangan itu tanpa persetujuan aku. Macamana nak jelaskan nie…. Nanti dorang tersinggung susah juga. Nak terima saja aku tak sanggup. Dahlah aku tak kenal, singkat pula tempoh nya dah nak suruh aku kahwin.

“Kenapa tak bincang dengan Milla dulu Abah, sebelum Abah terima pinangan mereka”

“Abah tahu kau akan bahagia dengan dia nanti”

“Tapi ini soal masa depan Milla, cepat sangat tempohnya. Macamana ni Abah, Milla rasa belum sedia untuk berkahwin”.

“Milla Abah harap jangan hampakan harapan kami, Abah tak pernah minta apa-apa pun selama ini. Abah hanya harap Milla jangan lukakan hati kami dengan menolak hajat yang suci ini”.

“Tapi Abah……”

“Kami pasti kau akan bahagia Milla, jangan risau tentang semua itu. Kasih sayang boleh dipupuk, dibajai, semua tu akan berkembang dengan sempurna. Kami iringkan dengan doa restu”.

Hari ini aku mula bertugas, tiada keriangan seperti selalu. Aku ceritakan pada kedua sahabat baikku masalah yang melanda hidupku secara tiba-tiba. Mereka juga terkejut dengan keputusan yang Abah dan Mak ambil untukku.

“Mengapa kau tak menolaknya Milla kalau kau rasa tak bersedia untuk berkahwin”. Nonie menepuk bahuku perlahan.

“Betul tu Milla…Perkahwinan merupakan amanah, kita jangan berkahwin kalau kita rasa tak mampu nak jalankan amanah”.

“Korang cakap memang senang, tapi aku nak menolak harapan kedua orang tua aku tu tak terdaya. Harapan mereka terlalu tinggi dengan perkahwinan aku tu, entah dengan siapalah yang mereka nak kahwinkan aku”.

“Kalau macam tu.. kau terima sahaja Milla, kau pun bukan ada buah hati lagi yang takut kau nak tinggalkan. Lagi pun kan Milla orang kata pilihan orang tua ni selalunya baik dan membahagiakan”.

“Tapi…. Aku takutlah, entah siapalah bakal suami aku tu.. tempohnya dekat sangat. Tiga bulan saja…. Kau fikirlah”.

“Jangan risau Milla, Maria rasa tentu yang terbaik Abah dan Mak kau cari. Takan lah dorang nak musnahkan hidup anak kesayangan mereka ni”.

“Cakap memang mudah….aku yang nak tanggong ni yang teruk, emmmm macam tak percaya pula dalam sekelip mata aku dah nak jadi isteri orang. Macam mimpi disiang hari pun ada ni”.

“Sudahlah tu Milla…Nonie rasa kau akan bahagia nanti, kau nak tunggu apa lagi…dah ada orang suka tu, terima ajalah…abis cerita. Tak macam kami ni siapa pun tak nak”.

“Kau berdua bukan tak ada siapa yang nak…tapi korang ni memilih sangat, macamlah Milla tak tahu”.

Perkara ni kena rahsiakan dari pengetahuan Boss, kalau tidak.. gerenti panas telinga aku nanti kena perli dengannya. Harap-harap tu rahsia ini tak pecah sehingga aku buat permohonan cuti sekali lagi. Entahkan aku kena berhenti kerja, tak pula aku tanya Mak dan Abah bakal suami aku tu kerja apa?, kerja dimana? Ishkkkkkk.

Betul ke aku buat keputusan untuk ikut permintaan Mak dan Abah ni, emmm..makin ingat makin kusut aku memikirkannya. Mak…Abah… anak mu ini sedang berperang dengan keputusan dan harapan Mak dan Abah. Hati…..tabahlah kau menghadapinya.

Masa berlalu begitu pantas sekali, tanpa ku sedar hari yang paling aku tak suka menjelma juga. Aku terpaksa akur dengan keputusan dari Mak dan Abah, bukan main gembira lagi mereka. Semua keperluan telah mereka sediakan, aku hanya perlu ambil cuti dan dikahwinkan sahaja. Kekadang aku rasa seperti sebuah mimpi… bukanya sebuah kenyataan bahawa aku akan menjadi seorang isteri pada seorang yang tak pernah aku tahu siapa dia.

Kata Mak dia selalu tengok aku dan mengikuti setiap perkembangan diri aku, sedangkan aku sendiri tak pernah tahu siapa dia..rupa…suara… ishkk ni yang buat aku tambah takut. Sekarang ni aku rasakan pergerakan aku sentiasa diperhatikan. Nasib baik Boss aku sekarang ini tak cerewet macam dulu lagi, kalau tidak makin gila aku untuk menghadapi semua ini.

Hari ini aku terpaksa mohon cuti lagi dari Boss aku. Tentu dia terkejut bila aku beri Kad Undangan aku nanti. Aku dah sedia apa saja yang dia hendak perli aku nanti. Aku dah korek telinga aku elok-elok semalam, biar aku rasa tenang saja bila kena perli dengan Boss nanti. Kali ini dia tak boleh nak memperkecilkan aku lagi, tapi aku sebenarnya rasa takut nak pergi jumpa dia walaupun aku rasa aku benar-benar dah bersedia untuk menghadapi apa saja yang bakal di katakan padaku nanti. Emmm…. Sabar ajalah.

Aku melangkah ke pejabatnya dengan surat permohonan cuti dan Kad Undangan, ku ketuk perlahan pintu dan aku melangkah dengan penuh semangat. Aku ucapkan salam sebelum aku dipersilakan duduk dihadapannya

“Ada apa masalah yang boleh saya bantu”

“En Sofian.... saya nak memohon cuti selama dua minggu bermula hari Juamaat, ini surat permohonan cuti dan Kad Undangan dari saya sekeluarga untuk En Sofian”.

“Emmm…dah nak kahwin pun Setiausaha saya ni, siapa bakal suami awak tu Milla?”.

“Pilihan keluarga En Sofian, saya pun tak kenal dengannya”.

“Hmmm… Mohd Sofie, hampir sama dengan nama saya, agaknya awak suka pada saya. Sebab tu awak cari nama suami awak pun hampir dengan nama saya”.

Ewahhh…. Ketawakan aku pulak, dahlah tu.. perasan pula aku nak pada dia. Aku sanggup jadi anak dara tua dari kahwin dengan orang macam dia. Ingat aku ni dah tak laku ker?.. tolong sikit.

“En Sofian tolong setuju permohonan cuti saya tu, saya ada banyak kerja diluar” malas aku nak tatap muka dia lagi.

Renungan Terakhir

Diluar hujan turun mencurah-curah, tiada tanda untuk berhenti dari terus membasahi bumi yang begitu lama gersang . Jam di dinding telah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Entah mengapa begitu sukar untuk dia melelapkan matanya pada malam ini. Ingatannya sentiasa berkisar pada Izzat, seorang jejaka yang dikenalinya melalui halaman borak di Internet. Semuanya gara-gara Maria kawannya yang beria-ria menyuruhnya sertai ruangan itu untuk mengubat kesedihan hatinya setelah kekasih yang amat dicintainya bernama Faizal meninggal dunia. Rupanya Izzat dan dirinya senasib, Izzat telah putus tunang setelah tunangnya Lissa berubah hati pada yang lain. Dari luahan perasaan masing-masing telah membuahkan satu ikatan yang tak terduga. Namun diwaktu yang singkat ini ingatan Darwina pada Faizal tidak dapat dilupakan, walaupun berbagai cara Izzat cuba menambat hatinya namun tetap gagal.


Suatu hari mereka bertemu setelah hampir dua bulan menjalinkan persahabatan melalui internet dan berbual di telefon. Bagi Darwina walaupun Izzat lebih tampan dari Faizal namun kasih yang mekar dihatinya masih belum layu walau dah hampir lima bulan Faizal telah pergi meninggalkan Darwina buat selama-lamanya.

“Wina…..tiada ruangkah dihati Wina untuk Izzat menumpang?. Berilah Izzat peluang untuk mengubat kesedihan Wina disamping menyembuh luka dihati Izzat sendiri” Izzat menatap wajah Darwina dengan penuh mengharap agar ada peluang untuk dia buktikan keikhlasannya.

“Izzat……tolong jangan desak Wina beri jawapan pada sesuatu yang Wina sendiri tidak yakin dengan keputusan yang akan Wina ambil. Masih banyak gadis lain lagi….mengapa Wina yang Izzat harapkan untuk menyembuh kelukaan Izzat?”. Akhirnya dapat juga Darwina meluahkan perasaannya pada Izzat.

“Salahkah Izzat menyintai Wina ?. Izzat benar-benar ikhlas untuk mengambil Wina sebagai isteri Izzat yang sah”. Terkejut Darwina mendengar buah bicara yang baru keluar dari mulut Izzat. Suatu yang tak pernah terduga oleh fikirannya.

Pertemuan petang itu benar-benar membuatkan Darwina tidak dapat melelapkan mata pada malamnya.Permintaan Izzat begitu menyesakkan fikirannya, walaupun kekadang ada rindu yang bertamu dihatinya pada Izzat namun kenangan indahnya bersama Faizal sering mengalahkan perasaan rindu pada Izzat. Begitu sukar untuk Darwina melupakan Faizal yang amat dicintainya. Lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya, dan tidak mustahil untuk menjadi lelaki terakhir yang dicintainya sepenuh hati. Salahkah aku untuk tidak jatuh cinta lagi setelah cinta suciku bersemadi bersama-sama jasad Faizal?. Salahkah aku menolak cinta Izzat kiranya aku sendiri tak dapat memberikan cinta pada dirinya?. Persoalan inilah yang sering menghantui hidupnya kini, mambelenggu nalurinya dan menyesakkan akal fikiranya.

Kesedihan yang melanda jiwanya masih tidak mampu untuk diubati oleh kasih yang Izzat ingin curahkan. Bukan dia tidak mempercayai keikhlasan hati Izzat……hanya persaan cinta yang mendalam terhadap Faizal masih menebal dihatinya. Segala kekusutan ini adakalanya dikongsi dengan Maria sahabat baiknya. Hanya pada Maria, Wina meluahkan segala yang membuatkan hidupnya sering menjadi seba salah.

“Maria….apa pandangan kau tentang Izzat”. Darwina cuba mendapatkan pandangan sahabat karibnya tentang masalah yang sering menggangu ketenangan hatinya kini. Harapannya semuga masalah ini dapat diringankan bila dapat meluahkan pada Maria. Tidurnya kini sering digamit kasih Faizal, mimpinya juga dibuai oleh sayang Faizal, segala yang indah hanyalah bersama dengan Faizal.

“Bagi Maria…Izzat seorang lelaki yang baik dan penuh keikhlasan…hanya kau Wina tak dapat menilai dengan sempurna tentang keikhlasan Izzat, apa lagi yang kau mahukan dari seorang lelaki Wina?….rasanya Izzat dah memenuhi segalanya. Apa yang buat kau tak berpuas hati pada Izzat tu….Maria pun rasa hairan, Kalau Maria….sudah pasti Maria tak akan lepaskannya dari jatuh ke tangan orang lain”.

“Wina masih tak dapat melupakan Faizal…..Wina memang cuba untuk menerima Izzat dalam hidup Wina, namun…….ingatan Wina pada Faizal…….”.

“Wina…..Faizal telah pergi untuk selamanya…..kalau kau menyintainya sepenuh hati sekali pun…..kau tak seharusnya memusnahkan masa muda kau. Letakkan Faizal di sudut hati mu Wina, ingati dirinya dalam doa disetiap kali solat mu…itu yang Faizal perlukan. Bukannya dengan menangis dan meratapi pemergiannya, sikap kau yang begitu hanya meresahkan roh Faizal. Kau fikirlah sebaiknya apa yang Maria katakan, Maria tak nak kau menyesal kiranya Izzat terlepas dari jadi milik kau Wina….fikirkanlah sebaiknya”

Darwina rasa terpukul dengan nasihat Maria, namun Wina masih tak dapat untuk membuat keputusan yang muktamad tentang hubungannya dengan Izzat. Perasaan yang berbelah bagi antara cintanya pada arwah Faizal dan perasaan kasihannya pada Izzat sering membuatkan dirinya dalam dilema. Kini dah hampir lima bulan persahabatannya dengan Izzat terjalin, namun keputusan yang muktamad masih belum diberikan pada Izzat yang begitu setia menanti jawapan dari Darwina. Entah mengapa begitu sukar untuk Darwina membuat keputusan walaupun dia sedari yang Izzat begitu jujur dan ikhlas dalam menyatakan hajat sucinya.Darwina masih ingat sewaktu dia berbual dengan Izzat dalam telefon malam kelmarin.

“Wina......Izzat benar-benar ikhlas dalam keputusan Izzat untuk jadikan Wina teman hidup Izzat, dan Izzat benar-benar harap Wina dapat menerima Izzat dengan penuh keikhlasan. Terimalah Izzat seadanya......mungkin Izzat tak setanding Faizal, tapi berilah peluang pada Izzat untuk mencurahkan sepenuh kasih sayang Izzat pada Wina nanti......”.

“Izzat.........berilah Wina masa lagi untuk memikirkan semula hasrat murni Izzat itu, Wina amat hargai kasih sayang dan keikhlasan Izzat . Wina ucapkan jutaan terima kasih kerana masih ada insan yang sudi mencurahkan kasihnya buat Wina, namun Wina masih memerlukan masa untuk membuat keputusan yang membabitkan hidup dan masa depan Wina......harap Izzat dapat memahami perasaan Wina saat ini”.

“Sampai bila Wina???.......sampai bila harus Izzat menanti.....adakah Izzat seolah menanti sesuatu yang tak pasti,menanti buah yang tak mungkin gugur? atau apa Wina???.....katakanlah......tak ada harapankah Izzat untuk memiliki Wina?”.

“Izzat......tolong jangan desak Wina begini, hemmm....beginilah....kiranya ada jodoh antara kita pasti tak kemana. Buat masa ini kita sekadar kawan biasa dulu....biarlah masa yang menentukannya. Wina harap Izzat setuju dengan keputusan Wina ini, muga selepas ini Izzat tak akan mendesak Wina lagi dalam membuat keputusan yang Wina sendiri tak pasti, Wina juga harap Izzat tak berkecil hati dengan keputusan ini”.

“Benarkah apa yang Wina katakan itu...? Andai itu yang Wina pinta Izzat terima dengan hati yang terbuka, walaupun ianya agak mengecewakan tapi Izzat menerimanya. Kiranya ada jodoh antara kita, dapatlah kita layari hidup bersama nanti.Andainya memang tiada jodoh antara kita Izzat akan menerimanya dengan penuh pasrah walaupun suatu ketika Izzat telah pun berusaha dengan sedaya upaya”.

Kini telah tiga bulan Izzat mendiamkan diri....entah kemana dia membawa diri, tiada lagi diruangan chat atau telefon.Kini ada rindu yang melanda dihatinya. Darwina telah cuba untuk menelefonnya.....namun jawapan yang didengari hanya suara dari operator “ nombor yang anda dail telah dihentikan perkhidmatannya” dan ini memang agak mengeciwakan hati dan perasaannya kini. Kemana lagi dia harus mencari Izzat, tempat kerjanya Wina tak tahu.....rumah sewanya juga Wina tak pernah ambil tahu. Selama ini yang Wina tahu, Izzat akan menelefonnya dua kali sehari setiap tengahari dan malam. Kini tiada lagi suara romantis yang membelai jiwa......tiada lagi gurau senda di dunia cyber.....tiada lagi dapat menatap wajah damainya pada pertemuan setiap tiga minggu. Semuanya membuatkan Wina rasa begitu rindu dan amat rindu pada Izzat. Rasanya seperti mahu Wina menangis sepuasnya dan menjerit sekuat hati memanggil nama Izzat untuk kembali pada nya.

“Maria.... dimana Wina harus mencari Izzat kini......Wina mengaku yang Wina memang buta dalam menilai kasih sayang yang begitu tulus dari Izzat. Andainya tuhan menemukan Izzat kembali......pasti Wina akan luahkan perasaan hati Wina ini”.

“Sabarlah Wina......muga tuhan menemukan kau dan dia kembali....kali ini Maria harap kau takan melepaskan peluang kau untuk memiliki dirinya. Maria nak kau jangan beri kesempatan pada orang lain untuk memiliki seorang lelaki yang sebaik Izzat”.

“Wina janji Maria...........Wina akan berikan sepenuh cinta Wina padanya nanti, Wina harap Wina dapat peluang kedua dan Wina tak akan mempersiakan peluang yang Wina dapat.....akan ku pastikan dia mendapat setulus cinta yang luhur dari hati ini”.

“Maria doakan kalian akan ditemukan kembali......janganlah kau siakan lagi peluang yang ada........sukar lagi untuk kita temui seorang lelaki yang sebaik Izzat tu”.

“Maria.......Wina benar-benar rindu padanya......setiap hari Wina asyik teringatkannya, Wina dah tak mampu lagi untuk menanggung rindu. Selepas dia pergi dari hidup Wina......baru kini Wina terasa yang Wina dalam diam menyintai dirinya.Mengapalah Wina begitu bodoh dalam menilai kasih sayang yang tulus darinya dulu. Mengapalah Wina membiarkan suatu yang berharga berlalu begitu sahaja. Hidup Wina kini bagaikan tiada serinya lagi selepas Izzat tiada”.

Adakah esok masih ada mentari buat Darwina, atau hidupnya terus kelam tanpa sinar kasih?.Kini hidupnya begitu sepi dan Wina kini seolah-olah tercari-cari sesuatu yang berharga hilang darinya. Darwina kini banyak habiskan masanya dengan mengelamun dan sentiasa bersedih. Maria juga gagal untuk mengembirakan dirinya lagi.Berbagai usaha Maria cuba untuk menenangkan perasaan Wina namun semuanya gagal. Darwina pula tak pernah lupa untuk berdoa disetiap solatnya agar tuhan temukan dirinya dengan Izzat. Wina tidak mahu keciwa lagi selepas cinta pertamanya dengan Faizal bersemadi bersama cinta dan jasad Faizal. Cukuplah kesedihan dulu yang ditanggongnya hinggakan berlian didepan mata dianggap seperti kaca yang bersinar untuk mengaburi matanya .

Akhirnya doanya termakbur juga bila suatu hari Izzat menelefonya pada pagi minggu. Tak dapat digambarkan saat itu betapa Wina begitu gembira bila dapat mendengar suara yang amat dirinduinya hinggakan tak terasa ada air mata yang mengalir di pipi gebunya.Seperti diberi semangat baru bila terdengar suara Izzat yang sudah terlalu lama dinantikan bertanya khabar dan Wina amat rindukan hilai ketawa Izzat.

“Apa khabar Wina.....? maaf ye....Izzat pergi tak sempat nak beritahu Wina. Izzat harap Wina sentiasa ceria dan bahagia.......Izzat dah pulang kekampung. Izzat akan mula bertugas didaerah tumpah darah Izzat minggu depan. Mungkin ini minggu terakhir Izzat disini. Wina sihat ke?”.

“Wina sihat.......tapi Wina betul-betul rindu pada Izzat, Wina ingatkan dah tak berpeluang untuk jumpa Izzat lagi. Wina tak tahu nak cari Izzat dimana, Izzat marah dan kecil hati dengan Wina ke?.Maaf kan Wina nye Izzat”.

Walaupun akhirnya tuhan kabulkan doa Wina untuk bertemu dengan Izzat namun Wina tetap rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan Izzat. Dia dah tak seriang dulu juga tak semesra seperti waktu-waktu yang lalu. Guraunya hambar dan senyumnya juga tawar. Darwina rindukna kemesraan dulu.....namun dia rasa malu untuk bertanya pada Izzat akan perubahan yang Wina rasakan. Biarlah seketika.....mungkin Izzat takut Wina masih tak sudi menerima cintanya lagi. Wina akan terus terang satu hari nanti pada Izzat bahawa Wina sudah menerima Izzat seadanya.

Malam baru saja melabuhkan tirainya ketika Darwina merebahkan tubuhnya dikatil selepas menunaikan solat magrib. Terasa seperti ada kedamaian yang melanda jiwanya selepas membaca Quran dan mendengar suara Izzat pagi tadi. Wina mencapai novel yang baru dibelinya semalam berjudul Andai Tiada Pertemuan ditulis oleh seorang penulis muda yang baru meningkat naik namanya diarena sastera. Malamnya terasa dingin bila hujan yang turun lewat petang masih belum berhenti. Namun tumpuan pembacaan sesekali terganggu bila terdengar dentuman guruh yang kuat diluar. Hatinya rasa tidak tenteram bila kawan baiknya Maria masih belum pulang. Darwina keluar dari bilik tidurnya pergi ke ruang tamu, disana dia melabuhkan punggungnya disofa yang tersedia diruang itu. Sesekali matanya merenung jam didinding....jarum panjang menunjukkan angka 12 dan jarum pendek dah melewati ke angka 9. Mana perginya Maria ni....mengapa pula dia tak telefon. Keresahan hatinya berakhir juga bila pintu rumah terbuka dan muncul Maria tersenyum dalam keadaan basah kuyup. Cepat-cepat Wina pergi ambil tuala untuk Maria, kasihan pula dia lihat kawan baiknya tu dalam keadaan basah kuyup begitu.

Pagi minggu begini selalunya Darwina menghabiskan waktu rehatnya dengan mengemas rumah, sambil mencuba resepi baru. Dari dulu dia lebih suka menghabiskan waktu cuti mingguan dengan berehat dirumah sambil menbaca novel dan mengemas rumah. Cuma kekadang dia keluar menemani Maria pergi membeli belah di Pasaraya yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka, itu pun setelah puas Maria memujuknya. Darwina menuju ke dapur mencari air bila terasa tekaknya begitu haus dan terus ke ruang tamu sambil membaca akhbar yang dibelinya tadi. Sesekali matanya melirik pada temannya Maria yang kelihatan dah berhias cantik sambil tersenyum nakal padanya. Terusik juga hatinya untuk mengusik Maria yang kini dah pandai bergaya dan tentu dah ada teman lelaki, kalau tidak masakan pagi minggu begini dah berdandan dengan rapi.....emm dah tentu nak jumpa pak we ni.

“Hello cik Maria........nak jumpa pak we ye.....pagi-pagi lagi dah berhias begini punya cantik. Sampai hati kau tak kenalkan aku dengan pak we kau tu, mengapa? kau takut Wina goda dia ke?”.

“Bukan begitu la Wina......Maria baru kenal dengan Azrie baru sebulan, sebelum ni kau sentiasa mengurungkan diri dibilik. Mana sempat Maria nak kenalkan dengan kau, kejap lagi dia datang jemput....Maria akan kenalkan Wina dengannya”.

“Oh....Azrie namanya ye.....emmpp tentu hebat dia ni....sebab berjaya mencuri hati kawan Wina yang selama ini begitu dingin dengan lelaki. Wah!! macamana hati Maria boleh cair dengan Azrie ni.......” Darwina terus ketawa bila lihat Maria menjeling padanya bila diusik begitu.

Akhirnya dapat juga Darwina berkenalan dengan teman lelaki Maria. Baginya Azrie memang sepadan dengan Maria. Dihatinya mendoakan semuga tuhan merestui dan menjodohkan mereka berdua nanti. Tentu Maria akan bahagia nanti, hanya itu yang Wina harapkan dia tumpang gembira bila lihat Maria gembira.Nampaknya Wina makan sendirian tengahari ini.Selepas solat zohor Wina merebahkan tubuhnya dikatil sambil membaca novel yang belum dihabiskan semalam. Hatinya terusik dengan jalan cerita yang dibacanya, penulis novel ini memang pandai dalam menyusun bait-bait ayat dan susunan cerita yang boleh membuat pembaca tersentuh dengan jalan ceritanya. Sesekali hatinya tercuit dengan kenangan bersama Faizal walaupun Wina telah berjaya untuk melupakan kenangan silam itu. Fikiranya tiba-tiba terbang melayang pada kenangan pertemuan pertama dengan Faizal. Kenangan demi kenangan berputar ligat di fikirannya hingga Wina tertidur sambil mendakap buku novel dan gambar Faizal. Darwina tertidur dengan ditemani kenangan silam bersama Faizal. Betapa indahnya tidur Darwina berteman kan kenangan bersama Faizal.Tidurnya terganggu bila terdengar suara kanak-kanak bermain di padang permainan yang berhampiran dengan rumahnya. Tak terduga olehnya hampir tiga jam di tertidur diulit mimpi indah bersama-sama dengan Faizal yang terus segar difikiranya. Hatinya rasa rindu pada Faizal walaupun dia tahu semua itu tak akan kembali lagi. Setiap kali Wina terkenangkan arwah Faizal dia tak pernah lupa untuk sedekahkan Al- Fatihah buat insan yang pernah bertahta dihatinya. Izzat......dimanakah dia ketika ini, hatinya bagai dicengkam rasa rindu yang teramat rindu pada lelaki itu. Disaat dia perlukan Izzat........saat itu juga Izzat tiada di sisinya.

Malam telah larut, tiada sebutir bintang pun yang menghiasi malam yang suram dan sepi. Sesepi hati Darwina yang rindu pada Izzat, rindu yang tidak terungkap dengan kata-kata. Darwina begitu asyik melihat keindahan alam ciptaan tuhan dari jendela kamarnya yang terbuka luas. Suasana yang gelap tanpa bintang dan purnama yang mengambang menambahkan lagi kesuraman dihatinya.Darwina melangkah menuju ke meja tulisnya berhampiran katil, dikeluarkan diari dan dicatit kan segala luahan hati yang merindu. Untuk menghilangkan kesepian Wina segera menghidupkan suis radio yang berada dimeja tulisnya. Mendengar celoteh dari DJ dan lagu-lagu yang diputarkan sedikit sebanyak terhibur juga perasaanya ketika itu. Darwina menyanyi perlahan mengikut lagu yang diputarkan diradio, bila lagu Sendu dihatimu Rindu dijiwaku nyanyian kumpulan Arrow berkumandang diradio, ingatannya terus melayang pada Izzat yang begitu gemar dengan lagu itu, Wina cuba memahami maksud setiap baris lirik yang didengarinya.

Takdir yang menentukan
pertemuan yang tak diduga
takdir juga yang menentukan
perpisahan....................
Ditalian cinta ini
terjalin ikatan mesra
walau hanya seketika
bagiku sungguh bermakna......

Terasa sebak dadanya bila mendengar lagu tu.....Wina harap pertemuannya dengan Izzat bukan untuk seketika. Tak sanggup rasanya untuk dia keciwa lagi buat kali yang kedua. Cukup terseksa rasanya bila Faizal pergi tinggalkan dirinya tanpa pesan dan tanpa sempat Darwina dapat merenungnya buat kali yang terakhir. Darwina terus menutup radio kerana tak sanggup lagi dia mendengar lagu-lagu yang mencuit nalurinya ketika ini.Darwina keluar dari bilik terus ke ruang tamu menghidupkan TV. Dia cuba untuk melawan perasaan yang berkocak dijiwanya dengan menonton TV. Akhirnya dia rasa bosan bila rancangan yang disiarkan tidak dapat menghiburkan hati. Darwina cuba beralih dengan menonton video cerita komedi lakunan allahyarham P.Ramlee cerita Seniman Bujang Lapuk. Nampaknya hatinya terhibur juga dengan telatah lucu tiga watak utama itu. Darwina ketawa terkekeh-kekeh seorang diri di ruang tamu itu, rasanya Maria telah lama dihanyutkan mimpi indahnya bersama dengan Azrie.

Nampaknya cerita itu berjaya membuat Wina rasa terhibur, walaupun cerita tu telah lama namun masih berjaya menghiburkan hatinya yang sepi dan kerinduaan. Jam dah menunjukan ke angka dua pagi, dah sampai waktunya untuk dia tidur esok pagi harus bangun awal untuk ketempat kerja. Selepas pasti semua pintu dan suis yang berkenaan telah ditutup Darwina melangkah longlai ke kamarnya untuk beradu. Mungkin bila dalam keadaan matanya yang begitu mengantuk Wina dapat melelapkan matanya dengan cepat. Biar tiada lagi keresahan yang dapat menggangu waktu tidurnya, Wina terus rebahkan tubuhnya di tilam empuk dan terus memejamkan matanya. Muga esok mentari bersinar bersama harapan yang menyinar...........................

Rembang petang memancarkan sinar kemilaunya ketika Darwina melabuhkan punggungnya dikerusi taman bunga itu untuk menanti Izzat seperti yang telah dijanjikan pagi tadi.Pandangan matanya tercari-cari susuk tubuh jejaka yang amat dirinduinya muncul, namun dah hampir dua puluh minit Wina menanti masih tak kelihatan wajah Izzat. Darwina asyik memerhati gelagat anak-anak kecil yang berlari penuh keriangan bermain. Betapa indahnya kehidupan dizaman kanak-kanak, tak punya masalah yang membelenggu diri. Apa yang mereka tahu hanya ketawa bila rasa gembira dan menangis bila rasa tidak puas hati dengan keadaan sekeliling. Zaman kanak-kanaknya dulu juga seperti itu , sentiasa gembira tak pernah memikirkan sebarang masalah. Apa lagi dulu dia di layan seperti menatang minyak yang penuh, apa lagi dia adalah anak tunggal yang menjadi kemanjaan kedua ibubapanya.

Keasyikannya memerhati keriangan kanak-kanak yang berlarian dan mengimbau kenangan dizaman kanak-kanaknya hinggakan tak sedar yang Izzat telah duduk bersebelahan dengannya. Izzat tersenyum melihat keasyikan Darwina.

“Wina.....asyik benar Wina hinggakan Izzat duduk bersebelahan dengan Wina pun tak sedar, apa yang Wina renungkan itu?”.Izzat merenung Wina dengan pandangan yang begitu damai dan tenang.

“Bila Izzat sampai?”. Darwina tersipu-sipu malu bila dia langsung tak sedar akan kehadiran Izzat bersebelahan dengannya. Sempat juga Wina mencuri pandang pada wajah yang amat dirindui itu. Wina kembali menundukkan wajahnya bila matanya dan mata Izzat bertembung. Bila mata mereka bertentang hati Wina rasa berdebar, hampir setengah jam mereka disitu namun tiada siapa yang memulakan perbualan. Masing-masing menjadi kelu dan entah apa yang berligar difikiran masing-masing.Akhirnya Izzat memulakan bicara bila sejak tadi kedua mereka hanya mendiamkan diri.

“Apa perkembangan terbaru tentang diri Wina sekarang?. Dah jumpa ke dengan pilihan hati yang dapat memenuhi citarasa Wina?”. Agak terkejut Wina mendengar soalan yang keluar dari bibir Izzat yang selama ini mencurahkan rasa kasih dan sayang pada dirinya. Mengapakah soalan itu yang keluar dari bibirnya??? tidak tahukah dia bahawa aku teramat rindu pada dirinya. Darwina terus berkata-kata dalam hatinya. Terasa pedih bagai dihiris sembilu dan dirobek-robek belati tajam perasaannya. Darwina rasa ingin menangis tapi ditahan juga agar Izzat tidak tahu perasaannya yang keciwa itu. Tiada kasih lagikah dihatimu Izzat??.

“Apa maksud Izzat perkembangan terbaru dan pilihan hati Wina?”. Tersekat-sekat patah-patah perkataan yang Wina keluarkan, namun sedaya upaya Wina cuba menahan sebak yang telah mencengkam jiwanya ketika ini. Adakah Izzat kini tidak lagi mengharap pada kasihnya lagi.....apakah benar andaian dari Maria bahawa dia akan menyesal kerana tak menerima Izzat dahulu. Adakah ini pertemuan yang terakhir yang Izzat mahukan. Darwina tidak sanggup untuk menghadapai kenyataan ini. Darwina menanti dengan penuh debaran untuk mendengar kata-kata yang bakal Izzat katakan nanti. Akan lukakah lagi hatinya untuk kali yang kedua.

“Wina........salahkah soalan Izzat?. Izzat memang ikhlas untuk mengetahui perkembangan Wina kerana dah lama kita tak berjumpa dan berbual di telefon. Kiranya soalan Izzat tadi telah melukakan perasaan Wina......Izzat mohonkan kemaafan dari Wina”. Izzat kelihatan tenang ketika menuturkannya.

Dalam keresahan dan kerisauan yang mencengkam nalurinya, Darwina cuba untuk meluahkan apa yang tersimpan dilubuk hatinya ketika itu. Walaupun berat untuk menyatakan namun Wina terpaksa meluahkan juga, kiranya Izzat tak dapat menerimanya Wina rasa lebih puas kerana dapat menyatakannya. Tersekat-sekat patah-patah perkataan yang dikeluarkannya, namun Wina harap Izzat dapat mengerti perasaannya ketika itu.

Bagai layang-layang terputus talinya bila Darwina mendengar pengakuan dari Izzat bahawa Wina terlambat menyatakan perasaannya. Izzat telah bersetuju untuk menerima gadis pilihan keluarganya bila Izzat benar-benar keciwa kerana Wina menolak niat sucinya dulu. Hingga sekarang cintanya pada Wina masih kukuh.....namun Izzat tak sanggup untuk melukakan hati orang tuanya bila persetujuan telah dinyatakan. Kiranya Wina cepat meluahkannya pasti mereka dapat hidup bersama. Kini semuanya telah terlambat, keduanya dalam keciwa....adakah waktu yang tercepat atau aku yang terlewat? Semua itu kini menghantui fikiran masing-masing.

Sinar yang diharapkan namun mendung yang datang menyelubungi. Izzat datang menemuinya hanya untuk memberitahu bahawa minggu depan adalah hari pertunangannya dengan gadis pilihan orang tuanya. Betapa pun cintanya masih mendalam pada Wina namun untuk melukakan perasaan orang tuanya Izzat tak sanggup. Kiranya dia diberi pilihan ketika itu pasti Darwina adalah pilihannya, namun..........hanya allah yang mengetahui perasaan ketika itu. Darwina rasakan hidupnya kini tiada bermakna lagi, baru untuk memulihkan kelukaan hatinya namun kini terguris lagi. Tiada kata lagi yang dapat diluahkan kini, hanya manik-manik yang berkaca di ruang matanya yang dapat mengambarkan perasaan hatinya.

Tiba-tiba sahaja Darwina rasakan seperti dipeluk suasana yang tidak keruan. Ingin rasanya dia lari situ.....berlalu bersama berlalunya cinta yang tak sempat bersemi. Namun bila lihat Izzat juga turut bersedih dalam situasi yang tidak terduga hatinya rasa berat untuk tinggalkan Izzat disitu. Mereka saling merenung antara satu sama lain seolah-olah itu adalah renungan yang terakhir bagi mereka. Tiada kata yang dilafazkan tiada cerita yang hendak dibicarakan, yang ada hanyalah bisikan hati masing-masing yang keciwa dan terkilan bila hajat suci murni mereka tidak kesampaian.

Apabila senja telah merangkak tiba mereka terpaksa berlalu dari situ. Walaupun berat hati untuk berpisah namun keadaan tidak membenarkan mereka untuk terus berada disitu. Izzat menghantar Darwina hingga sampai di perkarangan rumahnya. Waktu hendak melangkah keluar dari kereta Izzat memberi satu bungkusan yang berbalut rapi buat Darwina. “Terimalah sebagai kenang-kenangan” bersama renungannya yang pasti membuat Darwina tidak dapat melupakannya.

“Darwina........ jangan terlalu ikutkan perasaan.....Izzat juga rasa apa yang Wina rasakan kini. Antara kita memang tiada jodoh.,yang ada hanyalah pertemuan yang sementara, namun Izzat rasa amat bahagia walaupun hanya untuk seketika. Terimalah semua ini dengan pasrah Wina, jangan menangis lagi....setiap titik airmata yang Wina keluarkan ianya bagai menghiris hati Izzat”.

“Wina akan ingat pesan Izzat itu.......Wina harap Izzat akan hidup bahagia dengan gadis pilihan orang tua Izzat . Lupakanlah Wina untuk selamanya Wina akan abadikan kenangan kita dilubuk hati Wina. Selamat berbahagia Izzat”. Wina merenung Izzat untuk disimpan dalam memori hatinya. Sebelum berlalu Izzat sempat berkata pada Wina “ Darwina.....kau tetap ratu dihati ku”.

Jam didinding telah menunjukan pukul 2.00 pagi. Darwina masih belum dapat melelapkan matanya. Untuk apa aku harus menangis....tak ada siapa yang harus ku persalahkan, itulah bisikan hati Wina untuk menenangkan dirinya sendiri. Wina berbaring dikatil sambil memegang bungkusan yang diberikan oleh Izzat padanya. Perlahan-lahan Wina membuka bungkusan itu. Didalamnya terdapat sehelai kain sutera berwarna biru dan sepucuk surat. Warna biru adalah warna kegemaram mereka berdua, Wina mengambil kain sutera itu sambil menciumnya. Perlahan dia membuka helaian surat dari Izzat, Wina menarik nafas sedalamnya dan melepaskan perlahan sebelum membaca isi kandungan surat Izzat.

Darwina.........

Dalam keterpaksaan ini Izzat terpaksa juga meluahkan pada Wina,
selepas Izzat rasa begitu keciwa dengan keputusan Wina menolak
cinta suci Izzat. Izzat mengambil keputusan untuk pulang ke daerah
kelahiran Izzat untuk bertugas disitu. Teramat sukar untuk Izzat
buat keputusan itu, namun atas perasaan yang keciwa Izzat
lakukan juga.

Wina..........
Kedegilanmu untuk menerima Izzat sebagai pengganti amat meluka
kan perasaan Izzat. Akhirnya Izzat ambil keputusan untuk menerima
gadis pilihan orang tua Izzat. Minggu depan kami akan ditunangkan
secara sah. Memang sukar untuk Izzat menerimanya, namun kerana
Wina memang tidak suka pada Izzat maka Izzat menerimanya dalam
keterpaksaan untuk tidak melukakan hati kedua orang tua Izzat.


Darwina.......
Sesungguhnya tiada siapa dapat mengantikan tempatmu di sudut hati
ini....namun apakan daya Izzat hanya bertepuk sebelah tangan. Izzat
harap Wina akan temui sinar kebahagian, mungkin benar kata Wina
tiada jodoh antara kita. Tapi....Izzat tetap gembira dapat mengenali
Wina walau pun Izzat tak berpeluang untuk memilikimu........

Dari insan yang pernah menyintaimu.....

Izzat yang jauh.

Darwina melipat kemas warkah terakhir yang akan dijadikan kenangan buat dirinya. Kelewatannya membalas cinta dari Izzat telah membuat dia terluka lagi, namun semua itu telah ditentuankan oleh tuhan. Memang tiada jodoh antara dia dan Izzat. Dari sudut hatinya yang tulus dia mendoakan semuga insan sebaik Izzat akan hidup bahagia. Wina bangun dari katil terus ke almari solek sambil merenung kain sutera yang dihadiahkan oleh Izzat buatnya. “Emmm cantik....terima kasih Izzat” Wina cuba tersenyum dalam hati yang keciwa.................

Hari berganti hari tanpa kita sedari hari yang dinantikan oleh keluarga Izzat menjelma juga. Darwina telah bersedia untuk pergi melihat hari bahagia Izzat, Wina mahu merenungnya sepuas-puasnya buat kali yang terakhir. Dia akan cuba mengawal perasaannya nanti, apa pun yang terjadi dia tetap dengan keputusannya untuk melihat Izzat buat kali yang terakhir. Tiada siapa yang dapat menghalangnya dari pergi.

“Wina.....tak berubah ke keputusan kau ni? Maria takut kau tak dapat menghadapinya nanti......Maria tahu perassan kau ketika ini, Maria juga perempuan Wina kalau kau rasa tak sanggup biar Maria dan Azrie sahaja yang pergi”.

Darwina terus berdandan dengan sepasang baju kebaya sutera biru pemberian dari Izzat hari tu. Dia kelihatan anggun dengan baju itu. Darwina cuba mempamirkan senyum pada Maria seolah-olah dia mampu menghadapinya. Namun Maria tahu perasaan Wina yang berperang ketika ini. Maria memang kagum dengan Wina, namun jauh disudut hatinya Maria tumpang sedih dengan nasib yang melanda Wina.

“Cepat la kita pergi.....Azrie pun dah sampai, nanti tak sempat Wina nak tengok Izzat bersanding. Hadiah yang kita beli semalam mana? jangan lupa pula”.

Sepanjang perjalanan tiada siapa yang berbicara semuanya terasa kelu untuk berbual. Darwina hanya melayan dan mengawal perasaannya. Sedaya upaya dia mengawalnya namun ada juga air jernih yang turun membasahi pipinya. Akhirnya sampai juga mereka dirumah yang telah dihias cantik. Kelihatan begitu ramai tetamu yang meraikan hari perkahwinan Izzat. Mereka terus menuju ke ruang makan yang disediakan. Darwina tercari-cari bayang Izzat yang dah lengkap dengan pakaian pengantin. Nasi yang disuapnya bagaikan tak terasa lagi bila kedengaran bunyi paluan kompang meraikan Izzat yang telah lengkap bagaikan pendekar dizaman Hang Tuah. Sebagaiman hebatnya paluan kompang begitu jugalah perasaan Wina yang tak keruan dengan perasaannya yang berkecamuk kini.Izzat kelihatan begitu tampan dengan pakaian pengantinnya, namun dari raut wajahnya kelihatan dia tak gembira. Wina rasa sedih bila lihat Izzat begitu.

Selesai mereka makan Darwina mengajak Maria menemaninya pergi menemui Izzat yang sedang bersanding di singgahsana yang telah dihias begitu cantik. Bak seorang Raja yang baru ditabalkan menjadi Raja, Maria tidak mahu menghampakan Wina hanya mengikut dari belakang. Darwina cuba mengawal perasaannya sekuat yang terdaya. Dia tak mahu Izzat melihat dia menangis, Wina masih ingat kata-kata Izzat “setiap titik air mata yang Wina keluarkan ianya bagai menghiris hati Izzat” Wina nak lihat Izzat gembira dan bahagia walau pun dia sendiri keciwa dan terluka.

Darwina dan Maria pergi menepung tawar dan mengucapkan tahniah pada Izzat dan isterinya yang kelihatan begitu cantik dan tersenyum bahagia. Izzat kelihatan terkejut melihat kehadiran Darwina dihadapannya, Izzat dan Wina cuba saling berbalas senyum namun tetap kelihatan tawar.Darwina mengucapkan tahniah dengan nada yang tersekat-sekat tapi dia tetap dapat mengawal airmata nya dari jatuh. Izzat memandangnya tanpa berkelip-kelip, merenung sepuasnya buat kali yang terakhir seolah tidak mahu terlepas walaupun seminit. Darwina juga merenungnya sambil tersenyum yang diukir dengan paksa. Ketika Maria mengajak Darwina untuk pulang Darwina sempat berkata pada Maria dengan nada yang pilu.....

“Maria.......sesungguhnya ini adalah renunganku yang terakhir buat insan yang tak sempat kuberikan cinta suci ku, tapi aku tetap bahagia kerana tuhan memberi peluang pada ku merasa cintanya dan berpeluang untuk ku merenungnya buat terakhir kali......aku doakan semuga Izzat kekal bahagia ke akhir hayat”

Impian yang Tercalar


Kini telah hampir setahun Norli dengan sahnya menjadi isteri Norman, walaupun Norli hanya menjadi isteri Norman yang kedua Norli tetap rasa bahagia.Walaupun masih ada suara sumbang yang kedengaran Norli tetap tidak ambil peduli semua itu, janji dia telah menjadi isteri Norman yang sah disisi agama. Buat masa ini Norman seorang suami yang baik dan penyayang, Norli rasa sungguh gembira walaupun berbagai rintangan yang dihadapinya sebelum dapat menjadi suami isteri yang sah.

Buat masa ini isteri pertama Norman masih belum mengetahuinya, namun semua itu tidak akan dapat disimpan lama suatu hari pasti akan terbongkar juga. Norli yakin dia akan tabah dalam apa juga keadaan dan berharap agar Norman akan sentiasa bersama dengannya. Untuk sementara ini Norman hanya datang pada waktu siang dan kadang-kadang hingga kelarut malam dirumah Norli, namun Norman terpaksa pulang juga ke rumah Murni isteri pertamanya. Semua itu terpaksa dilakukan untuk mengelak dari rahsia mereka terbongkar untuk seketika dan Norli telah mengaku sanggup untuk berkeadaan begitu buat sementara waktu.

Perkahwinan mereka juga ditentang kuat oleh keluarga Norli, namun untuk melihat anak mereka bahagia kedua orang tua Norli terpaksa terima Norman walaupun dihati mereka begitu sukar untuk menerimanya. Kedegilan Norli memaksa mereka beralah dan tetap berdoa agar anak kesayangan mereka bahagia.

“Sayang.....abang terpaksa balik dulu, lambat nanti bising pula kak Murni tu” Norman telah bersiap-siap untuk pulang.

“Hmmm....baiklah bang, hati-hati semasa memandu ye”. Norli menghantar Norman hingga kemuka pintu.

“Okey..sayang...kunci pintu ni...jaga diri baik-baik tau”. Norman mengucup dahi Norli dan terus berlalu ke kereta.

Norli melambai tangan dengan hati yang sayu...namun apakan daya dia sendiri yang sanggup untuk berkeadaan begini untuk sementara waktu. Walaupun berat untuk melepaskan Norman pergi dia terpaksa merelakan juga demi ikatan yang terjalin ini akan berkekalan untuk hari yang mendatang. Kesepian memang dirasakan oleh Norli namun janji yang pernah dilafazkan pada Norman terpaksa ditunaikan walaupun kekadang hati kecilnya memberontak agar haknya sebagai isteri yang sah diberikan.

“Nor...kiranya kita kahwin, buat sementara Man tak boleh bermalam dirumah Nor. Buat seketika Man tak nak sakitkan hati kak Murni, Nor.......sanggupkah nanti Man cuma datang kerumah Nor waktu siang dan lewat malam tanpa bermalam bersama Nor nanti”.

“Nor sanggup Man....Nor faham keadaan Man, janji Man tetap sayang pada Nor. Segala rintangan akan Nor hadapi dengan sabar, asal kita bahagia bersama nanti”.

Itulah janji yang kini membelenggu diri dan jiwanya. Betapa mudahnya melafazkan janji namun begitu perit untuk melaksanakannya. Apa yang telah dikata terpaksa dikotakan walau seperit manapun jiwa yang menanggongnya. Norli terus kekamar tidurnya yang berhias cantik namun hanya sepi yang mencengkam kalbu. Hatinya merintih agar suaminya ada disisi membelai manja, bergurau senda juga memadu asmara dengan mesranya. Apakan daya semua itu hanya impian yang menggoda kesepian jiwa perempuannya.

Ada ketika fikiran nakalnya cuba melayang jauh dan membayangkan saat-saat indah Norman bersama Murni, hatinya merasa cemburu yang membara. Betapa seksanya batin merintih tanpa dipedulikan oleh Norman. Bila memandang katil yang berhias cantik namun sepi Norli rasa mahu menangis. Kesepian dan kedinginan malam menambahkan lagi perasaan yang bergelora dihatinya.

Norli keluar keruang tamu untuk menenangkan perasaannya, Norli cuba mengemas ruang yang sederhana itu untuk melupakan dan sekurangnya dapat memberi sedikit kecerian dalam dirinya.

“Nor.....bila kita kahwin nanti Man nak Nor berhenti kerja dan jadi surirumah sepenuh masa”. Norman menatap wajah lembut Norli sambil memegang tangan dan mengusap perlahan.

“Mengapa Man tak suka Nor kerja?”. Norli bertanya dengan suara yang manja sambil merenung tepat kedalam mata Norman.

“Man suka isteri Man sentiasa ada dirumah setiap kali Man balik dari kerja, disambut dengan senyuman dan Man boleh bergurau senda dengannya tanpa alasan letih bekerja”. Norman tersenyum pada Norli sambil mencubit hidung mancung Norli.

“Habis tu..kak Murni tak pernah sambut Man ke?”. Norli cuba pancing perasaan Norman terhadap isterinya Murni.

“Murni merupakan seorang isteri yang baik, cantik dan mengambil berat tentang keluarga. Cuma sejak dia mula berniaga masanya banyak dihabiskan di Butik dari diri Man, itu yang buat Man rasa kesepian dan....Nor jadi teman yang mengisi setiap kesepian Man” Norman tetap tersenyum sambil memegang tangan Norli.

Harini genaplah setahun Norli dan Norman menjadi suami isteri. Norli telah berjanji dengan Norman untuk makan malam bersama. Norli juga telah sediakan hadiah untuk suaminya yang tercinta, sebotol minyak wangi dan sehelai tali leher. Norli berdandan cantik untuk malam ini sambil menunggu Norman datang menjemputnya. Tak sabar rasanya Norli untuk menemui Norman kerana dah tiga minggu Norman tak datang kerumahnya kerana ada kerja diluar daerah. Norli terus menanti dengan penuh debar.

Debaran hatinya semakin memuncak bila deringan telefon menjerit meminta diangkat segera, Norli terus mendapatkan telefon.

“Hello.....” Norli bersuara perlahan.

“Sayang...abang ni”. Terdengar suara garau Norman.

“Abang.....abang dimana ni...Nor dah siap semuanya, abang nak datang jemput Nor pukul berapa bang...?” Norli bertanya manja.

“Nor....abang nak beritahu Nor, yang abang tak dapat nak makan malam bersama Nor. Malam ni abang dan kak Murni ada jamuan dirumah kawannya, maafkan abang...Nor..”. Suara Norman kedengaran tersekat-sekat seakan serba salah.

“Tak mengapalah bang..... Nor faham keadaan abang. Nor harap abang gembira disana nanti...jangan risaukan Nor”. Norli menuturkan dalam sebak dan diiringi airmata yang tidak diminta hadirnya, lalu dia terus meletakan gagang talefon.

Betapa sedih dan pilu dirinya disaat itu, namun tiada siapa untuk menjadi tempatnya mengadu. Norli terus merebahkan dirinya ditilam sambil menangis sepuasnya. Keciwa benar rasa hatinya ketika ini. Disaat ini dia teringat kata-kata ibunya tempohari diwaktu Norli memohon restu untuk berkahwin dengan Norman.

“Nor....bukan mudah untuk menjadi isteri yang kedua ni...kau bukan saja akan diumpat, malah terpaksa beralah dan bersabar kerana kau mengambil hak orang. Kau dah biasa dimanja dengan sepenuh hati, bagaimana kau mampu untuk berkongsi suami dengan orang lain Nor.....fikirlah sebaiknya. Baju pun kita tak suka berkongsi...inikan pula suami yang menjadi tempat bermanja dan menumpang”. Mak Tijah cuba menasihati anak kesayangannya.

“Mak......Nor rasa Nor dah bersedia untuk menghadapi semua itu, abang Man baik mak... dia takan membiarkan Nor dipersia begitu. Abang Man dah janji akan memastikan hidup Nor tak terbiar”. Norli tetap dengan keputusannya untuk berkahwin dengan Norman yang amat dicintai itu. Tiada siapa yang dapat memisahkan mereka lagi.



“Mak dan abah amat menyayangi kau Nor.... kami tak mahu hidup kau dipersiakan. Kalau Norman tu tak beristeri lagi..mak tak kisah, tapi....mak takut kau menyesal nanti Nor. Bukan mudah menjadi isteri kedua ni Nor. Masih ada masa untuk kau fikirkan kembali”. Mak Tijah terus menasihati anak manjanya.

“Mak.....restuilah impian yang Nor pilih ini mak. Nor yakin Nor akan bahagia dengan abang Man nanti, mak dan abah restuilah kami. Nor akan tabah dalam menghadapi segalanya”. Norli tetap dengan keputusannya untuk mencapai impian hidup bersama Norman.

Norli terus menangis dan merintis memanggil ibunya yang telah pergi kerahmatullah empat bulan yang lalu.

“Mak.....Nor berdosa dengan mak....Nor degil...tak dengar nasihat mak dan abah. Inikah balasan kedegilan Nor mak”. Norli terus menangis hingga tak sedar waktu bila dia terlelap. Norli terlena dengan baju yang disediakan untuk menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama, tapi semua yang telah dirancang tak dapat dilaksanakan. Pilunya hati yang merasa.

Norli terjaga dari tidurnya bila matahari telah memancarkan sinarnya dicelahan tingkap, dia bangun dengan malasnya terus ke cermin dan melihat matanya bengkak kerana menangis semalam. Hatinya masih terasa sedih kerana hasratnya untuk meraikan ulang tahun mereka tidak kesampaian, hadiah yang ingin diberikan pada Norman juga menambahkan kesedihan hatinya. Ingin rasanya dia mencampak keluar hadiah itu agar hilang dari penglihatan namun tak tergamak untuk dia melakukannya.

Apakah akhirnya kehidupan ku nanti, adakah impianku untuk hidup bahagia akan berakhir derngan kekeciwaan. Kebelakangan ini impianku sering tercalar, namun aku masih mencipta impian untuk bahagia bersama dengan orang yang aku cintai. Itulah suara hatinya, tabah untuk terus mencipta impian yang tiada pasti.

Hari ini tiba-tiba saja dia didatangi oleh tamu yang tidak diundang. Suatu yang tidak terduga olehnya, bila dia menjawab salam dan membuka pintu yang tercegat dimuka pintu ialah Murni isteri pertama Norman. Pucat wajah Norli...namun dia tetap memberi senyuman yang mungkin tak semanis mana tapi cukup untuk menghormati tamu yang berkunjung.

Berbagai persoalan bermain dikepalanya kini, adakah suatu yang buruk akan berlalu. Norli menarik nafas panjang untuk menenangkan hatinya sendiri . Aku akan tabah dalam menghadapi apa saja kemungkinan yang datang, tuhan berilah kekuatan pada ku.

“Jemput duduk kak..” Norli mempersilakan tamu yang penuh tanda tanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Terima kasih”. Murni menjawab sambil menyambut salam dari Norli namun tiada riak manis diwajahnya, hambar dan geram.

“Adakah awak kenal siapa saya?”. Murni bertanya dalam nada yang agak kasar.

“Hmmm......duduk dulu yer, saya kedalam buat air”. Norli rasa kecut juga hatinya bila soalan itu diutarakan oleh Murni.

“Tak payahlah...saya datang bukan nak minum tapi inginkan kepastian dari mulut awak sendiri, duduk saja disini”. Murni rasakan seperti tidak sanggup lagi berlama-lama dirumah ini. Sebenarnya dia sendiri suka melihat Norli yang lemah lembut dan keadaan rumah nya yang teratur kemas walaupun hanya sederhana besarnya. Tapi hati perempuannya bagai tersayat bila mengetahui yang suaminya telah menduakannya. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dia mencekik leher Norli, namun dia juga seorang yang berperasaan dan berpelajaran. Masih lagi dapat mengawal perasaannya walaupun hati kecilnya memberontak untuk melepaskan geramnya pada Norli. Murni masih dapat menahannya bila difikirkan “bertepuk sebelah tangan tidakan berbunyi” suaminya juga harus dipersalahkan dalan hal ini. Beginilah nasib wanita....sering menjadi mangsa lelaki.

“Adakah awak mengenali saya?” Sekali lagi soalan itu keluar dari mulut Murni, dan Murni memandang tepat kewajah Norli.

“Kenal.....isteri....abang Norman....”. Norli menjawab tersekat-sekat sambil menundukkan wajahnya seperti seorang murid berhadapan dengan guru disiplin yang akan menjatuhkan hukuman.

“Benarkah...awak telah berkahwin dengan abang Norman”. Kini suara Murni pula bergetar perlahan.

“Benar.....setahun yang lalu....kami saling mencintai, maafkan saya Kak Murni. Saya tahu hati akak terluka tapi saya sanggup berkorban membenarkan abang Norman sentiasa bermalam dengan akak. Melepaskan hak saya sebagai isterinya yang sah untuk menjaga hati akak dan rumahtangga akak”. Norli menjawab perlahan.

“Korban.....itu yang kau katakan pengorbanan. Kalau kau benar-benar sanggup berkorban untuk menjaga hati dan rumahtangga akak, sila tinggalkan abang Norman. Kami cukup bahagia selama ini. Akak tak mahu ada orang ketiga dalam hidup kami sekeluarga”. Murni berkata dengan tegas namun masih berlembut.

“Sudah setahun kami menjadi suami isteri kak...selama ini adakah ia menjejaskan hubungan akak dengan abang Norman”. Norli pula cuba untuk mempertahankan haknya.

“Memang akak akui itu benar, tapi....setelah akak mengetahuinya akak rasa benar-benar keciwa dan terkilan, mengapa semua ini berlaku pada keluarga akak yang selama ini begitu bahagia. Akak tak dapat menerima kenyataan ini, hidup bermadu....tiada perempuan mana pun yang sanggup hidup bermadu kecuali perempuan yang memang suka merampas suami orang”. Akhirnya terlepas juga perkataan yang dia sendiri tidak suka melafazkannya.

“Ini dah jodoh saya kak...Jodoh yang telah ditetapkan oleh allah. Saya pasrah menerimanya, tak cukup lagikah pengorbanan saya buat akak sekeluarga?” Norli cuba mengawal airmata dari turun menyirami kelukaaan hatinya.

“Norli....akak dan abang Man juga saling menyintai dari sebelum kami berkahwin dulu, akak benar-benar harap agar kau dapat memahami perasaan akak sebagai isterinya. Tolonglah Norli”. Murni seolah-olah merayu pada Norli.

“Akak...Norli faham perasaan akak, tapi........Norli kini telah mengandung dengan benih kasih sayang kami. Norli minta akak faham juga kedudukan Nor sekarang, kasihanilah Nor akak”. Kini giliran Norli pula merayu pada Murni dengan linangan air mata yang bercurahan tanpa dipinta kehadirannya.

“Maaf Nor....akak tetap tak dapat menerima kenyataan ini, akak minta diri dulu...asslamualaikum”. Murni terus bangun dan beredar dari rumah yang dirasakan seperti neraka hati.

Norli terus menyembabkan mukanya di sofa dan terus menangis mengenangkan nasib dirinya yang tak tahu apa akan terjadi seterusnya. Norli memegang perutnya sambil berkata “Mama akan pastikan kau dilahirkan dengan selamat, betapa malangnya nasib mama mu ini sayang. Mama harap kau tidak dilahirkan dengan malang yang mama tanggung sekarang”. Norli menyeka airmata yang mengalir dengan satu perasaan bahawa dia akan tabah dalam menghadapi segala kemungkinan yang mendatang. Norli bertanya sendiri pada dirinya

“Salahkah aku mempunyai impian untuk hidup bahagia walaupun impianku tiada kepastian. Abang Man..dimanakah kau diketika ini.....lupakah kau pada isterimu yang malang ini?”.

Norli begitu asyik menulis segala suka dan duka pada diari kesayangannya sehinggakan Norman telah masuk dibilik pun tak disedari olehnya.

“Sayang buat apa tu..?” Norman bertanya sambil terus mengucup dahi Norli.

“Bila abang sampai..? abang ni buat Nor terkejut”. Norli tersenyum sambil mengurut dada kerana terkejut dengan teguran dari Norman tadi. Betapa gembira hatinya bila menatap wajah Norman.

“Asyik benar sayang abang ni....sampai abang bagi salam tadi pun tak sedar yer...” Norman ketawa kecil sambil mencubit pipi Norli.

“Abang dah makan..?” lembut suara Norli bertanya.

“Dah sayang...abang nak mandi kejap, letih benar abang rasa” Norman terus berlalu ke bilik air.

Norli terus kedapur sediakan air minuman buat Norman. Dalam hatinya berbagai persoalan yang berlegar-legar. Perlukah dia ceritakan pada Norman tentang kedatangan Murni pagi tadi, atau haruskah dia mendiamkan diri sahaja. Sementara menanti Norman siap berpakaian Norli menonton siaran berita di Telivisyen.

“Abang.....Nor ada dua berita yang ingin Nor sampaikan”

“Ada apa sayang....?” Norman senyum sambail memandang pada wajah Norli yang nampak sedikit pucat.

“Pertama....Nor disahkan mengandung tiga bulan bang”

“Betul sayang..!!! abang harap Nor dapat lahir anak lelaki kali ini, emm..abang dah ada tiga orang anak perempuan dengan Murni”. Norman benar-benar gembira terus mencium pipi Norli sambil tangannya memegang perut Norli.

“Kedua....pagi tadi kak Murni datang kesini bang..” Norli memandang tepat kewajah Norman.

Norman tak terkata apa....wajahnya terkejut, namun cuba bertenang seolah-olah sedang memikirkan jalan penyelesaian. Hairan juga dia bagaimana rahsianya selama setahun ini terbongkar kini. Terharu dia memandang wajah Norli, tentu Norli juga terguris dan hati Murni juga. Norman berfikir bagaimana dia nak bersemuka dengan Murni waktu pulang nanti. Norli mungkin boleh menerima dengan tenang sebab Norli telah tahu kedudukannya sebelum mereka berkahwin lagi. Tapi....bagaimana dengan Murni dapatkah dia menerima kenyataan ini dengan redha. Tak mungkin rasanya........

Kini dah lapan bulan Norli mengandung, segala keperluan untuk bayi yang akan dilahirkan telah Norman belikan. Tak sabar rasanya Norli menanti kelahiran anaknya. Hubungan Norman dengannya masih seperti dulu, Murni tetap dengan pendiriannya tidak membenarkan Norman bermalam dirumah Norli. Namun Norli tetap bersyukur yang Norman masih tetap menyintai dirinya, walaupun Murni tetap tidak mahu berbaik dengannya. Norli tetap tabah dan sabar dalam menempuhi hidupnya yang mendatang.

Kebelakangan ini Norli rasakan yang dirinya seakan-akan tak bermaya, mungkin kerana kandungannya yang semakin membesar dan kesepian yang sering mencengkam dirinya. Norli sering berdoa agar tuhan mengurniakan seorang anak lelaki untuk diberikan pada Norman. Norli tahu Norman tentu gembira kiranya dia dapat melahirkan seorang anak lelaki nanti. Tak sabar rasanya Norli untuk melihat anaknya, Norli tersenyum sendirian bila membayangkan wajah anaknya nanti mirip dirinya atau Norman. Tentu comel dan cergas, Norli harap impiannya kali ini menjadi kenyataan

Deringan telefon telah mematikan lamunan Norli dengan impiannya yang indah itu. Begitu sukar untuk dia bangun dari sofa. Perlahan-lahan Norli pergi mendapatkan telefon yang begitu nyaring berbunyi. Siapa pula..? bisik hatinya.

“Hello....” lemah sahaja suara Norli

“Hello..Kak Murni ni...abang Norman ada disana ke?”

“Tak ada Kak....kenapa?” Norli menjawap dengan lembut.

“Kalau dia kesana beritahu anaknya sakit”

Tak sempat Norli menjawap telefon telah diletakkan. Norli hanya mengelengkan kepalanya bila memikirkan perangai Murni yang masih marah padanya. Tapi nasibnya baik juga sebab Murni tidak datang menyerang dan memaki hamunnya seperti yang sering terjadi pada isteri-isteri yang bermadu. Sesekali Norli terfikir mungkin dia juga akan buat begitu jika dia ditempat Murni. Tiada seorang perempuan pun yang tidak terasa tercabar bila haknya yang amat dicintai dikongsi dengan perempuan lain, kecuali jika perempuan itu tidak menyintai suaminya lagi. Selagi perasaan cintanya yang membara pada suaminya pasti mereka tidak sanggup untuk berkongsi kasih dengan orang lain. Bagaimana dengan dirinya kiranya suatu hari nanti Norman berkahwin lagi.......dapatkah dia menerima kenyataan itu dengan tenang seperti sekarang. Dapatkah dia berkorban lagi seperti sekarang..?. Semua itu membuatkan dirinya kekadang berasa bersalah dengan Murni, tapi apakan daya......

Harini mungkin hari yang dinantikannya akan tiba. Sakitnya sering terasa, sekejap-sekejap perutnya terasa sakit. Norli cepat-cepat menelefon Norman memberitahu masanya untuk bersalin mungkin telah tiba. Sementara menunggu Norman sampai Norli tak putus-putus berdoa agar anak yang akan dilahirkannya sihat dan selamat. Mungkin hanya itu yang mampu diberikan pada Norman.

Sampai di Hospital Norli sempat besalam dengan Norman memohon keampunan sebelum dia dimasukkan ke bilik bersalin. Norli memandang Norman sepuasnya, manakan tahu mungkin dia tak berkesempatan lagi memandang wajah suami yang amat dicintai itu.

Norman diluar menunggu dengan penuh debaran. Berdoa pada tuhan agar menyelamatkan isteri dan anaknya. Serba tak kena rasanya apa yang dibuatnya, duduk tak selesa....berdiri tak kena....berjalan-jalan pun rasa merimaskan. Hampir dua jam menanti diluar Norman diberitahu oleh jururawat yang Norli telah selamat melahirkan seorang anak lelaki.

Tak tergambar betapa gembiranya Norman dikala itu, ingin rasanya di memeluk dam mencium Norli ditika itu juga. Norman terus menelefon Murni menceritakan khabar yang amat mengembirakan itu. Murni hanya menerimanya dengan perasaan gembira dan cemburu kerana Norli telah berjaya memberikan Norman seorang anak lelaki yang sememangnya menjadi idaman Norman selama ini. Murni tidak dapat melahirkan anak lagi buat Norman selepas ketiga-tiga anak perempuannya dilahirkan dengan pembedahan. Terkilan juga dihatinya namun semua itu tak mampu dielakkannya.

Norman amat gembira bila melihat anak lelakinya yang comel hingga terlupa bertanyakan keadaan Norli. Comel kau , menyerupai wajah mama mu, tentu Norli gembira bila melihat anaknya yang comel ini bisik hati Norman.

Norli masih tak sedarkan diri selepas dia mengalami tumpah darah yang banyak. Norman hanya melihatnya dari luar, terharu Norman melihat wajah pucat Norli. Norman berdoa agar tidak terjadi apa-apa pada Norli. Dia tak sanggup kehilangan seorang isteri yang sabar dan tabah seperti Norli. Tak mungkin dia akan berjumpa lagi seorang isteri yang sebaik dan setabah Norli dalam menghadapi hidup bermadu. Sebaik Murni pun masih tak dapat menerima kenyataan hidup bermadu. Norman terus berdoa agar Norli cepat sembuh dan dapat menjaga anak mereka bersama-sama. Hanya itu impian dan harapan Norman dan itu juga impian Norli selama ini.

Dah seminggu Norli di Hospital, keadaannya masih belum pulih. Dia kelihatan tenang walaupun dalam keadaan pucat tak bermaya. Senyuman tak pernah lekang dari bibirnya setiap kali Norman datang melawatnya. Senyuman yang menyembunyikan kesakitan yang dialaminya dari Norman.

“Abang.....Nor nak abang namakan anak kita dengan nama Mohamad Alif, bolehkan abang”. Perlahan suara yang Norli keluarkan, seolah menahan rasa sakit yang ditanggongnya.

“Indah juga nama tu sayang..abang setuju..”

“Abang....Nor nak jumpa kak Murni...” Seakan merayu suara yang Norli keluarkan, Norman terasa sebak namun ditahanya air mata dari mengalir sambil memegang dan mencium tangan Norli.

“Itu pun Murni dah datang” Norman memberitahu Norli setelah dilihatnya Murni telah berada di ambang pintu.

“Apa khabar Nor.....maaf Akak datang selepas seminggu Nor disini, comelnya anak Nor....wajahnya sama macam Nor”

“Terima kasih Akak....kerana sudi datang melawat Nor dan Alif, Akak....Nor nak minta Akak tolong jaga Alif seperti anak Akak sendiri kiranya Nor pergi dulu...”

“Jangan kata begitu Nor...Akak minta maaf atas apa yang terjadi, Akak banyak bersalah dengan Nor. ampunkan Akak Nor”.

“Nor dah lama maafkan Akak...Nor harap Akak dapat jaga Alif dengan baik kiranya Nor tak ada lagi, Abang...Nor minta ampun segala kesalahan Nor sepanjang Nor menjadi isteri Abang. Halalkan semua makan dan minum Nor selama ini yer Abang...”

“Kenapa cakap begini sayang....kita akan sama-sama menjaga Alif nanti, Abang yang banyak buat salah dengan Nor...Abang yang harus minta ampun dengan Nor...”

“Abang dan Kak Murni..janjilah dengan Nor, berjanjilah akan menjaga Alif dengan sebaiknya. Akak buatlah Alif seperti anak Akak sendiri yer Kak...” sayu sahaja suara Norli, membuatkan Murni dan Norman merasa hiba dan amat sedih.

“Janganlah kata begitu sayang.....abang tak sanggup mendengarnya, tolonglah....abang pasti Nor akan sembuh tak lama lagi, jangan buat abang menyesal seumur hidup abang Nor”

“Betul tu Nor...Akak tahu Akak banyak berdosa dengan Nor, lepas ni Akak janji Akak tak akan buat macam dulu lagi pada Nor” Murni tak dapat menahan lagi airmatanya dari turun, dia tak mahu apa yang Nor cakapkan menjadi kenyataan..tak sanggup rasanya.

“Sudahlah tu.....jangan ditangisi pemergian Nor dengan airmata, semua ini bukan kehendak kita.......”

Semua menjadi kelu untuk berkata-kata, hanya bisikan hati masing-masing yang mengisi kepiluan. Norli tetap tersenyum memandang kedua insan yang mungkin akan ditinggalkannya.

“Abang....ambilkan anak kita..Nor nak lihat sepuasnya”

“Comel anak kita yer bang...Alif...kalau mama tak ada Alif jangan nakal-nakal, dengar cakap abah dan mama Murni....”

Norli mencium anaknya sambil tersenyum pada Murni dan Norman, Norli memegang tangan Norman dan tangan Murni. Dia memegang dengan eratnya kedua tangan mereka.

“Abang....hanya Alif saja yang dapat Nor berikan pada abang, Nor harap abang dapat menjaga dan mendidiknya dengan sempurna. Tak ada apa yang dapat Nor berikan sebagai kenangan buat abang..hanya Alif sebagai penganti diri Nor nanti. Kenangkan Nor dalam doa abang nanti, Nor amat menyinta abang....menyintai abang hingga keakhir hayat Nor”. Norli mengucup tangan Norman.

“Kak Murni.....kehadiran Nor telah melukakan hati Akak, Nor minta ampun....tak ada apa yang dapat Nor berikan untuk mengganti kesalahan yang Nor buat, kini...Nor kembalikan abang Norman buat Akak....Nor harap Akak akan bahagia dan gembira kembali...tolonglah jaga Alif untuk Nor yer Kak.....”

“Nor......maafkan Akak Nor.....”

“Sayang.......jangan tinggalkan abang begini.....”

Norman dan Murni menangis semahunya.....masing-masing rasa bersalah dan sedih bila mendengar ucapan Norli....mereka tak berdaya untuk memujuk hati sendiri untuk ikut tersenyum bersama Norli yang tenang walau pun sakit. Norli memegang erat tangan mereka sambil memejamkan matanya, Norman terus mencium tangan Norli sambil menitiskan airmata. Murni juga turut berbuat demikian. Genggaman tangan Norli semakin lama semakin longgar, Norman dan Murni memandang Norli yang tidak bernafas lagi.....Murni menangis diikuti oleh Alif. Norman terasa hidupnya kosong........

“Akhirnya dia pergi juga bersama impiannya yang tercalar” Hanya itu yang dapat Norman katakan. Norman terus mendakap Alif yang menangis mengiringi pemergian mamanya...................

Kenali Diri

Ramai orang lebih mengenali orang lain,

Tapi...tidak mengenali diri sendiri.
Kerana hanya sibuk mencari kesalahan dan kekurangan orang
hingga terlupa untuk menghitung kekurangan dan kesilapan sendiri



Kelmarin adalah kenangan,

Hari ini adalah perjuangan,
Esok..bukanlah satu kepastian

Tuesday, July 13, 2010

Bila Si Suami hantar puisi halus kpd isteri utk kahwin lain.

Isteriku ,

jika engkau bumi,
akulah matahari.
Aku akan menyinari mu kerana engkau mengharapkan sinaran dari ku..
Ingatlah bahtera yg kita kayuh, begitu penuh riak gelombang.
Aku pasti akan tetap menyinari bumi, hingga kadang-kadang bumi terasa akan silauan ku.

Lantas aku ingat satu hal bahawa Tuhan mencipta bukan hanya bumi, malah ada planet lain yang juga mengharapkan sinaranku.


Lalu......
Relakanlah aku menyinari planet lain,
menyampaikan faedah adanya aku,
kerana sudah takdir Illahi sinaranku diperlukan diplanet lain...



*** Balasan Puisi sang isteri***

Suamiku,
andai kau memang mentari,
sang surya yang memberi cahaya,
aku merelakan engkau berikan sinaranmu kepada segala planet yang telah TUHAN ciptakan kerana mereka juga seperti aku perlukan cahayamu dan....
akupun juga tidak akan merasa kekurangan dengan sinaran mu...

AKAN TETAPIIIIIIII. .
Bila kau hanya sejengkal lilin yang berkekuatan 5 watt sahaja, jangan lah bermimpi untuk menyinari planet lain!!!
Kerana bilik tidur kita yang kecil pun belum sanggup kau terangi.
Lihatlah diri mu pada cermin kaca di sudut kamar kita, di tengah remang-remang pancaran cahaya mu yang telah aku mengerti...

Cuba lihat siapa dirimu...

MATAHARI atau lilin ?

atau jangan-jangan
cuma mancis saja!!!!!

please lah....!!!